Aku Kecewa Siapa Yang Kisah?

Thursday, November 15, 2012 by aiyqosim
Bismillahirrahmaanirraheem,

Alhamdulillahi wassolaatu wassalaamu 'ala Rasulillah...

Salam Jumaat penuh barakah diucapkan, moga-moga kita dilimpahi rahmat Allah di Sayyidil Ayyam Penghulu Segala Hari, hari Jumaat ini. Jangan ambil lewa amalan sunnah khusus yang disukai oleh Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam di hari Jumaat, iaitu Surah Al-Kahfi.

Sedang saya membaca buku yang telah lama dibeli (dan dah berhabuk), bertajuk "Risalah Ila Syababil Ummah" atau Risalah Kepada Pemuda-pemuda Ummat, tulisan Dr. Raghib As-Sarjaani, saya berhenti seketika. Berhenti seketika merenung, kerana kebetulan dua hari ini, Ummat Islam, khususnya yang "peduli" disibukkan dengan serangan ke atas Ummat Islam di Gaza oleh Israel, dan dalam masa yang sama, saya sampai ke satu bahagian dalam buku ini yang menceritakan faktor kecelaruan cita-cita dan pemikiran dalam kalangn pemuda.


Pengebumian As-Syahid Ahmad Al-Ja'abari, Ketua Panglima Bridged Izzudin Al-Qassam , sebuah sayap tentera HAMAS, semalam


Saya sampai di faktor ke-3, menurut Dr. Raghib As-Sarjaani, yang menyebabkan kecelaruan cita-cita dan pemikiran dalam kalangan pemuda hari ini, iaitu KEKECEWAAN & PUTUS ASA.


Kecewa dengan apa?

Kita kecewa dengan realiti diri kita sendiri dan Ummat kita.

Kita kecewa dengan kemunduran diri kita sendiri dan kemunduran Ummat kita.

Kita kecewa bila melihat Ummat lain lebih tinggi dari kita.

Kita kecewa melihat jurang yang ada di antara negara-negara Ummat Islam dengan negara-negara selainnya, terutamanya Barat.


Jurangnya bukan sedikit, tetapi banyak dan meliputi segala aspek kehidupan. Jurang ekonomi, sosial, ilmu, pendidikan, teknoloji, peradaban manusia, kestabilan politik, ketenteraan, dan paling malang sekali, jurang akhlak!

Dan segala jurang ini menjadikan para pemuda Islam kecewa dan putus asa. Kelihatan seperti tiada harapan lagi. Dan kekecewaan ini berterusan serta bertambah lagi dengan penjajahan tanah-tanah Ummat Islam yang berlaku dari semasa ke semasa.

Palestin, Iraq, Afghanistan, Shishan, Kasymir, Kosovo, Turkistan, Sudan, dan lain-lain.

Kekecewaan ini ditambah pula lagi dengan kehancuran sistem dalam negara Ummat Islam itu sendiri. Bila negara Ummat Islam tidak dijajah, ia pula dikuasai oleh orang-orang bodoh atau zalim. Sistem pemerintahan kuku besi, tiada demokrasi, sistem kehakiman yang zalim, korupsi dalam pengurusan di segenap lapisan, rasuah dan pecah amanah, pembaziran dan salah urus harta negara, program-program merosakkan rakyat, dan sebagainya.

Kesemua ini menambah berat lagi kekecewaan dan putus asa para pemuda Ummat Islam.

Maka di mana jalan keluar? Apakah penyelesaiannya?


Keluar Dari Kekecewaan


Wahai para pemuda Islam,

Para pemuda sekalian perlu sedar, bahawa Ummat yang berjaya bukanlah Ummat yang putus asa.

Ummat yang putus asa tidak akan bangun!

Kerana putus asa bukanlah sifat mukmin sejati. Allah berfirman di dalam Al-Quran,

قَالَ وَمَن يَقْنَطُ مِن رَّحْمَةِ رَبِّهِ إِلَّا الضَّالُّونَ

Dia (Ibrahim) berkata, "Tidak ada yang berputus asa dari rahmat Tuhannya, kecuali orang-orang yang sesat"

(Surah Al-Hijr, ayat 56)


Wahai pemuda-pemuda Islam,

Jika engkau melihat wanita-wanita dihina dan dikeji, atau disiksa dan diperlakukan sesuka hati, sehingga ada yang gugur kandungannya dan ada yang mati,

Jika engkau melihat anak-anak kecil dan bayi-bayi dibunuh pagi dan petang,

Jika engkau melihat para mujahidin keluar perjuang dan tidak pulang-pulang kerana syahid atau ditawan,

Jika engkau melihat bangunan-bangunan dihancurkan, tanah-tanah dirampas, tanaman-tanaman dan harta benda dibakar,

Jika engkau melihat darah-darah mengalir, tanah-tanah berlumuran darah, orang-orang cedera di mana, dan mayat bergelimpangan tanpa kubur,

Jika engkau melihat kezaliman berleluasa, kerosakan masyarakat di sini sana, dan negara hancur di depan mata,

Maka janganlah sesekali kau putus asa atau kecewa,

Dan ingatlah, bahawa Allah tidak tergurat dan tidak luput, bahkan Allah Maha Wujud dan Ada!

Ingatlah firman Allah,

إِن يَمْسَسْكُمْ قَرْحٌ فَقَدْ مَسَّ الْقَوْمَ قَرْحٌ مِّثْلُهُ ۚ وَتِلْكَ الْأَيَّامُ نُدَاوِلُهَا بَيْنَ النَّاسِ 

Jika kamu (pada perang Uhud) mendapat luka, maka mereka (pada perang Badar) pun mendapat luka yang sama. Dan masa (kegemilangan dan kehancuran) itu, Kami pergilirkan di antara manusia...

(Surah Ali Imran, ayat 140)


Sepertimana Ummat Islam 'tercedera' dan 'kesakitan' pada hari ini, ingatlah, begitu jugalah akan ada masa di mana Ummat Islam akan segar dan sihat.

Sepertimana musuh Islam melihat kita kesakitan, mereka juga menghadapi kesakitan. Jika tidak hari ini, akan datang juga harinya insyaAllah.

Ingatlah, bahawa hakikat Ummat Islam tidak akan mati. Ia mungkin menurun, cedera atau sakit, tetapi ia tidak akan luput dan mati, kerana perjuangan Ummat Islam membawa Kalimah Allah. Perjuangan Ummat Islam bukan dipelihara oleh Ummat manusia itu sendiri, tetapi dipelihara oleh Allah.

Keberadaan Ummat Islam di muka bumi adalah rahmat dan kebaikna bagi bumi, dan kehilangan Ummat Islam dari muka bumi adalah bala bencana kepada bumi.

Ketahuilah bahawa peperangan yang berlaku ini bukanlah di antara orang kafir dengan Ummat Islam, tetapi hakikatnya di antara orang kafir dengan Allah subhanahu wata'ala. Oleh itu, mereka (orang kafir) merancang dan membuat tipu helah, tetapi Allah lah sebaik-baik perancang dan pembuat tipu helah.


وَيَمْكُرُونَ وَيَمْكُرُ اللَّـهُ ۖ وَاللَّـهُ خَيْرُ الْمَاكِرِينَ

...Mereka membuat tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya itu. Allah adalah sebaik-baik pembalas tipu daya

(Surah Al-Anfal, ayat 30)


Dan yakinlah dengan firman Allah,

وَمَا قَدَرُوا اللَّـهَ حَقَّ قَدْرِهِ وَالْأَرْضُ جَمِيعًا قَبْضَتُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَالسَّمَاوَاتُ مَطْوِيَّاتٌ بِيَمِينِهِ ۚ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَىٰ عَمَّا يُشْرِكُونَ

Dan mereka tidak mengagungkan Allah sebagaimana semestinya padahal bumi seluruhnya dalam genggaman-Nya pada hari Kiamat, dan langit digulung dengan tangan kanan-Nya. Maha Suci Dia dan Maha Tinggi Dia dari apa yang mereka persekutukan

(Surah Az-Zumar, ayat 67)


Dan yakinlah dengan janji Allah,

وَكَانَ حَقًّا عَلَيْنَا نَصْرُ الْمُؤْمِنِينَ

...Dan merupakan hak Kami untuk menolong orang-orang yang beriman

(Surah Ar-Rum, 47)



Belajar Dari Sejarah


Wahai para pendokong Islam,

Sejarah dunia telah membenarkan janji Allah ini. Sejarah telah membuktikan, tidak ada masa di mana jatuhnya Ummat Islam tidak dituruti kembali dengan kemenangan.

Kejatuhan Ummat Islam di zaman Khalifah Abu Bakr Assiddiq radhiyallahu 'anhu dalam fitnah 'Riddah' merupakan kejatuhan yang besar dan mengecewakan. Ribuan keluar dari Islam beramai-ramai selepas wafatnya Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam. Namun, ianya dituruti pengIslaman bangsa-bangsa lain yang banyak, hingga jatuhnya Parsi dan Rom di tangan Islam.

Kejatuhan Ummat Islam kepada orang-orang Kristian merupakan kejatuhan yang panjang dan mengecewakan. Kemudian lahir 'Imaduddin Zinki, Nuruddin Mahmud, dan Solahuddin Al-Ayyubi mengembalikan kegemilangan Islam dan membawa Ummat Islam ke satu era baru.

Kejatuhan Ummat Islam di era Andalus merupakan kejatuhan yang menyedihkan. Namun, Ummat Islam bangun kembali di Eropah Timur di bawah pimpinan mujahidin Uthmaniyyah, membuka Konstantinopel, dan membawa Ummat Islam ke satu lagi era baru tamadun manusia.


Sejarah dunia telah membenarkan janji Allah, maka tidak yakin lagikah kita dengan janji Allah?

Janganlah berputus asa!


Makanya?


Makanya...

Kerja perlu diteruskan. Semangat para pemuda perlu dinyalakan, dan pastikan ianya tetap menyala tanpa padam.

Keimanan kepada ALlah dan Rasulullah perlu terus ditingkatkan. Kualiti 'ibadat ditingkatkan dan maksiat dijauhkan. Kefahaman Islam berteraskan Al-Quran dan As-Sunnah terus didalamkan.

Ilmu terus dikuasai. Latihan-latihan peningkatan kendiri terus dijalankan.

Fokus terhadap bidang kepakaran atau bidang pengajian kita ditajamkan, sehingga kita menjadi orang yang paling pakar di dalam bidang kita.

Ukhuwwah sesama Ummat Islam terus diluaskan dan dirapatkan. Sensitiviti terhadap isu semasa terus ditingkatkan.

Moga kita tergolong dalam kalangan mereka yang disebut sebagai 'rijal' mukmi sebenar di dalam Al-Quran,

مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّـهَ عَلَيْهِ ۖ فَمِنْهُم مَّن قَضَىٰ نَحْبَهُ وَمِنْهُم مَّن يَنتَظِرُ ۖ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلًا

Di antara orang-orang mukmin itu ada lelaki-lelaki yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah. Di antara mereka ada yang gugur, dan di antara mereka ada yang sedang menunggu giliran. Dan mereka sedikit pun tidak mengubah janjinya

(Al-Ahzab, ayat 23)


Teruskan berdoa untuk Ummat Islam di Gaza, Syria, Rohingya, Malaysia, dan seluruh dunia.


I'm in solidarity with Gaza and Muslimeen


Walhamdulillahi Rabbil 'Alameen...
Posted in Labels: , , , | Comments
Related Posts with Thumbnails

Apture