Dalam kenangan - Bajaj Pulsar 180 cc
Bimillahirrahmaanirraheem
Alhamdulilahi wassolaatu wassalaamu 'ala Rasulillah...
Sudah menjadi lumrah kalau turun dari imarah, nak ke masjid, atau dari masjid nak naik imarah, akan memandang sekilas ke motor.
Dan pagi tadi, seusai solat Subuh, sempat toleh ke arah motor, "Owh masih wujud lagi. Syukur... syukur...". Parking depan imarah rumah Damak dan Ijut, sebab tidur rumah Ijut berbincang hal penting dengan mereka satu rumah.
Selesai minum pagi barang secawan dua teh susu bersuap keropok ikan jauh dari Kelantan, Faeid punya, naik semula rumah Ijut. Beberapa minit lepas tu, Ihsan Ruslan balik dari jogging, mula-mula rilaks saja. Tapi bila terlihat wajahku, riak wajahnya berubah. Terkejut. "Eh baem, ingatkan dah balik. Motor mana?"
Saya pun sambil tersengih, "Owh, takda kat bawah ke? Mmmm mana dia pergi ek?" Maka kami pun ramai-ramai turun bawah meraikan. "Aah la... motor dah takda... haha"
Sambil garu kepala, berjalan-jalan la pusing beberapa blok di Abu Risy tu, melihat kalau-kalau masih ada kelibat motor biru Bajaj Pulsar 180 cc yang tak sampai 5 bulan tu. Dalam hati kata, "Dah takda rezeki, nak buat macam mana...".
Dipendekkan cerita, jalan punya jalan, Ihsan jumpa motor tu, tersadai tepi jalan nak ke Zenhom. "Alhamdulillah!". Keadaan yang menyedihkan, tengkuknya(kunci leher) patah, dan jugular veinnya(kabel elektrik) putus dipotong. Dah tak bernyawa lagi. Tapi Alhamdulillah, jasadnya masih segak.
Rupa-rupanya, perompak motor tu dah siap kena belasah dah dengan sekawan Arab Mesir di kawasan tu. Mamat Arab tu siap tunjuk video yang dia rakam dengan telefon bimbitnya, kelihatan teruk pencuri tu dibelasah. Pipi(Zygomatic Arch) kirinya pecah, dah mukanya berdarah-darah. hai, terlebih ganas pula Arab nih!
Si pencuri sudah diserahkan kepada pihak tentera di balainya berdekatan Hospital Mounirah, dan semuanya selesai Alhamdulillah. Cuma Arab yang tolong tu kena bayar sejumlah 500 junaih kepada tentera atas prosedur yang saya pun tak faham. Sebab belasah pencuri, hantar kepada tentera, dan motor tu bukan milik mereka. Lebih kurang macam tu lah. maka saya pun dengan sedihnya bayar kembali 500 junaih tersebut kepada mereka sebagai tanda terima kasih. (?)
Rupanya baru sedar kejap tadi, "aku dah kena tipu ngan Arab buat kesekian kalinya..." haih... Takpalah, halal je lah...
Kunci leher dah patah
Pengajaran
Lepas kejadian, kehidupan seharian diteruskan macam biasa. Makan roti sapu Kaya jenama Yeo's. Saya pun kata kepada Nabil,
فَبِأَيِّ آلَاء رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ
Maka nikmat Tuhamu yang manakah yang kamu dustakan?
Perkara pertama yang perlu diambil perhatian adalah, sejauh mana kita bersyukur dengan apa yang kita ADA, sampai kita tak merungut dengan apa yang kita TIADA. Bila nikmat tu ada di tangan kita, tak teringat pun kita nak berzikir. Bila dah tiada, barulah zikir-zikir yang dihafal semua terkeluar. Terlafaz. Kalau jumpa semula, lagi lah! Punya sujud syukur solat sunat zikir munajat bagai. Lepas sehari dua, tiba-tiba dah 'terlupa' semula nikmat tu. itulah norma kita sehari-hari.
Sila bermuhasabah...
Zuhud = Compang-camping?
Perkara kedua, berkaitan sifat zuhud. Bila cakap zuhud, automatiknya terkeluar gambaran seorang yang selekeh berpakaian compang-camping. Miskin dan 'sempoi'. Padahal, jika nak memahami sifat zuhud itu, mudah saja.
Zuhud itu maksudnya, harta terletak hanya di tangannya, bukan di hatinya. Jika harta di tangan, kalau terlepas harta itu, tangannya masih bebas dan bahagia. Tidak menjejaskan si pemiliknya. Tapi jika hartanya di hati, hilang harta tu, tak keruan jadinya. Macam-macam terjadi, panas baran, tak puas hati, risau, tak seang duduk, menyesal, dan sebagainya.
Saya masih tak teruji lagi dengan kehilangan harta yang mahal harganya (macam sahabat-sahabat seperti Penemang, Sayuti, Rahman Nik, Duang, dan yang seangkatan). Syukur, dah hilang motor tu, jumpa semula. Kalau tak jumpa-jumpa, macam mana ye..... Allahu A'lam.
Tawakkal
Pengajaran buat saya, yang hanya bertawakkal dengan kunci leher motor sahaja. Tak cukup tu. Konsep tawakal, adalah setelah kita berusaha sedaya upaya, sehabis baik, menggunakan segala modal yang mungkin, barulah berserah sepenuhnya kepada Allah. itulah tawakkal.
Maka lepas ni, kena beli rantai dengan mangga sekali. Moga lebih selamat dan aman insyaAllah.
Kan Nabi Muhammad SAW berpesan dalam satu Hadith,
Seorang lelaki bertanya kepada Nabi SAW: "Biarkan untaku dan aku bertawakkal?" nabi menjawab: "Ikatlah ia dan bertawakkal lah." Riwayat Ibn Hibban.
Pengajaran Akhir
Pengajaran ni, Ijut yang berikan kepada saya. Terima kasih daun keladi ya. Iaitu, barang yang hilang, jangan dikenang. Tapi, yang hilang dengan kuasa Allah boleh datang kembali. Maka, jangan kecewa amat jika 'terlepas' sekali, mungkin saja 'ia' kembali nanti. Berdoa dan berharaplah kepada Allah, sebab Dialah yang mengatur segalanya. :)
Sekian sahaja, pesanan saya kepada Mat-mat Motor seluruh Kaherah,
"Korang tak rock kalau korang tak rantai motor korang sekali dengan mangga solex!" haha.
Kenal pasti 'kawasan hitam' yang pernah mengorbankan motor sebelum ini. (macam depan imarah madsha. opss)
Terima kasih atas pertolongan sahabat-sahabat, Ihsan Ruslan, Damak, Ijut, Idris, Nabil, Madsha, Faris, Faeid, dan Copuk(ada sekali?). Jazakumullah kheir.
Saya tak serik nak parking motor depan rumah anda lagi. InsyaAllah. :)
Sekian, wassalam~