Heroism

Friday, March 4, 2011 by aiyqosim


Bismillahirrahmaanirraheem

Alhamdulillahi wassolatu wassalamu 'ala Rasulillah...


Saya cuba berehat sebentar dari menulis berkaitan Ops Piramid (OP 004). Beralih angin, mengambil mood baru.

Saya pernah menyentuh sedikit sebanyak dalam satu entri berkaitan Sultan Muhammad al-Fateh, pembuka Konstantinopel yang membebaskan kota tersebut dari pemerintahan Byzantium. Semangat yang dipegang oleh sebaik-baik pasukan tentera dan sebaik-baik raja itu adalah berdasarkan satu Hadith Nabi SAW, yang berbunyi, "Konstantinopel akan jatuh di tangan tentera Islam, rajanya adalah sebaik-baik raja, dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera".

Rentetan dari itu, terfikir saya satu perkara yang sering dilakukan oleh ummat Islam zaman kini, sering diamalkan oleh kita, oleh saya, mungkin oleh anda juga. Satu sindrom yang dinamakan, 'Sindrom Menyembah Hero' atau lagi sedap didengar sebagai Heroism. (Ada khilaf dengan penggunaan istilah HEROISM. Tapi saya letak je lah istilah HEROISM sebab mudah sikit.. boleh usha di sini atau di sini atau di sini... Allahu A'lam)

Kita sering menguar-uarkan nama-nama tokoh-tokoh Islam yang cemerlang dalam pelbagai bidang serta berjaya mengubah dunia. Kita sering bercita-cita nak menjadi seperti mereka. Kita sering menyebut-nyebut nama mereka. Ramai dari kalangan kita tahu nama-nama tokoh ini. Kehebatan Sallahudin Al-Ayyubi dalam Perang Salib. Muhammad Bin Murad al-Fateh sebaik-baik raja yang membuka kota Istanbul.

Kita sering berkata, "Aku nak jadi seperti Ibnu Sina". "Idolaku Az-Zahrawi". "Aku bercita-cita nak jadi macam Ibnu Rusyd". "Aku nak jadi hebat macam....sekian...sekian...", dan sebagainya.



Hikmah Hadith Nabi

Sewaktu menggali parit sebagai persediaan Perang Khandak, Rasulullah bersabda kepada para sabahat baginda dalam satu Hadith yang cukup mahsyur,


"Kostantinopel akan jatuh di tangan tentera Islam, rajanya adalah sebaik-baik raja, dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera".


Hadith ini telah menjadi dorongan dan motivasi yang luar biasa kepada para sahabat RA, Tabi'een, Tabi' Tabi'een, bahkan Ummat Islam selepas 3 kurun yang terbaik selepas Rasulullah SAW. Motivasi untuk terus maju dan melebarkan pengaruh Islam ke Kostantinopel. Namun, ada satu hikmah dalam Hadith ini yang perlu diambil berat.

Hikmah Rasulullah SAW tidak menyebut nama siapakah sebaik-baik raja tersebut. Mengapa tidak disebut sahaja nama Sultan Muhammad al-Fateh? Kerana Nabi SAW tidak mahu ummatnya ditimpa penyakit menyembah hero. Ini sikap memuja-muja kehadiran pemimpin besar yang membebaskan Kostantinopel tanpa membuat apa-apa sumbangan konkrit dan konstruktif ke arah merealisasikan Hadith itu.



Tapi...

Tapi, takkan kita tak boleh mengagumi tokoh-tokoh Islam? Habis tu, nak kagum dengan tokoh Barat? Tokoh kafir?

Bukan begitu... Kuncinya, jangan kita melihat secara tersurat sahaja apa yang disebut sejarah. Kehebatan, kegeniusan, sifat kreatif dan pemikiran. Usah kita mudah tenggelam dalam ketakjuban pembukaan kota Kostantinopel. Dengan terciptanya meriam terbesar pertama di dunia. Dengan berlayarnya 70 buah kapal di atas bukit-bukau. Kita hanya mampu terkesima dengan Sultan Muhammad al-Fateh yang tidak pernah meninggalkan tahajjud sejak akil baligh.

Tak lain tak bukan, Sultan Muhammad al-Fateh hanyalah ikon kepada kekuatan institusi tarbiyah Uthmaniah. Beliau adalah cerminan kekuatan sistem pendidikan Islam kerajaan Uthmaniah. Dengan para ulama' dari segala bidang mendampingi beliau, menjadi penasihat politik, pendidik rohani, guru syariah, guru bahasa, guru tektikal perang, geografi, matematik, dan segala aspek kehidupan. Kita lupa atau buat-buat tak perasan bahawa kejayaan Sultan Muhammad al-Fateh adalah biasan sistem pendidikan yang seimbang antara kurikulum dunia dan akhirat.

Sebelum zaman Uthmaniah, satu tokoh Islam yang hebat, Salahuddin Al-Ayyubi telah berjaya menakluk Jurusalem. Ramai yang tidak tahu, bahawa kejayaan tersebut adalah manifestasi strategi yang dimulakan 3 generasi sebelum beliau, iaitu pada zaman Imam Al-Ghazali. Hasil tarbiyah pemikiran Al-Ghazali menghasilkan manusia seperti Salahuddin Al-Ayyubi, 3 generasi selepas Imam Ghazali!

Ada yang menjadikan Ibnu Sina sebagai tokoh pujaannya. Tetapi, tidak mengenali cara hidup beliau. Tidak tahu pemikiran dan cara beliau menuntut ilmu. Sebagai contoh, tahukah kita, setiap kali Ibnu Sina tidak memahami apa yang dipelajarinya, beliau akan sujud kepada Allah dan berdoa, "Ya mu'allima Ibrahim, 'allimna..."?

Ada pula yang mengambil Ibn Rusyd sebagai idola. Tetapi tahukah kita, beliau hidup dan mati dalam keadaan miskin. Bahkan namanya tidak terkenal dalam masa hidupnya hasil dari sifat zuhud dan tawadhuknya. Kitab-kitab dan hasil tulisannya akhirnya dibeli oleh pemerintah pada zaman 15 tahun selepas kematiannya, ketika itu barulah isterinya menjadi kaya dengan hasil jualan tulisan Ibn Rusyd.



Kesimpulan

Apa yang cuba saya timbulkan di sini adalah, sindrom Heroism tidak memberi faedah kepada generasi baru Islam, melainkan kita mengkaji apa yang wujud di sebalik kehebatan dan ketokohan 'hero-hero' Islam tersebut. Kemudian, intipati daripada kehebatan itu perlu diterapkan pula dalam diri kita.


Buat akhirnya, sekali lagi saya nak berpesan kepada diri sendiri dan sahabat-sahabat semua, gunakanlah masa kosong dengan menuntut ilmu dan aktiviti-aktiviti berfaedah. Bagi sahabat yang masih berada di Malaysia menunggu giliran pulang semula ke Mesir, di hujung minggu, gunakanlah masa itu bersama keluarga sementara ada masa. Di hari kerja, isikan pula dengan ilmu dan amal kebajikan, aktiviti berfaedah, riadah, dan sebagainya.


Suka saya nak promosi satu buku yang sangat bagus. Kuasa Kepemimpinan Al-Fateh, tulisan Muhammad Syaari Abdul Rahman, terbitan PTS. Dinasihatkan beli dan baca. =)






Hagia Sophia : satu-satunya gereja yang ditukarkan kepada masjid setibanya Muhammad al-Fateh ke kota Istanbul



Makam Abu Ayyub Al-Ansori RA, sahabat Nabi SAW yang cuba menakluk Istanbul, tetapi gugur syahid dan dimakamkan di kubu Istanbul seperti yang diwasiatnya


Gambar hiasan : Edrogan =)


Sekian dahulu, Jazakumullah kheir kerana sudi membaca,


Wassalam.


p/s : Skuad renang darurat ARMA baru ditubuhkan. Semoga sesi renang 2 jam sehari ni istiqomah. Setakat ni dah 3 hari berturut-turut dah. Ke arah membina doktor sihat badan luar dan dalam. InsyaAllah kheir... =)
Posted in Labels: , | Comments
Related Posts with Thumbnails

Apture