السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
الحمد لله و الصلاة و السلام على رسول لله
1. Alhamdulillah, tarikh keramat 5/5/2013 telah berlalu. Awal pagi 6/5/2013 SPR Malaysia telah mengumumkan keputusan PRU ke-13 dengan 133 kerusi parlimen dimenangi oleh BN dan baki 89 dimenangi PR. Kerajaan Pusat terus diterajui oleh BN, sesuatu yang amat berat di hati saya.
2. Ada yang menyatakan bahawa PRU 13 telah melabuhkan tirainya. Namun, saya berpendapat sebaliknya. Selepas keputusan PRU 13 diwartakan, masih ada 21 hari untuk mana-mana pihak menfailkan petisyen untuk membantah mana-mana keputusan PRU, atau mendakwa salah laku mana-mana pihak.
3. Pasca PRU 13, pelbagai perkara pahit manis berlaku. Ada yang menerima kekalahan masing-masing, ada yang bergembira dengan kemenangan, dan ada pula yang tidak menerima keputusan atas pelbagai dakwaan. Antaranya, pengundi 'hantu' dari kalangan warga asing, pengundi yang mengundi lebih dari sekali, peti undi 'tambahan'/haram, dan isu 'blackout'.
4. Hasil daripada kejadian-kejadian tersebut, muncul dua golongan ekstrim dalam kalangan yang kalah. Ada yang menolak semahu-mahunya keputusan yang tidak berpihak kepadanya, dan ada yang menerima seadanya sebagai muhasabah bersama, biarpun spekulasi kejadian-kejadian 'pelik' (seperti di atas) tersebar luas.
5. Rentetan dari itu, pihak PR diterajui DS Anwar Ibrahim menganjurkan himpunan demi himpunan bagi membantah keputusan PRU 13 yang lalu. Bermula dengan Kelana Jaya Selangor, dituruti beberapa lokasi lain sekitar Penang, Perak dan lainnya, himpunan ini kelihatan mendapat sambutan hangat dari rakyat, biarpun boleh dikatakan 70% daripada yang hadir adalah dari bangsa Cina.
6. Maka timbul pihak-pihak yang mula mencela tindakan DS Anwar Ibrahim dan 'sekutu' PRnya dengan penganjuran himpunan tersebut, ditakuti menimbulkan perpecahan dan huru-harandalam negara. Pihak ini meminta agar PR menerima dan redha dengan kekalahan dalam PRU 13 dan fokus dengan kerja-kerja yang menanti di kawasan yang dimenangi PR. Yang menarik, ada dari kalangan yang mengkritik tindakan DSAI ini adalah pimpinan tertinggi PKR sendiri.
7. Bagi saya, sebagai rakyat Malaysia yang patuh kepada Perlembagaan Persekutuan dan mendokong demokrasi, semua pihak perlu patuh kepada peraturan yang ditetapkan oleh pihak berautoriti.
8. Kita mempunyai sistem di mana, selepas diwartakan keputusan PRU, tempoh 21 hari diberikan kepada mana-mana pihak yang ingin menfailkan petisyen bagi menolak keputusan PRU atau mendakwa mana-mana kesalahan. Petisyen tersebut haruslah lengkap dengan bukti-bukti yang jelas. Kita juga mempunyai mahkamah yang, bagi saya, terbukti berintegriti. Disebabkan sistem itu wujud, maka rakyat harus berpaut pada sistem yang satu.
9. Dalam masa yang sama, tidak boleh menafikan hak sesiapa sahaja atau mana-mana pihak sekalipun untuk berhimpun atau bertindak selagi mana tidak melanggar peraturan.
10. Dalam kes himpunan 'blackout' ini, pada awalnya, saya berpendapat ianya patut diadakan bagi menunjukkan sokongan rakyat terhadap keseriusan dakwaan kepincangan pengurusan PRU oleh SPR, meningkatkan kesedaran rakyat untuk bangkit jika benar ada penyelewengan, dan juga untuk maningkatkan lagi sokongan terhadap PR. Tambahan pula, ia terbukti berjalan tanpa melanggar peraturan.
11. Namun, saya rasa kurang enak apabila isi-isi ucapan dan agenda himpunan tersebut banyaknya berkisar sentimen dan emosi, ditambah dengan sedikit dakwaan-dakwaan tanpa fakta yang kritikal.
12. Maka pendirian saya adalah, perhimpunan ini perlu diadakan, tetapi cukup bilangannya sekadar apa yang telah diumumkan dengan tempoh masa seminggu dua ini sahaja. Pengisian himpunan ini juga haruslah penuh fakta dan hujah profesional, bukan sekadar sentimen dan emosi. Selagi ianya berjalan mengikut peraturan, tiada siapa berhak menghalang usaha himpunan ini. Bagi saya, ianya bagus dari sudut meraikan semangat rakyat yang cintakan keadilan dan berani bersuara bila haknya dirampas.
13. Tapi apakan daya, politik berkait dengan memenangi hati rakyat. Politik juga menentukan arus semangat dan emosi pengikut. Selagi ianya mengikut peraturan, biarkan lah. Namun, dari segi moralnya, saya tidak bersetuju dengan mana-mana pihak yang cuba memanipulasi kecaknaan rakyat terhadap perkembangan politik dan semangat anti-penyelewengan rakyat. Apa-apa perkara pun, jika dilakukan secara berlebihan ianya tentu sekali buruk. Semangat dan emosi yang tidak disandarkan dengan kefahaman dan kewarasan akal fikiran, akan membawa keburukan lebih dari kebaikan.
14. Dalam masa yang sama, petisyen perlu disiapkan sebaik mungkin, demi membuktikan dakwaan-dakwaan keras PR terhadap SPR. Jika terbukti kemenangan sepatutnya berpihak kepada PR, ianya akan berpihak kepada PR. Begitu juga sebaliknya. Mahkamah akan mengumumkan keputusannya dalam masa 6 bulan.
15. Selaku rakyat Malaysia yang semakin matang dalam berpolitik, mari lah kita berfikir dan bertindak rasional. Jika semua pihak berbuat sesuka hati di luar kotak Perlembagaan Persekutuan, tentulah kekecohan berlaku.
16. Sejarah membuktikan, pihak UMNO sendiri pernah menfailkan petisyen terhadap keputusan pilihanraya, dan banyaknya gagal. Prnah juga PAS menfailkan petisyen terhadap satu kerusi DUN, dan menang. Maka, apa yang kita takuti?
والحمد لله رب العالمين