بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العلمين و الصلاة و السلام على رسول الله و على اله و صحبه و سلم
Berapa hari yang lalu ada membelek sebuah buku bertajuk, "Thoriqul Islah" (طريق الاءصلاح) karangan seorang murabbi hebat, Ustaz Majdi Al-Hilali. Beliau bercerita tentang 'perubahan'. Apakah jalan ke arah perubahan. Perubahan yang bagaimanakah yang kita mahukan. Bagaimana untuk melakukan perubahan tersebut.
Di antara perkara menarik yang dikongsikan adalah perihal "at-tahlukah" (التهلكة) yang disebutkan di dalam Al-Quran, Surah Al-Baqarah, ayat ke-195;
وَأَنفِقُوا فِي سَبِيلِ اللَّـهِ وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ ۛ وَأَحْسِنُوا ۛ إِنَّ اللَّـهَ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ
Dan infakkanlah (hartamu) ke jalan Allah, dan janganlah kamu campakkan (diri sendiri) ke dalam kebinasaan dengan tangan sendiri, dan berbuat baiklah. Sngguh, Alah menyukai orang-orang yang berbuat baik
Di dalam buku, Ustaz Majdi Al-Hilali memetik sebuah kisah, yang diriwayatkan oleh Yazid bin Habib;
Di dalam sebuah peperangan dengan tentera Qastantiniyyah, seorang lelaki dari Muhajirin telah merelakan dirinya dibaling ke dalam kubu musuh sebagai satu strategi untuk memecahbelahkan ketumbukan musuh dan, membuka kubu tersebut dari dalam. Turut bersama di dalam peperangan tersebut adalah Sayyidina Abu Ayyub A-Ansari (radhiyallahu anhu).
Apabila melihat kejadian tersebut, maka orang ramai berkata, "lelaki itu telah mencampakkan dirinya ke dalam kebinasaan dengan tangannya sendiri!" (القى بيده الى التهلكة)
Maka berkata Abu Ayyub Al-Ansari, "kami lebih mengetahui ayat Al-Quran ini. Ia diturunkan untuk kami para Sahabat Nabi sallallahu 'alaihi wasallam, kami berperang bersama Baginda, dan menang bersama dalam peperangan. Bilamana Islam telah menang dan tersebar, kami (para Al-ansar penolong agama Allah) telah berkumpul, dan berkata, sesungguhnya Allah telah memuliakan kami dengan bersahabat dengan Nabi sallallahu 'alaihi wasallam dan menolong Baginda sehingga menang dan tersebarnya Islam, ramainya orang-orang Islam, dan kami mendapat kurniaan harta yang banyak, keluarga dan anak-anak. Kemudian kami meninggalkan perang dan pulang kepada keluarga dan anak-anak kami, maka turun ayat Al-Quran;
وَأَنفِقُوا فِي سَبِيلِ اللَّـهِ وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ ۛ وَأَحْسِنُوا ۛ إِنَّ اللَّـهَ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ
Sesungguhnya, mencampakkan diri ke dalam lembah kebinasaan dengan tangan sendiri itu adalah, meninggalkan jihad menegakkan Islam dan bersenang-senang berehat dengan harta dan anak-pinak. Lembah kebinasaan itu adalah meninggalkan tugas kita sebagai Khalifah di muka bumi, iaitu dakwah. Lembah kebinasaan itu adalah meninggalkan amar makruf nahi munkar.
Jika Allah telah mengurniakan kita Islam dan iman di dalam dada, dan juga akal fikiran serta kemampuan fizikal mahupun harta, atau kelapangan masa dan sebagainya, dan kita pula meninggalkan dakwah, maka kita telah mencampakkan diri kita sendiri ke lembah kebinasaan sebenar dengan tangan kita sendiri. Setelah Allah tempatkan kita di lembah yang mulia iaitu Islam dan iman, kita sendiri yang menarik diri sendiri ke lembah kehinaan, jika kita meninggalkan kerja dakwah.
Muhasabah buat kita, Ummat Islam. Sejauh mana kita berusaha meningkatkan kualiti nilai Islam dalam diri kita, dan sejauh mana kita telah memberi kesan baik kepada sekeliling kita. Sejauh mana kita telah berubah, dan telah mengubah yang lain.
Allahu A'lam. Moga-moga kita semua sentiasa dalam jagaan Allah, dan dalam kebaikan. Moga-moga kita terus dan bertambah semangat di dalam melaksanakan tugas kita sebagai khalifah di muka bumi ini. Moga-moga perubahan kita ke arah lebih baik, dan moga-moga kita menjadi agen perubahan dalam masyarakat kita, insyaAllah.
Walhamdulillah...
Allahu A'lam. Moga-moga kita semua sentiasa dalam jagaan Allah, dan dalam kebaikan. Moga-moga kita terus dan bertambah semangat di dalam melaksanakan tugas kita sebagai khalifah di muka bumi ini. Moga-moga perubahan kita ke arah lebih baik, dan moga-moga kita menjadi agen perubahan dalam masyarakat kita, insyaAllah.
Walhamdulillah...