Untukkmu Rasulullah

Thursday, September 27, 2012 by aiyqosim

Bismillahirrahmaanirraheem,

Alhamdulillahi Rabbil, 'alameen, wassolaatu wassalaamu 'ala Rasulil ameen Sayyidina Muhammad SAW...


Baru-baru ini Ummat Islam 'dikejutkan' dengan satu filem gred rendah yang tersebar luas melalui YouTube berjudul "Innocence of Muslims". Ia adalah sebuah filem berkualiti rendah yang telah menghina peribadi Rasulullah SAW dan ajaran Islam itu sendiri.

Ummat Islam pada waktu tersebarnya filem itu, seolah-olah dikejutkan dari tidur nyenyak dengan paluan gong nyaring beserta simbahan air sejuk, melompat dari katil dengan perasaan bercampur baur, marah, geram, dan kecewa.

Tak cukup dengan itu, tak berapa lama dari filem "Innocence of Muslims" itu, terbit pula satu lagi kartun yang menghina Nabi Muhammad Sallallau 'alaihi wasallam. Bertambah-tambah lah kemarahan Ummat Islam pada waktu itu umpama api disimbah minyak petrol.

Pelbagai reaksi dapat kita lihat terhadap peristiwa penghinaan kepada Nabi kita SAW dan ajaran Islam secara tidak langsung. Ada yang bertindak dengan membuat pelbagai cacian terhadap pihak yang bertanggungjawab, ada yang membuat tindakan undang-undang, demonstrasi aman, demonstrasi tidak aman, dan serangan terhadap orang kafir.

Ada pula yang memberi respon dengan menulis artikel 'menjawab semula', artikel penerangan tentang Nabi Muhammad, video-video dan filem pendek, hebahan poster-poster, serta ucapan-ucapan.

Dan ada juga yang langsung tidak memberikan apa-apa respon secara umum. Saya pasti, golongan ini adalah yang paling ramai. Tidak memberikan respon, sama ada, tidak mahu memburukkan lagi keadaan dan melihat keadaan dengan teliti dan menyeluruh tanpa komen, atau tidak berminat untuk mengambil tahu, ataupun malang sekali, langsung tidak tahu isu yang sedang melanda ini.


Namun apa yang dikesali, ada yang bertindak ganas sebagai respon kepada penyebaran filem tersebut, sehingga mengorbankan beberapa nyawa yang kemungkinan tiada apa-apa kaitan dengan penerbitan filem itu.

Dan lebih mengecewakan lagi, dalam pada Ummat Islam menunjukkan protes terhadap tindakan-tindakan menghina Nabi Muhammad SAW dan ajaran Islam, kelihatan semakin ramai pula yang berani membuat penghinaan dalam pelbagai bentuk secara terhadap Nabi kita SAW dan ajaran Islam.

Secara spontan boleh saya katakan, jika reaksi Ummat Islam terhadap penerbitan filem "Innocence of Muslims" itu bertujuan untuk menggerunkan musuh Islam daripada menghina Islam secara terang-terangan, maka matlamat daripada reaksi kita itu telah jauh tersasar kerana mereka(orang yang menghina Islam) seolah-olah tidak gentar langsung untuk meneruskan penghiaan mereka secara terang-terangan.


Filem Innocence of Muslims yang menimbulkan pelbagai reaksi dari Ummat Islam


Namun, persoalan yang ingin saya timbulkan adalah, apakah matlamat dari tindakan-tindakan dan reaksi yang kita lakukan terhadap isu penghinaan Nabi Muhammad SAW ini? Apakah niat kita, Ummat Islam bilamana membuat sesuatu tindakan sebagai respon terhadap penghinaan ini? Dan lebih penting lagi, adakah ianya efektif? Adakah ianya mencapai matlamat dan memberi kesan?

Dan seterusnya, apakah pula yang sepatutnya kita lakukan sebagai Ummat Islam yang dalam kondisi ini, seolah-olah menjadi mangsa?


Hakikat Cintakan Nabi SAW

Suatu yang positif dan menggembirakan daripada reaksi Ummat Islam terhadap penghinaan ini adalah menunjukkan bahawa masih wujud sensitiviti dalam kalangan Ummat Islam apabila Nabi mereka yang mulia itu dihina dan ajaran Islam itu disalah ertikan.

Ummat Islam masih mempunyai cinta terhadap Rasulullah SAW dan masih berani menunjukkan kecintaan itu terhadap siapa-siapa sahaja yang mencabar kewibaan cinta itu.

Alhamdulillah, ianya suatu yang baik, kerana cintakan Rasulullah SAW itu wajib. Bahkan, para 'ulama' tasawuf menetapkan, bahawa cinta kepada Allah itu adalah tujuan hidup seorang Muslim, dan cintakan Rasulullah SAW itu alat untuk mencapai tujuan itu. Mana mungkin kita dapat sampai ke suatu destinasi yang tepat jika tidak melalui jalannya yang tepat. Allah berfirman;


 قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ اللَّـهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّـهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَاللَّـهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ ﴿٣١ 


Katakanlah (Muhammad), "Jika kamu mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah Allah mencintaimu dan mengampuni dosa-dosamu." Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang

Surah Ali Imran, ayat 31


Maka hakikat cinta kepada Allah adalah cinta kepada RasulNya. Cinta kepada Rasulullah SAW adalah syarat cintanya kita kepada Allah. Mana mungkin seorang yang bercinta boleh duduk senang bila kekasihnya dicaci dan dihina. Pasti kita geram dan marah bila kekasih kita dihina, lebih-lebih lagi jika dihina di khalayak umum.



Namun, persoalan yang timbul selepas itu adalah, adakah ini kali pertama Rasulullah SAW dihina? Dan adakah ini satu-satunya bentuk penghinaan kepada Rasulullah SAW?

Mari kita teliti sirah Nabi Muhammad SAW. Sejak Nabi dilantik menjadi Rasulullah dan menzahirkan dakwah Baginda, hidup Baginda berubah 360 darjah. Dengan ertikata, pandangan masyarakat dan respon mereka terhadap Rasulullah SAW terus berubah, daripada menghormati dan mempercayai Baginda 100% sebelum itu, kepada cercaan, penghinaan, malah seksaan terhadap Rasulullah SAW, kaum kerabat dan pengikut-pengikutnya.

Semasa hayat Baginda, tidak pernah lekang dengan cercaan dan seksaan. Namun, dalam pada Rasulullah masih lagi hidup dan diseksa 'hidup-hidup', bagaimana reaksi Baginda SAW dan para Sahabat Radhiyallahu 'anhum terhadap orang yang menentang mereka? Reaksinya pelbagai, bergantung kepada arahan Allah SWT, bergantung kepada skala penghinaan itu, bergantung kepada percaturan dan strategi politik dan dakwah Rasulullah SAW mengikut keadaan semasa pada satu-satu keadaan.

Tetapi, jika boleh saya katakan, tindakan dan reaksi Rasulullah SAW terhadap penghinaan Baginda secara peribadi, adalah lebih banyak bersabar daripada membalas. Perbuatan menghina, mencerca dan menyiksa Rasulullah SAW secara peribadi, dibalas dengan sabar dan doa, lebih daripada dibalas dengan tindakan fizikal, jauh sekali dibalas dengan cercaan.

Maka berbalik kepada reaksi kita pada hari ini, adakah tindakan kita yang kita dakwa sebagai 'bukti cintakan Nabi' itu, benar-benar mengikut cara Nabi kita SAW bertindak?


Perang Yang Buruk

Tahukah kita, bahawa di sana terdapat peperangan yang buruk? Maksud perang yang buruk adalah peperangan yang mana demi memenanginya, kita terpaksa membuat suatu yang hina dan buruk.

Saya memetik satu ceramah disampaikan oleh Syeikh Hamzah Yusuf, bahawa telah berkata seorang cendekiawan Islam;


لا أدخل الحرب غالبه شرّ من مغلوبه

"Aku tidak akan masuk ke dalam peperangan, di mana, pemenangnya lebih teruk dan buruk dari yang kalah!"


Peperangan yang dimaksudkan adalah peperangan mulut, iaitu peperangan hina-menghina. Siapa yang boleh menhina dan mencerca dengan lebih jijik, hina dan dahsyat, akan menang. Maka ramai yang tetipu dek kerana inginkan kemenangan, mereka sanggup menjerumuskan diri dan mulut mereka ke dalam kehinaan dan mencerca dengan dahsyat.

Kemenangan yang mereka anggap sesuatu yang mulia itu hakikatnya adalah suatu yang hina dan jijik. Maka jaga-jaga Ummat Islam, apa bila kita menganggap reaksi kita terhadap penghinaan Nabi kita SAW adalah satu jihad dan peperangan yang mulia, sedangkan rupa-rupanya ianya adalah suatu yang menjatuhkan maruah kita di hadapan Allah, hanya kerana kita menjawab cercaan dengan cercaan dan carutan yang lebih hina.

Syeikh 'Ali Jum'ah hafizahullah, Mufti Mesir ada menjawab isu filem menghina Rasulullah SAW ini dengan menulis satu artikel yang telah diterjemah dan diterbitkan dalam portal Washington Post. Artikel yang cantik dan bernas ini telah menjawab isu dengan baik dan menerangkan dengan jelas pendirian Ummat Islam terhadap Rasulullah SAW. Dan Syeikh 'Ali Jum'ah juga telah memberi amaran supaya Ummat Islam tidak menghina peribadi dan agama lain, seperti mana mereka menghina kita.

(Boleh baca di sini)

Dengan kata lain, cercaan tidak dibalas dengan cercaan, tetapi dibalas dengan sabar dan kata-kata serta tindakan yang bijaksana. Allah berfirman;


 فَاصْبِرْ كَمَا صَبَرَ أُولُو الْعَزْمِ مِنَ الرُّسُلِ 

Maka bersabarlah engkau (wahai Muhammad), sebagaimana kesabaran rasul-rasul yang memiliki keteguhan hati(ulul 'azmi)...

Surah Al-Ahqaf, ayat 35


Memetik kata Ustaz Pahrol Mohd Juoi dalam satu ceramahnya;

"Jangan kita tunjuk kecintaan kita kepada Rasulullah SAW dengan melakukan perkara yang menyakiti Rasulullah SAW"


Dengan kata lain, jangan kita lakukan perkara yang dilarang oleh Islam dalam pada kita cuba menunjukkan bukti cinta kita kepada Islam. Adakah patut, bila kita mencintai kekasih kita dan ingin membuktikan cinta kita, kita sanggup membunuh diri? Cinta yang sedemikian adalah cinta bodoh lagi hina. Maka jauhilah dari perangkap-perangkap sebegini.

Ingatlah, tiada ketaatan kepada makhluq dalam kemaksiatan kepada Allah. Niat kita untuk mencintai Rasulullah tidak menghalalkan kita berbuat sesukahati perkara yang menyalahi ajaran Rasulullah SAW.

Atas sebab inilah, saya menyesali dan bersedih atas apa yang berlaku di Libya sehingga menyebabkan pembunuhan beberapa jiwa yang kemungkinan besar tiada kaitan langsung dengan penghinaan kepada Nabi kita SAW.

Dan saya juga menyesal atas apa yang berlaku kepada berita terbaru yang saya baca di facebook, tentang seorang India rakyat Malaysia dikenali sebagai Gopinath Jayaratnam, apabila dia dengan berani mempersendakan Allah dan Nabi Muhammad SAW dalam status facebooknya, akhrinya rumah beliau telah diserang oleh samseng-samseng yang tidak dikenali, mendakwa diri mereka orang Islam, jika benar berita yang tersebar itu.


Ini diantara bukti kecelaruan pemikiran dan pemahaman non-muslim terhadap ajaran agama Tauhid , Allah Subhanahu wata'ala dan Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam


Ini adalah tindakan di luar undang-undang terhadap kediaman lelaki India tersebut, dipercayai dilakukan oleh samseng-samseng yang mengaku bahawa mereka sedang membela agama mereka


Dan lebih tidak menyenangkan, ia mendapat pelbagai komen yang menyokong tindakan samseng tersebut dan mencerca non-muslim tersebut dengan kata-kata yang tidak sedap didengar.

La haula wa laa quwwata illa billah!


Nabi Dihina Bermaksud Nabi Hina?

Berbalik kepada soal penghinaan kepada Rasulullah SAW dalam filem "Innocence of Muslims" itu tadi, saya tertarik dengan komen balas yang dibuat oleh Ustaz Nouman 'Ali Khan di dalam lama YouTube-nya.

(Boleh lihat di sini)

Antara persoalan yang beliau timbulkan adalah, adakah apabila Nabi Muhammad SAW dihina, adakah ia bermaksud Nabi kita benar-benar hina?

Sebelum bertindakbalas apabila Nabi kita dihina, kita tanyakan semula, adakah bilamana 'mereka' menghina Nabi Muhammad SAW dengan mengatakan Baginda seorang yang gila seks, Baginda benar-benar menjadi seorang gila seks? (ma'adzallah....) Tidak sama sekali!

Di sinilah timbulnya hikmah mengapa kita Ummat Islam diajar supaya bersabar dengan cercaan manusia. Ia adalah kerana tujuan satu-satu cercaan adalah supaya orang atau pihak yang dicerca merasakan bahawa dakwaan orang yang mencerca itu merupakan suatu yang benar dan relevan, dengan harapan, pihak yang dicerca akan membalas dan mencetuskan peperangan atau pergaduhan.

Tetapi, tindakan yang bijaksana daripada orang yang berakal adalah mengabaikan cercaan tersebut dan bersabar, serta membuat tindakan positif lagi proaktif. Mencerca semula tidak mendatangkan apa-apa faedah melainkan ianya akan menimbulkan pergaduhan. Sebaliknya, contoh tindakan proaktif adalah kita buktikan bahawa Baginda Nabi SAW bukanlah seorang yang gila seks dengan memaparkan bukti-bukti daripada sejarah Baginda SAW, para Sahabat RA dan pengikut-pengikut mereka. Akhirnya, pihak yang mendakwa bahawa akan kelihatan bodoh dengan dakwaan tak berasas mereka dek kebijaksanaan kita membalas kembali dengan hujah.

Ini adalah satu contoh tipikal sahaja. Di sana ada ribuan tindakan yang lebih kreatif dan bijaksana, tanpa melakukan tindakan yang bertentangan dengan syara' seperti mencerca peribadi dan agama lain serta tindakan fizikal yang ganas.

Para pencinta Islam sekalian, ingatlah bahawa Rasulullah SAW merupakan makhluq yang paling mulia di sisi Allah, bahkan melebihi kemuliaan para malaikat. Kita selaku Muslim, wajib meyakini hakikat ini, bahkan dengan hakikat inilah kita menjalani kehidupan. Dengan cinta kepada Nabi Muhammad SAW lah kita terus hidup sebagai Muslim.

Biarpun jutaan manusia mencerca Nabi dengan pelbagai tohmahan jijik lagi sesat, Nabi SAW tetap mulia. Mengapa pabila Nabi kita dihina, kita seolah-olah mengiyakan tuduhan hina terhadap Nabi kita dengan turut melakukan perbuatan hina seperti membunuh, membuat kerosakan di muka bumi, dan mencerca dengan perkataan kotor?

Hasbiyallahu wa ni'mal Wakeel, cukuplah Allah sebagai pelindung kita...


Tapi, Takkan Tak Boleh Marah?

Ada orang yang kembali mempersoalkan, "Tapi... takkan tak boleh marah langsung? Lemah sangat lah nampaknya Ummat Islam ni!"

"Ini soal maruah ni. Maruah Ummat Islam! Kita kena marah."

Adakah Islam tidak membincangkan perihal marah? Adakah Rasulullah SAW tidak pernah marah?

Tidak sama sekali! Bahkan di dalam Islam ada fiqh berkaitan marah. Ada dibincangkan tentang marah. Dan Rasulullah SAW juga pernah marah.

Mari kita telusuri peristiwa Al-Raji' dan peristiwa Bi'r Ma'unah yang berlaku dalam tahun ke-4 Hijrah. Dua peristiwa ini berlaku beberapa tempoh selepas peperangan Uhud yang telah memberikan motivasi kepada Kafir Quraysy atas kemenangan mereka di perang Uhud.

Al-Raji' ialah nama suatu tempat kediaman qabilah 'Adal dan Qarah yang melakukan khianat sehingga menyebabkan beberapa orang sahabat Radhiyallahu 'anhum menjadi korban syahid.

Manakala peristiwa Bi'r Ma'unah pula bermula apabila seorang bernama Abu Barra' 'Amir bin Malik datang ke Madinah dan diajak masuk Islam, dia menolak tetapi tidak menunjukkan sikap liar. Dia berkata kepada Rasulullah SAW, "Wahai Rasulullah! Kalau kamu hantarkan para sahabatmu menemui penduduk Najad untuk mengajak mereka kepada agama mu, saya harap mereka menerimanya."

Rasulullah bersabda, "Aku bimbang mereka diperlakukan oleh penduduk Najad."

Abu Barra' menjawab, "Saya menjamin memberi perlindungan kepada mereka."

Lalu Rasulullah SAW menghantar 70 orang sahabat dan melantik Al-Munzir bin 'Amru sebagai ketua. Dalam perjalanan, sehingga sampai ke suatu tempat yang bernama Bi'r ma'unah, mereka pun berhenti dan mengutus seorang sahabat bernama Hiram bin Mulhan yang membawa surat Rasulullah SAW kepada 'Amir bin Tufail, pemimpin kawasan itu. Tiba-tiba 'Amir yang celaka itu telah melakukan helah dengan menyuruh supaya Hiram ditikam dari belakang.

'Amir bin Tufail mengarahkan supaya memerangi sahabat yang berbaki itu, tetapi Kabilah Bani 'Amir enggan menurut perintah kerana menyedari bahawa orang-orang itu dijamin oleh Abu Barra', tetapi Bani Sulaim dari kalangan keluarga Ra'al dan Zakwan menerima ajakannya, mereka lalu datang beramai-ramai mengepung dan menyerang para sahabat sehingga kesemuanya gugur syahid kecuali seorang sahaja, iaitu Ka'ab bin Zain bin Al-Najjar.

Dipendekkan cerita, apabila Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam mengetahui kejadian tersebut, Baginda sangat sedih dan marah. Namun, apa yang Rasulullah lakukan sebagai manifestasi kemarahan Baginda SAW?

Selepas peristiwa Al-Raji' dan Bi'r Ma'unah, Rasulullah SAW telah mendoakan ke atas mereka yang menyebabkan gugur syahidnya para sahabat Radhiyallahu 'anhum ketika solat Subuh selama 30 hari dengan menyebut satu-satu nama-nama qabilah yang terlibat di dalam qunut nazilah.

Ya, kita harus marah apabila Rasulullah SAW dihina, tetapi marah yang bagaimana? Marah kita adalah kemarahan yang mengikut Islam. Kemarahan yang dituruti dengan pembinaan kekuatan. Kemarahan yang didasari cinta Nabi, bukannya marah kepada musuh.


'Ibrah Dari 11 September

Siapa yang tidak ingat peristiwa menyayat hati 11 September 2001, atau lebih mesra dikenali sebagai September Eleven (11/9)? Peristiwa serangan pengganas ke atas menara berkembar World Trade Center telah memberikan komplikasi dahsyat terhadap Ummat Islam.

Peristiwa 11/9 inilah yang telah mengorbankan ratusan malah ribuan nyawa Ummat Islam sebagai tindakbalas Barat terhadap dunia Islam, yang dituduh mereka sebagai dalang di sebalik serangan pengganas 11/9 itu. Siri-siri serangan Amerika ke atas negara Ummat Islam selepas itu membuktikan sentimen anti-Islam yang kuat hasil daripada peristiwa 11/9 tersebut.

Dunia Islam pada waktu itu seolah-olah dihurung kegelapan, dan Ummat Islam dilihat bakal diboikot dan hanyut dari peradaban dunia moden.

Namun, apa yang menarik adalah, beberapa kajian telah dibuat dan hasilnya secara konsisten menunjukkan bahawa, sejak peristiwa 11/9, Islam menjadi agama yang paling cepat berkembang dengan kadar penganut baru memeluk Islam yang tertinggi berbanding agama-agama lain.

Ini adalah artikel yang menunjukkan bahawa Islam adalah agama yang paling pesat berkembang di Amerika, hasil bancian yang dibuat bagi tahun 2000 sehingga 2010. Boleh baca di sini.

Ini pula adalah salah satu video yang menunjukkan bahawa Islam adalah agama yang paling pesat berkembang di UK. Boleh tonton di sini.

MasyaAllah! Di balik kecaman dan ancaman yang diberikan kepada Ummat dan negara Islam, masyarakat dunia semakin banyak menerima Islam. Sungguh aturan Allah itu adalah yang terbaik.

Bagaimana boleh terjadi yang sedemikian? Sifirnya mudah sahaja. Sejak peristiwa hitam tersebut, orang mula bertanya dan membaca tentang Islam. Antara persoalan mereka adalah, "Apa yang diajar oleh Islam, sehingga penganutnya sanggup merampas kapal terbang dan menghentam WTC? Apakah motivasi mereka?"

Mereka membaca dan mula memahami tentang Islam, dan akhirnya, mereka yang ikhlas mencari maklumat tentang Islam mendapati bahawa, ajaran Islam bukanlah seperti yang mereka sangkakan. Ia bukanlah seperti yang telah diburuk-burukkan oleh media. Ia bukanlah seperti yang dimomok-momokkan Barat. Dibantu juga oleh 'ulama' dan aktivis Islam, akhirnya pemahaman terhadap Islam yang sebenar dapat diterapkan dan memikat hati orang-orang Barat, walaupun pada awalnya mereka hanya mahu mencari keburukan Islam.

Begitulah juga isu penghinaan Nabi Muhammad Sallallahu 'alaihi wasallam ini, biarlah ianya mendapat liputan meluas seluas seluruh alam sekalipun, pandanglah ia sebagai satu batu loncatan kepada jambatan penghubung diantara muslim dengan non-muslim. Moga-moga, lebih ramai orang bukan Islam, malah orang Islam sendiri yang mula mengkaji sendiri, siapakah sebenarnya Nabi Muhammad SAW.

Adakah Baginda seperti yang dimomok-momokkan oleh sesetengah musuh Islam? Adakah Baginda seorang pengganas? Adakah Baginda seorang yang gila seks?

Kita sebagai muslim, meyakini 100% kebenaran dan kemuliaan Nabi kita. Maka tak perlu takut jika orang mencabar kebenaran Nabi kita, kerana bagi siapa yang ikhlas mencari kebenaran, mereka akan mengenali, siapakah sebenarnya Nabi kita Sallallahu 'alaihi wasallam. Dan insyaAllah, kita bakal melihat pertambahan orang yang memeluk Islam dalam masa beberapa tahun ini, sepertimana bertambahnya orang Barat yang memeluk Islam selepas peristiwa 11/9, biiznillah.


Memetik kata-kata Ustaz Fadhil Soliman, seorang pendakwah dan pakar dalam bidang perbandingan agama;

"On intellectual level, Islam doesn't need a defense..."


Bagi pihak-pihak yang berani mencabar kewibawaan Ummat Islam umpama mencucuk sarang tebuan, ingatlah kenyataan bahawa 20% daripada populasi manusia di bumi ini adalah Muslim. Bayangkan, jika berbaris 10 orang manusia pelbagai bangsa dan etnik di hadapan kita, dua daripadanya beragama Islam!

Sesiapa yang menghina manusia yang diikuti oleh 20% populasi bumi sejak ribuan tahun, merupakan manusia yang pelik dan aneh. Bayangkan, ketika mana majoriti penduduk bumi mengakui dan mengikuti ajaran manusia agung ini iaitu Nabi Muhammad SAW, mereka beriya-iya menghina Baginda.

Sedarkah mereka, bahawa mereka berada di pihak yang minoriti dan tidak popular? Jika kita Ummat Islam sendiri tidak membuat liputan hangat terhadap perbuatan mereka ini, mereka akan hanya ditertawakan sahaja dek tindakan bodoh mereka menghina manusia yang diikuti majoriti penduduk dunia.

Maka kita sebagai Ummat Islam, di samping kita bersedih dan membantah tindakan jijik mereka yang menghina Nabi, jangan pula kita berasa lemah. Kita Ummat yang dimuliakan Allah kerana Islam. Kita Ummat yang mempunyai 'izzah. Kita tidak akan sekali-kali menjadi hina dengan lidah-lidah dan tangan-tangan mereka, kerana kita yakin, bahawa siapa yang menghina Nabi kita serta ajarannya, maka tempat mereka adalah di neraka, wal 'iyadzubillah!


Mukmin Yang Gagah

As-syahid Imam Hasan Al-Banna ada membuat satu perumpamaan tentang mukmin ataupun ummah yang "qowiy" ataupun kuat. Katanya;

"Mukmin yang qowiy umpama pokok yang elok rantingnya dan lebat buahnya. Dibaling dengan batu, tetapi dibalas dengan buah"


Begitulah sepatutnya kita apabila menghadapi situasi seperti yang kita hadapi beberapa minggu ini. Tindakbalas kita apabila dibaling batu adalah memberi buah-buahan yang masak ranum sebagai balasan. Itulah tanda kekuatan kita selaku Ummat Islam.

Fitnah dan cercaan terhadap Nabi kita Sallallahu 'alaihi wasallam sepatutnya dibalas dengan penerangan dan pemahaman berkaitan siapakah sebenarnya Nabi kita. Ia sepatutnya dibalas dengan menambah lagi bukti cinta kita kepada Nabi Muhammad SAW, dengan cara lebih kuat mengamalkan sunnah Baginda dan ajaran Islam keseluruhannya.

Saya rasa bersyukur bilamana mendapati masih ada sebahagian besar Ummat Islam yang mengambil tindakan positif sebagai respon terhadap isu penghinaan Nabi Muhammad SAW ini. Baru sebentar tadi saya terlihat di laman facebook Mufti Mesir, Syeikh Dr 'Ali Jum'ah, gambar beliau bersama beberapa orang pelajar Universiti Amerika Kaherah (AUC) di dalam program kempen mengenali Nabi Muhammad anjuran Darul Ifta', iaitu badan fatwa Mesir.



Alhamdulillah.


Kesimpulan

Kita sebagai Muslim dan pengikut kekasih kita, Nabi Muhammad Sallallahu 'alaihi wasallam, merasa kesal dengan filem 'Innocence of Muslims" dan apa-apa perbuatan yang menghina Nabi Muhammad SAW. Tindakan-tindakan sedemikian bertentangan dengan ajaran Islam, dan balasannya adalah neraka Allah, wal 'iyadzubillah.

Siapa yang melakukan perbuatan menghina Nabi Muhammad haruslah bertaubat, kembali ke jalan yang benar, dan tidak lagi mengulangi perbuatan tersebut.

Namun, kita juga tidak akan redha dengan penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW dan ajaran Islam daripada orang Islam sendiri. Dengan kata lain, tindak balas kita terhadap pihak yang menghina Rasulullah SAW haruslah berpaksikan kecintaan kita kepada Rasulullah SAW, bukan semata-mata mengikut hawa nafsu.

Janganlah demi membuktikan kecintaan kita kepada Rasulullah SAW, kita melakukan tindak balas yang dibenci oleh Rasulullah SAW.

Isu-isu seperti apa yang berlaku ini haruslah ditangani dengan bijaksana oleh semua pihak dalam Ummat Islam, dengan mengkaji dengan teliti kesan jangka masa pendek dan panjang dari setiap sudut. Dalam memimpin Ummat Islam untuk bindakbalas terhadap isu ini memerlukan kebijaksanaan pihak-pihak yang berautoriti dalam Islam, iaitu kerjasama diantara 'Ulama', 'Umara' (pemimpin Islam), dan tokoh-tokoh yang berpengaruh dalam Islam.

Seterusnya, setiap individu yang mengaku Muslim, perlu sentiasa sensitif dengan isu ini dan wajib membantu melakukan sesuatu sebagai respon, tidak kira secara berkumpulan (berjemaah) ataupun individu. Langkah awal yang perlu kita lakukan adalah memasakkan kefahaman Islam dan kefahaman kita terhadap Baginda Nabi Muhammad Sallallahu 'alaihi wasallam sedalam-dalamnya mulai saat ini. Dan kefahaman itu perlu diterjemah kepada peribadi dan akhlaq yang mulia seperti akhlaq Baginda Nabi SAW, sehingga siapa yang melihat orang Islam, tidak mungkin lagi berani mempersendakan ajarannya, kerana suara mereka tidak akan didengari atau akan hanya ditertawakan.

Kemudian, usaha dakwah kepada non-muslim perlu diteruskan dengan penuh bijak dan kreatif. Berfikir positif dan ambillah peluang terhadap apa kejadian sekalipun yang berlaku untuk meningkatkan dakwah kita kepada manusia. Contoh terbaik masa kini adalah peristiwa 11/9 yang pada awalnya kelihatan seperti bakal menekan Ummat Islam, akhirnya lebih ramai orang yang mengenali dan menerima Islam daripada orang yang membencinya. Alhamdulillah.

Akhirnya, suka saya memetik kata-kata Sayyidina 'Umar Al-Khattab yang berbunyi;




نحن قوم اعزنا الله بالاسلام فاذا ابتغينا العزة بغيره اذلنا الله


"Kita adalah kaum yang dimuliakan Allah dengan Islam. Bila mana kita mencari kemuliaan selain Islam (meninggalkan Islam), kita akan dihina oleh Allah."


Tegakkan Islam di dalam dirimu, nescaya akan tertegaknya Islam di tanahmu, sehingga tiada siapa yang berani mempersendakannya.

Allahu A'lam, walhamdulillahi Rabbil 'alameen, wassolaatu wassalaamu 'ala Rasulillah...



Posted in Labels: , , | Comments
Related Posts with Thumbnails

Apture