Alhamdulillahi wassolaatu wassalaamu 'ala Rasulillah...
Sehari lagi, genap sebulan tidak menulis di sini. Moga Allah selamatkan kita semua dari putus asa dan masukkan kita dalam kalangan orang yang istiqomah, insyaAllah.
Apabila Khalifah Umar Bin Abdul Aziz menjadi khalifah, beliau pernah berkata,
"Sesungguhnya aku mempunyai semangat yang berkobar-kobar. Aku bercita-cita untuk mengahwini Fatimah Az-Zahra, dan aku mengahwininya. Aku bercita-cita untuk menjadi Gabenor Madinah, dan aku menjadi Gabenor Madinah. Kemudian aku bercita-cita untuk menjadi Khalifah, dan aku menjadi Khalifah. Sekarang, aku bercita-cita untuk masuk ke syurga."
Khalifah Umar Abd Aziz mengajar bahawa hidup ini umpama satu perjalanan menaiki tangga. Siap selesai satu langkah anak tangga, kita berusaha menaiki anak tangga seterusnya. Siap selesai sampai ke anak tangga berikutnya, kita terus bersusah menaiki anak tangga seterusnya, hingga sampai ke puncak.
Orang-orang hebat seperti Khalifah Umar Abd Aziz falsafah hidupnya sedemikian hebat. Sentiasa hidup di dalam masa dia hidup. Hidupnya digunakan sehabis baik untuk masa sekarang, bukan untuk mengimbau masa lampau, ataupun berkhayal tentang masa depan.
Fokusnya untuk kesempurnaan usaha dan pencapaian masa kini, tidak untuk perkara lain. Jika Allah menghendakinya dengan kejayaan, dia akan berjaya. Setelah berjaya dalam usahanya masa kini, tidak pula dia berehat. Langkahnya akan diteruskan untuk menempa kejayaan baru pula.
Dan di dalam jiwanya, ada satu lagi falsafah agung, yang menolaknya untuk memecut dari satu anak tangga kejayaan ke anak tangga kejayaan yang lain, iaitu;
وعبد ربّك حتي يأتيك اليقين
"Dan sembahlah Tuhanmu sehingga datang kepadamu al-yaqin(iaitu mati)"
Allah itu disembah sehingga kita mati. Sehingga kita sampai ke syurga. Bukan sehingga kita sudah berjaya di dunia.
Begitu juga usaha ke arah kejayaan. Usaha semaksima dicurahkan setiap masa, sehingga kita sampai ke puncak kejayaan. Hakikatnya, puncak kejayaan bukanlah di dunia, tetapi di Akhirat nanti.
Maka tidak pelik bila kita mendengar kisah-kisah aneh para sahabat Nabi radhiyallahu 'anhum bila mereka berjihad di samping Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam. Tidak pelik jika kita mendengar ada yang tidak berehat dan tidak tidur untuk meluaskan pengaruh Islam di muka bumi.
Sayyiduna Khalid Al-Walid radhiyallahu anh boleh memimpin tentera Muslimeen membuka tanah Syams sehingga Al-Quds, biarpun tanpa arahan khusus satu per satu dari Khalifah Umar Al-Khattab radhiyallahu anh. Namun, Sayyiduna Khalid mencari jalan untuk menyebarluaskan Islam dan meminta keizinan dari Khalifah. Dia tahu, kerja sebagai Muslim tidak akan habis dan tidak pernah tamat. Maka, dia tidak pernah berehat, dan terus membuka satu per satu tanah Arab dengan keagungan Islam.
Bila beliau dipecat dari mengepalai tentera Muslimeen, adakah dia merajuk? Tidak, bahkan dia berkata, "Aku berjuang untuk Allah dan RasulNya, bukan untuk Umar!" Lalu dipecut kudanya untuk terus berjihad sebagai tentera biasa. Bukan sekali dipecat, tetapi dua kali. Namun, kerjanya tetap belum selesai, kerana dia bekerja bukan untuk yang lain selain Allah. Dan had masa bekerja untuk Allah adalah sehingga tamatnya riwayat, bukan sehingga dipecat.
Sayyiduna Amr Al-As radhiyallahu anh pula membuka Mesir atas inisiatifnya sendiri. Dia masuk ke Mesir bersama tentera Muslimeen, dan memohon keizinan daripada Khalifah Umar Al-Khattab radhiyallahu ahn. Khalifah berkata, jika sudah melepasi Laut Merah masuk ke Mesir, teruskan. Jika belum, maka harus berpatah balik. Dan Sayyiduna Amru akhirnya membuka Mesir, tanpa pertumpahan darah yang besar, sehingga dipuji Khalifah Umar.
Adakah Sayyiduna Amr berhenti rehat? Tidak sesekali tidak. Diteruskannya misi, namun Khalifah Umar minta difokuskan dahulu urusan dakwah Islam di Mesir, agar kuat asasnya di sana. Sayyiduna Amr akur dan patuh.
Maka bila ditanya, apa rahsia Ummat Islam terdahulu? Rahsia kejayaan mereka adalah tajarrud ila-Allah. Fokus mereka hanya kepada Allah. Kerja mereka hanya untuk Allah. Mereka hanya nampak Allah. Halatuju mereka hanyalah Allah. Hanya menuju Allah. Hanya kerana Allah.
Bila kita bekerja kerana Allah, kita akan ingat semula firman Allah di dalam Surah As-Syarh,
فَإِذَا فَرَغْتَ فَانصَبْ
"Maka apabila engkau telah selesai (dalam sesuatu urusan), maka tetaplah bekerja keras (untuk urusan yang lain)"
Ayuh teruskan bekerja, selagi tidak sampai ke puncak.
!وعبد ربّك حتي يأتيك اليقين
Walhamdulillahi Rabbil 'Alameen...