Bismillahirrahmaanirraheem,
Alhamdulillahi wassolaatu wassalaamu 'ala Rasulillah...
Cuba bayangkan, jika kita berada di tempat saudara-saudara Islam kita di Gaza. Cuba bayangkan, jika setiap hari kita bangun dari tidur dengan risiko rumah kita dibom, sekolah dan tempat kerja kita dibakar, dan ahli keluarga kita dicederakan atau dibunuh.
Tiap hari kita diancam, dan tiap hari kita ditakutkan dengan risiko kejadian-kejadian buruk yang bakal menimpa kita.
Bagaimanakah perasaan kita di kala itu? Sama ada sedih, takut, putus asa, geram, benci... yang mana satu perasaan kita?
Yang pastinya, selagi tidak berada di situasi sebenar, selagi itu lah kita takkan tahu bagaimana perasaannya.
Suka saya kongsikan satu kisah hebat dari sirah Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam di dalam peperangan Uhud.
Peristiwa ini dikenali sebagai peristiwa Hamra' Al-Asad.
Hamra' Al-Asad
Umum mengetahui bahawa Ummat Islam telah mendapat tentangan hebat di dalam peperangan Uhud, atau sesetengah mengatakannya sebagai satu kekalahan. Ummat Islam terpaksa berundur dengan kekalahan tersebut dalam keadaan sedih.
Madinah Al-Munawwarah, setelah peperangan Uhud, di dalam keadaan darurat. Ummat Islam tetap berjaga-jaga dan mengawal segenap penjuru Madinah, takut-takut musuh kembali menyerang setelah tidak berjaya membuat 'pukulan maut' di dalam peperangan Uhud, dan hanya mendapat kejayaan yang sedikit.
Sebagai langkah keselamatan, Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam telah mengarahkan bala tentera Islam untuk mengejar musuh yang sedang bergerak pulang ke Mekah.
Bala tentera Islam bergerak sehingga sampai di satu tempat yang bernama Hamra', kira-kira lapan batu dari Madinah, di mana Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam mengarahkan untuk berhenti di situ.
Tiba-tiba, Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam didatangi oleh Ma'bad bin Abi Ma'bad Al-Khuza'ie salah seorang pemimpin kabilah Bani Khuza'ah yang rapat dengan keluarga Rasulullah. Dia menyatakan rasa dukaita dengan apa yang berlaku dalam peperangan Uhud dan memeluk Islam. Rasulullah sallallahu 'alaihi wasaalm pun meminta Ma'bad menemui Abu Sufian yang belum lagi mengetahui berita keislamannya untuk melemahkan semangat musuh.
Adapun bala tentera Musyrikin, mereka berbincang sesama mereka sama ada untuk pulang ke Mekah atau melancarkan serangan semula. Akhirnya pendapat terbanyak bersetuju untuk melancarkan serangan kali kedua kerana mengambil peluang kejayaan sedikit dalam peperangan Uhud.
Tiba-tiba datang Ma'bad bin Abi Ma'bad Al-Khuza'ie. Abu Sufian menyangka beliau belum lagi memeluk Islam, maka ditanya kepada Ma'bad kalau-kalau dia tahu perkembangan yang berlaku di Madinah.
Maka Ma'bad pun mengambil peluang melancarkan perang saraf bagi melemahkan musuh, lalu berkata, "Berwaspadalah! Aku melihat telah keluar semua bala tentera yang sangat besar yang belum pernah aku melihat sepertinya. Mereka bergerak untuk bertindak balas".
Berita ini menyebabkan tentera Musyrikin merasa gerun, merasakan sudah tentu tentera Islam kali ini ditambah dengan jumlah yang tidak sempat bersama di dalam peperangan Uhud. Maka, mereka mengambil keputusan untuk tidak menyerang semula.
Tetapi, Abu Sufian juga turut melancarkan perang saraf kembali. Abu Sufian menggunakan qabilah Abdul Qais yang bertolak menuju Madinah supaya memberitahu kepada orang-orang Islam bahawa orang Mekah sedang berkumpul untuk memerangi mereka.
Apabila berita itu sampai kepada orang Islam, sebaliknya berlaku. Mereka bertambah semangat pula untuk berperang! Satu keadaan yang berbeza dengan orang-orang Musyrikin.
Bersempena dengan itu Allah berfirman;
الَّذِينَ اسْتَجَابُوا لِلَّـهِ وَالرَّسُولِ مِن بَعْدِ مَا أَصَابَهُمُ الْقَرْحُ ۚ لِلَّذِينَ أَحْسَنُوا مِنْهُمْ وَاتَّقَوْا أَجْرٌ عَظِيمٌ
"Orang-orang yang menjunjung perintah Allah dan RasulNya (supaya keluar menentang musuh) sesudah mereka mendapat luka (tercedera di medan Uhud). Untuk orang-orang yang telah berbuat baik di antara mereka dan bertaqwa ada balasan yang amat besar."
الَّذِينَ قَالَ لَهُمُ النَّاسُ إِنَّ النَّاسَ قَدْ جَمَعُوا لَكُمْ فَاخْشَوْهُمْ فَزَادَهُمْ إِيمَانًا وَقَالُوا حَسْبُنَا اللَّـهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ
"Mereka juga ialah orang-orang yang diberitahu oleh orang-orang kepada mereka bahawa kaum musyrikin telah mengumpulkan bala tentera memerangi kamu, maka hendaklah kamu takut kepada mereka! Maka berita itu makin menambah iman mereka, lalu mereka berkata, Cukuplah Allah untuk menolong kami, Dia sebaik-baik pengurus yang kepadanya terserah segala urusan kami".
فَانقَلَبُوا بِنِعْمَةٍ مِّنَ اللَّـهِ وَفَضْلٍ لَّمْ يَمْسَسْهُمْ سُوءٌ وَاتَّبَعُوا رِضْوَانَ اللَّـهِ ۗ وَاللَّـهُ ذُو فَضْلٍ عَظِيمٍ
"Setelah pergi mengejar musuh mereka kembali mendapat nikmat dan limpah kurnia dari Allah, mereka tidak disentuh sesuatu bencana pun, serta mereka pula menurut keredhaan Allah. Dan ingatlah Allah mempunyai limpah kurnia yang amat besar".
إِنَّمَا ذَٰلِكُمُ الشَّيْطَانُ يُخَوِّفُ أَوْلِيَاءَهُ فَلَا تَخَافُوهُمْ وَخَافُونِ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ
"Sesungguhnya pembawa berita demikian adalah syaitan, yang bertujuan menakut-nakutkan kamu terhadap pengikut-pengikutnya (kaum Musyrikin). Oleh itu janganlah kamu takut kepada mereka, takutlah kepada Allah jika kamu benar-benar beriman".
Ali Imraan, ayat 172-174
Asas Kekuatan Ummat
Inilah asas kekuatan Ummat Islam, iaitu takut kepada Allah, tidak pada selainNya.
Ketika Ummat Islam diserang dan ditakut-takutkan musuh Allah, tentera-tentera Allah tidak akan gentar, bahkan terus mara ke hadapan.
Sifat pengecut bukanlah sifat Ummat Islam. Begitu juga putus asa. Hanya Israel dan sekutunya sahaja yang bersifat pengecut.
Dan saya pasti, saudara-saudara kita di Gaza tidak gentar dan takut. Mereka sebenarnya sedang menanti janji Allah subhanahu wa ta'ala seperti yang telah termaktub di dalam Al-Quran;
مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّـهَ عَلَيْهِ ۖ فَمِنْهُم مَّن قَضَىٰ نَحْبَهُ وَمِنْهُم مَّن يَنتَظِرُ ۖ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلًا
"Di antara orang-orang mukmin itu ada lelaki-lelaki yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah. Di antara mereka ada yang gugur, dan di antara mereka ada yang sedang menunggu giliran. Dan mereka sedikit pun tidak mengubah janjinya"
Al-Ahzab, ayat 23
Dan kita, apa yang boleh kita lakukan? Teruskan berdoa, berdoa dan berdoa. Seterusnya, tingkatkan kesedaran umum tentang isu yang berlaku, dan bantulah Ummat Islam di Gaza dengan apa cara sekalipun.
Musuh manakah yang mampu menyerang tentera Allah, sedangkan Allah jualah yang menciptakan musuh itu?
Sesungguhnya Israel dan sekutunya sedang berperang dengan Allah dan RasulNya sallallahu 'alaihi wasallam.
Maka janganlah Ummat Islam bersedih atas serangan yang berlaku, tetapi bersedihlah bila tidak dapat membantu, bahkan lebih malang lagi bila dengan musuh kita bersekutu.
Allahu A'lam. Moga tentera Islam dalam perlindungan Allah... Allahul Musta'anu 'ala ma tashifuun...
Walhamdulillahi Rabbil 'Alameen.