Showing posts with label Al-Kahfi. Show all posts
Showing posts with label Al-Kahfi. Show all posts

Lelaki 1000 Lelaki [2]

Friday, March 30, 2012 by aiyqosim



Bismillahirrahmaanirraheem,

Alhamdulillahi wassolaatu wassalaamu 'ala Rasulillah SAW...


Hidup kita tidak lain dan tidak bukan, hanyalah suatu tempoh masa. Masa yang sentiasa bergerak. Masa yang terkadang dirasakan laju, terkadang dirasakan lambat. Masa yang terkadang kita sedar bahawa kita sedang melaluinya, terkadang ianya berlalu tanpa disedari.


Dan masa mempunyai tempoh-tempohnya. Mempunyai sempadannya. Garis mulanya saat kelahiran, dan garis penamatnya saat kematian.


Pabila ditanya kepada golongan tua dan berumur, jika masa boleh diputar kembali, waktu bilakah yang ingin diulang kembali? Kemungkinan besar akan dijawabnya,
"Masa muda remaja!"


Namun apa yang ada pada waktu itu? Apa yang istimewanya sehingga mengundang penyesalan kepada mereka yang sudah melepasi waktu itu dengan sia-sia?


.........................



Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi menulis dalam risalah kecilnya
"Kewajipan Remaja Muslin Hari Ini" bahawa tempoh muda remaja ini adalah tempoh terpenting.


Sepertimana dalam satu hari, waktu tengahari itulah pancaran matahari paling terik. Waktu itulah sinarannya paling panas, dan matahari berdiri tegak di atas kepala.





Begitulah juga tempoh remaja. Waktu itulah masa seorang manusia paling bersemangat. Waktu itulah paling dinamik dan aktif. Waktu itulah kekuatan fizikal memuncak. Waktu itulah masa lapangnya mencurah-curah.


Namun, realiti hari ini amat menyedihkan. Dalam semangat, dinamik, keaktifan, kesihatan dan kelapangan masa itulah, para remaja membiarkan masa berlalu begitu sahaja. Segalanya diisi dengan kegiatan tidak bernilai dan keseronoan semata-mata.


Hasbiyallahu wa ni'mal wakeel.


.........................


Perjalanan merentas sejarah menyaksikan jatuh bangunnya sebuah tamadun bergantung kepada jatuh bangunnya golongan muda. Dan di kalangan golongan muda itu adalah para remaja.


Pemuda adalah pembangun Ummat dan pejuang sejak dahulu lagi.


Dalam konteks perjuangan Islam, kita menyaksikan perjuangan para Nabi AS dipelopori kaum muda. Pemuda adalah pembawa risalah.


Ashabul Kahfi


نَّحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ نَبَأَهُم بِالْحَقِّ ۚ إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى


"Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka yang benar. Sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk."


Surah Al-Kahfi ayat 13


Jelas digunakan kalimah "pemuda" dalam ayat tersebut, merujuk kepada Ashabul Kahfi seramai 7 orang. Merekalah pemuda yang lari daripada pemerintah yang zalim demi menyelamatkan iman mereka.







Nabi Ibrahim AS


Ketika remaja, dirakamkan kisah Nabi Ibrahim berdialog dengan dirinya sendiri tentang siapakah Tuhan yang menciptakan alam semesta dan mentadbirnya.


Remaja sifatnya sentiasa berfikir mencari kebenaran, sepertimana Nabi Ibrahim berfikir mencabar akalnya mencari kebenaran. Akhirnya didapati bahawa tidak mungkin ada satu kuasa yang mampu mentadbir alam melainkan Allah Yang Maha Esa.


Namun, Baginda tidak berhenti setakat itu sahaja. Nabi Ibrahim AS mempunyai dua pilihan utama;


1. Beriman dan kekal beriman dalam diam, kerana kaumnya penyembah tegar berhala. Jika diberitahu akan keimanannay kepada Allah, nescaya ditentang kaumnya.

2. Beriman, kekal beriman, dan keluar bersuara kepada kaumnya menyatakan bahawa mereka sesat pabila menyembah berhala. Bahawa mereka harus beriman kepada Allah Subhanahu wata'ala.



Apakah pilihan Nabi Ibrahim AS? Baginda keluar dan mencabar aqidah kaumnya dengan menghancurkan berhala sembahan mereka dan meninggalkan sebuah berhala paling besar.


Selepas berfikir, Baginda membuat tindakan. Bukan calang-calang tindakan, tetapi tindakan yang berani mati!


Sehingga kisahnya dirakam Allah dalam Al-Quran;


قَالُوا سَمِعْنَا فَتًى يَذْكُرُهُمْ يُقَالُ لَهُ إِبْرَاهِيمُ


Mereka berkata, "kami mendengar ada seorang pemuda yang mencela (berhala-berhala kami), namanya Ibrahim


Surah Al-Anbiya' ayat 60



Nabi Ismail AS


Kisah Nabi Ismail AS sangat mahsyur, anak Nabi Ibrahim AS.


Ketika masih di awal remaja, keimannya diuji dengan arahan Allah kepada Nabi Ibrahim untuk menyembelih anaknya sendiri.


Lalu Nabi Ibrahim AS bertanyakan pendapat empunya diri, Nabi Ismail AS, lalu dijawabnya;


قَالَ يَا أَبَتِ افْعَلْ مَا تُؤْمَرُ ۖ سَتَجِدُنِي إِن شَاءَ اللَّـهُ مِنَ الصَّابِرِينَ



"wahai ayahku, buatlah apa yang diperintahkan kepadamu. Nescaya engkau akan dapati dengan izin Allah, aku dari kalangan orang-orang yang sabar."


Surah As-Saaffat ayat 102


............................


Begitulah dikisahkan kepada kita sifat pemuda Islam. Sifat remaja Islam sebenar. Sifat pejuang pembawa risalah Islam.


Beriman kepada Allah dengan sebenar-benar iman.


Berfikir demi membangun jiwa dan mendapat kefahaman Islam yang jelas.


Bertindak untuk menyelamatkan iman dan menyebarkan Islam.


Berani berhadapan dengan segala cabaran. Berani bertemu musuh. Berani mati.




Tidak pelik jika kita melihat remaja hari ini bersemangat, berani dan bergerak. Tetapi amat pelik bila kita melihat para remaja mandom, lembap, kaku dan beku. Kerana Allah sudah menggambarkan sifat para pemuda yang bergerak dan berjuang.


Dan tidak peliklah jika pemuda di zaman Rasulullah SAW dikhabarkan setiap seorangnya seperti 1000 lelaki. Kerana semuanya menyahut perintah Allah di dalam Al-Quran dan As-Sunnah.



رجال بألف رجل

Lelaki 1000 lelaki!




Walhamdulillahi robbil 'alameen.


Wassalam.
Posted in Labels: , , , | Comments

Bokra InsyaAllah

Saturday, December 10, 2011 by aiyqosim


Bismillahirrahmaanirraheem,

ALhamdulillahi wassolaatu wassalaamu 'ala Rasulillah SAW...





Untuk bebudak Mesir, selalu dengar tak perkataan "bukroh"? Selalunya di pejabat imegresen, makcik pegawai imegresen tu kalau tensi, senang-senang saja dia cakap, "bukroh!" maksudnya, esok!(datang esok, sebab urusan tak siap lagi).


Seorang ahli politik cakap, "Tahun ni, kita akan bagi bonus kepada pelajar-pelajar luar negara. Tapi dengan syarat, kenalah undi kami ya".

Seorang menteri pula cakap, "Jangan risau, kita akan tubuhkan jawatankuasa untuk kaji masalah agensi haram yang menghantar pelajar ke luar negara".

Seorang pegawai pula cakap, "Takpa, saya akan selesaikan masalah fail kamu. Benda senang saja. Esok pun boleh siap".

Seorang kawan cakap, "Nanti tengok lah, aku beli bahan-bahan buat kek, nanti aku buat kek coklat untuk korang. Bukan susah sangat pon. Aku pun boleh".

Saya pula cakap, "Kita akan buat program masak-masak untuk meraikan ahli-ahli persatuan yang suka memasak. Korang jangan risau, saya cakna masalah korang".

Seorang peniaga pula cakap, "Jangan risau. Produk yang kamu tempah tu, confirm siap esok! Percayalah cakap saya".


Bila kita membaca Surah Al-Kahfi, kita akan bertemu dengan ayat ke 23 dan 24 yang berbunyi;


وَلَا تَقُولَنَّ لِشَيْءٍ إِنِّي فَاعِلٌ ذَٰلِكَ غَدًا ﴿٢٣﴾ إِلَّا أَن يَشَاءَ اللَّـهُ ۚ وَاذْكُر رَّبَّكَ إِذَا نَسِيتَ

Dan jangan sekali-kali engaku mengatakan terhadap sesuatu, "Aku pasti melakukan itu esok pagi". Kecuali dengan mengatakan insyaAllah. Dan ingatlah kepad Tuhanmu apabila engkau lupa...



Menurut tafsir Ibnu Katheer, diriwayatkan bahawa ada seorang Quraisy datang bertanya kepada Nabi Muhammad SAW tentang kisah ashabul kahfi. Nabi SAW menjawab, supaya datang pada keesokan paginya untuk Baginda SAW menceritakannya, tanpa Baginda mengatakan insyaAllah (dengan izin Allah). Tetapi wahyu tentang ashabul kahfi turun lewat 15 hari daripada hari yang dijanjikan Rasulullah SAW itu.

Maka ayat ini diturunkan sebagai pelajaran kepada Rasulullah SAW supaya mengucapkan insyaAllah apabila mengatakan sesuatu yang tidak pasti, sebagai kebergantungan kita kepada Allah. Kerana setiap sesuatu itu, hanya berlaku dengan keizinan ALlah, dengan taqdir Allah.




Kepala Kena Ketuk


Beberapa pengajaran daripada surah Al-Kahfi ayat 23 dan 24 ini yang saya terfikir.


Pertamanya, katakanlah insyaAllah bila mengatakan janji-janji atau perkara-perkara yang tidak berlaku lagi, sebagai pengharapan kita kepada Allah, agar Allah mengizinkan perkara tersebut.


Keduanya, jangan sesekali kita ceritakan dan sebarkan kepada orang lain, perkara-perkara yang tidak pasti, atau jauh lagi kebenarannya, atau tiada perancangan jelas, atau sekadar angan-angan.

Jangan sesekali kita memberi janji-janji kosong atau harapan palsu kepada orang lain, hanya untuk menunjukkan kita mempunyai idea bernas. Atau untuk menunjukkan kita ni hebat. Atau tak nak menampakkan kita ni lemah sebab tiada perancangan gempak. Atau sekadar nak menjawba soalan wartawan surat khabar atau televisyen.

Gejala ini sering berlaku dalam kalangan ahli politik, menteri-menteri, peniaga-peniaga, dan pimpinan-pimpinan organisasi. Namun, siapa sahaja tidak terlepas daripada gejala ini.


Ketiganya, kita umpama diberi 'hint' daripada ayat ini. Bila diperingatkan bahawa jangan kita mengatakan sesuatu yang tidak pasti, ianya bermaksud bahawa kita boleh bercakap hanya perkara-perkara yang pasti dan jelas perancangannya. Ini bermaksud, tidak dapat tidak, Umat Islam perlu sentiasa merancang, dan mempunyai perancangan yang jelas dan teratur dalam segenap aktiviti harian kita.

Kemudian, setelah melakukan perancangan yang jelas tersusun, kita serahkan perancangan kita itu kepada ALlah Subhanahu wata'ala sepenuhnya, sebagai tanda tawakkal dan berserah diri kita kepada ALlah Yang Maha Menentukan Segalanya.


Keempatnya, jika kita terlupa, perkara pertama yang perlu kita lakukan adalah Zikrullah! Ingat Allah, dan berselawatlah. Ini adab kita yang diajar di dalam Al-Quran.

Sebab apa kena zikrullah? Sebab ingatan itu diberikan oleh Allah, dan Allah jua yang melupakan. Oleh itu, untuk ingat kembali perkara tersebut, mintalah dari Yang Mengingatkan dan Yang Melupakan, iaitu Allah. Sifirnya cukup ringkas!


Maka, tinggalkanlah amalan kita selama ini. Contohnya, kalau lupa, perkataan pertama yang terpacul dari mulut,

"Aduhai!"

"Alamak lupa plak!"

"Shit! Lupa plak."

"What the hack! Dah lupa dah."




Pengajaran-pengajaran ini umpama mengetuk kepala saya sendiri, sebab seringkali saya juga melakukan perkara-perkara ini.


Maka sekadar di sini dahulu sedikit peringatan untuk kita semua. Moga bermanfaat. Sama-samalah kita muhasabah...


Allahu A'lam.


Posted in Labels: , , , | Comments

Jadi Tanah Lebih Baik

Friday, December 2, 2011 by aiyqosim
Bisillahirrahmaanirraheem,

Alhamdulillahi wassolaatu wassalaamu 'ala Rasulillah...



وَوُضِعَ الْكِتَابُ فَتَرَى الْمُجْرِمِينَ مُشْفِقِينَ مِمَّا فِيهِ وَيَقُولُونَ يَا وَيْلَتَنَا مَالِ هَـٰذَا الْكِتَابِ لَا يُغَادِرُ صَغِيرَةً وَلَا كَبِيرَةً إِلَّا أَحْصَاهَا ۚ وَوَجَدُوا مَا عَمِلُوا حَاضِرًا ۗ وَلَا يَظْلِمُ رَبُّكَ أَحَدًا

Dan diletakkan kitab (catatan amal), lalu engkau melihat orang yang berdosa merasa ketakutan terhadap apa yang (tertulis) di dalamnya, dan mereka berkata, "Betapa celaka kami, kitab apakah ini! Tidak ada yang tertinggal, yang kecil dan yang besar melainkan tercatat semuanya". Dan mereka dapati apa yang mereka kerjakan (tertulis). Dan Tuhanmu tidak menzalimi seorang jua pun.


Surah Al-Kahfi, ayat 49



Orang berdosa dan tidak beriman di Hari Perhitungan kelak, berasa terkejut dengan ketelitian buku catatan amal mereka. Tidak ditinggalkan walau sedikit pun amal perbuatan mereka. Semuanya dihisab. Semuanya diambil kira.


Waktu itu, barulah mereka sedar, siapa Tuhan dan siapa hamba. Barulah mereka sedar, bahawa Allah tidak menzalimi sesiapapun. Buktinya, tidak ada satu pun yang tersisa dari amalan, melainkan semuanya dikira. Semuanya kantoi.


Ini juga membuktikan Allah itu Maha Adil. Kalau di dunia, mereka masih boleh menutup kesalahan mereka. Masih boleh lari dari hukuman manusia. Masih boleh bebas dengan korupsi dan kezaliman, di AKhirat nanti, tidak lagi. Semuanya dihitung.


Sudah menjadi sifat orang yang tidak beriman, apabila berada di tempat yang sepatutnya mereka beramal dan meyakini KalamuLlah iaitu di dunia, mereka ingkar. Kemudian bila sampai masa untuk dikira dan ditimbang hasil amalan mereka, ketika itulah mereka menyesal kerana tidak beriman dengan ayat ALlah semasa di dunia dahulu.



Seperti dalam Surah As-Sajdah ayat ke-12, berbunyi;


وَلَوْ تَرَىٰ إِذِ الْمُجْرِمُونَ نَاكِسُو رُءُوسِهِمْ عِندَ رَبِّهِمْ رَبَّنَا أَبْصَرْنَا وَسَمِعْنَا فَارْجِعْنَا نَعْمَلْ صَالِحًا إِنَّا مُوقِنُونَ

Dan (alangkah ngerinya), jika sekiranya kamu melihat orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhannya, (mereka berkata), "Ya Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami (ke dunia), nescaya kami akan mengerjakan kebajikan. Sungguh kami adalah orang-orang yang yakin".



Nasib mereka yang tidak beriman ini sangat menakutkan. Penyesalan mereka amat besar, sampai tahap mereka akhirnya berkata;


يَا لَيْتَنِي كُنتُ تُرَابًا

"Alangkah baiknya seandainya dahulu aku jadi tanah".


Surah An-Naba', ayat 40






Tanah tidak ada taklifan. Ia tidak ada dosa pahala. Ia tidak bernyawa seperti manusia. Biarpun ia tidak beroleh kenikmatan hidup seperti manusia, tetapi ia tidak dihisab. Ia tidak melakukan dosa.


Jadi tanah lebih baik dari berbuat dosa dan zalim di dunia!


Allahu A'lam.
Posted in Labels: , , | Comments

Projek Antara Dua Jumaat

Thursday, November 24, 2011 by aiyqosim

Bismillahirrahmaanirraheem,

Alhamdulillahi wassolaatu wassalaamu 'ala Rasulillah SAW...


Nabi SAW berpesan dalam sebuah Hadith, yang berbunyi;


عن أبي هريرة أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قاذل ((الجمعة. إلى الجمعة كفارة ما بينهما ما لم تغش الكبائر )).

Dari Abi Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Dari hari Jumaat hingga Jumaat(berikutnya) adalah kaffarah(pengampun dosa) diantara keduanya, selagi tidak melakukan dosa besar."


Idea, fikrah atau pemahaman yang perlu diterapkan melalui Hadith ini, bukan sekadar memuliakan hari Jumaat sebagai Sayyidul Ayyam(penghulu segala hari).


Bahkan di sana terdapat fikrah yang perlu diterapkan dalam diri kita, bahawa ada sesuatu yang perlu kita lakukan sebelum, semasa dan paling penting selepas hari Jumaat tersebut.



Belajar Dari Ramadhan


Samalah halnya bilamana Nabi SAW mengatakan bahawa,

"di antara Ramadhan hingga Ramadhan(tahun berikutnya) adalah penghapus dosa antara keduanya".

Ia adalah petanda tempoh masa diantara dua Ramadhan itu merupakan tempoh yag sangat penting untuk diambil perhatian. Ia adalah tempoh eksperimen daripada madrasah(sekolah) Ramadhan kita.


"Apakah hasil ibadat kita di bulan Ramadhan tahun ini? Ya, kita buat eksperimen hingga bertemu kembali Ramadhan tahun depan! Kemudian kita follow-up semula bila dah sampai due-date eksperimen tersebut. Tengok hasil eksperimen, berjaya ataupun tidak?"


Kembali kepada hari Jumaat. Bilamana dikatakan antara dua Jumaat itu, penghapus dosa antara keduanya, maka seolah-olah, hari Jumaat itu sepatutnya dijadikan sebagai tarikh mula eksperimen atau ujian, dan due-date nya adalah pada Jumaat berikutnya. Bila sampai Jumaat berikutnya, bersedialah, sebab kita akan lihat hasil ujian terebut.







Dari satu sudut lain pula, bila kita meletakkan satu-satu tarikh itu sebagai tarikh mula eksperimen atau ujian, tidak dapat tidak, perlu ada 3 elemen berkaitan tarikh tersebut.


3 Elemen


Yang pertama, perancangan yang tersusun. Ini berlaku pada masa sebelum tarikh mula tersebut.

Yang kedua, implementasi perancangan tersebut, atau tindakan. Ini berlaku bermula daripada tarikh mula(dalam kes ini, hari Jumaat), sehinggalah sehari sebelum tarikh akhir atau due-date. Dalam masa ini jugalah berlakunya "follow-up" dan "check & balance" untuk memastikan gerak kerja yang efisyen dan berkesan.

Yang ketiga, penilaian hasil eksperimen atau muhasabah. Ini berlaku selepas due-date.



Tetapi, Apakah Perkara Yang Diuji Di Dalam Eksperimen Ini?


Segala-galanya tentang kehidupan kita sebagai seorang Muslim!

Segala-galanya tentang kehidupan kita sebagai seorang Mukmin. Segala-galanya tentang kehidupan kita sebagai seorang khalifah ALlah di muka bumi. Sebagai pendakwah. Segala-galanya tentang kehidupan kita sebagai Duta Islam dan utusan Rasulullah SAW. Itulah yang perlu diuji di dalam eksperimen ini.


Perlulah kita sedar, bahawa kehidupan kita sekarang sebagai seorang Muslim mukallaf(baligh dan berakal) bukanlah sebuah ekperimen teori. Bukanlah sebuah taman permainan. Tetapi inilah kehidupan sebenar, yang akan menentukan nasib kita di Akhirat kelak. Maka, tidak dapat tidak, kita perlu bekerja!


Kita perlu jalani kehidupan kita seolah-olah(hakikatnya, sememang-memangnya, bukan seolah-olah lagi...) kita sedang menggerakkan sebuah program atau projek. Ada tempoh masanya, ada perancangan rapi sebelumnya, ada jawatankuasa pelaksananya, ada kayu ukur atau Key Performance Indicator(KPI) nya, adanya implementasi yang berkesan dan efisyen, ada reaksi daripada peserta atau orang luar, ada follow-upnya, dan ada hasil serta muhasabah program.


Ingat, setiap kita adalah Duta Besar Islam!



Posisi Kita


Timbul persoalan,


"Habis tu, kita semua kena berceramahlah?"


Ceramah bukanlah satu-satunya cara berdakwah dan bekerja dalam Islam. Bergeraklah mengikut posisi masing-masing.


Posisi boleh difahami dari segi tahap kehidupan kita secara kronologi umur. Di waktu kecil, posisi kita sebagai kanak-kanak. Ada tanggungjawabnya, ada peranannya. Besar sedikit, kita bergerak sebagai remaja. Tanggungjawab remaja adalah bergerak aktif dalam beraktiviti, menimba pengalaman dan menuntut ilmu, dengan mengambil contoh teladan dari golongan dewasa.


Bila meningkat dewasa pula, ada tanggungjawab untuk mendukung masyarakat dengan perkhidmatan dan ilmu, juga tanggungjawab menyediakan golongan remaja dan kanak-kanak untuk menadi dewasa yang berguna untuk Islam dan negara. Bila dah tua, ada pula tanggungjawab lain, khusus untuk mereka. Begitulah seterusnya.


Posisi juga boleh difahami dari segi pekerjaan kita. Contohnya, sebagai seorang doktor, jurutera, guru, staf sokongan, peniaga, Menteri, ahli politik, dan sebagainya. Saya tidak berhajat untuk menerangkan panjang lebar tentang tajuk "Posisi" di sini. InsyaALlah lain masa ya...


Posisi juga boleh difahami dari segi status sosial kita. Contohnya sebagai seorang suami, atau isteri, atau ibu bapa, atau anak, dan sebagainya.



Kesimpulan


Kesimpulannya, cuba kita semua fikirkan. Bayangkan kalau setiap individu dari kalangan orang Islam mengambil sepenuh perhatian dan mengamalkan Hadith yang disebutkan di atas. Satu Hadith sahaja, dengan pemahaman yang benar. Setiap daripada kita menjadikan tempoh masa di antara Jumaat dengan Jumaat berikutnya sebagai satu tempoh eksperimen, ujian atau program.


InsyaAllah tempoh masa itu akan menjadi satu tempoh yang penuh dengan produktiviti, penuh dengan ibadat dan ilmu. Penuh dengan khidmat dan nasihat. Penuh dengan manfaat kepada Ummat. Penuh dengan aktiviti sihat untuk Islam dan masyarakat.


Dan yang ajaibnya, tempoh masa diantara dua Jumaat itu adalah tempoh masa SEPANJANG TAHUN!

Bayangkan, setahun yang produktif untuk Islam dan Negara! (ppergh~)


Allahu A'lam, moga bermanfaat.


Jangan lupa baca Surah Al-Kahfi dan merenung seketika beberapa ayat daripadanya. Ma'assalaamah~ :)



Posted in Labels: , , , | Comments

Kaum Tua VS Kaum Muda

Saturday, November 19, 2011 by aiyqosim



Bismillahirrahmaanirraheem,

Alhamdulillahi wassolaatu wassalaamu 'ala Rasulillah...


Allah beri kesempatan untuk saya menulis pada hari ini Alhamdulillah.


Semalam, Jumaat, 18 November 2011, banyak perkara yang berlaku. Antara yang besar berlaku di Mesir adalah demonstrasi aman rakyat di Medan Tahrir untuk menunjukkan rasa kurang puas hati terhadap beberapa tindakan pihak tentera, Majlis Tertinggi Angkatan Tentera (SCAF). Antara yang sokong perhimpunan ini adalah Ikhwanul Muslimoon dan parti puak Salafi.


Terkini hari ini, Sabtu, di Medan Tahrir ada lagi orang awam yang bertempur dengan FRU Mesir, dan beberapa ratus cedera. Demo hari ini tiada kaitan dengan Ikhwanul Muslimoon atau mana-mana parti Islamis lainnya. PM Mesir umumkan bahawa pilihanraya tidak akan ditangguh insyaAllah setakat ini. Sekadar maklumat terkini.


Kembali kepada isu asal, bersempena hari Jumaat semalam, suka saya berkongsi sedikit sebanyak pengajaran di dalam Surah Al-Kahfi yang sangat digalakkan oleh Rasulullah SAW untuk dibaca pada malam Jumaat dan pagi Jumaat.


Di awal Surah, menceritakan perihal Ashabul Kahfi. Sekumpulan pemuda beriman yang melarikan diri daripada pemerintah yang zalim dan sombong demi menyelamatkan iman mereka.


Memetik ayat ke-13 Surah Al-Kahfi;


نَّحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ نَبَأَهُم بِالْحَقِّ ۚ إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى ﴿١٣﴾


Kami ceritakan kepada kamu (Muhammad) kisah mereka dengan sebenarnya. Sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman dengan Tuhan mereka, dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka.


Perkataan "Fityatun" merujuk kepada pemuda-pemuda, kalimah jamak kepada "fataa" (pemuda).




Meniti sejarah tamadun manusia, menjadi lumrah, golongan pemudalah yang golongan yang menegakkan kebenaran. Golongan pemudalah yang berani, tidak gentar menyatakan kebenaran. Golongan pemudalah yang sentiasa bersemangat waja berjuang. Golongan pemudalah yang bertenaga bekerja.



Peranan Pemuda


Memetik kandungan ceramah dan kitab al-Imam Dr. Yusuf Al-Qaradhawi, bertajuk "Waajibu as-Syabaab al-Youm" atau "Kewajipan Pemuda Hari Ini", menceritakan peranan pemuda-pemuda dalam membawa risalah Islam sejak zaman berzaman.


Diberi contoh model agung remaja;


1. Nabi Ismail AS dengan kisah pengorbanan beliau demi melaksanakan perintah ALlah yang diperintahkan kepada Nabi Ibrahim AS.

2. Nabi Yusuf AS dengan kisah cabaran hidup beliau dari kecil ke remaja hingga dewasa. Tidak pernah lekang dari diuji, dan ujian paling besar adalah ujian godaan maksiat. Dan dengan semangat remaja, baginda melepasi ujian tersebut biarpun dibayar dengan penjara.

3. Nabi Musa AS dengan kisah 'pemberontakan' beliau terhadap Firaun yang merupakan bapa angkat beliau sendiri. Kisahnya panjangnya bermula ketika beliau masih muda remaja lagi.

4. Ashaabul Kahfi yang merupakan sekumpulan pemuda yang beriman, cuba menyelamatkan diri mereka dari cengkaman pemerintah yang zalim dan sombong. Dengan usaha dan tawakkal mereka yang tinggi, Allah tidurkan mereka dan selamatkan mereka dari zaman tersebut.


Contoh lainnya, model teragung kita, Nabi Muhammad Rasulullah SAW. Cuba ingat kembali, siapakah yang menjadi peneraju utama barisan hadapan Ummat Islam waktu mula-mula Islam dizahirkan? Dan siapa pula golongan yang menentang Islam?


Nabi Muhammad AS dikira golongan pemuda, bersama para sahabat RA yang kebanyakannya muda-muda belaka. Siapa pula penentang utamanya? "Kaum Tua" Musyrikin Mekah, diketuai oleh Abu Jahal.



Pemuda = Bergerak


Kembali semula kepada Ashabul Kahfi, model pemuda beriman yang bencikan kezaliman dan pemerintah yang zalim, dan bersemangat tinggi berusaha menyelamatkan iman mereka. Inilah semangat yang patut ada dalam diri setiap kita.


Daripada contoh-contoh di atas, disimpulkan bahawa pemuda ini merupakan waktu paling semangat dalam hidup insan. Waktu paling aktif bergerak. Maka tak pelik jika orang muda remaja aktif, bersemangat, berkhidmat dan berbakti. Yang menjadi peliknya, jika pemuda remaja itu mandom, tidak bersemangat, tidak bergerak, tidak aktif, pasif, dan mementingkan diri sendiri hidup dalam dunianya sendiri sahaja.


Satu sudut lain pula, saya berasa takjub dengan mereka-mereka yang usianya sudah lanjut melewati separuh abad, tetapi tetap bersemangat berjuang dan aktif. Rupa dan tubuh mereka mungkin sudah dimakan usia, tetapi jiwa mereka tetap jiwa pemuda beriman ashabul kahfi.


Sehingga saya merasa aib kepada diri sendiri, melihatkan semangat mereka. Golongan pemuda boleh naik malu jika membandingkan usaha kita sebagai orang muda, dengan usaha orang tua yang fizikalnya tua tetapi semangatnya muda.


Sebagai pemuda hari ini, janganlah kita terlalu selesa bilamana kita merasakan yang kita seorang yang bersemangat, bergerak aktif, menjalani hidup yang bermanfaat dan sebagainya. Kekadang kita merasakan bahawa kita dah cukup bagus sebagai seorang yang aktif dalam komuniti. Kita dah cukup kuat ibadat. Kita dah cukup rajin. Dah cukup semangat.


Kalau ada perasaan begini dalam diri kita, ingatlah, semangat orang muda itu normal. Biasa-biasa saja. Bahkan yang tiada semangat itulah yang tak normal. Jadi, tak perlu berlagak lah. Persoalannya, sampai bila kita akan terus istiqomah dan mengekalkan momentum semangat kita bila umur kita makin meningkat kelak?


Inilah yang saya takjub dengan apa yang ada pada pejuang-pejuang ummah yang sudah menjangjau usia tetapi semangatnya tetap semangat ashabul kahfi.


Antara cara yang saya pernah diajar oleh 'orang yang berpengalaman' untuk terus istiqomah dalam 'semangat pemuda' ini adalah kefahaman tentang Islam yang betul, cita-cita yang jelas, dan bekerja secara berjemaah, berorganisasi, bersama-sama. InsyaALlah sama-sama kita berdoa agar kita terus istiqomah dalam kebaikan.



Kaum Muda VS Kaum Tua


Saya nak ambil satu contoh sahaja. Tok Guru Nik Abdul Aziz, MB Kelantan, sudah berumur 80-an. Tapi tahu tak, tidurnya berapa jam sehari? Hanya 3 ke 4 jam sahaja sehari!


Selalunya beliau pulang dari kesibukan kerja dan berdakwah sekitar jam 12 am. Menyelesaikan kerja-kerja rumah dan update maklumat-maklumat terkini, hingga jam 1 am beliau tidur. Jam 4 am, beliau sudah bangun qiyamullail. Amalan sudah puluhan tahun.


Nak dibandingkan dengan kita, orang muda? MasyaALlah tabarakallah jauh beza!


Ini satu contoh, dan banyak lagi contoh lain di dalam dan luar negara.

Antaranya, Syeikh Dr. Wahbah Az-Zuhaili. Dikisahkan, beliau menulis dan mengaji pernah menjangkau 18 jam sehari! Sampai pernah satu ketika isterinya merajuk sebab beliau terlalu sibuk dengan ilmu dan ceramah.



Kesimpulan


Maka kesimpulan dari tulisan ini adalah, sedarlah peranan pemuda dalam membina tamadun manusia sejak dulu hingga sekarang, dan periksa semula peranan dan sumbangan kita sebagai remaja atau pemuda pada hari ini. Tidak hairanlah kalau pelbagai aspek kemajuan tamadun pada hari ini dikuasai oleh Barat. Lihat sahaja diri kita, orang muda Islam masa kini, bagaimana tahap kita?


Bagaimana kualiti ibadat kita? Bagaimana tahap ilmu kita? Bagaimana akhlak kita? Berapa banyak buku yang kita baca sehari? Apakah jenis bahan bacaan kita? Ke mana masa kita dihabiskan? Bagaimana kita menyusun aktiviti seharian kita? Bagaimana kita berbelanja? Apakah sumbangan kita kepada masyarakat? Bagaimana muamalat kita dengan ibubapa dan keluarga kita?


Jawablah semua soalan di atas dan bina sendiri soalan anda. Kemudian anda akan tahu di mana anda berada. Yang pastinya, matlamat kita adalah kejayaan di Akhirat, dan kegemilangan Ummat Islam di dunia. InsyaALlah.


Sekian sahaja buat masa ini.


Selamat beramal~


Seeruu 'ala barakaatillah...
Posted in Labels: , , , | Comments
Related Posts with Thumbnails

Apture