بسم االه الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين
الصلاة و السلام على رسول الاءمين و على اله و صحبه اجمعين
Sebelum ini saya pernah berkongsi tentang adab Nabi Muhammad Sallallahu 'alaihi wasallam dalam bekerja, iaitu, setelah Baginda selesai melakukan satu-satu kerja, akan terus bermujahadah untuk kerja seterusnya.
Maka penuhlah kehidupan Baginda Sallallahu 'alaihi wasallam dengan ketaatan kepada Allah. Tiada sesaat pun dalam hidup Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam yang kosong atau dipenuhi perbuatan sia-sia.
Kali ini sudi saya berkongsi satu lagi adab yang diajar Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam dalam melaksanakan kerja seharian, terutamanya bila melakukan misi-misi atau kerja-kerja besar dan utama.
Memetik kisah Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam bersama Ummat Islam ketika perang Tabuk. Peperangan Tabuk juga dikenali sebagai peperangan "Al-'Usrah" (العسرة) atau maksudnya, "susah" disebabkan cabaran yang getir dihadapi oleh Ummat Islam setelah diperintahkan untuk pergi berperang.
Dalam peperangan Tabuk, Ummat Islam diuji keimanan mereka, sama ada lebih cintakan harta, anak-pinak dan keselesaan hidup, ataupun lebih cintakan Allah dan RasulNya.
Peperangan Tabuk berlaku di tengah-tengah musim panas, di suatu tempat bernama Tabuk, lebih kurang 3000 batu dari kota Madinah. Jumlah tentera yang ikut serta melebihi jumlah binatang tunggangan, sehingga diriwayatkan, seekor unta tunggangan, ditunggang secara bergilir oleh 3 orang.
Dengan kata lain, Ummat Islam terpaksa berjalan sejauh 3000 batu di tengah-tengah padang pasir di musim panas!
Keadaan ekonomi Ummat Islam yang tidak berapa baik ketika itu, ditambah pula dengan tempoh masa diperintahkan perang itu pula merupakan waktu yang terbaik untuk menuai hasil tanaman.
Jika ditinggalkan hasil tanaman yang hampir masak ranum itu pada tahun itu, nescaya mereka terpaksa menunggu lagi setahun pula untuk merasai hasilnya.
Maka di dalam perang Tabuk inilah teruji iman para Sahabat Radhiyallahu 'anhu.
Namun, bukan perincian peperangan Tabuk yang ingin saya kongsikan, tetapi apa yang dilakukan Nabi Muhammad Sallallahu 'alaihi wasallam setelah selesai misi tersebut.
Perang Tabuk telah dimenangi dengan kemenangan besar kepada Kerajaan Islam. Pertempuran tidak berlaku kerana tentera Rom Byzantin kerana takut dengan ketumbukan tentera Islam, lalu mereka berpatah balik dari medan sebelum Ummat Islam sampai ke Tabuk lagi.
Biarpun tidak bertempur Kerajaan Islam memenangi misi tersebut, kerana berjaya membebaskan kaum-kaum sekitar kawasan Tabuk, daripada cengkaman Rom Byzantin, dan akhirnya bernaung di bawah Kerajaan Islam.
Pulangnya Nabi Muhammad Sallallahu 'alaihi wasallam ke kota Madinah, apakah perkara pertama yang Baginda lakukan?
Setelah dua bulan keluar ke medan jihad, sebelum sampai ke rumah, Baginda terlebih dahulu berhenti di Masjid dan bersolat dua rakaat, bermunajat kepada Allah.
Baginda Sallallahu 'alaihi wasallam mendahulukan Masjid (rumah Allah) sebelum pulang ke rumah dan membuat kerja lain.
Mengikut Tok Guru Nik Abdul Aziz, di dalam bukunya berjudul "Muhammad SAW, Jejak Junjungan Mulia", mendirikan solat bagi seorang Rasul Allah yang baru pulang daripada urusan perang, yang pada hakikatnya berbicara sesuatu dan bermunajat kepada Allah Subhanahu wata'ala. Baginda berbuat demikian seolah-olah menyerahkan laporan tugasan kepada Allah melalui solat syukur.
Selesai solat syukur, barulah Baginda Sallallahu 'alaihi wasallam melayani karenah orang ramai yang datang menemuinya.
Begitulah contoh tauladan yang ditunjukkan Baginda Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam kepada kita.
Bagaimana pula kita dengan urusan dunia kita?
Persoalan pertama, adakah semua urusan seharian kita, merupakan "misi" jihad di jalan Allah?
Persoalan kedua, adakah kita mengutamakan solat, atau urusan khusus kita dengan Allah, dalam kerja-kerja seharian kita?
Persoalan ketiga, adakah setelah selesai melaksanakan urusan itu, kita solat dan bermunajat kepada Allah tanda kita bersyukur kerana Allah telah mempermudahkan urusan kita? Dengan kata lainnya. Adakah setelah selesai setiap kerja kita, kita memberikan "laporan kerja" kita kepada Allah, dengan harapan Allah menerima "laporan" itu?
Sngguh banyak kekurangan kita. Sungguh banyak kepincangan amalan kita. Sungguh banyak kita 'berhutang' dengan Allah dan RasulNya Sallallahu 'alaihi wasallam...
Moga kisah ini menjadi muhasabah kita bersama, dalam memperbaiki akhlaq dan adab kita dalam melaksanakan urusan seharian kita.
Allah tak pernah lupakan kita. Tapi adakah kita sentiasa ingat Allah?
والحمد لله رب العالمين