السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
الحمد لله و الصلاة و السلام على سيدنا رسول الله و على آله
Setiap hari saya keluar rumah berjalan kaki ke kuliah sebelum jam 7.00 pagi. Paling selamat, jam 6.35 pagi sudah melangkah keluar pintu rumah. Berjalan kaki di awal pagi dengan langkah laju mengambil masa 10 minit, tapi jika menghampiri tengahari atau berjalan kadar biasa, mengambil masa 20 minit.
Jam 7.00 pagi setiap hari (Ahad hingga Khamis) bermulanya kelas Dr. Hussein Khairy, pensyarah General Surgery (Pembedahan Am) di Fakulti Perubatan Universiti Kaherah. Beliau juga merupakan Dekan Fakulti. Selesai kelas teori jam 8.00 pagi, disambung pula 'clinical round' di wad General Surgery sehingga jam 9.00 pagi.
Setiap hari saya melalui jalan yang sama, ke kuliah dan pulang semula ke rumah. Setiap pagi saya akan melewati 3 orang makcik yang konsisten berada di beberapa 'check-points'.
Di hujung simpang sebelah kedai roti berdepanan stesen bas Abu Risy, duduk seorang makcik separuh umur, agak besar badannya. 'Uniform'nya setiap hari sama, jubah hitam dengan tudung hitam, tipikal wanita Mesir kelas hidup rendah ke sederhana.
Profesion makcik ini adalah berniaga. Ya, makcik ni peniaga. Peniaga tisu. Sebungkus tisu berharga 'nuss geneh' ataupun 50 sen Mesir. Setiap hari stok tisunya ada saja. Berbungkus-bungkus, cantik pula bungkusannya, wangi pula tisunya.
Walau miskin mana sekalipun rakyat jalanan di Mesir, jarang yang mengemis tangan kosong. Paling kurang menjual tisu. Ada juga profesion yang berkat, berniaga.
Setiap kali melewati makcik ini, saya menyapa dia dan dia menyapa saya. Saya beli tisu dari dia, dia hulur tisu dengan senyuman. Kekadang, tiada apa yang saya beli, maka saya sapa sahaja. Kekadang, saya bagi 'nuss geneh', tapi tisu saya tak ambil.
Tetapi yang konsisten satu perkara, tiap-tiap kali saya melewatinya, dia akan bagi 'hadiah'. Hadiah tu buat saya tersenyum, sehingga saya melewati makcik kedua di 'check-point' kedua.
Satu hari, satu pagi, saya melalui jalan tipikal ke kuliah, makcik tu tiada. Tiada sebarang 'hadiah' saya terima, dan tiada senyuman dibawa berjalan bersama. Esoknya, saya lalu, tiada lagi. Esoknya pula, saya lalu, tiada lagi!
Selang beberapa hari lagi, di waktu yang sama, nampak akhirnya kelibat makcik tu di tapak 'premis' perniagaannya. Tibanya saya di depan makcik tu, saya bertanya,
"keif al-hāl?" Apa khabar?
"Kunti fein?" Kau pergi mana?
"Ba'ālli zamān ma shuftūsh ent" Dah berapa lama aku tak nampak kau...
Dia balas,
"Alhamdulillah... Ana kuntu mareedh" Alhamdulillah... Aku sakit haritu.
Aku balas semula,
"Rabbena yashfeek!" Moga Allah sembuhkan kau!
Macam hari-hari yang lalu, saya bagi duit, dan dia berikan 'hadiah' kepada saya. Setelah beberapa hari, saya tersenyum kembali dalam perjalanan ke kuliah di awal pagi.
"Nahrak abyadh!" Itu lah hadiahnya.
نَهْرَكْ أبْيَضْ!
"Harimu putih!" Itu lah hadiahnya, jika diterjemah secara literal.
Hari = نهر
Putih = أبيض
Harimu putih! Atau harimu bertuah. Atau 'mat saleh' selalu cakap, "Have a good day!"
Tapi itu bahasa pasar Mesir. Bahasa Arab fushah lain sedikit bunyinya.
Setiap hari, saya bawa hadiah ini ke kuliah, moga-moga Allah kurniakan keberkatan kepada saya sanjang hari. Doa orang miskin, orang sakit, orang lemah, kanak-kanak, dan orang tua itu kan mustajab. Moga-moga insyaAllah.
Alhamdulillah Allah tempatkan saya di Mesir. Dari awal pagi hingga hujung malam hidup berlatarkan kemiskinan, kesederhanaan, hiruk-pikuk, kelu-kesah manusia. Supaya saya insaf dan bersyukur.
Alhamdulillah, tiap hari saya dapat 'hadiah'!