السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
الحمد لله و الصلاة و السلام على رسول لله
1. "Semangatnya, sampai sanggup balik seminggu je untuk PRU!" Ini adalah reaksi mak saya apabila memberitahu bahawa saya sudah membeli tiket kapal terbang pulang ke Malaysia.
2. Mengapa saya sanggup pulang dari Mesir ke Malaysia selama hanya seminggu? Ia bertitik tolak dari tarikh PRU 13 yang kebetulan 'kena' dengan beberapa cuti umum di Mesir. 1/5 (Rabu) cuti Hari Pekerja. 3/5 & 4/5 adalah Jumaat dan Sabtu, cuti hujung minggu di Mesir. 5/5 & 6/5 (Ahad dan Isnin) pula cuti umum perayaan masyarakat Kristian, Sham An-Naseem. Majoriti universiti dan fakulti memberi cuti sehingga 9/5 (Khamis). "Elok sangat lah tarikh PRU 13 ni!"
3. Saya sudah mendaftar sebagai Pengundi Tidak Hadir (PTH). Maka, nama saya secara automatiknya tidak akan tersenarai di pusat mengundi di Malaysia, kerana saya perlu mengundi di kedutaan. Namun, kebetulan biasiswa bulanan JPA masuk lebih awal dari biasa untuk bulan 5, ditambah pula elaun buku, maka saya mempunyai lebihan wang saku lebih awal dari biasa!
4. PRU 13 mencatat rekod pengundi pertama kali (first time voter) paling tinggi dalam sejarah, kurang lebih 80%. Saya merupakan salah seorang daripadanya. Ini merupakan pengalaman pertama saya sebagai seorang pengundi, dan juga penggerak jentera, jika saya pulang. Maka, saya merasakan harga pengalaman itu tidak ternilai berbanding wang ringgit.
5. Alhamdulillah, biarpun hanya 3 hari sebelum dan 4 hari selepas tarikh mengundi, suasana PRU 13 dapat dirasai secara langsung.
6. Ramai yang bertanya saya, "Apa yang kau dapat dari PRU 13 ni?"
7. Saya melihat, PRU 13 menyaksikan kesedaran politik (political awareness) dalam kalangan anak muda jelas dirasai. Rakan-rakan yang selama ini senyap menyepi dari membincangkan isu-isu kenegaraan, sudah mula bersuara. Laman-laman media sosial seperti 'facebook' dan 'twitter' memainkan peranan utama dalam membawa arus maklumat.
8. Namun, dengan kadar peningkatan tahap kesedaran politik anak muda yang tinggi, memerlukan peningkatan tahap pemikiran dan pendidikan yang tinggi juga. Malangnya, kadarnya tidak seimbang. Kebebasan penyebaran informasi yang melaut luas, tidak seimbang dengan kematangan pemikiran rakyat, terutamanya anak muda. Sebagai contoh, tiada peningkatan kadar membaca yang menyusuli kadar kebebasan maklumat. Tiada sifat mencari sendiri maklumat, menapis dan berfikir seterusnya membuat pertimbangan berasaskan pendirian sendiri. Anak muda seronok menerima dan menyebar informasi dengan semangat dan emosi, sekadar mengikut 'arus kebangkitan'.
9. Situasi ini sudah tentu sukar dibendung oleh 'orang-orang tua' atau pimpinan parti, seterusnya meningkatkan kecenderungan semangat anak muda ini dimanipulasi.
10. Namun, ini lah cabaran masa kini. Cabaran sentiasa ada, semakin hari semakin kompleks. Dan ini adalah cabaran masa kini. PRU 13 ini menunjukkan tahap kematangan pemikiran anak muda kita. Ia bukanlah sesuatu yang negatif secara total.
11. Di samping itu, saya sangat tidak bersetuju dengan manipulasi media prima di Malaysia yang jelas-jelas berat sebelah. Namun, satu perkara yang saya seronok adalah, apabila mendapat tahu kebanyakan masyarakat di Bangi khsusnya dan Selangor umunya sudah tidak menonton TV 3, RTM atau yang sewaktu dengannya. Utusan Malaysia dan Berita Harian juga hanya menjadi kertas bungkusan nasi lemak. Alhamdulillah.
12. Saya bersyukur, DUN Bangi dimenangi oleh Ustaz Shafie Bin Ngah dari PAS, dengan tagline "Meneruskan Kecemerlangan". Rakyat Selangor, di Bangi contohnya menikmati suasana kehidupan yang baik. Selain dari pertumbuhan ekonomi dalam bentuk pembangunan pesat di sana-sini, budaya ilmu dan pengimarahan masjid bertumbuh subur sejak sepenggal PR menguasai Selangor. Itu salah satu perkara yang jelas dirasai di Bandar Baru Bangi.
13. Institusi masjid terletak di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), di bawah autoriti Kerajaan Negeri. Sejak PR mentadbir Selangor, institusi masjid di kebanyakan kawasan lebih bebas dan aktif. Namun, tiada pula saya dengar di Bandar Baru Bangi ini mana-mana masjid dimanipulasi untuk tujuan politik biarpun umum mengetahui Bangi adalah teritori PAS.
14. Kembali kepada persoalan asal. Apa-apa pun, PRU bukanlah segala-galanya, bukanlah pengakhiran. Sekarang adalah tempoh bekerja dan produktiviti. Semua lapisan masyarakat harus menyumbang dengan mempertingkatkan produktiviti dalam bidang masing-masing. Anak muda hari ini akan matang dengan peredaran masa, dengan syarat, mereka sedar apa yang mereka lakukan dan apa yang berlaku di sekeliling mereka. PRU 14 akan datang, anak-anak muda hari ini lah pula berada di barisan hadapan.
والحمد لله رب العالمين
Puisi: Maryam Al-Uzara
4 years ago