Alhamdulillahi wassolaatu wassalaamu 'ala Rasulillah wa 'ala 'aalih...
Pernah dengar tak istilah 'habis gas'?
"Aku dah tak tolong jadi AJK dah la. Dah habis gas!"
Atau istilah 'pancit'?
"Aduh seminggu sekali exam, aku dah pancit dah la. Tak larat dah!"
Sejujurnya, memang selalu terdetik dalam hati kita ungkapan-ungkapan seumpama ini. Kerja demi kerja, usaha demi usaha, akhirnya kita kepenatan. Kepenatan sehingga putus asa untuk berusaha bagi kerja seterusnya. Kepenatan hingga tiada kudrat untuk terus mengulang kaji pelajaran atau keluar menuntut ilmu.
Ketika itu, ramai dari kalangan kita akan berkata kepada diri sendiri;
"Sudah banyak usaha yang aku buat selama ini. Cukuplah tu, berehat pula lah..."
Dan kita terus berhenti berkerja untuk berehat.
Belum Sempat Duduk!
Minggu lalu, setelah hampir 3 bulan tidak menghadiri kelasnya, saya berkesempatan hadir di kelas pengajian Sohih Al-Bukhori oleh Syeikh Dr. Yusri hafizahullah menyambung bacaan Hadith Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.Minggu lalu Syeikh Yusri kami sampai ke bab Pulangnya Nabi sallallahu 'alaihi wasallam Dari Peperangan Ahzab & Keluarnya Ke Peperangan Bani Quraizoh.
Kami sampai ke sebuah Hadith yang menceritakan arahan Allah kepada Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam supaya terus keluar menuju ke Bani Quraizoh sejurus selepas tamatnya peperangan Ahzab.
Kisah ini turut dirakam dalam buku Fiqh Al-Harakah karangan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.
Pada hari Rasulullah sallallahu 'alaihi wasaalm pulang dari peperangan Ahzab, ketika Baginda mandi dan membersihkan diri di rumah Ummu Salamah Radhiyallahu 'anha, tiba-tiba malaikat Jibril 'alaihissalam datang menemui Baginda dan berkata;
"Adakah kamu meletakkan senjata? Sedang para malaikat belum meletakkan senjata mereka. Bangunlah dengan mereka yang bersamamu untuk menyerang Bani Quraizoh. Aku akan pergi dahulu untuk mencampakkan rasa takut dalam hati mereka".
Lalu malaikat Jibril mengetuai kumpulan malaikat menuju ke perkampungan Bani Quraizoh.
Bani Quraizoh telah melakukan kesalahan yang besar dalam bentuk pengkhianatan kepada Kerajaan Islam Madinah. Sedang mereka(Bani Quraizoh) masih dalam ikatan perjanjian dengan Kerajaan Islam Madinah, mereka telah bersekutu dengan puak Yahudi lainnya untuk mengapi-apikan semangat Musyrikin untuk berperang dalam peperangan Ahzab.
Biarpun peperangan Ahzab telah tamat dan kemenangan berpihak kepada Ummat Islam, namun, belum sempat pun Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam duduk berbaring atau berehat, malaikat susah sampai dengan arahan perang seterusnya.
Apa yang dilakukan Rasullah sallallahu 'alaihi wasallam? Adakah Baginda berkira-kira/ Adakah Baginda mencari-cari alasan? Adakah Baginda memohon diberi sedikit masa untuk Baginda dan para tentera Muslimeen yang kepenatan untuk mereka berehat melepas lelah? Atau adakah Baginda sallallahu 'alaihi wasallam lari dari malaikat Jibril?
Tidak sekali-kali tidak!
Bahkan Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam terus bersiap dan memberi arahan serta merta kepada tentera Ummat Islam untuk keluar ke perkampungan Bani Quraizoh. Betapa tegasnya arahan Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam untuk para tentera Islam bergegas menuju medan peperangan, sehingga dirakamkan juga dalam Sohih Al-Bukhori, bahawa Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda;
"Jangan sesiapapun dari kalangan kamu yang Solat Asar kecuali setelah sampai di perkampungan Bani Quraizoh."
Ketika dalam perjalanan yang panjang itu, mereka hampir melewati waktu Maghrib, maka ada dalam kalangan Sahabat yang serba salah lalu Solat Asar dalam perjalanan, dan ada pula yang meneruskan perjalanan dan Solat hanya selepas sampai di Bani Quraizoh selepas waktu 'Isyak, kerana mematuhi arahan Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.
Para Sahabat radhiyallahu 'anhum merujuk kejadian tersebut kepada Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam, dan Rasulullah tidak menegur kedua-dua golongan tersebut. Kedua-dua golongan itu tidak melakukan kesalahan.
Mengikut Syeikh Yusri hafizahullah, arahan tersebut dikeluarkan pada waktu selepas Zohor, dan arahan supaya Solat Asar hanya selepas tiba di Bani Quraizoh itu, adalah sebagai satu arahan supaya para tentera Muslimeen bergerak pantas dan langsung ke Bani Quraizoh, tanpa bertangguh-tangguh dan berlengah-lengah. Arahan tersebut menunjukkan ketegasan.
Di Mana R&R Sebenar?
Cuba kita bayangkan, selepas satu misi, datang pula satu misi lain, tanpa ada masa senggang diantara keduanya. Bilakah masanya Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam dan para Sahabat radhiyallahu 'anhum berehat?Mereka tidak pernah rehat dari dakwah dan kerja keras. Mereka penat, ya. Tetapi mereka tidak berehat. Itulah sunnah yang ditunjukkan generasi terbaik manusia.
Manusia sering mencari-cari titik tertentu untuk mereka berehat. Kita sering mencari-cari perhentian Rawat & Rehat (R&R) kita. Sedang R&R sebenar kita adalah di syurga Allah.
Para Sahabat tidak kenal erti rehat. Mereka hanya kenal arahan Allah dan Rasul. Apabila diarahkan sebegini, terus dilakukan sebegini. Apabila diarahkan sebegitu, terus dilakukan sebegitu.
Mereka benar-benar hayati firman Allah subhanahu wata'ala di dalam Surah Al-Syarh, ayat ke-7;
فَإِذَا فَرَغْتَ فَانصَبْ ﴿٧﴾
Maka apabila engkau telah selesai (dalam suatu urusan), maka tetaplah bekerja keras (untuk urusan yang lain)
Saya berdoa agar diberikan kekuatan oleh Allah, untuk meneruskan kerja keras dalam hidup sebagai seorang Muslim. Moga Allah berikan kekuatan kepada kita semua, insyaAllah...
Wasallallahu 'ala Rasulillah, walhamdulillah Rabbil 'alameen...