الحمد لله ربّ العالمين
والصلاة والسلام على سيدنا محمد و على آله و صحبه و سلم
Dari Abu Hurairah radhiyallahu 'anhu, bahawa Rasulullah sallallāhu 'alaihi wasallam bersabda, "Dari hari Jumaat sehingga Jumaat (berikutnya) adalah kaffarah (pengampun dosa) diantara keduanya, selagi tidak melakukan dosa besar".
Sedang saya membelek buku kecil bertajuk "Bidāyatul Hidāyah" karangan Al-Imam Al-Ghazāli rahimahullah yang pernah dipelajari lebih kurang 6 tahun lepas, saya terjumpa dengan satu bab bernama "Al-ādāb Al-Jumu'ah", iaitu Adab-adab Hari Jumaat.
Katakanlah umur kita 25 tahun, maka semenjak kita akil baligh (umur 15 tahun), sudah 10 tahun kita hidup. 10 tahun mempunyai sekurang-kurangnya 520 minggu. Sudah 520 hari Jumaat yang kita lalui, adakah satu Jumaat yang benar-benar bermakna buat kita? Adakah satu Jumaat yang kita jalani dengan menyantuni Sunnah Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam?
Masih saya ingat suara Al-fadhil Ustaz Syed Abdul Kadir Al-Joofri hafizahullah sewaktu mengajar kami bab "Al-ādāb Al-Jumu'ah" ini. Bila saya belek kembali kitab kecil tersebut, baru saya sedar, apa yang saya ingat dan amalkan, hanya sedikit berbanding apa yang tertulis dan diajar. Betapa ruginya...
Saya kongsikan beberapa adab sebagai Muslim Ummat Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam, demi menjalani hari Jumaat penuh barakah ini.
1. Bersedialah dari hari Khamis dengan membasuh pakaian, membersihkan bilik (dan rumah), banyakkan bertasbih dan beristighfar. Penuhkan hari Khamis dengan zikir. Juga bersihkan badan dengan memotong kuku dan memotong atau mencukur misai serta bulu badan yang boleh dicukur.
2. Selepas bangun tidur waktu Subuh, disunatkan mandi. Niatkan mandi sunat Jumaat.
3. Bersiap dengan pakaian putih, yang bersih dan cantik. Mengikut Syeikh Nuruddin Al-Banjari hafizahullah, pakaian putih adalah syiar Ummat Islam, disunatkan pakai pakaian putih di hari Jumaat, dan untuk menunaikan Solat Jumaat. Sebaiknya jubah, beserta kopiah. Jika tiada, pakai apa sahaja, asalkan putih, biarpun buruk.
4. Pergi ke masjid awal dengan tenang, dan duduk beri'tikaf di masjid. Sesampainya di dalam masjid, duduk di sof depan.
5. Jangan duduk kecuali setelah solat dua rakaat Tahiyyatul Masjid. Jangan dilupa juga Solat Dhuha.
6. Surah-surah pilihan yang diamalkan Rasulullah sallallāhu 'alaihi wasallam di malam dan hari Jumaat adalah, Surah Al-Kahfi, Surah Al-An'ām, Tāhā, Yāsīn, Ad-Dukhān, As-Sajdah, dan Al-Mulk.
7. Banyakkan berselawat ke atas Baginda Nabi sallallahu 'alaihi wasallam, dan banyakkan berdoa.
Alangkah bagusnya kalau sunnah Nabi ini diamalkan, hari Jumaat dihidupkan. Al-Imam Al-Ghazāli menyebut di awal bab, bahawa Hari Jumaat adalah hari perayaan bagi Mu'minīn. Ianya dikhususkan oleh Allah Ta'āla untuk Ummat Nabi Muhammad sallallāhu 'alaihi wasallam.
Setiap minggu, bilik dan pakaian akan dikemas, badan dibersihkan sebersihnya, dan jiwa rohani diisi dengan bacaan Al-Qurān, zikir, selawat ke atas Nabi sallallāhu 'alaihi wasallam, dan solat sunnat. Ummat manakah yang lebih bersih luaran dan dalamannya selain dari Ummat Islam?
Di Mesir, Alhamdulillah hari Jumaat adalah cuti hujung minggu. Namun, ramai dalam kalangan kita yang melalaikan amalan di hari ini. Mungkin bagi kita, cuti adalah cuti. Cuti bermaksud, tidur dan rehat sepanjang hari. Begitu juga beberapa negeri di Malaysia. Namun, bagi kebanyakan negeri di Malaysia, hari Jumaat masih lagi hari bekerja, langsung mengekang sedikit sebanyak kelapangan Muslimīn untuk meraikan 'perayaan hari Jumaat' dengan amalan sunnah sebanyaknya.
Moga Allah bersama kita. Moba kita terampun dosa. Moga doa kita tiada hijab.
Salam Jumu'ah Mubārakah!
والحمد لله ربّ العالمين