السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
الحمد لله و الصلاة و السلام على سيدنا رسول لله و على آله و صحبه و سلّم
1. Alhamdulillah, segala syukur kepada Allahu Ta'ala atas kurniaan bulan Sya'ban bermula hari ini (10 Julai), kerana dengan Sya'ban lah kita bakal masuk ke pintu Ramadhān Al-Mubārak.
2. Tiga tahun lepas, saya membeli sebuah buku atas cadangan seorang sahabat, buku berjudul "بَيْتُنا فِي رَمَضَان" yang saya terjemahkan sebagai "Rumah Kita Di Bulan Ramadhān" karangan Doktor Akram Ridha. Buku yang menakjubkan ini secara ringkasnya bercerita tentang persiapan kita sebagai Muslim menjelang Ramadhān, dan cara menjalani Ramadhān dengan sempurna. Konsep buku ini menarik kerana penulis menujukan buku ini kepada suri rumah atau para ibu, demi menyiapkan rumah kita sesempurna mungkin menyambut tetamu agung kita, bulan Ramadhān.
3. Perkara yang sering kita, Ummat Islam terlepas dan terlalai saban tahun adalah, mempersiapkan diri dan keluarga dengan persiapan yang betul mengikut syara', pada masa yang tepat. Maka, suka saya kongsikan bab demi bab, intipati buku tulisan Doktor Akram Ridha ini untuk kebaikan bersama. Moga-moga Ramadān kita tahun ini adalah yang terbaik, insyāAllah.
4. Demi menyambut Ramadhān, sudah menjadi sunnah Rasūlullah sallallāhu 'alaihi wasallam untuk bersiap seawal masuknya bulan Sya'ban. Persiapan Baginda Nabi sallallāhu 'alaihi wasallam boleh dibahagikan kepada dua, iaitu persediaan amal perbuatan dan persediaan jiwa.
5. Dua bentuk persediaan dari segi amal perbuatan yang menjadi sunnah Baginda adalah PUASA SUNAT dan AL-QURĀN.
6. Suka saya petik mahfum sebuah Hadith, daripada Sayyiduna Usāmah Bin Zaid radhiyallahu 'anhu bahawa dia berkata, "Aku berkata : Wahai Rasulullah, aku belum pernah melihat engkau berpuasa dalam sebulan seperti yang engkau lakukan di bulan Sya'ban (iaitu banyaknya Nabi berpuasa berbanding bulan lain)". Berkata Nabi sallallāhu 'alaihi wasallam, "Ini adalah bulan yang manusia terleka diantara Rajab dan Ramadhān, dan ia adalah bulan di mana amalan manusia diangkat ke Tuhan Sekalian Alam, maka aku suka amalan aku diangkat ketika aku sedang berpuasa". Hadith diriwayatkan oleh Al-Imām An-Nasāi di dalam sunannya.
7. Amalan kedua yang menjadi amalan Baginda Nabi sallallāhu 'alaihi wasallam adalah banyakkan berdamping dengan Al-Qurān. Sama ada banyakkan membacanya secara bertadabbur, iaitu mendalami maksudnya dan menginsafi ingatan-ingatan yang Allah berikan melalui Al-Qurān. Ataupun banyakkan menghafal, atau mengulang hafalan masing-masing.
8. Bagi persediaan jiwa pula, ada dua perkara yang Nabi sallallāhu 'alaihi wasallam amalkan, iaitu, banyakkan berdoa dan menyebut atau mengingatkan tentang kelebihan bulan Ramadhān Al-Mubārak.
9. Salah satu doa yang Nabi ajarkan adalah, "اللهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي رَجَبٍ وَ شَعْبًا وَ بَارِكْ لَنَا فِي رَمَضَان" yang bermaksud, "Ya Allāh, berkatilah kami dalam bulan Rajab dan Sya'ban, dan berkati kami dalam Ramadhān". Hadith diriwayatkan oleh Al-Imām Ahmad di dalam sunannya.
10. Persediaan jiwa yang kedua adalah banyakkan mengingati kelebihan bulan Ramadhān, dan membaca tentang fiqh puasa Ramadhān. Kita apabila masuk ke dewan peperiksaan, sudah pasti berbulan-bulan persediaan telah kita buat, berbentuk bacaan buku, latih tubi dan sebagainya. Sebelum kita memasak, pasti kita sediakan bahan-bahan mentahnya secukupnya. Bagaimana pula bila kita menghampiri Ramadhān Al-Mubārak yang di dalamnya terdapat malam lebih baik dari 1000 bulan?
11. Akhir kata, marilah kita sama-sama bersedia secukupnya bagi menghadapi Ramadhān tahun ini, mana tahu Ramadhān kali ini adalah yang terakhir buat kita? Ajaklah ahli keluarga bersama-sama menghadapi Ramadhān dengan membuat persediaan secukupnya berupa; puasa sunat, Al-Quran, doa dan membaca berkenaan fiqh Ramadhān serta fadhilatnya.
اللهُمَّ بَارِكْ لَنَا في شَعْبًا وَ بَلِّغْنَا رَمَضَان!
والحمد لله ربّ العالمين