Showing posts with label Keremajaan. Show all posts
Showing posts with label Keremajaan. Show all posts

Hoi Lelaki, Sanggup Kahwin?

Thursday, February 2, 2012 by aiyqosim


Bismillahirrahmaanirraheem,

Alhamdulillahi wassolaatu wassalaamu 'ala Rasulillah SAW...


Semalam sempat mengikuti pengajian Silsilah Hadith Terpilih oleh Al-Fadhil Ustaz Hairul. Membaca lebih kurang 5 ke 6 hadith Rasulullah SAW semalam amat bermakna.


Saya tertarik dengan hadith terakhir di dalam silsilah siri 1, yang bermaksud;


Daripada Sayyidina Ibn Abbas RA, beliau berkata, Nabi SAW bersabda;

"Saya diperlihatkan akan neraka. Tiba-tiba saya mendapati bahawa kebanyakan ahli neraka adalah wanita kerana mereka mengkufuri".

Dikatakan, "Adakah mereka mengkufuri Allah?"

Baginda menjawab, "Mereka mengkufuri suami-suami mereka dan mereka mengkufuri kebaikan. kalau kamu membuat kebaikan kepada salah seorang daripada wanita-wanita tersebut sepanjang masa, kemudian dia melihat sesuatu [kekurangan] daripada kamu, wanita itu akan berkata, "Saya tidak pernah melihat sesuatu kebaikan pun daripada kamu sebelum ini".



Mungkin ramai wanita yang terkejut dengan hadith ini. Atau mungkin ada yang terasa. Tapi, saya nak tanya satu soalan. Kenapa nak terasa pula? Adakah anda tergolong dalam kalangan yang mengherdik atau mencerca suami? kalau tak, kenapa nak terasa? :)

Kalau melihat populasi sekarang ini, lojik juga wanita merupakan majoriti ahli neraka, sebab jumlah mereka lebih ramai daripada lelaki. Maka, peratusan ahli neraka wanita lebih tinggi. Allahu A'lam. :)


Tapi itu bukan fokusnya.


Ustaz Hairul menerangkan hadith ini dengan beberapa peringkat.



Nusyuzkah Wanita Itu?


Persoalan pertama, adakah perbuatan di dalam hadith tersebut dikira sebagai nusyuz atau derhaka? Mengikut Syeikh Said Saad Jawish al-Hasani, dan kebanyakan ulama', ada dua syarat untuk mengkategorikan seseorang wanita itu nusyuz. Hanya dua sahaja. Pertama, menolak permintaan suami untuk 'bersama'nya. Kedua, keluar dari rumah tanpa izin suami.


Maka, perbuatan mengherdik, mencerca, mempertikaikan jasa sumbangan suami, itu belum lagi kategori nusyuz atau derhaka. Tetapi ia tetap dosa, cuma bukan dosa nusyuz.


Namun begitu, Islam amat menjaga wanita. Biar macam mana pun perangai si isteri, si suami pula HARAM menyakiti isteri. Haram hukumnya menampar isteri, memukul atau menzalimi dengan apa cara sekalipun.


Biarpun si suami diperlakukan, ini bukan alasan untuk suami menzalimi isteri. Kalau nusyuz pun, ada langkah-langkah atau peringkat-peringkatnya untuk menghukum isteri. Pertama, tak bercakap atau melayan. Kedua, asing tempat tidur. ketiga, barulah pukul. Itupun memukul dengan kadar umpama 'mencuit' dengan kayu sugi. Alaaah manjanya...


Hatta, kalau si isteri wakil kebangsaan tomoi pun, dan dia tomoi kaki suami sampai patah, si suami tiada hak untuk balas, atau belasa isteri. Marah pun tak boleh. :)



Suami Adalah Bos


Di satu sudut lain pula, si suami di dalam rumah tangga, adalah bos. Sebab apa? Sebab dia bertanggungjawab terhadap segala-galanya.


Siapa yang wajib sediakan nafkah? Suami.


Siapa yang wajib sediakan makanan? Suami.


Siapa yang wajib basuh baju? Suami.


Siapa yang wajib kemas rumah, beli barang-barang rumah? Suami.


Siapa yang wajib didik anak-anak? Suami.


Siapa yang wajib jaga isteri? Suami.



Habis tu, apa tugas isteri? Satu saja, taat kepada si suami!


Makanya, segala kerja-kerja yang si isteri buat tu, adalah semata-mata belas ihsan dan belas kasihan si isteri terhadap suami yang takkan mampu buat semuanya dalam rumah. Si isteri tidak dipertanggungjawabkan pun, tapi dia seolah-olah buat kerja 'extra'.


Maka, lojik lah kita tanyakan kepada si suami, masih tak bersyukur lagi kah mendapat isteri yang buat kerja 'extra' yang tak wajib pun ke atasnya?


Begitu juga, lojik kita tanyakan kepada si isteri, masih tak bersyukur lagi kah si suami dipertanggungjawabkan segala-galanya sedangkan kamu tidak ada tanggungjawab lain selain taat kepada suami? Itu pun kamu 'complain' banyak?



Kahwin, Sempurna Iman


Pernah dengar tak ungkapan ini? Mengikut Syeikh As-Sya'rawi, maksud sempurna iman adalah, apabila seseorang berkahwin, akan sempurna ibadahnya. Sebab apa? Sebab ada ibadah yang tidak dapat dilakukan oleh orang bujang. Tak dapat tidak, kena kahwin dahulu.


Apakah ibadah itu? :) Ehem! Antaranya menjaga anak. Memberi nafkah kepada isteri. Bersabar atas karenah perempuan (yang faham-fahamlah kan...), dan pelbagai ibadat lain lagi. maka, bila dah berkahwin, semua kategoir ibadat boleh dilakukannya.



Jadi, Bila Nak Kahwin?


Saya ke? Emmm, entah lah. Sebab ada beberapa persoalan yang saya kena jawab sebelum jawab soalan ini. Antaranya...


Sanggupkah saya bersabar bila kena buat segalanya dalam rumah?


Sanggupkah saya kena leter dengan perempuan, dalam masa yang sama, kena bersabar?


Sanggupkah saya tahan cercaan dan herdikan perempuan, tanpa boleh saya hayun tangan atau kaki saya ke dia?


Sanggupkah saya basuh baju, memasak, sapu lantai, kalau isteri saya malas nak buat semua tu, dalam masa yang sama kena kerja untuk cari nafkah?


Sanggupkah saya diam saja kalau kena pukul dengan isteri saya sampai patah hidung atau tangan, atau lebam-lebam, atau pengsan?



Hmmmm, jadi.... sanggup ke tak ye nak kahwin???



Allahu A'lam... :)

Kita Kan Kawan Kamu~

Sunday, November 27, 2011 by aiyqosim
Bismillahirrahmaanirraheem,

Alhamdulillahi wassolaatu wassalaamu 'ala Rasulillah SAW...


Kelas klinikal pagi tadi, belajar kes Cholestasis bawah tajuk Hepatosplenomegaly.


Doktor buka cerita tentang Chronic Hemolytic Anemia(CHA). Moga Allah memberkati doktor. Ditanya kepada kami, sebab apa, dalam CHA, ada hepatosplenomegaly, tapi dalam Aplastic Anemia(AA) tak ada?


Doktor pun buka al-kisah seorang mamat. Mamat ni namanya Bone Marrow(BM). BM kerjanya hasilkan sel-sel dan komponen-komponen utama dalam darah. Kilangnya di Bone Marrow, iaitu tulang sum-sum dalam badan manusia.


Tiap-tiap masa BM buat kerjanya tanpa jemu. Kerjanya berdasarkan "demand & supply". Ada demand, ada lah supply.


Suatu masa, berlaku masalah dalam darah, sel-sel darah pecah-pecah. Banyak yang rosak. Tinggal serpihan-serpihan saja. Jadi, demand untuk produk kilang si BM makin tinggi lah. BM redho saja, walaupun kena buat kerja berlipat kali ganda, biarpun gajinya sama.


Tapi BM lepak je, masih boleh tahan lagi. Sebab BM mampu lipat gandakan kerjanya sampai 8 kali ganda! Kilangnya masih boleh diperbesarkan lagi. Tapi sayangnya, sel darah yang rosak bertambah-tambah, melebihi had kemampuan BM. BM jadi tak tentu hala. Serba tak kena, sebab demand terlalu banyak, tapi dia tak mampu nak supply.


BM cuba minta tolong. BM menjerit, tapi tak ada yang menyahut. Lama-kelamaan, BM putus asa.


Tiba-tiba, tak semena-mena, datang supply sel-sel darah baru. Dari mana pun tak tahu. BM kaji punya kaji, rupa-rupanya, sel baru tu dibuat oleh kilang yang namanya Liver & Spleen.


BM sangat-sangat bersyukur. Tak terhingga syukurnya, sebab rupa-rupanya, Liver & Spleen dulu-dulu merupakan kawan baik BM di alam rahim dulu. Mereka dulu sama-sama buat bisnes yang sama, iaitu menghasilkan sel-sel darah.


Tapi, bila meningkat dewasa, Liver & Spleen membuat keputusan untuk membawa hala tuju masing-masing dalam bisnes tersendiri. Liver dengan kilang Detoxification & Special Protein Production, dan Spleen dengan kilang Pemusnah Sel & Kombat Infeksi.


Tapi, bila keadaan memaksa, bila BM memerlukan pertolongan, Liver dan Spleen sanggup mengorbankan bisnes dan sedikit kapasiti kilangnya untuk membantu menghasilkan sel-sel darah. Dalam keadaan genting itu, Liver & Spleen buat renovation & besarkan kilang masing-masing sampai tahap mampu memenuhi demand sang darah.


BM berkata kepada Liver & Spleen, "Kite tak sangka kamu datang selamatkan kilang kite. Dah lama kite tak contact kamu, tapi kamu masih ingat lagi kat kite. Terima kasih banyak. Sayang kamu~"


Liver & Spleen menjawab serentak, "Alaaa, tak perlu terima kasih. Kite kan kawan kamu~" sambil berpegangan tangan.


Mereka pun sama-sama bertolong bantu, demi menghasilkan komponen darah dalam proportion yang mencukupi.






Maka, itulah sebabnya, dalam CHA ada hepatosplenomegaly, demi membantu bone marrow menghasilkan komponen darah yang mencukupi. Tambahan pula, mereka sebenarnay rakan sekerja di dalam rahim ibu dahulu. Tapi bila dah keluar ke dunia, hanya bone marrow sahaja yang bekerja menghasilkan komponen darah, kerana yang lain ada komitmen lain.



Tapi... Apa pula cerita Aplastic Anemia(AA)? Haaa~ Ada ceritanya, tapi insyaAllah akan diceritakan pada entry lain insyaALlah...



Saya cuba ingat kembali, siapakah kawan(selain ahli keluarga) yang mula-mula kita kenal waktu kecil-kecil dulu? Masih ingatkah kita muka dan nama mereka?


Bagaimana pula kawan tadika, kawan sekolah rendah, kawan sekolah menengah, kolej, dan sebagainya?


Bagaimana pula kawan di kawasan tempat tinggal kita dulu? Jiran-jiran sekarang?


Bila berjumpa kembali, sudikah kita berborak dengan mereka, macam dahulu-kala? Sudikah kita, kalau dah membina kehidupan sendiri kelak, untuk membantu sahabat-sahabat kita dahulu?


Kalau dikira, betapa ramainya kenalan kita. Alangkah bagusnya kalau kita berjumpa semula kawan-kawan lama.


Tapi, dalam kita mengenang kembali kisah-kisah lama, sudah cukup baikkah hubungan kita dengan kawan-kawan kita sekarang ini?


Sudikah kita membantu, bila kawan kita memerlukan? Mungkin kita sudi, jika ada imbalan yang menanti sebagai ganti, tak gitu?


Serendah-rendah ukhuwwah itu berlapang dada, dan setinggi-tinggi ukhuwwah itu ithaar. Ukhuwwah kerana Allah, bukan kerana yang lain.



"Sebbab KITA KAN KAWAN KAMU~" ;)




"Tidak beriman seseorang kamu, melainkan dia mengasihi saudaranya sepertimana dia mengasihi dirinya sendiri"

Hadith Nabi SAW



...Ya Allah, perbaikilah hubungan sesama kami, dan tetapkan hati-hati kami untuk AgamaMu. Ameen, ya Rabbal 'Alameen...


...saja post gambar faysal kawan sekelas dari sekolah rendah. satu kelas dari darjah satu sampai darjah 5, form 1 satu kelas lagi, sampai Mesir satu kelas lagi. yang lain jangan jeles... ;)

...gambar waktu sama-sama hantar kakak-kakak kami ke Jordan. form 5 kot time ni...
Posted in Labels: , , , | Comments

Kaum Tua VS Kaum Muda

Saturday, November 19, 2011 by aiyqosim



Bismillahirrahmaanirraheem,

Alhamdulillahi wassolaatu wassalaamu 'ala Rasulillah...


Allah beri kesempatan untuk saya menulis pada hari ini Alhamdulillah.


Semalam, Jumaat, 18 November 2011, banyak perkara yang berlaku. Antara yang besar berlaku di Mesir adalah demonstrasi aman rakyat di Medan Tahrir untuk menunjukkan rasa kurang puas hati terhadap beberapa tindakan pihak tentera, Majlis Tertinggi Angkatan Tentera (SCAF). Antara yang sokong perhimpunan ini adalah Ikhwanul Muslimoon dan parti puak Salafi.


Terkini hari ini, Sabtu, di Medan Tahrir ada lagi orang awam yang bertempur dengan FRU Mesir, dan beberapa ratus cedera. Demo hari ini tiada kaitan dengan Ikhwanul Muslimoon atau mana-mana parti Islamis lainnya. PM Mesir umumkan bahawa pilihanraya tidak akan ditangguh insyaAllah setakat ini. Sekadar maklumat terkini.


Kembali kepada isu asal, bersempena hari Jumaat semalam, suka saya berkongsi sedikit sebanyak pengajaran di dalam Surah Al-Kahfi yang sangat digalakkan oleh Rasulullah SAW untuk dibaca pada malam Jumaat dan pagi Jumaat.


Di awal Surah, menceritakan perihal Ashabul Kahfi. Sekumpulan pemuda beriman yang melarikan diri daripada pemerintah yang zalim dan sombong demi menyelamatkan iman mereka.


Memetik ayat ke-13 Surah Al-Kahfi;


نَّحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ نَبَأَهُم بِالْحَقِّ ۚ إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى ﴿١٣﴾


Kami ceritakan kepada kamu (Muhammad) kisah mereka dengan sebenarnya. Sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman dengan Tuhan mereka, dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka.


Perkataan "Fityatun" merujuk kepada pemuda-pemuda, kalimah jamak kepada "fataa" (pemuda).




Meniti sejarah tamadun manusia, menjadi lumrah, golongan pemudalah yang golongan yang menegakkan kebenaran. Golongan pemudalah yang berani, tidak gentar menyatakan kebenaran. Golongan pemudalah yang sentiasa bersemangat waja berjuang. Golongan pemudalah yang bertenaga bekerja.



Peranan Pemuda


Memetik kandungan ceramah dan kitab al-Imam Dr. Yusuf Al-Qaradhawi, bertajuk "Waajibu as-Syabaab al-Youm" atau "Kewajipan Pemuda Hari Ini", menceritakan peranan pemuda-pemuda dalam membawa risalah Islam sejak zaman berzaman.


Diberi contoh model agung remaja;


1. Nabi Ismail AS dengan kisah pengorbanan beliau demi melaksanakan perintah ALlah yang diperintahkan kepada Nabi Ibrahim AS.

2. Nabi Yusuf AS dengan kisah cabaran hidup beliau dari kecil ke remaja hingga dewasa. Tidak pernah lekang dari diuji, dan ujian paling besar adalah ujian godaan maksiat. Dan dengan semangat remaja, baginda melepasi ujian tersebut biarpun dibayar dengan penjara.

3. Nabi Musa AS dengan kisah 'pemberontakan' beliau terhadap Firaun yang merupakan bapa angkat beliau sendiri. Kisahnya panjangnya bermula ketika beliau masih muda remaja lagi.

4. Ashaabul Kahfi yang merupakan sekumpulan pemuda yang beriman, cuba menyelamatkan diri mereka dari cengkaman pemerintah yang zalim dan sombong. Dengan usaha dan tawakkal mereka yang tinggi, Allah tidurkan mereka dan selamatkan mereka dari zaman tersebut.


Contoh lainnya, model teragung kita, Nabi Muhammad Rasulullah SAW. Cuba ingat kembali, siapakah yang menjadi peneraju utama barisan hadapan Ummat Islam waktu mula-mula Islam dizahirkan? Dan siapa pula golongan yang menentang Islam?


Nabi Muhammad AS dikira golongan pemuda, bersama para sahabat RA yang kebanyakannya muda-muda belaka. Siapa pula penentang utamanya? "Kaum Tua" Musyrikin Mekah, diketuai oleh Abu Jahal.



Pemuda = Bergerak


Kembali semula kepada Ashabul Kahfi, model pemuda beriman yang bencikan kezaliman dan pemerintah yang zalim, dan bersemangat tinggi berusaha menyelamatkan iman mereka. Inilah semangat yang patut ada dalam diri setiap kita.


Daripada contoh-contoh di atas, disimpulkan bahawa pemuda ini merupakan waktu paling semangat dalam hidup insan. Waktu paling aktif bergerak. Maka tak pelik jika orang muda remaja aktif, bersemangat, berkhidmat dan berbakti. Yang menjadi peliknya, jika pemuda remaja itu mandom, tidak bersemangat, tidak bergerak, tidak aktif, pasif, dan mementingkan diri sendiri hidup dalam dunianya sendiri sahaja.


Satu sudut lain pula, saya berasa takjub dengan mereka-mereka yang usianya sudah lanjut melewati separuh abad, tetapi tetap bersemangat berjuang dan aktif. Rupa dan tubuh mereka mungkin sudah dimakan usia, tetapi jiwa mereka tetap jiwa pemuda beriman ashabul kahfi.


Sehingga saya merasa aib kepada diri sendiri, melihatkan semangat mereka. Golongan pemuda boleh naik malu jika membandingkan usaha kita sebagai orang muda, dengan usaha orang tua yang fizikalnya tua tetapi semangatnya muda.


Sebagai pemuda hari ini, janganlah kita terlalu selesa bilamana kita merasakan yang kita seorang yang bersemangat, bergerak aktif, menjalani hidup yang bermanfaat dan sebagainya. Kekadang kita merasakan bahawa kita dah cukup bagus sebagai seorang yang aktif dalam komuniti. Kita dah cukup kuat ibadat. Kita dah cukup rajin. Dah cukup semangat.


Kalau ada perasaan begini dalam diri kita, ingatlah, semangat orang muda itu normal. Biasa-biasa saja. Bahkan yang tiada semangat itulah yang tak normal. Jadi, tak perlu berlagak lah. Persoalannya, sampai bila kita akan terus istiqomah dan mengekalkan momentum semangat kita bila umur kita makin meningkat kelak?


Inilah yang saya takjub dengan apa yang ada pada pejuang-pejuang ummah yang sudah menjangjau usia tetapi semangatnya tetap semangat ashabul kahfi.


Antara cara yang saya pernah diajar oleh 'orang yang berpengalaman' untuk terus istiqomah dalam 'semangat pemuda' ini adalah kefahaman tentang Islam yang betul, cita-cita yang jelas, dan bekerja secara berjemaah, berorganisasi, bersama-sama. InsyaALlah sama-sama kita berdoa agar kita terus istiqomah dalam kebaikan.



Kaum Muda VS Kaum Tua


Saya nak ambil satu contoh sahaja. Tok Guru Nik Abdul Aziz, MB Kelantan, sudah berumur 80-an. Tapi tahu tak, tidurnya berapa jam sehari? Hanya 3 ke 4 jam sahaja sehari!


Selalunya beliau pulang dari kesibukan kerja dan berdakwah sekitar jam 12 am. Menyelesaikan kerja-kerja rumah dan update maklumat-maklumat terkini, hingga jam 1 am beliau tidur. Jam 4 am, beliau sudah bangun qiyamullail. Amalan sudah puluhan tahun.


Nak dibandingkan dengan kita, orang muda? MasyaALlah tabarakallah jauh beza!


Ini satu contoh, dan banyak lagi contoh lain di dalam dan luar negara.

Antaranya, Syeikh Dr. Wahbah Az-Zuhaili. Dikisahkan, beliau menulis dan mengaji pernah menjangkau 18 jam sehari! Sampai pernah satu ketika isterinya merajuk sebab beliau terlalu sibuk dengan ilmu dan ceramah.



Kesimpulan


Maka kesimpulan dari tulisan ini adalah, sedarlah peranan pemuda dalam membina tamadun manusia sejak dulu hingga sekarang, dan periksa semula peranan dan sumbangan kita sebagai remaja atau pemuda pada hari ini. Tidak hairanlah kalau pelbagai aspek kemajuan tamadun pada hari ini dikuasai oleh Barat. Lihat sahaja diri kita, orang muda Islam masa kini, bagaimana tahap kita?


Bagaimana kualiti ibadat kita? Bagaimana tahap ilmu kita? Bagaimana akhlak kita? Berapa banyak buku yang kita baca sehari? Apakah jenis bahan bacaan kita? Ke mana masa kita dihabiskan? Bagaimana kita menyusun aktiviti seharian kita? Bagaimana kita berbelanja? Apakah sumbangan kita kepada masyarakat? Bagaimana muamalat kita dengan ibubapa dan keluarga kita?


Jawablah semua soalan di atas dan bina sendiri soalan anda. Kemudian anda akan tahu di mana anda berada. Yang pastinya, matlamat kita adalah kejayaan di Akhirat, dan kegemilangan Ummat Islam di dunia. InsyaALlah.


Sekian sahaja buat masa ini.


Selamat beramal~


Seeruu 'ala barakaatillah...
Posted in Labels: , , , | Comments

Tahniah Ust Pit

Sunday, June 5, 2011 by aiyqosim

Assalamu'alaykum warahmatullahi wabarakaatuh,


Alhamdulillahi wassolaatu wassalaamu 'ala Rasulillah SAW



Kelmarin, Jumaat 3 Jun 2011 merupakan tarikh bersejarah bagi sahabat kami, Ustaz Hafiz Abdullah atau panggilan manja, Ustat Pit dan isteri, Aini Aisyah Mazidin. Selamat diakad nikah, Alhamdulillah. Juru nikahnya Ustaz Syeikh Yusoff Kedah.


Mubaarak diucapkan!


Semoga berbahagia ke anak cucu, dilimpahi rahmat dan keberkatan dari Allah subhanahu wata'ala dalam membina keluarga Muslim mu'min untuk berbakti kepada Ummat Islam.


بارك الله لكما و بارك عليكما و جمع بينكما في خير




Hari Jumaat, akad nikah


Hari Sabtu, walimah. Bebudak tahun 4 Cairo

Gambar bebudak merempat makan cheese cake kat bilik 514 menunggu bebudak Malaysia balik dari cuti revolusi. Sori ust Pit, ni lah gambar paling berkualiti yang ada. Sori untuk Imdad juga, posing baik punya :)



Jom baca buku ComMed! Baru tahu betapa nikmatnya baca buku Forensic & Toxicology bila tengok buku ComMed... Allahul Musta'an


Wassalam
Posted in Labels: , , | Comments

Macam Mana Aku Nak Kahwin, Kalau...

Tuesday, May 31, 2011 by aiyqosim

Assalamu'alaykum warahmatullah,

Alhamdulillah, wassolaatu wassalaamu 'ala Rasulillah SAW,


Tempoh hari saya telefon rumah di Malaysia. Mak angkat. Borak kejap dengan mak.


Mak : Amboih, mak tengok dalam facebook, bukan main! Macam-macam...

Aku : Oh, mak baca ek, post Jom Kahwin tu? hahaha

Mak : Apa tak baca pulak. Ni mak zaman cyber lah. Layan jugak facebook ngan blog

Aku : Mak dah baca dah post terbaru(Isy Apa Stress Stress Ni)? Tengok la video dalam tu(You Raise Me Up)

Mak : Alaa, si Didi(Idris, adik bongsu) cakap, korang ni ketinggalan zaman! Orang dah layan lagu tu lama dah! hehe

Aku : O ye ke. haha. Pastu, mak nangis tak layan lagu tu? hehe

Mak : Nangis la juga...


Aduhai, apa punya soalan la, "nangis tak layan lagu tu". Haih...

Perbualan diteruskan, "Alaaa, apa lah sibuk-sibuk pasal kahwin ni. Ni ha, keluarga kat rumah ni pon tak terurus, nak sibuk pasal kahwin. Sampai masa, kahwin lah! Bunga bukan sekuntum." katanya merujuk kepada entri saya bertajuk Jom Kahwin.


Pagi tadi, sebelum keluar rumah ke dewan peperiksaan untuk Forensic & Toxicology End Round Exam, otak terfikir satu persoalan.

"Aah betul juga tu. Macam mana aku nak kahwin, kalau..."


Macam Mana Aku Nak Kahwin, Kalau...

Kalau dengan mak ayah kita pun susah kita nak berbuat baik. Berbuat kebajikan. Selalu 'ter'lupa. Nak tanya khabar pun jarang-jarang. Mentang-mentanglah duduk oversea.

Kita lokek nak mendoakan mak ayah kita setiap kali lepas solat. Atau kita 'ter'lupa?


وَوَصَّيْنَا الْإِنسَانَ بِوَالِدَيْهِ حَمَلَتْهُ أُمُّهُ وَهْنًا عَلَىٰ وَهْنٍ وَفِصَالُهُ فِي عَامَيْنِ أَنِ اشْكُرْ لِي وَلِوَالِدَيْكَ إِلَيَّ الْمَصِيرُ

"Dan kami perintahkan kepada manusia (agar berbuat baik) kepada kedua orang tuanya. Ibunya telah mengandungkannya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusukannya selama 2 tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua orang tuamu. Hanya kepada Aku kembalimu."

Surah Luqman, ayat 14


Kalau bergaul dengan kawan-kawan kita, bukan main mesra. Bertepuk tampar, berkasih kasihan. Ukhuwwah dan kemesraan. Tapi bila dengan famili kita sendiri, macam kaku. Susah nak mesra. Garang semacam je. Berborak pon jarang.

Dulu selalu kena 'bahasa' dengan ayah, "Kalau dengan kawan-kawan, baiiiiikk bukan main. Kalau dengan adik beradik, bersepak terajang!"

Kalau balik cuti pon, macam tiada di rumah. Ada saja nak keluar. Lepak dengan kawan-kawan. Jalan-jalan. Kalau ada di rumah, duduk dalam bilik. Nak jenguk mak ayah pon jarang.

Bukan apa, kalau perempuan, kalau dah berkahwin, orang ranking nombor 1 adalah suaminya. Tapi kalau si lelaki, biar kahwin 4 sekali pun, rangking nombor 1 tetap MAK nya.

Kalau di masa bujang pun susah nak menyenangkan hati mak ayah, bayangkan di masa dah kahwin nanti. Nak layan isteri lagi, nak layan anak lagi, nak layan kerja lagi, nak layan kereta lagi, nak layan rumah lagi, dan macam-macam masalah lagi.

Kekadang kita ni jenis orang yang 'berjuang' di waktu muda mudi. Masa tak cukup katanya. Keluarga dikorbankan. Tapi janganlah lupa, kan baitul muslim tu salah satu daripada maratib al-amal untuk mencapai ustaziyyatul alam?


Baitul Muslim = Kahwin? Betul ke?


Tapi kita lupa baitul muslim yang dah sedia ada di rumah kita. Mak ayah kita. Abang adik kakak kita. Kalau dengan famili terdekat ni pun kita dah letakkan di tempat kedua selepas 'kawan-kawan' kita, maka macam mana lepas kahwin nanti?


Kekadang kita lupa mad'u terdekat kita adalah keluarga kita sendiri. Mak ayah kita.


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ

"Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu..."

Surah At-Tahreem, ayat 6


Kekadang kita lupa, mampukah kita balas jasa mak ayah kita? Mampukah pula kita menjadi seperti mak ayah kita yang dah berjaya membesarkan kita sehingga menjadi diri kita sekarang ini?

Macam mana aku nak kahwin, kalau amanah dan pesanan mak ayah kita pun tak termampu nak kita laksanakan.

Macam mana pula aku nak kahwin, kalau kehidupan harian pun tak terurus, bangun subuh dan tidur malam pun tunggang langgang.

Macam mana nak kahwin, kalau setakat kena uji dengan exam, atau sedikit kekecewaan, atau sedikit masalah pun, kita dah tak keruan. Macam mana nak hadapi perkahwinan?


Maka...

Mungkin ada yang bertanya, "Isy, apasal asyik cakap pasal kahwin je mamat ni? Gila apa?"

Entri ni nak mengajak kita semua untuk kembali kepada fokus kita. Fokus kita sebagai pemuda dan penuntut ilmu.

Waktu muda ni jangan dipersiakan dengan perkara-perkara sampingan. Tumpukan perkara-perkara yang meningkatkan iman, ilmu dan kemahiran hidup kita.

Banyak tanggungjawab kita sebagai seorang pemuda Islam sebelum kita tambah tanggungjawab kita bergelar seorang suami atau isteri.

Memetik ayat Ustaz Suhaib Webb dalam webnya bila bercerita tentang "Am I Marriying The Right Person",


Remember that finding the right person is only half the challenge – you must first be the right person that someone would want to marry.



Sekian dahulu buat masa ni. Selamat beramal~


Final exam dah mula, mohon doanya...


Wassalam


p/s : mode : recovery, preparing for exam

3 Ahmad. Sori lah Ahmad yang keempat, waktu ni tak lahir lagi =P
Posted in Labels: , , , | Comments

Jom Kahwin!

Monday, May 16, 2011 by aiyqosim


Bismillahirrahmaanirraheem,

Alhamdulillahi wassolaatu wassalaamu 'ala Rasulillah...


Sekadar mengisi kekosongan blog ni lebih kurang seminggu, suka saya kongsikan kisah benar yang berlaku dalam kelas Arab saya dengan Moji, Salman dan Tamim Sabtu lepas.

Kisah perbincangan ilmiah antara Ustaz Mahmud dengan kami. Harap ianya bermanfaat insyaALlah. Hasil perbincangan ini adalah ilmiah dan akademik, tidak mengikut emosi dan tidak pula menunjukkan pendapat peribadi saya. :)


Memang lumrah setiap kali kelas, mesti ada saja topik yang akan dibincangkan. Mula topik ini dibuka adalah sebab, saya, Moji dan Tamim tak siap 'homework'. Salman seorang saja yang berjaya siapkan, Moji bagi alasan lupa, saya tak bagi alasan, hanya tersengih saja.





Maka Ustaz pun buka cerita,

"Zaman sekarang ni, budak perempuan adalah rijal."

Ya lah, mereka lagi rajin, lagi bijak pandai, lagi...lagi...lagi...

Macam biasalah, kena 'basuh' dah menjadi tabiat kami berempat setiap kali kelas. Lepas tu, disambung lagi,

"Kalau lah lelaki kena Haid sebulan saja, nescaya lelaki akan terseksa sebab tak mampu tahan sabar."

Saya tak pernah kena Haid, jadi tak boleh nak hurai. Tapi nak katanya, memang ketahanan wanita menahan sabar memang lagi tinggi daripada lelaki. Kemudian, sambung lagi,

"Kalaulah lelaki kena mengandung, bagi sebulan saja, nescaya mati lelaki tu!"


Tetapi, sebab mereka ni amat bijak, mereka juga bijak dalam perkara-perkara tertentu, seperti dikisahkan dalam ayat 28 Surah Yusuf,


فَلَمَّا رَأَى قَمِيصَهُ قُدَّ مِن دُبُرٍ قَالَ إِنَّهُ مِن كَيْدِكُنَّ إِنَّ كَيْدَكُنَّ عَظِيمٌ

"Sesungguhnya ini adalah tipudayamu, sesungguhnya tipudayamu benar-benar hebat."


Perempuan ni, memang bijak, tapi bijak juga bertipu daya. Hehe. Maka, kata Ustaz, sebab tu lah kita tak boleh nak harapkan atau nak cari yang 100% sempurna bila memilih wanita. Bak kata dalam satu Hadith Nabi SAW,


"كمل من الرجال كثير ، ولم يكمل من النساء إلا مريم بنت عمران وآسية امرأة فرعون وخديجة بنت خويلد وفاطمة بنت محمد "

"Ramai lelaki yang sempurna, tetapi tidak ada wanita yang sempurna kecuali empat orang; Maryam binti Imran, Asiah isteri Firaun, Khadijah binti Khuwailid, dan Fatimah anak Muhammad SAW."

Hadith riwayat Al-Bukhari



Maka, secara tak langsungnya, 'ter'masuk pula bab KAHWIN. (isy ni yang tak suka nih...)


Maka Ustaz bercerita lagi...

Selalu kita dengar orang kebanyakan susah sangat nak kahwin. Banyak sangat kekangannya.

Duit tak cukup.

Syarat tak cukup.

Tak cukup bagus.

Masa tak kena.

Keluarga tak kena.

Keluarga tak 'masuk'.

Mak ayah tak restu, dan bermacam-macam lagi.


Kemudian Ustaz ungkit kisah Saydina Ali RA berkahwin dengan Saydatuna Fatimah Bt Rasulullah SAW, dengan mas kahwinnya sebanyak 4 DIRHAM sahaja! Ada lah lebih kurang 40 Geneh. Dan Saydina Ali berkahwin dengan SEBAIK-BAIK WANITA!

Ramai yang bila mendengar cerita ni, berhujah,

"Alaa, tu zaman sahabat..." atau "Alaa, tu zaman dulu-dulu boleh lah..." atau "Realiti kita zaman sekarang dah lain..."


Hakikatnya, cuba kita berfikir secara logik dan adil. Di zaman para sahabat dulu, ada saja mereka yang berkahwin dengan mas kahwinnya satu ladang kambing. Atau seekor unta. Atau emas permata. kalau nak dibandingkan nilai unta di zaman itu, samalah nilainya dengan sebuah kereta MERCEDEZ!

Maka bandingannya sama sahaja. Saydina Ali memilih mas kahwin sebanyak 4 Dirham sahaja, sedangkan beliau berkahwin dengan sebaik-baik wanita! Boleh sahaja dikenakan mas kahwinnya emas permata berlian intan payung dan sebagainya.

Maka kalau nak dibandingtarakan dengan zaman sekarang, ada sahaja orang yang berkahwin dengan mas kahwin, ribuan ringgit, atau hantaran berdulang-dulang emas permata, harta sekoyan dan sebagainya, tetapi ada juga yang letakkan nilai yang rendah sahaja.


Mengimbas keadaan di Mesir pula, atau di kebanyakan negara, ramai meletakkan prasyarat 'layak untuk berkahwin' berlandaskan harta semata-mata. Nak kahwin, kena ada at least kereta sebiji, rumah sebuah, gaji kena 5 angka, rumah pula kena ada TV dan Hifi lengkap dengan sofa Itali, pinggan mangkuk Acopal, kuali Tefal, komputer Apple atau pentium at least pentium 10!

Kalau macam tu, di manakah nilai sebuah perkahwinan? Kalau macam tu lah, habis hartanya, maka tamatlah perkahwinan. Tak gitu?

Bukanlah kata kalau nak kahwin, tak perlu ada kestabilan ekonomi, tapi, itu bukanlah satu-satunya kayu ukur.

Kekadang, kita selalu letakkan syarat yang bukan-bukan atau melebih-lebih, tetapi lupa intipati sebuah perkahwinan sebagai satu institusi utama pembinaan masyarakat Muslim yang beriman dan berpendidikan.


Ustaz ceritakan pengalamannya. Beliau berasal dari Syria, kahwin dengan orang Mesir. Tetapi sejak berkahwin, dengan tiada biasiswa, dalam masa belajar, sambil bekerja, tak pernah lagi beliau balik kampung melawat keluarganya di Syria. Maka katanya, jarak bukan penghalang! :)


Rasulullah SAW bersabda,


ثلاثة حق على الله عونهم : المكاتب يريد الأداء ، والمتزوج يريد العفاف ، والمجاهد في سبيل الله

"3 perkara yang wajib bagi Allah menolongnya; orang yang berhutang yang hendak menunaikan hutangnya, orang yang berkahwin yang inginkan kebaikan, dan orang yang berjihad di jalan Allah."

Hadith Sahih


Maka, kalau berkahwin kerana ALlah, betul caranya, maka yakinlah, Allah akan memudahkan.


Ustaz menambah lagi, dia sangat menggalakkan lelaki-lelaki yang dah mampu, kahwin. Sebab, Syeikhnya ada berpesan,


لستم الشباب إذا لم تتزوّج

"Kamu belum lagi syabab(pemuda sebenar), kalau kamu tak kahwin lagi."


Maka jangan lah nak berlagak bahawa kamu seorang rijal, atau lelaki yang hebat, gagah, dan mantap, kalau belum berkahwin lagi. Sebab, hanya orang yang dah berkahwin tahu akan realiti kehidupan. Sebab perkahwinan itu tanggungjawab. Kena cari duit, tempat tinggal, makan, dan sebagainya. Kena jaga isteri, jaga anak, jaga kesihatan, keselamatan, pendidikan, agama, ekonomi. dan segalanya.


Ada ulama juga berpesan,

"Jangan ambil fatwa daripada orang bujang."

Sebabnya sama, orang yang belum berkahwin, tak kenal dunia lagi.


Murabbi-murabbi dalam da'wah juga selalu berpesan,

"Kalau nak tengok seseorang itu seorang da'ie sebenar atau tak, tengok bila dia dah kahwin, dan dah ada 2 orang anak."


Akhir sekali, Ustaz 'ala-ala' cabar kami. Katanya, "Isunya sekarang ni, di mana KEBERANIAN korang? Takut mati kelaparan lepas kahwin? Takut bersusah-susahan lepas kahwin? Takut apa?"


Masih terngiang-ngiang lagi perkataan syuja'ah (keberanian) yang ustaz sebut hari tu. haih... cabaran, cabaran~


Banyak lagi hasil perbincangan kami malam tu, tapi saya rasa cukup setakat ini dulu. Lain kali cerita lagi naa~ :)


Lepas kelas, macam biasa, kami borak-borak dengan Ustazah Jihad, isteri Ustaz Mahmud. Ustazah tanya kami,

"Jadi, bila kamu nak kahwin, Ahmad?"


Saya jawab dengan confidentnya,

"سأتزوّج غدا !! إن أقدر"


hehehe. Kenalah ada gaya, baru yakin!...


Kemudian saya tanya Ustazah, berapa umur dia. Pusing punya pusing, kantoi juga umur Ustazah, 28 tahun. Lepas tu, saja saya tanya ustaz Mahmud, berapa umur dia. Dia jawab, "26 setengah."


Kami senyap barang sesaat dua. Dia pun cakap, "Apa masalahnya dengan umur?"

Kami jawab, "Takda masalah pun..." sambil tersengih.


Ustaz Mahmud dan anaknya, Khadijah


Sekian sahaja sedikit perkongsian. Ingatan lagi sekali. Saya hanya menukilkan hasil perbincangan ilmiah dan perkongsian pengalaman Ustaz Mahmud dengan kami tempoh hari. Saya hanya nukilkan dengan bahasa saya sendiri. InsyaALlah tiada menyentuh mana-mana individu, baik yang masih hidup ataupun yang telah meninggal dunia.


Allahu A'lam... Salam imtihan diucapkan kepada diri sendiri, moga lebih rajin belajar. Juga kepada anda semua, moga kita sama-sama sukses dengan cemerlang insyaAllah...


Wassalam =)



p/s : habislah kalau mak aku baca entri ni. haha



...selingan, Medical Team buat jamuan tempoh hari, sebagai penutup sesi akademik 2010/2011. pengalaman berharga...
Posted in Labels: , , , | Comments
Related Posts with Thumbnails

Apture