الحمد لله رب العالمين
والصلاة والسلام على رسول الأمين سيد المرسلين محمد وعلى آله وصحبه وسلم
1. Beberapa hari lepas, perbincangan hangat berlaku di laman facebook berkait laporan akhbar Harakahdaily berkenaan kenyataan Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengenai doktor lelaki menyambut bayi.
Baca di sini. Boleh saya simpulkan noktah-noktah penting yang Dr. Zulkifli timbulkan, dalam kita membincangkan isu ini;
i. Saranan beliau agar kerajaan menetapkan agar wanita bersalin disambut oleh doktor wanita sahaja, bukan seperti pengamalan sekarang.
ii. Dengan kemajuan negara yang semakin canggih, tidak mungkin masalah ini (doktor lelaki menyambut wanita bersalin) tak dapat diselesaikan.
iii. Tidak lojik ia tak dapat diubah kerana ia tidak memerlukan akta.
iv. Tidak lojik urusan perbidanan tak boleh diberikan sepenuhnya kepada doktor wanita kerana bilangan doktor wanita dah ramai di bahagian perbidanan.
2. Ramai orang memberikan pandangan terhadap pendapat Dr. Zulkifli tersebut, dan terdapat beberapa kategori respon sepanjang pemerhatian saya;
i. Mereka yang tak bersetuju dan mendatangkan hujah
ii. Mereka yang bersetuju dengan hujah
iii. Mereka yang mempertikaikan ke'aliman Dr. Zulkifli dan mengatakan bahawa beliau tidak faham waqi' atau realiti
3. Laporan akhbar ini menjadi isu yang agak hangat, terutamanya dalam kalangan profesional bidang kesihatan dan syariah. Ada yang menyokong dan ada yang membantah. Saya juga punya pandangan sendiri, namun, beberapa perkara perlu kita jadikan pertimbangan dalam memberi pandangan, iaitu;
i. Dr. Zulkifli merupakan seorang yang 'alim, faqih, bertauliah dan beramanah dengan ilmunya. Boleh rujuk 'track record' beliau.
ii. Yang disebarkan adalah laporan akhbar berkenaan beberapa pandangan beliau terhadap isu doktor lelaki dalam bidang perbidanan.
iii. Yang diketengahkan adalah urusan perbidanan, iaitu salah satu sahaja dari aspek kepakaran seorang doktor pakar perbidanan & sakit puan (OBGYN).
iv. Pandangan tersebut dinyatakan dalam pembentangan kertas kerja bertajuk "Ubat-ubatan Dan Vaksin Yang Tidak Halal : Perbincangan Serta Fatwa Ulama Dalam Penggunaannya Dan Pengurusannya". Pandangannya berkaitan perbidanan kelihatan tiada kaitan langsung dengan tajuk perbincangan asal, iaitu berkenaan vaksin, menunjukkan bahawa pandangan berkait isu perbidanan oleh Dr. Zulkifli itu bukan topik utama, tetapi topik sampingan.
v. Akhbar memetik beberapa pandangan dan penghujahan Dr. Zulkifli berkait isu perbidanan. Sehingga sekarang, tiada sebarang respon dari Dr. Zulkifli khusus berkenaan perbidanan. Malah, tiada laporan atau video slot pembentangan penuh yang dihebahkan.
4. Pada pendapat saya, ia hanyalah satu pandangan sampingan yang tidak dibincangkan dengan mendalam di dalam slot pembentangan Dr. Zulkifli. Dan ia disebarkan melalui laporan akhbar, yang sudah tentu mengambil beberapa potong ayat sebenar Dr. Zulkifli berupa kesimpulan pandangan dan beberapa hujah penting, ditambah dengan ulasan peribadi oleh wartawan.
5. Pendapat Dr. Zulkifli itu tidak boleh dikatakan 100% betul atau 100% salah. Ia juga tidak merendahkan taraf intelektual Dr. Zulkifli dan melayakkan beliau disebut sebagai "orang yang tak faham realiti", atau orang yang "bercakap ikut suka". Namun ia tidak juga patut di iya kan sepenuhnya, kerana sudah tentu Dr. Zulkifli bukan maksum, dan beliau ada kepakarannya tersendiri dan juga kelemahan sebagai manusia biasa. Pandangannya tidak lain dan tidak bukan untuk membuka ruang perbincangan yang lebih serius dalam menjaga maruah dan kehormatan wanita.
6. Saya punya beberapa pandangan, dan persoalan yang perlu dijawab oleh orang yang faqih dalam syariah.
7. Pertamanya, Dr. Zulkifli menyatakan bahawa pengamalan yang berlaku sekarang iaitu doktor lelaki menyambut bayi adalah satu masalah, iaitu dari sudut maruah dan kehormatan wanita. Di sini timbul soal maqasid syariah, iaitu diantara menjaga nyawa dan kehormatan, yang mana satu lebih utama?
8. Keduanya, pada asalnya, hukum melihat aurat manusia adalah haram, dan hukum membuka aurat adalah haram, mengikut kadar-kadar yang telah ditetapkan syara'. Namun, atas dasar perubatan, iaitu satu bentuk darurat, ianya dibolehkan. Persoalan saya, bila kita hendak melarang doktor lelaki melihat kemaluan wanita dalam urusan perbidanan, adakah wanita juga boleh melihat kemaluan wanita lain? Diantara bahagian badan aurat wanita pula, dari sudut syariah, adakah perbezaan taraf aurat bahagian kemaluan dan bahagian lain seperti buah dada dan lain-lain. Saya tidak tahu. Setakat ilmu saya yang cetek ni, ada yang dipanggil "aurat mughollazoh" dan "aurat mukhoffafah". Allahu A'lam.
9. Kalau melihat kemaluan itu sama seperti melihat buah dada misalnya, maka penting juga kita timbulkan isu pakar-pakar bedah yang kerjanya melihat pelbagai bahagian badan manusia, antaranya buah dada wanita. Kerana penyakit berkaitan buah dada selalunya di bawah bidang kepakaran jabatan bedah (surgery department). Kalau di hospital saya, Universiti Kaherah, hanya dua orang sahaja pakar bedah wanita, berbanding puluhan(hampir ratusan) lelaki. Dan saya pasti di Malaysia juga begitu. Majoritinya adalah lelaki yang meng'urus'kan penyakit buah dada wanita. Di manakah pula maruah wanita di sini?
10. Persoalan ketiga, berkait dengan persoalan pertama. Iaitulah, ulasan Dr. Zulkifli yang mengatakan bahawa doktor wanita dalam bidang perbidanan sudah ramai. Saya menyokong kenyataan Dr. Zulkifli ini. Ya benar, doktor pakar perbidanan wanita dah semakin ramai dari dulu. Malangnya, indikasi kita bukanlah ramai, tetapi CUKUP. Ya benar, kita lebih ramai dari dulu, tetapi adalah ianya cukup? Mungkin jumlah pakar dalam sesuatu kepakaran sedikit, tetapi mencukupi. Dalam kes perbidanan, jumlah yang semakin ramai itu tidak mencukupi. Kesempatan yang ringkas ini, tidak sempat saya mendatangkan fakta-fakta terkini, tetapi saya yakin sepenuhnya, bahawa kita masih tidak mempunyai bilangan doktor pakar perbidanan wanita yang mencukupi. Jika secara bilangannya mencukupi sekalipun, jumlah yang kekal di hospital kerajaan jauh lebih kecil kerana ramai yang beralih kepada swasta atas permintaan hospital-hospital swasta yang tinggi terhadap doktor wanita. Kalau ini adalah faktor yang signifikan, maka campur tangan kerajaan adalah relevan dalam hal ini.
11. Persoalan keempat, yang mana lebih aula, jantina seseorang doktor ataupun kepakaran seorang doktor? Jika jantina lebih aula, atas dasar menjaga kehormatan, maka tak perlu doktor-doktor pakar sakit puan yang menguruskan perbidanan. Biarkan sahaja doktor-doktor am atau doktor siswazah wanita yang jumlahnya 'berlambak-lambak' itu menguruskan wanita bersalin. Boleh kah begitu? Bagi saya, kepakaran itu yang paling utama dalam menguruskan sesuatu yang melibatkan nyawa manusia. Sebab itulah, urusan perbidanan memerlukan doktor pakar sakit puan, yang mana mereka sudah melepasi proses latihan yang bukan calang-calang beserta tahap peperiksaan yang pelbagai. Mereka benar-benar berkelayakan. Dan mereka ini, sedikit jumlahnya, dan yang lelaki pula lebih ramai.
12. Di dalam ilmu fiqh, kalau tak silap saya, ada satu istilah dan konsep yang dinamakan "ahlul khibrah". Ahlul khibrah adalah orang yang pakar atau yang berkelayakan untuk sesuatu bidang. Dalam kes perbidanan, sudah tentu ianya adalah pakar perbidanan & sakit puan. Realiti hari ini, lelaki lebih ramai. Mungkin boleh dibincangkan lebih lanjut, mengapa boleh jadi sebegini? Mengapa lelaki lebih ramai? Dan kalau memang kita merasakan satu keutamaan untuk wanita menjadi pakar perbidanan & sakit puan, perlu dibuat konvensyen khusus untuk isu ini melibatkan semua pihak berkaitan. Pakar dari pembuat dasar (kementerian), pakar dari pengamal perubatan, pakar syariah, dan apa-apa lagi yang dirasakan perlu.
13. Saya sempat bertanya Syeikh Dr. Yusri hafizahullah seusai kelas pengajian Kitab Sahih Al-Bukhari sebentar tadi, berkenaan hukum bolehkah doktor lelaki mengambil pengkhususan perbidanan & sakit puan. Dalam kesempatan ringkas selepas kelas, menanti iqamat solat Zohor, maka Syeikh memberikan jawapan ringkas. Sudah tentu perbahasannya luas dan panjang, tetapi tadi bukan waktunya.
14. Jawapan Syeikh ringkas. Tiada masalah untuk doktor lelaki mengambil pengkhususan tersebut, tetapi perlu doktor yang 'amin' atau beramanah. Yang dipercayai. Syeikh menyebut berkaitan ahlul khibrah iaitu prioriti kita adalah 'kepakaran', dan berkaitan realiti dunia perubatan, yang tidak dapat dikuasai oleh satu jantina sahaja, dan bilangan kepakaran yang tidak mencukupi, dan kepakaran yang tidak sama antara lelaki dan wanita.
15. Perlu diingat, Syeikh Dr. Yusri hafizahullah adalah seorang Doktor Pakar Bedah yang masih bekerja sebagai pakar bedah. Beliau mempunyai Master dan Phd dalam bidang pembedahan, tetapi tidak bekerja dalam dunia akademik, hanya bekerja sebagai pakar bedah. Dalam masa yang sama, beliau adalah pakar ilmu hadith, dengan manhaj Al-Azhar As-Syarif. Kepakarannya diperakui oleh Al-Azhar, dan beliau ada menyampaikan pengajian di Masjid Al-Azhar.
16. Perlu juga diingat, bahawa doktor-doktor pakar perbidanan & sakit puan wanita di Mesir jauh lebih ramai berbanding di Malaysia, tetapi doktor pakar lelaki juga jauh lebih ramai. Ramai dalam kalangan doktor-doktor ini 'alim dalam fiqh berkaitan perbidanan, dan masyarakat Mesir secara umumnya ramai yang faham berkaitan fiqh. Terdapat juga institusi Al-Azhar dan Darul Ifta' yang membahaskan isu ini. Namun, realiti tetap sama, pesakit jauh lebih ramai, dan tetap tidak cukup untuk satu jantina(wanita) menjadi pakar perbidanan.
17. Sebagai kesimpulan, saya melihat Dr. Zulkifli mempunyai pandangan yang idealistik buat masa ini, untuk melihat semua wanita bersalin diuruskan perbidanannya oleh doktor wanita atas dasar menjaga kehormatan wanita. Namun di sana terdapat perbahasan fiqh panjang lebar berkaitan isu ini, yang mana saya yakin, Dr. Zulkifli amat arif, dengan kelayakan yang beliau ada dalam ilmu fiqh dan syariah. Pandangannya itu tidak disertakan dengan penghujahan terperinci beserta fakta-fakta semasa dan pendalilan, yang sebahagiannya disebabkan kerana ia hanyalah satu laporan akhbar dan pandangan itu diberikan di dalam satu slot yang tajuknya bukan berkaitan perbidanan. Atas sebab-sebab ini, saya melihat, Dr. Zulkifli hanya sekadar menyampaikan idealisme nya, dan lebih kepada menimbulkan persoalan untuk dibincangkan oleh semua pihak termasuk pembuat dasar iaitu kerajaan.
18. Janganlah kita mudah-mudah menghukum seseorang itu jahil atau tidak faham fiqh atau tidak faham waqi' atau realiti semasa. Seorang 'alim berfikir berdasarkan manhaj fiqh yang baik, dan Dr. Zulkifli seorang 'alim. Sesuatu isu perlu dibincangkan dalam ruangnya yang khusus, bukan hanya bersandarkan satu laporan akhbar yang memetik sebahagian sahaja perkara asal.
19. Isu berkaitan doktor wanita dalam perbidanan ini sudah menjadi topik berbahasan dalam komuniti profesional kesihatan sejak sekian lama, sejak awal 90-an lagi. Banyak NGO dan GO yang lantang bersuara dan membuat kajian. Pada pemerhatian saya, jika dibandingkan status quo doktor-doktor Muslimah dalam bidang sakit puan & perbidanan 20 tahun dulu dengan sekarang, banyak kemajuan telah kita kecapi. Namun, pada pandangan Dr. Zulkifli, ianya tidak layak dengan kemajuan negara kita, dan kita sebenarnya boleh buat lebih baik.
20. Tugas kita adalah meneruskan dan mempertingkatkan usaha menegakkan syariah Allah di atas muka bumi ini. Dalam masa yang sama, memelihara akhlaq Islamiyyah kita. Ingat, tujuan hidup kita adalah Allah, begitu juga tujuan penegakan syariah.
21. Allahu A'lam. Kalau orang yang bergelar doktor dan syeikh pun boleh salah, inikan pula saya yang tidak punya apa-apa kelayakan. Mohon maaf atas segalanya.
والحمد لله رب العالمين