Sektor Kesihatan Malaysia Menjelang PRU 13, Siapa Lebih Berwibawa

Sunday, April 28, 2013 by aiyqosim

Bahang Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU 13) bagi negara Malaysia kian terasa.7 hari lagi berbaki untuk jentera-jentera calon yang bertanding memerah keringat merebut kerusi DUN atau Parlimen masing-masing sama ada calon bebas atau mewakili parti.

Selaku mahasiswa tahun akhir jurusan Perubatan, saya tercari-cari isu yang berkaitan dengan bidang saya, sektor kesihatan, dibangkitkan menjelang PRU 13 ini. Saya lalu mencari sumber rujukan utama untuk menghadapi mana-mana pilihanraya sekalipun, iaitu dokumen manifesto parti-parti atau gabungan parti yang bertanding. Hasil pencarian, saya dapati dua dokumen yang relevan bagi membantu saya membuat penilaian tentang tawaran dalam sektor kesihatan menjelang PRU 13, iaitu; Manifesto Barisan Nasional (Menepati Janji Membawa Harapan) dan Manifesto Pakatan Rakyat (Manifesto Rakyat/Buku Jingga).

Lalu saya muat turun kedua-duanya.


Dilema Seorang Bakal Pengundi

Setelah meneliti, jelas-jelas di dalam kedua-dua dokumen tersebut dinyatakan tawaran mereka untuk sektor kesihatan di Malaysia, masing-masing satu muka surat. Namun, persoalan yang bermain dalam fikiran saya adalah, setelah kurang lebih sebulan 'marathon' PRU 13, dan hampir sebulan gendang 'jihad' PRU 13 dipalu secara rasmi, tidak ada satu pun perbincangan atau dialog atau perdebatan diadakan menyentuh isu berkait sektor kesihatan.

Adakah isu berkait dengan sektor kesihatan tidak menarik untuk diperbahaskan? Atau ianya terlalu 'akademik' dan tidak enak untuk dijadikan 'gula-gula' politik? Ataupun ia bukanlah sesuatu yang mudah difahami oleh majoriti masyarakat Malaysia, lantas tidak memberikan tarikan politik kepada parti-parti yang bertanding? Mungkin juga kerana faktor komuniti profesional sektor kesihatan yang jumlahnya kurang dari 1% rakyat Malaysia, menyebabkan isu berkait sektor kesihatan tidak popular.

Politik di Malaysia lebih rancak bermain dengan isu ketirisan, penyalahgunaan kuasa dan duit, manipulasi berat sebelah media, penyelewengan, kos sara hidup, perpaduan nasional, keselamatan, turun harga minyak dan kereta, percuma sana dan sini, dan lebih malang lagi, isu-isu peribadi yang akhirnya mencetuskan budaya politik lucah dan politik fitnah.

Jika ditinjau perkembangan politik di negara-negara maju, seperti Amerika Syarikat contohnya, di antara isu yang hangat diperdebatkan sepanjang pilihanraya presiden mereka adalah tawaran kedua-dua calon untuk menyelesaikan isu sektor kesihatan dalam negara. Penyandang Presiden ketika itu, Barrack Obama menawarkan pelan kesihatannya 'Obamacare' dan pencabarnya, Romney menawarkan satu sistem lain yang telah dieksperimenkannya selama memegang jawatan Gabenor Massachusetts. Saya teringat suatu ketika dahulu, parti yang menyandang pentadbiran negara Jerman telah 'dijatuhkan' di dalam pilihanraya hanya kerana isu alam sekitar!

Mengenangkan kembali politik tanah air tercinta yang sarat dengan budaya politik lucah dan fitnah, dengan media berat sebelah, "Aduhh, sedihnya!" Mentaliti masyarakat kita masih di tahap Dunia Ketiga dan kebanyakan negara Arab nampaknya. Media berat sebelah, politik lucah, fitnah, dan ugut-mengugut sehingga membawa kepada ancaman nyawa.

Maka siapa lagi yang patut membincangkan isu-isu yang tidak kurang kritikalnya seperti isu sektor kesihatan, kalau bukan para mahasiswa jurusan sains kesihatan itu sendiri?

Sasaran tulisan ini adalah untuk memberi pencerahan tentang tawaran-tawaran parti-parti politik berkaitan sektor kesihatan negara menjelang PRU 13 ini. Sasaran lain juga adalah bagi memberi pencerahan tentang neraca kita dalam menilai isu-isu relevan berkaitan sektor kesihatan yang bakal menjawab persoalan, "Apakah yang anak muda harapkan dari sektor kesihatan Malaysia pasca PRU 13 ini?" Atau, "Anak muda pilih siapa?"


Landskap Sektor Kesihatan Malaysia

Bagi menjawab persoalan di atas, kita perlu mempunyai gambaran asas yang baik tentang landskap sektor kesihatan negara kita.

Bidang kesihatan meliputi segala gerak kerja berkait pencegahan penyakit, rawatan-rawatan menyembuhkan pesakit, ubat-ubatan, kesihatan awam, kebersihan, kajian, pembangunan dan dasar-dasar yang berkaitan sektor kesihatan.

Sektor kesihatan di Malaysia diurus tadbir hampir sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan, seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Malaysia dalam hal-hal berkaitan bidang kuasa kerajaan. Kerajaan Pusat bertanggungjawab menguruskan segala-galanya berkaitan ubat dan kesihatan, yang diuruskan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Manakala bidang kuasa bersama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri adalah hal-hal berkaitan kesihatan awam, kebersihan dan pencegahan penyakit.

Institusi kesihatan pula terbahagi kepada dua, iaitu institusi kerajaan dan institusi swasta. Institusi kerajaan terbahagi kepada dua, iaitu hospital dan pusat khidmat kesihatan primer (primary healthcare center). Terdapat dua jenis hospital kerajaan, iaitu hospital kecil / luar bandar (district hospital), dan hospital besar (general hospital).

Pusat khidmat kesihatan primer pula terbahagi kepada 5 jenis dengan fungsi masing-masing, iaitu Klinik Kesihatan (KK), Poliklinik, Klinik Desa (KD), Klinik 1Malaysia (K1M), dan Jabatan Akesihatan Awam.

Institusi swasta pula secara ringkasnya terbahagi kepada dua, iaitu hospital swasta dan klinik persendirian.


Tinggi Rendahnya Sektor Kesihatan Kita

Sebelum kita melihat apa yang ditawarkan oleh parti-parti politik yang bertanding dalam PRU 13, perlu kita tahu sedikit sebanyak status quo sektor kesihatan negara kita. Apakah kejayaan-kejayaan kita dan masalah atau cabaran utama yang kita hadapi di dalam sektor ini.

Mengikut laporan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia bertajuk 'Country Health Plan, 10th Malaysia Plan 2011-2015', Kadar Kematian Bayi (Infant Mortality Rate, IMR) di Malaysia pada tahun 2007 adalah sebanyak 6.3/1000. IMR merupakan diantara kayu ukur kemajuan sesebuah negara. Jika dilihat, IMR Malaysia pada tahun 1990 adalah sebanyak 13.1/1000, telah menurun kepada 6.3 pada tahun 2007. Ini merupakan satu kejayaan bagi negara membangun seperti Malaysia.

Jangka hayat (life expectancy) rakyat Malaysia pula telah meningkat lebih baik dari tahun 1990 sehingga 2007. Mengikut data daripada laporan yang sama, pada tahun 1990 jangka hayat lelaki adalah 68 tahun manakala wanita 73 tahun. Pada tahun 2007, jangka hayat lelaki meningkat kepada 71 tahun dan wanita 76 tahun. Hal ini membuktikan peningkatan kualiti hidup rakyat Malaysia hasil keberkesanan dasar-dasar kesihatan negara.

Dari sudut polisi KKM pula, saya mengambil satu sahaja contoh kejayaan di Malaysia, iaitu polisi 'Control of Tobacco Products Regulation 1993'. Diantara perubahan yang dibawa adalah menaikkan cukai rokok dan peletakan poster anti-rokok pada setiap kotak rokok. Hasil sebuah kajian pada tahun 2006 menunjukkan, dengan peningkatan 10% harga rokok telah menurunkan kadar pembelian rokok sebanyak 3.8%.

Selain itu, sistem khidmat kesihatan primer kita melalui institusi-institusi yang telah saya sebutkan di atas dikatakan antara yang terbaik dari sudut capaiannya (accessibility) dan layak mendapat pujian.

Banyak lagi kejayaan Kerajaan Malaysia dalam meningkatkan kualiti sektor kesihatan negara yang tidak dapat saya tuliskan di sini kerana kesempitan ruang dan waktu.


Cabaran Sektor Kesihatan Masa Kini

Perlu diakui, tiada satu pun kerajaan di dunia ini yang 'maksum' dan tidak mempunyai kelemahan. Di sebalik kejayaan kita di dalam sektor kesihatan, pelbagai cabaran yang perlu diselesaikan oleh pihak kerajaan melalui KKM terutamanya, yang bakal membawa kita kepada pemilihan manifesto yang paling relevan daripada parti-parti yang bertanding di dalam PRU 13.

1. Mengikut data pada tahun 2012, jumlah hospital kerajaan adalah sebanyak 138 buah manakal hospital swasta adalah 220. Jumlah pesakit yang datang ke hospital kerajaan pula adalah sebanyak 2.9 juta (wad) dan 30 juta (klinik) setahun. Jumlah pesakit di hospital swasta pula jauh lebih rendah berbanding hospital kerajaan, iaitu hampir 1 juta (wad) dan 3 juta (klinik). Masalah pertama bukan kerana kurangnya jumlah hospital, tetapi ketidak-seimbangan taburan pesakit diantara hospital kerajaan dan swasta.

2. Jumlah tenaga manusia, terutamanya doktor perubatan, di Malaysia mencecah 36,000 orang (25,845 kerajaan dan 10,762 swasta) dengan nisbah 1:791 rakyat mengikut laporan dari Pusat Informatik Kesihatan (Health Informatics Center) setakat 2012. Nisbah yang ditetapkan WHO adalah 1:600, namun bukan nisbah ini yang merisaukan. Mengikut kajian, menjelang tahun 2020, negara akan mencapai nisbah doktor 1:500. Nisbah doktor gigi pula adalah 1:6810 orang rakyat, manakala ahli farmasi pula 1:3385 orang rakyat. Tetapi yang merisaukan adalah, hampir kesemua kategori ini mencatatkan lebih daripada 50% tenaga profesional berkhidmat dalam sektor swasta, sedangkan lebih daripada 70% pesakit wad adalah di dalam hospital-hospital kerajaan. Sekali lagi, masalah yang timbul adalah ketidak-seimbangan diantara kerajaan dan swasta.

3. Mengikut dokumen 'Health Fact 2012' oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, belanjawan negara untuk sektor kesihatan adalah sebanyak RM 16.8 bilion iaitu 7.25% dari keseluruhan belanjawan negara. Sekilas pandang, ia adalah jumlah yang besar, sedangkan jika dibandingkan negara-negara lain, kita agak terkebelakang. Negara Thailand memperuntukkan 13% untuk kesihatan, manakala Jerman sebanyak 19%. 77% daripada perbelanjaan kesihatan rakyat Jerman ditanggung oleh kerajaan mereka.

Jika dilihat kepada jumlah peratusan wang yang dibelanjakan berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, untuk sektor kesihatan, sebanyak 4.7% diperuntukkan untuk kesihatan. Nilai ini jauh lebih rendah dari nilai purata sebuah negara 'upper middle income' seperti Malaysia, bahkan ianya lebih rendah berbanding nilai purata bagi negara 'low middle income'. Sektor kesihatan di Malaysia mendapat peruntukan kewangan yang amat rendah dari purata sebuah negara berstatus 'upper middle income' seperti Malaysia. Hal ini menunjukkan sektor kesihatan di Malaysia seolah-olah 'dianak-tirikan'.

4. Dasar penswastaan perkhidmatan kesihatan telah bermula seawal 1980-an lagi. Penswastaan khidmat kesihatan ini masih terkawal lagi sehingga beberapa tahun kebelakangan ini. Jika dilihat kepada laporan oleh 'National Health Accounts 2007', menyatakan bahawa bermula dari tahun 2004 sehingga kini, perbelanjaan kesihatan (expenditure on health) swasta telah melebihi 55.6% dari jumlah keseluruhan perbelanjaan kesihatan. Sektor kesihatan telah didominasi oleh pihak swasta, melebihi kerajaan.

5. Dasar kesihatan Malaysia lebih tertumpu kepada khidmat kesihatan primer (primary healthcare) iaitu rawatan penyakit, lebih daripada khidmat kesihatan tertiari (tertiary healthcare) iaitu pencegahan penyakit dan pendidikan kesihatan.

Hasil daripada semua masalah di atas, berlakulah peningkatan bebanan kerja di institusi-institusi kerajaan, kesesakan dan meningkatnya waktu menunggu. Hal tersebut juga mengganggu keselesaan pesakit dan mengurangkan kualiti perkhidmatan. Lahir juga lebih ramai pegawai perubatan yang tidak kompeten. Akhir sekali, segalanya membawa kepada peningkatan ongkos perkhidmatan kesihatan.

Di dalam dokumen 'Country Health Plan, 10th Malaysia Plan' oleh KKM, digariskan sebelas cabaran utama sektor kesihatan di Malaysia. Tiga daripada sebelas cabaran utama tersebut adalah berkait rapat dengan kewangan.

Maka jelaslah di sini bahawa masalah atau cabaran utama yang perlu ditangani dalam sektor kesihatan Malaysia adalah kewangan dan ketidak-seimbangan tenaga manusia.


PRU 13, Tawaran Kesihatan BN Menepati Janji Membawa Harapan

Bagi yang masih belum meneliti dokumen manifesto BN & PR untuk PRU 13 ini, saya sarankan supaya anda muat turun kedua-dua dokumen ini dan baca sendiri serta nilai dengan akal fikiran dan pancaindera yang telah Allah kurniakan.

Di dalam dokumen manifesto BN, Menepati Janji Membawa Harapan, dititipkan di muka surat 10, tawaran perkhidmatan kesihatan mereka. Diterangkan tawaran BN kepada rakyat Malaysia di samping apa yang telah Kerajaan Malaysia berikan kepada rakyat Malaysia dari sudut khidmat kesihatan sepanjang tiga tahun belakangan ini.

Saya dapati bahawa 'aset' utama BN di dalam manifestonya adalah Klinik 1Malaysia (K1M). Setakat tahun 2012, sebanyak 175 buah K1M telah dibangunkan. Secara luarannya, K1M dilihat sebagai satu usaha yang baik dalam meningkatkan akses khidmat kesihatan meluas ke seluruh negara dan perkhidmatannya hanya dikenakan bayaran RM 1. Ditambah dengan jenama '1 Malaysia'nya, K1M adalah satu daya tarik untuk rakyat mengundi BN.

Namun, K1M yang banyak tertumpu di kawasan Lembah Klang dan bandar-bandar, dilihat menjadi satu ancaman kepada klinik-klinik persendirian. K1M merupakan institusi kesihatan yang ringkas, diurus oleh sekurang-kurangnya seorang Pembantu Perubatan (Medical Assistant), jururawat dan beberapa pegawai lain. K1M hanya mampu mendiagnosa penyakit batuk, selesema, dan merawat luka-luka kecil sahaja. K1M juga hanya berautoriti memberikan ubat-ubatan yang terhad seperti paracetamol dan beberapa ubat lain.

Berdasarkan dapatan-dapatan dan pendapat umum, K1M dilihat oleh para profesional perubatan sebagai 'gula-gula' politik, kerana ia menjalankan fungsi yang sama dengan institusi setaraf Klinik Kesihatan (KK) yang sedia ada, cuma diberi nama yang lebih menarik.


1Care 1Malaysia

Bagi saya, apa yang perlu lebih diberi perhatian adalah polisi kesihatan baru, '1Care' yang sekarang sedang dalam perancangan fasa terakhir. 1Care merupakan polisi yang dicadangkan KKM sejak awal tahun 2010, dan dijangka digazetkan pada tahun 2014. Walaupun ianya tidak dimasukkan dalam manifesto BN, namun PRU 13 ini bakal menentukan nasib polisi ini, kerana terlaksananya polisi 1Care ini akan dibahaskan di dalam parlimen dan keputusannya bergantung kepada suara majoriti di dalam Parlimen Malaysia.

1Care adalah satu dasar kesihatan baru yang bertujuan untuk menyelesaikan krisis kewangan yang melanda negara untuk menampung beban kewangan yang besar dan sentiasa meningkat dalam sektor kesihatan. Secara ringkasnya, konsep 1Care adalah, cukai sehingga 10% akan dikenakan terhadap gaji setiap rakyat Malaysia demi menampung perbelanjaan kesihatan negara. Sistem insuran kesihatan tersebut akan diuruskan oleh syarikat yang dilantik kerajaan. Setiap rakyat akan mendapat seorang doktor yang akan menjadi tempat rujukan bagi segala masalah kesihatan. Turut ditetapkan adalah bilangan temujanji maksimum yang boleh dibuat oleh setiap rakyat.

1Care telah mendapat pelbagai reaksi. Secara umumnya, ia merupakan satu cadangan yang baik untuk mengurangkan beban kerajaan terhadap sektor kesihatan yang sentiasa meningkat perbelanjaannya. Namun, ia mendapat tentangan hebat dari para pengamal perubatan, terutamanya pihak swasta.

Sekadar memetik kenyataan akhbar Persekutuan Pengamal Perubatan Swasta pada 3 Februari 2012, "1Care tidak menyelesaikan masalah dan menjejaskan kesejahteraan kerana perkhidmatan kesihatan diserahkan kepada orang luar". Tiada dialog berkesan diadakan dengan semua pihak yang berkaitan, seperti kumpulan pengguna dan kumpulan-kumpulan pengamal perubatan di Malaysia, menyebabkan cadangan 1Care ini dilihat bermotifkan politik dan tidak serius.

1Care dari sudut sistem dan matlamatnya bukanlah perkara yang besar (walaupun tetap mendapat tentangan hebat). Perkara yang lebih menimbulkan persoalan jika polisi 1Care digazetkan adalah, siapa yang bakal mendapat kontrak menguruskan insurans kesihatan 1Care, syarikat manakah yang akan mendapat kontrak-kontrak ubatan, dan siapakah yang akan menentu-atur doktor-doktor bertugas untuk sistem tersebut? Terlalu banyak lompong yang masih menimbulkan tanda tanya dan ketidak-yakinan rakyat terutamanya komuniti profesional sektor kesihatan terhadap polisi baru ini.

Secara keseluruhannya, dapat saya simpulkan bahawa tawaran BN untuk sektor kesihatan adalah meningkatkan akses khidmat kesihatan, menambah kemudahan-kemudahan seperti pusat dialisis, sistem sokongan untuk warga tua, diskaun harga ubat melalui kad prihatin, dan Klinik 1Malaysia. Tidak dilupakan juga, polisi 1Care yang akan dibahaskan dan kemungkinan diluluskan jika BN memenangi PRU 13.


Tawaran Kesihatan PR, Manifesto Rakyat

Mari kita lihat pula tawaran pelan kesihatan oleh PR di dalam Buku Jingganya.

Perkara pertama yang ditawarkan oleh PR dalam sektor kesihatan adalah menolak sebarang usaha untuk mengenakan cukai kesihatan seperti yang dicadangkan melalui 1Care. Perkara ini amat menarik kerana ia bertentangan secara total dengan apa yang ingin dibawa oleh pihak kerajaan, iaitu 1Care.

Tawaran-tawaran lain PR adalah memberikan beberapa khidmat kesihatan utama yang lain secara percuma. PR secara umumnya dalam PRU 13 ini dilihat cuba menawarkan manifesto yang banyak melibatkan penurunan harga dan tawaran percuma, sehingga mengundang perlian dan kritikan beberapa pihak yang mempersoalkan kemampuan segalanya diberikan percuma. Termasuk dalam tawaran percuma ini adalah khidmat kesihatan.

Namun, dinyatakan juga di dalam perkara keempat tawaran kesihatan PR adalah menghapuskan monopoli pembekalan ubat, pembinaan hospital dan kelengkapan hospital yang dikatakan berkait rapat dengan elit kekuasaan yang mengaut keuntungan melampau. Saya melihat, tawaran PR lebih kepada mengurangkan pembaziran-pembaziran dan menghapuskan ketirisan kewangan yang didakwa berlaku selama ini dalam sektor kesihatan. Dengan itu, perbelanjaan kesihatan negara dapat ditampung dan memberikan perkhidmatan percuma kepada rakyat.

PR di dalam kempen-kempennya juga ada mendedahkan masalah sebenar sektor kesihatan negara yang sebenar, iaitu masalah kronisme dan ketirisan kewangan.

Sebagai contoh, pada tahun 2010 sahaja, sejumlah RM 321 juta dihabiskan oleh KKM untuk membeli ubat secara 'rundingan terus' dari syarikat yang didakwa kroni, seperti Pharmaniaga. Bgitu juga anak syarikat Pharmaniaga, iaitu Pharmaniaga Logistic diberi konsesi selama 15 tahun untuk membekalkan kelengkapan kepada KKM.

Selain itu, sekurang-kurangnya 7 buah hospital telah dijanjikan oleh BN untuk disiapkan, namun, sehingga kini ianya hanya tinggal janji. Hospital-hospital tersebut adalah Hospital Tanjung Karang, Hospital Parit Buntar, Hospital Pendang, Hospital Bandar Baru, Hospital Petra Jaya, Hospital Bera dan Hospital Rembau.

Hospital Rembau contohnya, telah dirasmikan dan diletakkan batu asasnya oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato Seri Mohammad Hasan pada7 Mac tahun 2008 dan telah diperuntukkan sebanyak RM 100 juta. Namun, hingga kini, yang ada hanya batu asas sahaja.

Begitu juga projek Hospital Information System (HIS) yang telah dilancarkan semenjak Mac 2002, sebanyak dua fasa dan dianggarkan kerugian sebanyak RM 16.5 juta.

Ini adalah diantara dakwaan PR terhadap masalah sebenar sektor kesihatan Malaysia yang selama ini diurus tadbir oleh BN.

Secara keseluruhannya, tawaran PR lebih kepada menghapuskan amalan kronisme dan ketirisan kewangan yang akan memulihkan status kewangan kerajaan, seterusnya mampu memberikan khidmat kesihatan percuma kepada rakyat.

Selain itu, PR juga menawarkan nisbah doktor kepada rakyat sebanyak 1:550 dalam tempoh enggal pertama pentadbiran.

Namun, satu cabaran besar buat PR bagi saya adalah, pengalaman PR yang terhad dan belum terbukti dalam mengurus tadbir sektor kesihatan Malaysia. Hal ini kerana sektor kesihatan selama ini hampir keseluruhannya terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan. Adapun PR telah membuktikan kecekapan urus tadbir yang membanggakan hanya di peringkat Kerajaan Negeri.


PRU 13, Harapan Anak Muda

Kini, pilihan terletak di tangan anak-anak muda harapan negara. Bagaimanakah kita melihat nasib sektor kesihatan di Malaysia? Apakah neraca yang ingin kita guna pakai?

Di sini saya cadangkan beberapa neraca yang boleh kita gunapakai demi menilai tawaran-tawaran yang diberikan oleh kedua-kedua parti komponen, BN dan PR melalui manifesto masing-masing.

1. Adakah tawaran mereka menepati Objektif, Visi dan Misi KKM dan WHO?

2. Adakah tawaran sesuai dengan cabaran-cabaran terkini dan mampu menyelesaikan masalah sebenar dalam sektor kesihatan kita?

3. Bagaimana pula kredibiliti dan pengalaman mereka mentadbir selama ini?

4. Adakah tawaran mereka memberi keuntungan kepada negara dan rakyat dalam jangka masa panjang?


Ingin saya berikan pandangan tentang harapan saya terhadap sektor kesihatan Malaysia pasca PRU 13 ini.

Saya amat berharap agar ;

1. Amalan kronisme dan ketirisan urustadbir kewangan dihapuskan sama sekali dalam sektor kesihatan, bagi menjamin kualiti khidmat kesihatan terbaik dan kewangan mencukupi untuk perbelanjaan sektor kesihatan

2. Meningkatkan keberkesanan dan kualiti sistem kesihatan, bukan hanya menambah infrastruktur fizikal dan slogan yang polulis

3. Sektor kesihatan dijauhkan dari manipulasi ahli politik atau pihak berkentingan dan janji-janji kosong

4. Penekanan khidmat kesihatan tertiari dan pendidikan kesihatan demi meningkatkan mutu kesihatan rakyat Malaysia dan mengurangkan beban kerajaan dalam menangani masalah kesihatan

5. Meningkatkan penglibatan semua golongan dalam komuniti profesional kesihatan dalam menentukan polisi berkaitan sektor kesihatan negara, bukan hanya terletak di tangan ahli politik atau orang yang tidak berkelayakan

6. Melakukan desentralisasi, iaitu menambah peranan Kerajaan Negeri dan pihak-pihak selain Kerajaan Persekutuan dalam mengurustadbir sektor kesihatan negara


Kesimpulan

Sektor kesihatan merupakan salah satu perkara penting yang harus diambil kira dalam menilai kekuatan manifesto sesuatu parti politik. Anak muda terutamanya mahasiswa jurusan sains kesihatan harus peka dan berfikiran kritikal dalam membuat sesuatu keputusan, kerana ia menunjukkan tahap kematangan fikiran kita.

Sebelum membuat sebarang kesimpulan terhadap satu-satu tawaran atau manifesto, kita perlu meletakkan beberapa indikator untuk diuji. Sejauh manakah tawaran yang diberikan dapat menyelesaikan masalah sebenar yang berlaku selama ini, dan sejauh manakah ianya menguntungkan negara dan rakyat untuk jangka masa panjang.

Ingatlah, segala keputusan kita akan dipersoalkan. Bagaimana cara kita berfikir akan menentukan kematangan keputusan kita.

Moga artikel ini bermanfaat. Saya mohon maaf salah dan silap.

Selamat mengundi, dan salam PRU 13!
Posted in Labels: , | Comments
Related Posts with Thumbnails

Apture