Beralah Lah Hai 'Abang'

Friday, January 4, 2013 by aiyqosim



الحمد لله رب العالمين

والصلاة والسلام على سيدنا محمد و على اله و صحبه و سلم


Saban hari si ibu berpenat lelah memasak di dapur untuk anak-anak dan suami. Sehebat manapun 'chef' di restoran-restoran ternama, masakan ibu tetap yang terbaik. 

Terkadang, setelah penat memasak, si anak yang kelaparan terus 'menyerang' hidangan hingga habis. Ibu yang melihat anaknya sambil dia sendiri kelaparan, tetap tersenyum. Tidak langsung bersedih jauh lagi merajuk...


Suatu masa di pasaraya, si adik bersungguh meminta dibelikan gula-gula. Merengek si adik sambil menarik-narik baju si abang. Akhirnya dibelikan juga gula-gula dengan asikrim sebagai 'bonus'. 

Sepulangnya ke rumah, si abang minta sedikit gula-gula dari si adik. Panjang memunjung mulut si adik tidak mahu menghulur walau sedikit. Kedekut! Si abang tersenyum saja di dalam hati...


Dahulukala, ayah memberi tugas membasuh kereta lamanya. Tugas selalunya diiringi upah. Lagi cepat dan bersih berkilat, lagi tinggi lah upah yang diharap. Diajak juga si adik yang malas itu untuk membantu. Si adik kerjanya hanya menghulur sabun dan kain, selainnya dibuat si abang.

Bila selesai bersih berkilat kereta, ayah pun beri upah mainan kepada si adik. Tak semena-mena si abang merajuk. Mulut memuncung sepanjang hari...


**************


Malam tadi kelas pengajian Sahih Al-Bukhari oleh Syeikh Dr. Yusri Al-Hasani hafizahullah, bercerita bab "Al-Maghazi" (المغازي), perihal peperangan yang disertai Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam.

Sampai kepada kisah pembahagian harta rampasan perang (ghanimah) peperangan Hunain. Kisah yang menyayat hati menunjukkan kepimpinan, kelembutan dan sensitiviti yang ada dalam hati Sayyidina Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam di dalam menggauli manusia.


Sekilas Perang Hunain

Peperangan Hunain sungguh terkenal, digambarkan di dalam Surah At-Taubah, ayat 27-27, sebagai peperangan yang menguji keimanan Ummat Islam waktu itu. 

Peperangan menentang musyrikin yang bergabung di antara Qabilah Hawazin, Bani Tsaqif, dan beberapa qabilah-qabilah kecil lainnya, yang jumlahnya mencecah 20,000 orang. Mereka ini merupakan golongan yang masih angkuh dan enggan tunduk kepada pemerintahan Islam di bawah kepimpinan Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam.

Ummat Islam seramai 12,000 orang terdiri daripada 10,000 yang menyertai Fathul Makkah (mereka yang memeluk Islam sebelum Fahtul Makkah), dan juga baki 2,000 lagi dari kalangan muallaf, yang memeluk Islam sama ada terpaksa, takut, atau masih menyimpan perasaan dendam terhadap Rasulullah.

Setelah tamat peperangan yang panjang kisahnya, tibalah masa Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam membahagikan harta rampasan perang (ghanimah). Setelah dikeluarkan satu per lima (khumus) untuk Rasulullah seperti yang disyariatkan Allah, maka harta yang sekian banyaknya dibahagi-bahagikan.

Banyaknya harta ghanimah peperangan Hunain, meliputi 24,000 ekor unta, 40,000 ekor kambing, dan 4,000 uqiah perak! 4,000 uqiah perak mengikut nilai sekarang, mencapai ratusan ribu ringgit, bahkan lebih.

Sudah tentu pembahagian ghanimah yang sebegini banyak bakal mencabar kebijaksanaan, hikmah dan kepimpinan pemimpin.


Pembahagian Ghanimah & Rungutan Ansar

Ringkasnya, Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam telah membahagikan ghanimah yang banyak itu kepada kalangan orang-orang Islam yang baru memeluk Islam, orang-orang Mekah, pemimpin-pemimpin atau orang-orang 'besar' Mekah dan qabilah-qabilah yang baru memeluk Islam, orang-orang Arab Badwi, yang mana iman mereka masih lemah.

Tiada satu pun yang diberikan kepada golongan Ansar, penduduk Madinah, sedang mereka merupakan golongan yang kekal bersama Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam sepanjang peperangan Hunain itu, ketikamana ramainya orang Islam lain yang lemah imannya bertempiaran lari bila dihujani panah dari musyrikin.

Bahkan, Al-Ansar inilah juga yang bersama Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam sejak awal perjuangan Baginda menegakkan pemerintahan Islam di Madinah.

Sehingga kedengaran rungutan dari kaum Ansar tentang sikap Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam yang menyisihkan mereka dan mengutamakan 'orang-orang baru' dalam membahagikan harta ghanimah.

Antara rungutan 'celupar' yang kedengaran adalah, "mudah-mudahan Allah mengampunkan Rasulullah kerana memberi harta ghanimah kepada Quraisy(orang-orang Mekah) tidak kepada kami, padahal pedang-pedang kami berlumuran dengan darah mereka."

Pemimpin Ansar, Saad bin Ubadah Radhiyallahu 'anhu datang kepada Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam menyampaikan keluhan kaumnya, lalu Rasulullah memerintahkan kaum Ansar berkumpul di satu tempat, tanpa orang lain.

Maka berlakulah dialog yang menyayat hati di antara Sayyidina Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam dengan Ansar. 

Setelah memuja-muji Allah, Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam bertanya akan kesahihan keluhan kaum Ansar yang didengari Baginda, untuk kepastian. Semua orang senyap bila ditanya kali pertama, takut ataupun malu, sehingga Rasulullah bertanya kali kedua, barulah ada yang menjawab dalam keadaan teragak-agak.

Setelah menerangkan mengapa dibahagikan ghanimah sedemikian rupa, iaitu antara lainnya untuk melembutkan hati orang yang lemah imannya dan mereka yang masih menyimpan dendam terhadap Islam, Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam bersabda;


"Wahai golongan Ansar! Apakah kamu tidak redha, bila orang lain pulang dengan unta dan kambing (riwayat lain, "dengan dunia"), sedang kamu pulang dengan Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam bersama kamu?" 


Mereka menjawab, "sudah tentu kami redha wahai Rasulullah!"


Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam bersabda, "Jika golongan lain berjalan di satu jalan, dan golongan Ansar berjalan di jalan lain, nescaya aku bersama dengan golongan Ansar!"


Maka menangislah semua yang hadir penuh keinsafan dan keharuan sehingga air mata membasahi janggut mereka, dan berkata, "kami redha dengan Rasulullah Menjadi sebahagian kami".

Begitu sekali, Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam mengumumkan kecintaan dan kasih Baginda kepada kaum Ansar, sehingga mereka terharu dan menangis. 


Sikap Agung Dari Pemimpin Agung

Begitulah sensitiviti Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam dalam menggauli manusia, para Sahabat Baginda Radhiyallahu 'anhum. Terus sahaja Baginda mengumpul kaum Ansar bila terdengarnya rungutan yang berbahaya terhadap iman dan ukhuwwah sesama Muslim.

Rungutan-rungutan dan 'cakap belakang' amat berbahaya baik untuk iman orang yang menimbilkan syak wa sangka itu sendiri, juga untuk ukhuwwah sesama Muslim dengan pemimpin mereka. Atau dengan kata lainnya, perpaduan Ummat.

Kejadian ini ditangani Rasulullah Sallallahu 'alaihi wassalam dengan pantas dan dengan pendekatan penerangan lojika serta emosi yang lembut, sehingga menyentuh hati kaum Ansar.

Ternyata, kaum Ansar lebih rela dan redha memiliki Rasulullah di sisi mereka berbanding dunia. Biar merekalah yang paling berjasa kepada perjuangan Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam, namun mereka relakan habuan-habuan unta, kambing dan duit perak untuk 'adik-adik' Muslim mereka yang masih lemah imannya. 

Biarpun mereka tidak berjasa besar untuk Islam, atau masih 'manja', kaum Ansar beralah kepada mereka, demi mendapat yang lebih tinggi dan mulia, iaitu Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam.


Lantas kita tanyakan kepada sekalian manusia, yang mana satu pilihan kita?


Laksana si ibu yang beralah dengan sikap anak-anaknya yang terkadang melupakan jasanya. Laksana si abang yang berjiwa besar, beralah dengan si adik biarpun si abanglah yang banyak memberikan kesenangan kepada si adik. 

Kerana si ibu dan si abang tahu, mereka lakukan itu untuk Allah, dan untuk kesenangan si anak dan si adik. Apa lah sangat kepuasan hati diri sendiri, berbanding kenikmatan berbakti kepada yang lebih lemah?

Laksana itu jugalah kita harus berbuat. Apalah sangat dunia, jika dibanding dengan Akhirat. 

Ada yang perlukan gula-gula untuk 'memancing' mereka ke syurga, mereka itu umpama kanak-kanak di dunia.

Sang dewasa  tidak menghiraukan gula-gula untuk ke syurga. Gula-gula diberinya kepada 'sang adik' yang kurang matangnya. Sang dewasa yang matang, terus berbuat amal untuk Allah dan RasulNya, Sallallahu 'alaihi wasallam.


Selamat beramal diucapkan di hari Jumaat penuh barakah ini.


و الحمد لله رب العالمين


Posted in Labels: , , , | Comments
Related Posts with Thumbnails

Apture