الحمد لله و الصلاة و السلام على رسول لله
1. Semenjak setengah tahun belakangan, kadar penulisan saya di dalam blog ini menurun dengan dramatiknya. Bukan tiada idea atau masa, tapi tiada kudrat dan minat.
2. Tulisan saya didapati agak panjang, untuk ditulis, dan dibaca. Akhirnya jarang tulisan ini dibaca dan diberi respon.
3. Sewaktu menanti waktu penerbangan KL-Muscat-Cairo kelmarin, saya tertarik untuk membeli sebuah buku kompilasi pilihan artikel Tun Dr. Mahathir Mohamad bertajuk "A Citizen's Right" dengan 'tagline' yang menarik berbunyi "Blogging To Unblock". Benarlah katanya, bahawa tulisan adalah untuk merentas halangan, menembus pemikiran, membuka laluan.
4. Sesuatu idea tidak bermakna jika ianya tidak difahami atau tidak sampai kepada yang lain.
5. Insan-insan hebat, berpengaruh dan punyai daya pengubah masyarakat kebanyakannya penyampai idea yang bernas, kebanyakannya melalui tulisan. Mereka sentiasa menulis apa yang difikir, mencatat apa yang dilalui, dan memberitahu apa yang dirasai lantas memberi aspirasi.
6. Maka azam saya, biar sesibuk mana pun saya dengan pelajaran dan organisasi, harus sentiasa menulis dan mencambah idea. Walaupun sedikit, biar konsisten. Moga-moga masyarakat beroleh manfaat, dan saya beroleh berkat.
7. Nabi kita Sayyiduna Muhammad Sallallahu 'alaihi wasallam ada bersabda;
خَيرُ الأعْمالِ إلى الله أدْوامُها و إنْ قَلَّ
"Sebaik-baik amal di sisi Allah adalah yang paling konsisten, walaupun sedikit"
والحمد لله