Kita Kan Kawan Kamu~

Sunday, November 27, 2011 by aiyqosim
Bismillahirrahmaanirraheem,

Alhamdulillahi wassolaatu wassalaamu 'ala Rasulillah SAW...


Kelas klinikal pagi tadi, belajar kes Cholestasis bawah tajuk Hepatosplenomegaly.


Doktor buka cerita tentang Chronic Hemolytic Anemia(CHA). Moga Allah memberkati doktor. Ditanya kepada kami, sebab apa, dalam CHA, ada hepatosplenomegaly, tapi dalam Aplastic Anemia(AA) tak ada?


Doktor pun buka al-kisah seorang mamat. Mamat ni namanya Bone Marrow(BM). BM kerjanya hasilkan sel-sel dan komponen-komponen utama dalam darah. Kilangnya di Bone Marrow, iaitu tulang sum-sum dalam badan manusia.


Tiap-tiap masa BM buat kerjanya tanpa jemu. Kerjanya berdasarkan "demand & supply". Ada demand, ada lah supply.


Suatu masa, berlaku masalah dalam darah, sel-sel darah pecah-pecah. Banyak yang rosak. Tinggal serpihan-serpihan saja. Jadi, demand untuk produk kilang si BM makin tinggi lah. BM redho saja, walaupun kena buat kerja berlipat kali ganda, biarpun gajinya sama.


Tapi BM lepak je, masih boleh tahan lagi. Sebab BM mampu lipat gandakan kerjanya sampai 8 kali ganda! Kilangnya masih boleh diperbesarkan lagi. Tapi sayangnya, sel darah yang rosak bertambah-tambah, melebihi had kemampuan BM. BM jadi tak tentu hala. Serba tak kena, sebab demand terlalu banyak, tapi dia tak mampu nak supply.


BM cuba minta tolong. BM menjerit, tapi tak ada yang menyahut. Lama-kelamaan, BM putus asa.


Tiba-tiba, tak semena-mena, datang supply sel-sel darah baru. Dari mana pun tak tahu. BM kaji punya kaji, rupa-rupanya, sel baru tu dibuat oleh kilang yang namanya Liver & Spleen.


BM sangat-sangat bersyukur. Tak terhingga syukurnya, sebab rupa-rupanya, Liver & Spleen dulu-dulu merupakan kawan baik BM di alam rahim dulu. Mereka dulu sama-sama buat bisnes yang sama, iaitu menghasilkan sel-sel darah.


Tapi, bila meningkat dewasa, Liver & Spleen membuat keputusan untuk membawa hala tuju masing-masing dalam bisnes tersendiri. Liver dengan kilang Detoxification & Special Protein Production, dan Spleen dengan kilang Pemusnah Sel & Kombat Infeksi.


Tapi, bila keadaan memaksa, bila BM memerlukan pertolongan, Liver dan Spleen sanggup mengorbankan bisnes dan sedikit kapasiti kilangnya untuk membantu menghasilkan sel-sel darah. Dalam keadaan genting itu, Liver & Spleen buat renovation & besarkan kilang masing-masing sampai tahap mampu memenuhi demand sang darah.


BM berkata kepada Liver & Spleen, "Kite tak sangka kamu datang selamatkan kilang kite. Dah lama kite tak contact kamu, tapi kamu masih ingat lagi kat kite. Terima kasih banyak. Sayang kamu~"


Liver & Spleen menjawab serentak, "Alaaa, tak perlu terima kasih. Kite kan kawan kamu~" sambil berpegangan tangan.


Mereka pun sama-sama bertolong bantu, demi menghasilkan komponen darah dalam proportion yang mencukupi.






Maka, itulah sebabnya, dalam CHA ada hepatosplenomegaly, demi membantu bone marrow menghasilkan komponen darah yang mencukupi. Tambahan pula, mereka sebenarnay rakan sekerja di dalam rahim ibu dahulu. Tapi bila dah keluar ke dunia, hanya bone marrow sahaja yang bekerja menghasilkan komponen darah, kerana yang lain ada komitmen lain.



Tapi... Apa pula cerita Aplastic Anemia(AA)? Haaa~ Ada ceritanya, tapi insyaAllah akan diceritakan pada entry lain insyaALlah...



Saya cuba ingat kembali, siapakah kawan(selain ahli keluarga) yang mula-mula kita kenal waktu kecil-kecil dulu? Masih ingatkah kita muka dan nama mereka?


Bagaimana pula kawan tadika, kawan sekolah rendah, kawan sekolah menengah, kolej, dan sebagainya?


Bagaimana pula kawan di kawasan tempat tinggal kita dulu? Jiran-jiran sekarang?


Bila berjumpa kembali, sudikah kita berborak dengan mereka, macam dahulu-kala? Sudikah kita, kalau dah membina kehidupan sendiri kelak, untuk membantu sahabat-sahabat kita dahulu?


Kalau dikira, betapa ramainya kenalan kita. Alangkah bagusnya kalau kita berjumpa semula kawan-kawan lama.


Tapi, dalam kita mengenang kembali kisah-kisah lama, sudah cukup baikkah hubungan kita dengan kawan-kawan kita sekarang ini?


Sudikah kita membantu, bila kawan kita memerlukan? Mungkin kita sudi, jika ada imbalan yang menanti sebagai ganti, tak gitu?


Serendah-rendah ukhuwwah itu berlapang dada, dan setinggi-tinggi ukhuwwah itu ithaar. Ukhuwwah kerana Allah, bukan kerana yang lain.



"Sebbab KITA KAN KAWAN KAMU~" ;)




"Tidak beriman seseorang kamu, melainkan dia mengasihi saudaranya sepertimana dia mengasihi dirinya sendiri"

Hadith Nabi SAW



...Ya Allah, perbaikilah hubungan sesama kami, dan tetapkan hati-hati kami untuk AgamaMu. Ameen, ya Rabbal 'Alameen...


...saja post gambar faysal kawan sekelas dari sekolah rendah. satu kelas dari darjah satu sampai darjah 5, form 1 satu kelas lagi, sampai Mesir satu kelas lagi. yang lain jangan jeles... ;)

...gambar waktu sama-sama hantar kakak-kakak kami ke Jordan. form 5 kot time ni...
Posted in Labels: , , , | Comments

Projek Antara Dua Jumaat

Thursday, November 24, 2011 by aiyqosim

Bismillahirrahmaanirraheem,

Alhamdulillahi wassolaatu wassalaamu 'ala Rasulillah SAW...


Nabi SAW berpesan dalam sebuah Hadith, yang berbunyi;


عن أبي هريرة أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قاذل ((الجمعة. إلى الجمعة كفارة ما بينهما ما لم تغش الكبائر )).

Dari Abi Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Dari hari Jumaat hingga Jumaat(berikutnya) adalah kaffarah(pengampun dosa) diantara keduanya, selagi tidak melakukan dosa besar."


Idea, fikrah atau pemahaman yang perlu diterapkan melalui Hadith ini, bukan sekadar memuliakan hari Jumaat sebagai Sayyidul Ayyam(penghulu segala hari).


Bahkan di sana terdapat fikrah yang perlu diterapkan dalam diri kita, bahawa ada sesuatu yang perlu kita lakukan sebelum, semasa dan paling penting selepas hari Jumaat tersebut.



Belajar Dari Ramadhan


Samalah halnya bilamana Nabi SAW mengatakan bahawa,

"di antara Ramadhan hingga Ramadhan(tahun berikutnya) adalah penghapus dosa antara keduanya".

Ia adalah petanda tempoh masa diantara dua Ramadhan itu merupakan tempoh yag sangat penting untuk diambil perhatian. Ia adalah tempoh eksperimen daripada madrasah(sekolah) Ramadhan kita.


"Apakah hasil ibadat kita di bulan Ramadhan tahun ini? Ya, kita buat eksperimen hingga bertemu kembali Ramadhan tahun depan! Kemudian kita follow-up semula bila dah sampai due-date eksperimen tersebut. Tengok hasil eksperimen, berjaya ataupun tidak?"


Kembali kepada hari Jumaat. Bilamana dikatakan antara dua Jumaat itu, penghapus dosa antara keduanya, maka seolah-olah, hari Jumaat itu sepatutnya dijadikan sebagai tarikh mula eksperimen atau ujian, dan due-date nya adalah pada Jumaat berikutnya. Bila sampai Jumaat berikutnya, bersedialah, sebab kita akan lihat hasil ujian terebut.







Dari satu sudut lain pula, bila kita meletakkan satu-satu tarikh itu sebagai tarikh mula eksperimen atau ujian, tidak dapat tidak, perlu ada 3 elemen berkaitan tarikh tersebut.


3 Elemen


Yang pertama, perancangan yang tersusun. Ini berlaku pada masa sebelum tarikh mula tersebut.

Yang kedua, implementasi perancangan tersebut, atau tindakan. Ini berlaku bermula daripada tarikh mula(dalam kes ini, hari Jumaat), sehinggalah sehari sebelum tarikh akhir atau due-date. Dalam masa ini jugalah berlakunya "follow-up" dan "check & balance" untuk memastikan gerak kerja yang efisyen dan berkesan.

Yang ketiga, penilaian hasil eksperimen atau muhasabah. Ini berlaku selepas due-date.



Tetapi, Apakah Perkara Yang Diuji Di Dalam Eksperimen Ini?


Segala-galanya tentang kehidupan kita sebagai seorang Muslim!

Segala-galanya tentang kehidupan kita sebagai seorang Mukmin. Segala-galanya tentang kehidupan kita sebagai seorang khalifah ALlah di muka bumi. Sebagai pendakwah. Segala-galanya tentang kehidupan kita sebagai Duta Islam dan utusan Rasulullah SAW. Itulah yang perlu diuji di dalam eksperimen ini.


Perlulah kita sedar, bahawa kehidupan kita sekarang sebagai seorang Muslim mukallaf(baligh dan berakal) bukanlah sebuah ekperimen teori. Bukanlah sebuah taman permainan. Tetapi inilah kehidupan sebenar, yang akan menentukan nasib kita di Akhirat kelak. Maka, tidak dapat tidak, kita perlu bekerja!


Kita perlu jalani kehidupan kita seolah-olah(hakikatnya, sememang-memangnya, bukan seolah-olah lagi...) kita sedang menggerakkan sebuah program atau projek. Ada tempoh masanya, ada perancangan rapi sebelumnya, ada jawatankuasa pelaksananya, ada kayu ukur atau Key Performance Indicator(KPI) nya, adanya implementasi yang berkesan dan efisyen, ada reaksi daripada peserta atau orang luar, ada follow-upnya, dan ada hasil serta muhasabah program.


Ingat, setiap kita adalah Duta Besar Islam!



Posisi Kita


Timbul persoalan,


"Habis tu, kita semua kena berceramahlah?"


Ceramah bukanlah satu-satunya cara berdakwah dan bekerja dalam Islam. Bergeraklah mengikut posisi masing-masing.


Posisi boleh difahami dari segi tahap kehidupan kita secara kronologi umur. Di waktu kecil, posisi kita sebagai kanak-kanak. Ada tanggungjawabnya, ada peranannya. Besar sedikit, kita bergerak sebagai remaja. Tanggungjawab remaja adalah bergerak aktif dalam beraktiviti, menimba pengalaman dan menuntut ilmu, dengan mengambil contoh teladan dari golongan dewasa.


Bila meningkat dewasa pula, ada tanggungjawab untuk mendukung masyarakat dengan perkhidmatan dan ilmu, juga tanggungjawab menyediakan golongan remaja dan kanak-kanak untuk menadi dewasa yang berguna untuk Islam dan negara. Bila dah tua, ada pula tanggungjawab lain, khusus untuk mereka. Begitulah seterusnya.


Posisi juga boleh difahami dari segi pekerjaan kita. Contohnya, sebagai seorang doktor, jurutera, guru, staf sokongan, peniaga, Menteri, ahli politik, dan sebagainya. Saya tidak berhajat untuk menerangkan panjang lebar tentang tajuk "Posisi" di sini. InsyaALlah lain masa ya...


Posisi juga boleh difahami dari segi status sosial kita. Contohnya sebagai seorang suami, atau isteri, atau ibu bapa, atau anak, dan sebagainya.



Kesimpulan


Kesimpulannya, cuba kita semua fikirkan. Bayangkan kalau setiap individu dari kalangan orang Islam mengambil sepenuh perhatian dan mengamalkan Hadith yang disebutkan di atas. Satu Hadith sahaja, dengan pemahaman yang benar. Setiap daripada kita menjadikan tempoh masa di antara Jumaat dengan Jumaat berikutnya sebagai satu tempoh eksperimen, ujian atau program.


InsyaAllah tempoh masa itu akan menjadi satu tempoh yang penuh dengan produktiviti, penuh dengan ibadat dan ilmu. Penuh dengan khidmat dan nasihat. Penuh dengan manfaat kepada Ummat. Penuh dengan aktiviti sihat untuk Islam dan masyarakat.


Dan yang ajaibnya, tempoh masa diantara dua Jumaat itu adalah tempoh masa SEPANJANG TAHUN!

Bayangkan, setahun yang produktif untuk Islam dan Negara! (ppergh~)


Allahu A'lam, moga bermanfaat.


Jangan lupa baca Surah Al-Kahfi dan merenung seketika beberapa ayat daripadanya. Ma'assalaamah~ :)



Posted in Labels: , , , | Comments

Kaum Tua VS Kaum Muda

Saturday, November 19, 2011 by aiyqosim



Bismillahirrahmaanirraheem,

Alhamdulillahi wassolaatu wassalaamu 'ala Rasulillah...


Allah beri kesempatan untuk saya menulis pada hari ini Alhamdulillah.


Semalam, Jumaat, 18 November 2011, banyak perkara yang berlaku. Antara yang besar berlaku di Mesir adalah demonstrasi aman rakyat di Medan Tahrir untuk menunjukkan rasa kurang puas hati terhadap beberapa tindakan pihak tentera, Majlis Tertinggi Angkatan Tentera (SCAF). Antara yang sokong perhimpunan ini adalah Ikhwanul Muslimoon dan parti puak Salafi.


Terkini hari ini, Sabtu, di Medan Tahrir ada lagi orang awam yang bertempur dengan FRU Mesir, dan beberapa ratus cedera. Demo hari ini tiada kaitan dengan Ikhwanul Muslimoon atau mana-mana parti Islamis lainnya. PM Mesir umumkan bahawa pilihanraya tidak akan ditangguh insyaAllah setakat ini. Sekadar maklumat terkini.


Kembali kepada isu asal, bersempena hari Jumaat semalam, suka saya berkongsi sedikit sebanyak pengajaran di dalam Surah Al-Kahfi yang sangat digalakkan oleh Rasulullah SAW untuk dibaca pada malam Jumaat dan pagi Jumaat.


Di awal Surah, menceritakan perihal Ashabul Kahfi. Sekumpulan pemuda beriman yang melarikan diri daripada pemerintah yang zalim dan sombong demi menyelamatkan iman mereka.


Memetik ayat ke-13 Surah Al-Kahfi;


نَّحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ نَبَأَهُم بِالْحَقِّ ۚ إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى ﴿١٣﴾


Kami ceritakan kepada kamu (Muhammad) kisah mereka dengan sebenarnya. Sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman dengan Tuhan mereka, dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka.


Perkataan "Fityatun" merujuk kepada pemuda-pemuda, kalimah jamak kepada "fataa" (pemuda).




Meniti sejarah tamadun manusia, menjadi lumrah, golongan pemudalah yang golongan yang menegakkan kebenaran. Golongan pemudalah yang berani, tidak gentar menyatakan kebenaran. Golongan pemudalah yang sentiasa bersemangat waja berjuang. Golongan pemudalah yang bertenaga bekerja.



Peranan Pemuda


Memetik kandungan ceramah dan kitab al-Imam Dr. Yusuf Al-Qaradhawi, bertajuk "Waajibu as-Syabaab al-Youm" atau "Kewajipan Pemuda Hari Ini", menceritakan peranan pemuda-pemuda dalam membawa risalah Islam sejak zaman berzaman.


Diberi contoh model agung remaja;


1. Nabi Ismail AS dengan kisah pengorbanan beliau demi melaksanakan perintah ALlah yang diperintahkan kepada Nabi Ibrahim AS.

2. Nabi Yusuf AS dengan kisah cabaran hidup beliau dari kecil ke remaja hingga dewasa. Tidak pernah lekang dari diuji, dan ujian paling besar adalah ujian godaan maksiat. Dan dengan semangat remaja, baginda melepasi ujian tersebut biarpun dibayar dengan penjara.

3. Nabi Musa AS dengan kisah 'pemberontakan' beliau terhadap Firaun yang merupakan bapa angkat beliau sendiri. Kisahnya panjangnya bermula ketika beliau masih muda remaja lagi.

4. Ashaabul Kahfi yang merupakan sekumpulan pemuda yang beriman, cuba menyelamatkan diri mereka dari cengkaman pemerintah yang zalim dan sombong. Dengan usaha dan tawakkal mereka yang tinggi, Allah tidurkan mereka dan selamatkan mereka dari zaman tersebut.


Contoh lainnya, model teragung kita, Nabi Muhammad Rasulullah SAW. Cuba ingat kembali, siapakah yang menjadi peneraju utama barisan hadapan Ummat Islam waktu mula-mula Islam dizahirkan? Dan siapa pula golongan yang menentang Islam?


Nabi Muhammad AS dikira golongan pemuda, bersama para sahabat RA yang kebanyakannya muda-muda belaka. Siapa pula penentang utamanya? "Kaum Tua" Musyrikin Mekah, diketuai oleh Abu Jahal.



Pemuda = Bergerak


Kembali semula kepada Ashabul Kahfi, model pemuda beriman yang bencikan kezaliman dan pemerintah yang zalim, dan bersemangat tinggi berusaha menyelamatkan iman mereka. Inilah semangat yang patut ada dalam diri setiap kita.


Daripada contoh-contoh di atas, disimpulkan bahawa pemuda ini merupakan waktu paling semangat dalam hidup insan. Waktu paling aktif bergerak. Maka tak pelik jika orang muda remaja aktif, bersemangat, berkhidmat dan berbakti. Yang menjadi peliknya, jika pemuda remaja itu mandom, tidak bersemangat, tidak bergerak, tidak aktif, pasif, dan mementingkan diri sendiri hidup dalam dunianya sendiri sahaja.


Satu sudut lain pula, saya berasa takjub dengan mereka-mereka yang usianya sudah lanjut melewati separuh abad, tetapi tetap bersemangat berjuang dan aktif. Rupa dan tubuh mereka mungkin sudah dimakan usia, tetapi jiwa mereka tetap jiwa pemuda beriman ashabul kahfi.


Sehingga saya merasa aib kepada diri sendiri, melihatkan semangat mereka. Golongan pemuda boleh naik malu jika membandingkan usaha kita sebagai orang muda, dengan usaha orang tua yang fizikalnya tua tetapi semangatnya muda.


Sebagai pemuda hari ini, janganlah kita terlalu selesa bilamana kita merasakan yang kita seorang yang bersemangat, bergerak aktif, menjalani hidup yang bermanfaat dan sebagainya. Kekadang kita merasakan bahawa kita dah cukup bagus sebagai seorang yang aktif dalam komuniti. Kita dah cukup kuat ibadat. Kita dah cukup rajin. Dah cukup semangat.


Kalau ada perasaan begini dalam diri kita, ingatlah, semangat orang muda itu normal. Biasa-biasa saja. Bahkan yang tiada semangat itulah yang tak normal. Jadi, tak perlu berlagak lah. Persoalannya, sampai bila kita akan terus istiqomah dan mengekalkan momentum semangat kita bila umur kita makin meningkat kelak?


Inilah yang saya takjub dengan apa yang ada pada pejuang-pejuang ummah yang sudah menjangjau usia tetapi semangatnya tetap semangat ashabul kahfi.


Antara cara yang saya pernah diajar oleh 'orang yang berpengalaman' untuk terus istiqomah dalam 'semangat pemuda' ini adalah kefahaman tentang Islam yang betul, cita-cita yang jelas, dan bekerja secara berjemaah, berorganisasi, bersama-sama. InsyaALlah sama-sama kita berdoa agar kita terus istiqomah dalam kebaikan.



Kaum Muda VS Kaum Tua


Saya nak ambil satu contoh sahaja. Tok Guru Nik Abdul Aziz, MB Kelantan, sudah berumur 80-an. Tapi tahu tak, tidurnya berapa jam sehari? Hanya 3 ke 4 jam sahaja sehari!


Selalunya beliau pulang dari kesibukan kerja dan berdakwah sekitar jam 12 am. Menyelesaikan kerja-kerja rumah dan update maklumat-maklumat terkini, hingga jam 1 am beliau tidur. Jam 4 am, beliau sudah bangun qiyamullail. Amalan sudah puluhan tahun.


Nak dibandingkan dengan kita, orang muda? MasyaALlah tabarakallah jauh beza!


Ini satu contoh, dan banyak lagi contoh lain di dalam dan luar negara.

Antaranya, Syeikh Dr. Wahbah Az-Zuhaili. Dikisahkan, beliau menulis dan mengaji pernah menjangkau 18 jam sehari! Sampai pernah satu ketika isterinya merajuk sebab beliau terlalu sibuk dengan ilmu dan ceramah.



Kesimpulan


Maka kesimpulan dari tulisan ini adalah, sedarlah peranan pemuda dalam membina tamadun manusia sejak dulu hingga sekarang, dan periksa semula peranan dan sumbangan kita sebagai remaja atau pemuda pada hari ini. Tidak hairanlah kalau pelbagai aspek kemajuan tamadun pada hari ini dikuasai oleh Barat. Lihat sahaja diri kita, orang muda Islam masa kini, bagaimana tahap kita?


Bagaimana kualiti ibadat kita? Bagaimana tahap ilmu kita? Bagaimana akhlak kita? Berapa banyak buku yang kita baca sehari? Apakah jenis bahan bacaan kita? Ke mana masa kita dihabiskan? Bagaimana kita menyusun aktiviti seharian kita? Bagaimana kita berbelanja? Apakah sumbangan kita kepada masyarakat? Bagaimana muamalat kita dengan ibubapa dan keluarga kita?


Jawablah semua soalan di atas dan bina sendiri soalan anda. Kemudian anda akan tahu di mana anda berada. Yang pastinya, matlamat kita adalah kejayaan di Akhirat, dan kegemilangan Ummat Islam di dunia. InsyaALlah.


Sekian sahaja buat masa ini.


Selamat beramal~


Seeruu 'ala barakaatillah...
Posted in Labels: , , , | Comments

Korban : Ihsan + Itqon = ?

Saturday, November 12, 2011 by aiyqosim

Bismillahirrahmaanirraheem,

Alhamdulillahi wassolaatu wassalaamu 'ala Rasulillah SAW,


Syukur Raya AidilAdha dapat dilalui lagi tahun ini. Alhamdulillah program Korban PERUBATAN, SAADAH namanya, berjalan lancar dengan kerjasama BKAN Selangor, Pahang, Kedah, Terengganu dan Melaka(BKKIMM).


Hari kedua pula jamuannya di Masjid Salam, Hayyu 10. Tahniah kepada JK Pelaksana dan semua hadirin! Moga amalan kalian mendapat keberkatan.


Selalu disebut-sebut, Tadhiyyah Manifestasi Tarbiyyah. Itulah tema program tahun ini.


Ringkasnya, semangat dan keikhlasan berkorban dalam Islam itu merupakan hasil tarbiyyah. Hasil pendidikan dan latihan yang betul.



Pengajaran Yang Jarang Diambil Kisah

Saya taknak menyentuh soal pengorbanan, tapi suka saya petik satu Hadith Rasulullah SAW yang jarang kita sedar hikmah di sebaliknya.


Hadith berbunyi;


إن الله كتب الإحسان على كل شيء فإذا قتلتم فأحسنوا القتلة وإذا ذبحتم فأحسنوا الذبحة وليحد أحدكم شفرته وليرح ذبيحته

“Sesungguhnya Allah telah menetapkan/memerintahkan ihsan atas setiap sesuatu. Maka jika kamu ingin membunuh, bunuhlah dengan penuh keihsanan. Dan jika kamu ingin menyembelih, maka sembelihlah dengan penuh keihsanan. Hendaklah kamu menajamkan pisau yang kamu akan gunakan untuk menyembelih dan hendaklah kamu memberi rehat yang secukupnya bagi binatang yang ingin kamu sembelih itu.”

Hadith riwyat Muslim



Jelas perkara yang diulang dalam hadith ini adalah "ihsan".



Apakah itu ihsan?


Ada hadith yang mahsyur menerangkan maksud ihsan. Hadith yang juga digelar Hadith Jibril. Apabila Rasulullah ditanya oleh Malaikat Jibril tentang apakah itu ihsan, maka Nabi SAW menjawab;


الإحسان أن تعبد الله كأنك تراه , فإن لم تكن تراه فإنه يراك

"...al-ihsan itu, bila mana kamu menyembah Allah seakan-akan kamu melihatNya. Tapi jika kamu tidak dapat melihatNya, maka sesungguhnya Dia melihat kamu..."



Kalau kita beribadat dan dalam masa yang sama kita nampak di depan kita Tuhan yang menilai ibadat kita itu, adakah kita akan buat ibadat sambil lewa?


Samalah waktu kita kecil-kecil dahulu, kalau waktu buat homework, mak kita duduk betul-betul depan kita memerhatikan satu per satu gerak geri kita untuk siapkan homework tu. Tak senang duduk kita dibuatnya!


Begitulah perumpamaannya. Sudah tentu kerja kita akan dilakukan habis baik. Itulah ihsan.



Ihsan Mengikut Tok Guru


Tapi, Tok Guru Niz Aziz menerangkan ihsan dalam bentuk yang lebih ringkas dan mudah difahami.


Ihsan ni, sebagai contoh, dalam Islam, ada hukum Qisos. Kalau kita kena tumbuk, kita boleh tumbuk orang tu semula sepertimana dia tumbuk kita.


Kalau tangan kita kena potong, kita berhak potong tangan orang yang potong tangan kita tu.


Itu dari segi hukumnya. Tapi kalau kita ada sifat ihsan, kita kena tumbuk, kita tak balas tumbuk, tapi kita maafkan orang tu.


Contoh terbaik sifat ihsan adalah pada diri Rasulullah SAW yang mulia. Ingat lagi peritiwa yang mahsyur sewaktu dakwah Baginda di Thaif?


Contoh lain, dalam hutang piutang. Ahmad hutang Karim RM 10. Tapi bila nak bayar semula hutang, Ahmad beri RM 15 kepada Karim sebagai tanda terima kasih sebab sudi pinjamkan duit.


Itulah ihsan, buat yang terbaik, bahkan melebih-lebihkan daripada yang sepatutnya.



Berbalik kepada Hadith berkaitan sembelihan di atas.


Cuba bayangkan, sedangkan dalam proses menyembelih binatang pon Allah memerintahkan kita bersifat ihsan dan menyempurnakan urusan sembelihan tu, inikan pula bila kita melakukan kerja-kerja sesama manusia?


Dalam penyembelihan binatang pon Allah memerintahkan bersifat ihsan, inikan pula dalam ibadah-ibadah khusus?


Maka intipati yang boleh diekstrak dari Hadith ini adalah, sifat ihsan yang dititikberatkan dalam Islam.



Ihsan + Itqon Mampu Menggegar Dunia


Sifat ihsan ini jika digabung dengan sifat Itqan, akan menghasilkan satu perkara yang dahsyat, yang mana kalau dimiliki oleh setiap daripada Ummat Islam, nescaya mampu menggegar dunia dalam segenap bidang.


IHSAN + ITQAN = PROFESIONALISM


Apakah pula Itqan? Ada disebut dalam sebuah Hadith, yang berbunyi;


إن الله يحب إذا عمل أحدكم عملا أن يتقنه

Sesungguhnya Allah menyukai bilamana seseorang dari kamu melakukan sesuatu amalan, dia menyempurkanannya.



Contoh Dalam Kehidupan


Contoh sifat (Ihsan + Itqon = Profesionalism), dalam kehidupan sebagai seorang pekerja dalam sebuah syarikat. Waktu masuk pejabat adalah jam 8.00 am, tetapi jam 7.30 sudah terpacul di pejabat untuk mempersiapkan diri dengan tugasannya di pejabat. Waktu pulang pula jam 4.30 pm, dan dia takkan pulang selagi tidak sampai jam 4.30 pm ataupun selagi kerjanya pada hari itu masih belum selesai, biarpun sudah melebihi waktu kerjanya.


Seorang suami dan bapa tidak akan cukup sekadar melunaskan tanggungjawabnya yang wajib terhadap isteri dan anak-anak, tetapi akan memberikan lebih daripada yang sepatutnya dalam bentuk kasih sayang dan tanggungjawab.


Suri rumah, bilamana menyapu lantai contohnya, akan menyapu habis semua habuk hatta di celah-celah atau di bawah rak/almari sekalipun. Biarpun sekali pandang, orang tidak akan perasan habuk di bawah almari, tetapi demi menyempurnakan sapuannya, agar tidak ada habuk langsung di atas lantai, dia turut menyapu di bawah almari.


Seorang doktor, bila menjahit luka (stitching), dibuatnya dengan cermat, tidak terlallu ketat, dan tidak terlalu kendur. Terlalu ketat akan menyakitkan pesakit kelak dan memberi parut yang buruk, manakala terlalu kendur pula akan mengganggu proses penyembuhan parut dan mengundang jangkitan. Doktor itu tidak akan terlalu tergesa-gesa, dan tidak sambil lewa dalam membuat jahitan kerana dia sedar bahawa di hadapannya ALlah yang menilai amalannya, dan pesakit menaruhkan harapan kepadanya.


Seorang kontraktor akan membeli dan menggunakan bahan-bahan binaan sepertimana yang telah ditetapkan jurutera dan quantity surveyer dalam sesebuah projek. Tidak akan dilebihkan dan tidak akan dikurangkan. Hatta bahan-bahan yang lebih tidak akan disimpan, tetapi dipulangkan kepada pemilik projek.


Di rumah kita, ada giliran basuh pinggan mangkuk contohnya. Tetapi kita tidak hanya menunggu giliran kita baru nak bersihkan singki dari pinggan mangkuk, tetapi bilamana kita nampak ada pinggan mangkuk kotor, kita tidak berkira untuk membasuhnya.


Inilah di antara contoh sifat ihsan dan itqon dalam kehidupan seharian.




Maka, sebagai seorang Muslim, tidak kira di posisi mana sekalipun kita, milikilah sifat PROFESIONALISM ini. Milikilah sifat IHSAN dan ITQON.


InsyAllah kita akan menjadi seorang yang berpegang dengan Syari'ah Islam, dalam masa yang sama melakukan segala pekerjaan dengan sehabis baik, kerana mengejar gelaran "Yang Terbaik Di Sisi Allah", dan bekerja seolah-olah dia melihat Allah (Hakikatnya, Allah sentiasa melihat kita).


Kita akan menjadi seorang yang berprinsip, teguh pendirian, mematuhi etika, menjaga masa, dan berakhlak di mana sahaja, baik di hadapan manusia mahupun di belakang, kerana dirasakan Allah SENTIASA melihatnya (Hakikatnya, memang ALlah sentiasa melihatnya).


Bayangkan, kalau setiap Muslim mempunyai sifat ini... MasyaALlah... MANTOP!



Moga kita tergolong dalam golongan ini, ameen.


Selamat mencuba~


"who is professional?"
Posted in Labels: | Comments

Seksualiti Merdeka 2011 : Sedikit Komentar

Friday, November 4, 2011 by aiyqosim

Bismillahirrahmaanirraheem.

Alhamdulillahi wassolaatu wassalaamu 'ala Rasulillah SAW.


Allahu Akbar walillahilhamd! Aura Aidil Adha makin terasa. Kebetulan hari ini 9 Zulhijjah, hari yang dikatakan hari terbaik di dunia.


Alhamdulillah hari ini dapat duduk dengan selesa sedikit di hadapan komputer melayari internet. Sesungguhnya masa lapang itu memang nikmat. Saja menyempatkan masa menulis setelah kurang lebih separuh bulan tak menulis.



Seputar Isu


Seputar isu yang berlaku baru-baru ini. Isu Seksualiti Merdeka 2011. Alhamdulillah ianya telah diharamkan pihak polis. Tahniah atas sensitiviti pihak berkuasa, walaupun satu persoalan masih terbuku dalam hati saya, iaitu

"kenapa baru sekarang pihak polis mengambil tindakan walaupun ianya dah bermula sejak 2008?".

Sebab bantahan dari rakyatkah? Atau sebab pihak polis tiba-tiba dapat hidayahkah? Atau sebab PERKASA desak polis kah? Atau sebab Ambiga kah? Atau sebab pilihanraya kah?


Tiba-tiba, suara dari 'angelic-subconscious-mind' saya menyapa, "Isy, wajtanibuu minazzonn!" (Al-Hujuraat ayat 12) :)





Laungan Itu


Berbalik kepada isu asal. Laungan-laungan yang sering kita, Umat Islam, dengar semenjak dua menjak ini, bukanlah laungan yang baru. Sejak dahulu lagi, laungan-laungan fasad, jelik lagi hina-dina yang dibalut dengan konsep-konsep yang kononnya baik dan mulia. Bahkan, sejak zaman berzaman, sejak dari zaman para Nabi 'alaihimissalam sekalipun, sudah ada laungan-laungan ini.

Siapakah yang melaungkan laungan ini? Merekalah anti-Islam, sosialis, sekularis, liberalis. Musuh-musuh Islam.

Apakah slogannya? Tak lain tak bukan, slogan golongan ini berkisar dan berpusing sekitar hak asasi, kebebasan, sama rata, Islam mengongkong, dan yang setaraf dengannya.



Seksualiti Merdeka Bercanggah Dengan Islam?


Seksualiti Merdeka dengan kebebasan seks dan meraikan nafsu kebinatangan semata-mata, bercanggah dengan Islam? Betulkah begitu?

Gila lah saya kalau kata ianya tidak bercanggah dengan Islam. Biarlah para 'ulama cendekiawan Islam dan profesional yang lain menjawab persoalan ini dengan lebih mendalam.

Tetapi apa yang saya nak bangkitkan, adakah ISLAM SAHAJA yang menentangnya? Adakah Islam sahaja yang menentang gay, lesbian, sodomi, biseksual, dan transgender?

Sila beritahu saya agama mana yang membolehkan kegiatan ini? Bukan nak mengatakan agama lain selain Islam itu betul, tapi hanya nak memberikan persepsi bahawa kehidupan beragama menolak kegiatan-kegiatan jijik tersebut.


Kalau kita pandang bukan dari kaca mata Islam sekalipun, kita akan dapati betapa banyak NGO dan badan-badan bebas serta individu yang menentang gejala seks songsang dan jijik ini atas dasar kemanusiaan dan keharmonian masyarakat.


Siapa yang dapat terima suaminya meliwat/'berasmara' dengan suami wanita lain? (contoh)


Siapa sanggup terima kenyataan bahawa anaknya melakukan seks dengan binatang?


Apa akan jadi pula dengan anak-anak luar nikah? Bagaimana hak mereka?


Apa pula hasilnya perkongsian hidup pasangan sejenis? Apa manfaatnya? Hanya melunaskan nafsu dengan pasangan dan mengambil anak angkat kononnya sebagai 'ganti' kepada anak betul?


Bagaimana pula kualiti masyarakat yang hidup dengan pelbagai penyakit berjangkit (Sexually transmitted diseases)?


Bagaimana pula produktiviti negara dengan pemuda pemudi yang bergelumang krisis identiti? Yang otaknya hanya memikirkan untuk melunaskan 'hak' nafsu serakah masing-masing?



Islam Agama Kongkong?


Pabila agama Islam yang lantang menentang budaya jijik seks songsang ini, pendukung-pendukung seks songsang luar tabi'ie ini sering menjawab dengan hujah Kebebasan Sejagat VS Kongkongan Islam.

Islam agama yang sempit dan mengongkong.

"Islam tak meraikan 'kecenderungan' golongan seperti kami!" katanya.


Tapi apabila sains perubatan menyenaraikan implikasi seks luar tabi'ie dari sudut kesihatan, mereka senyap.

Begitu juga apabila sains sosial dan kemanusiaan menerangkan implikasi seks bebas dan seks luar tabi'ie terhadap sosio-budaya dan pembinaan masyarakat, mereka senyap.

Mungkin bila sains menerangkan, mereka akur. KERANA IA SAINS!


MasyaAllah. Maha Suci Allah yang menciptakan segalanya termasuk ilmu sains dan yang menyediakan buku panduan bagi segala yang diciptaNya, Al-Quran dan Sunnah.



Beberapa Analogi


Analogi pertama,

Dalam kilang pemprosesan makanan dalam tin. Sebagai contoh, daging dalam tin. Ada satu senarai panjang prosedur-prosedur yang perlu dilalui oleh seekor lembu dari disembelih sampailah ianya disediakan rapi dan ditinkan.

Pekerja dalam bidang food science rasanya lebih arif. Ada daging yang lulus dan selamat dimasak dan disediakan, seterusnya dipek dalam tin. Kemudian adanya tarikh luput, dan langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil bagi menjaga mutu produk daging dalam tin tersebut.

Isunya, penjagaan mutu kualiti, supaya daging yang dijual tidak memberi mudarat kepada oengguna. Kepada orang yang memakannya.

Isunya adalah Qualiti Control. Akan ada daging yang dibuang kerana tidak mengikuti spesifikasi yang ditetapkan.

Saya nak tanya, kenapa TAK SEMUA DAGING DITERIMA DAN DITINKAN UNTUK DIJUAL? Semua bermaksud, daging lembu yang ada TB, yang ada Brucellosis, yang kena "Mad-cow", yang dah habis tarikh luput, dan yang dah dibuang dalam tong sampah.

Kalau mengambil kira isu hak dan kesama rataan, semua daging harus diterima dan ditinkan untuk dijual dan dimakan.

Tapi, kalau tanya golongan pendukung seks bebas dan seks luar tabi'ie ini, mereka juga takkan setuju jika semua daging dipukul sama rata. Sebabnya mudah saja, QUALITY CONTROL!


Analogi kedua,

Syarikat penerbit buku mendapat permohonan menerbitkan sebuah hasil tulisan. Sebelum hasil karya itu menjadi sebuah buku yang dijual di kedai-kedai buku, biar sebesar manapun penulis itu, sehebat manapun hasil karyanya, tidak dapat tidak, ianya tetapu perlu melalui proses-proses tapisan bahan dan editing.

Sebabnya apa? Sama sahaja, quality control!

Cuba tanya pendukung seks bebas ini, sama ratakah bila sebuah syarikat penerbit meluluskan penerbitan sebuah buku tetapi tidak meluluskan penerbitan sebuah buku yang lain atas sebab tidak memenuhi kriteria?


Memang TIDAK SAMA RATA, Tapi ADIL!

Kalau nak dikira sama rata, kita kena sediakan kuota 50 % wanita jadi pekerja buruh binaan, 50 % lelaki.

Atau pun, kita kena beri juga satu bentuk cuti kepada lelaki, dengan tempoh yang sama dengan tempoh cuti wanita bersalin. Iyalah, sama rata lah katakan!

Atau pun, kerajaan kena arahkan gaji penyapu sampah(contoh) sama dengan gaji Perdana Menteri. Iyalah, sama rata kan?

Boleh ke begitu? :)



Islam Agama Rahmat


Isunya sekarang, Islam adalah agama rahmat, dan diturunkan Allah untuk memberi kebaikan sejagat. Rahmatan lil 'alameen.

Sudah tentu ada kegiatan yang bertepatan dengan spesifikasi 'quality control' dalam Islam, dan sudah tentu ada yang akan tersasar dari spesifikasi. Dan ada sebab dan hikmah Allah menetapkan sesuatu hukum.

Dahulu ummat manusia mempersoalkan pelbagai hukum Islam dengan ilmu mereka yang cetek. Tapi bila banyak penemuan sains yang bertepatan dengan isi Al-Quran, baharulah mereka mula bertatih memperakui kebenaran Al-Quran dan ajaran Islam.


Namun, bukanlah sains dan penemuan saintifik itu yang membenarkan Islam dan Al-Quran, tapi sebaliknya. Islam dan Al-Quran lah yang benar dan membenarkan segala-galanya, termasuklah dalam bab kehidupan sosial seharian kita manusia.


Maka yakinlah dengan ajaran Islam, dan yakinlah bahawa ianya merupakan satu-satunya solusi kepada masalah ummat.



Lingkaran Syari'ah


Saya teringat, dan merindui, kelas pengajian Ustaz Fauwaz Fadzil sejak tahun 1 hingga tahun 3 saya di Mesir. Satu contoh yang Ustaz Fauwaz berikan, menarik minat saya.

"Punyalah dalam banyak-banyak air minuman yang ada dalam dunia ni, SATU SAJA yang Allah haramkan. Arak! Beribu air lain, nak minum, minumlah. Air kosong, Milo, teh tarik, teh halia, fresh oren, pepsi, dan sebagainya.."


Ya, persepsi kita terhadap sesuatu perkara perlu diperbetulkan.

Kita boleh memandang sebuah gelas sama ada ianya separuh kosong, atau separuh penuh.

Satu titik dakwat atas kertas putih, boleh dilihat sama ada setitik dakwat hitam di tengah, ataupun sebuah kawasan putih yang luas disekeliling titik tersebut.


Begitu juga hukum Allah. Sekali pandang, Allah memerintahkan wanita menutup beberapa bahagian dari tubuhnya dan tidak menampakkan bentuk badan. Tetapi Allah menghalalkan memakai apa-apa jenis pakaian, asalkan menutup aurat. Pakailah baju kurung ke, kerang ke, jubah ke, t-shirt ke.

Pakailah warna apa pun, beribu warna dan corak. Cerita pasal tudung pula, ada ber'juta' style dan fesyen yang halal. Lilitlah 3 kali, 5 kali, sepuluh kali pun tudung tu. Jangan tak lilit langsung sudah. Dah tu, ada pula yang sarung saja bagi yang nak cepat. Bagi yang tak suka sarung, ada yang kena pin sana, pin sini. Macam-macam!


Maka begitu jugalah dalam bersosial. Berapa banyak cara bermuamalah dan berhubungan sesama manusia yang dihalalkan. Dan berapa kerat sahaja yang Allah larang. Itu pun besar sebab dan hikmahnya Allah melarang. Diharamkan berzina, tapi Allah menghalalkan perkahwinan. Bezanya satu saja, lafaz niat! Allah mengharamkan hubungan sejenis, liwat, sodomi, transgender, dan sebagainya, tapi Allah menghalalkan hubungan halall lekali wanita melalui pernikahan. Allah menghalalkan hubungan sosial antara ahli keluarga. Allah memberikan panduan berhubungan dengan sesama rakan, sesama jantina mahupun lain jantina.


Itulah yang dinamakan syari'ah. Cara hidup. Sistem kehidupan manusia.


Syari'ah itu umpama satu lingkaran, satu bulatan berpagar. Bermainlah di dalam lingkaran itu sepuas-puasnya. Berlarilah dan 'melompat'lah habis-habisan dalam lingkaran tersebut, asalkan tidak keluar dari syari'ah.

Dan Maha Suci Allah, manusia yang jahil tidak dapat membayangkan betapa luasnya lingkaran syari'ah yang Allah berikan kepada manusia. Satu yang Allah larang, seribu yang Allah benarkan.


Maka timbul pula persoalan, sampai mana batasan lingkaran syari'ah itu? Seluas mana? Bagaimana kita nak tahu yang kita tak melintasi batasan syari'ah itu?


Jawapannya, tanyalah orang yang ahli dalam bidangnya. Tanyalah 'ulama' yang mu'tabar. Tanyalah 'ulama ahli Sunnah wal jama'ah.


Dan ini juga hujah untuk golongan-golongan yang menolak peranan 'ulama dalam pembinaan sebuah negara. Syari'ah meliputi segala aspek kehidupan kita, maka untuk mengendali segala aspek itu, berhajat kepada kemahiran dalam syari'ah. Berhajat kepada pimpinan para 'ulama.



Saya rasa cukup dulu setakat ini. Apa yang cuba saya timbulkan dalam tulisan kali ini adalah, peri pentingnya KEFAHAMAN dalam menyokong sestau pendapat. Pentingnya KEFAHAMAN dalam segala tindakan. Pentingnya AL-FAHMU dalam mendokong gerak kerja Islam. Pentingnya seorang Muslim itu MEMAHAMI agama yang dianutinya, dan kenapa kita perlu hidup berlandaskan syari'ah Islam.


Allahu A'lam. Saya bukan ahli dalam bidang syari'ah. Ini adalah pendapat saya, hasil nukilan guru-guru saya, dan sedikit bacaan. Moga kita semua ebroleh manfaat dan berkat.


Maaf juga tulisan kali ini agak panjang.


Salam Aidil Adha, jumpa esok di Hayyu Asyir, Raya Korban anjuran PERUBATAN dengan kerjasama BKAN Selangor, Kedah, Terengganu, Pahang, dan Melaka(BKKIMM). Dan Jamuan Raya pada keesokan harinya di Dewan Masjid Salam Hayyu 'Asyir.


Maklumat lanjut, KLIK SINI~


Wassalam~
Posted in Labels: , | Comments
Related Posts with Thumbnails

Apture