Bismillahirrahmaanirraheem,
Alhamdulillahi wassolatu wassalaamu 'ala Rasulillah...
Pernah tak satu hari kita tengah duduk minum di restoran, atau tunggu bas, atau jalan-jalan, atau membeli belah, tiba-tiba ada orang pandang-pandang kita, kemudian menyapa kita,
"Eh, awak ni Sameon kan? Ingat saya lagi tak?"
Atau pun,
"Kasim, hidup lagi kau! Ingat aku tak? Alaaah, dulu kita sama-sama kat sekolah dulu, fly gi makan cendawan goreng kat warung Pak Mael tu..."
Atau pun, dia rupanya saudara mara kita,
"Weh labahau kau! Tak ingat aku ke? Ni, anak Mak Limah kampung Pisang lah. Dulu aku la yang pinangkan mak kau dulu... bla bla bla..." (nota : dia orang Melaka)
Kemudian, orang yang tegur kita tu pun belanja kita minum. Tak pun, kalau dia pegawai bank, kita pun dapat 'VIP access' bila datang bank buat urusan. Tak pun, kalau kita sesat jalan mana-mana, kebetulan jumpa dia, dia tolong bawa kembali ke 'jalan yang lurus'.
Pernah tak? Kalau tak pernah berlaku kepada anda, anggaplah ia selalu berlaku, sebab selalu kita tengok kejadian ni dalam drama Melayu. :)
Perkongsian Prof Hasan
Tahun lepas, saya ada ziarah Prof Dato' Dr Hasan Basri, Pengarah Department of Malaysian Studies (DMS) Cairo University di pejabatnya. Berborak isu mahasiswa, dan saya tertarik dengan satu kalam yang diajarkan kepada kami (saya, Izudin Tong, Fais Azli). Kalam yang merupakan kata-kata sahabat Nabi (RA). Ada sesetengah orang berpendapat bahawa ianya kalam para tabi'een. Apa-apa hal pun, maknanya sahih insyaAllah, ianya berbunyi,
أكثرو من معرفة النّاس , فاءنّه شفاعة
Perbanyakkan mengenali manusia, sesungguhnya ianya "syafa'at"
Syafa'at secara linguistik nya bermaksud penyelamat, penolong, atau pembantu. Ya, kadang-kadang kita tak sangka di satu tempat yang jauh dari tempat asal kita, tiba-tiba kita terjumpa saudara-mara kita, atau kawan sepermainan di tadika dulu, atau kawan yang dah 10 tahun tak jumpa. Dan waktu itulah, orang itu membantu kita atau sekurang-kurangnya menjadi teman berbual kita.
Syafa'at itu sebenarnya bermaksud, bila kita mengenali ramai manusia, maka lebih ramai yang akan mendoakan kita. Itu pun kalau kenalan kita itu soleh orangnya. Maka carilah kenalan yang baik dan membangun akhlak dan pemikiran kita.
Syafa'at itu juga bermaksud, lebih banyak kita mengenali manusia lain, bertambah luas pengalaman kita bergaul dengan manusia. Pengalaman mematangkan kita. Kita boleh kenal bagaimana perangai dan pemikiran seseorang itu bila kita mengenali ramai orang. Kan itu membantu kita untuk terus hidup di bumi penuh pancaroba ini?
Syafa'at itu juga bermaksud, lebih luas kenalan kita, lebih luas jaringan kita. Lebih mudah kita mendapatkan bantuan dalam apa sahaja bentuk. Bantuan khidmat nasihat. Bantuan kewangan. Bantuan material. Bantuan 'VIP access' dalam Ops Piramid. (oppsss!) :)
Syafa'at itu juga bermaksud, lebih ramai kenalan kita, akan menenangkan perasaan stress dan kesunyian yang kita hadapi. Tak percaya?
Ada satu kajian yang dikongsi oleh Paan, lepas dia baca tulisan John Cacciopo, seorang psychologist. Ia menyatakan bahawa, secara purata, seorang manusia akan merasa kesunyian sebanyak 48 hari setahun. Dengan mempunyai seorang kawan extra, akan mengurangkan kesunyian dan depresi. Begitu juga sebaliknya, kalau seseorang itu selalu merasa kesunyian(atau mengasingkan diri), dia akan kehilangan 8% daripada kawannya.
Maka ada benarnya pepatah Melayu mengatakan,
"Berkawan biar seribu"
Tapi jaga-jaga, ada juga fenomena kawan makan kawan! Itulah sebabnya dalam kita meramaikan kenalan, tetap perlu kita tapis dan pilih kawan yang betul. Kawan yang dapat menguntungkan kita, di dunia, lebih-lebih lagi di Akhirat.
Kan ada Hadith yang menyatakan, salah satu golongan yang mendapat naungan Allah di padang mahsyar kelak, adalah dua orang pemuda yang bertemu dan berpisah kerana Allah? Harap-harap segala pertemuan dan aktiviti kita dengan semua kenalan kita tu, tergolong dalam golongan ini insyaAllah. Taklah sia-sia kita berkawan dengan si dia.
Tapi macam mana nak kenal ramai orang?
Mudah saja. Antara caranya, murahkanlah senyuman anda, dan tegurlah manusia di sebelah anda dengan memberi salam sebagai pembuka. Atau siapa-siapa yang anda jumpa. Ringan-ringankanlah tulang membantu manusia lain, insyaAllah juga kita akan mengenali ramai orang. Buangkan sifat sombong dalam diri kita, atau hentikanlah daripada berkata, "Aku lebih bagus dari dia"
Kan Nabi SAW ada berpesan,
لا تدخلوا الجنة حتى تؤمنوا، ولا تؤمنوا حتى تحابوا. ألا أدلكم على شيء إذا فعلتموه تحاببتم؟ أفشوا السلام بينكم
رواه مسلم
Tidak masuk syurga barangsiapa yang tak beriman, dan tak beriman barangsiapa yang tak saling mengasihi. Mahukah kamu kalau aku beritahu satu perkara jika kamu buat, kamu akan saling menyayangi? Sebarkan salam antara kamu.
Hadith riwayat Muslim
Satu syarat lagi bagaimana nak mempunyai ramai kenalan, adalah dengan keluar dan bergiat dalam masyarakat. Macam mana nak ada ramai kenalan kalau kerjanya 24 jam depan komputer menonton movies, main games, dan chatting saja? Boleh saja nak ada ramai kenalan, tapi kenalan maya lah. Dalam facebook! :)
Kita sebagai remaja Muslim kan kena sentiasa bergerak. Kalau tak, jadilah kita macam darah yang tak mengalir, mengundang infeksi pelbagai kuman dan virus. Rosak!
Kenapa saya terfikir nak tulis tentang perkara ini?
Sebab dulu waktu di INTEC dulu, saya teringat satu kisah dalam bas waktu balik Kolej Cemara. Dalam sesak-sesak bas tu, tiba-tiba ada seorang hamba Allah tu sapa saya, identitinya dirahsiakan,
"Awak ni, Ahmad Ibrahim Yahaya eh?"
Reaksi saya, macam biasa lah, pandang kiri kanan, pandang belakang, "Aah, ya saya".
"Ingat lagi tak, kat Maahad Hamidiah dulu...".
"Ooo, aah ingat lagi... bla bla bla...". Ada juga orang yang ingat nama penuh. Bagus betul. :)
Kejadian kedua di Tanta, waktu program Night Of Purity, makan malam amal. Jejak kasih semula sahabat yang kali terakhir jumpa pada tahun 2000. Kami dari Malaysia, dia belajar di Jordan, tapi akhirnya jumpa di Mesir.
Dan kalau di Mesir, selalu berlaku, ramai orang yang tak saya kenali yang tengok muka saya, dan tak semena-mena menyapa, "Eh, sihat? Apa khabar?"
Dan kalau berhadapan dengan situasi ni, saya dah tahu nak buat apa. Maka awal-awal saya jawab, "Saya adik dia..." sambil senyum sengih. =)
Maka kesimpulannya...
"Nama saya Ahmad Ibrahim Yahaya. Dari Bangi Selangor. Belajar di Mesir, tahun 4 Cairo University. Boleh berkenalan?",
...sambil tersenyum dan menghulurkan tangan untuk bersalam...
=)
Terima kasih daun keladi kerana sudi membaca...