Untuk Apa Kita Bersusah?

Sunday, September 23, 2012 by aiyqosim
Bismillahirrahmaanirraheem,

Alhamdulillahi Rabbil 'alameen, wassolaatu wassalaamu 'ala Rasulil Ameen, Sayyidina Muhammad SAW...


Musim cuti lalu banyak dihabiskan untuk urusan peribadi. Urusan bersama keluarga dan rakan-rakan. Tidak kurang juga aktiviti-aktiviti berbentuk menenangkan fikiran dan hiburan santai.

Di kala ibu bapa terus bekerja tidak bercuti, di kala sahabat-sahabat sebaya ramai yang sudah bekerja, di kala sahabat lain kuliah terus ke kelas tidak bercuti, kami terus seronok bercuti.

Kekadang saya terfikir, apa memotivasi ibu bapa dan orang-orang 'lama' untuk terus bekerja keras siang dan malam?

Antara jawapan yang saya ramalkan adalah, "...nak pastikan keluarga, anak-anak hidup selesa, terjamin masa depan..."

Saya dapat bayangkan dengan jelas motivasi itu, kerana ianya berbentuk material. Kerja kuat menghasilkan pulangan wang ringgit dan harta benda yang bakal menjamin keselesaan anak beranak.


Apa Pula Motivasi Mereka?

Saya berjumpa ramai kenalan sebulan dua ini, yang aktif bekerja dalam NGO-NGO dan persatuan-persatuan kebajikan. Kerja-kerja sukarela, mengutip dana, khidmat masyarakat, misi kemanusiaan, pengurus dan penggerak program dakwah, ceramah dan perkongsian pengalaman dengan junior, dan segala macam lagi.

Kemudian saya bertanya, apa pula yang memotivasi mereka untuk terus giat dalam kerja-kerja sukarela mereka? Mereka tidak mendapat gaji dari kerja-kerja mereka. Kalau beroleh pulangan wang ringgit sekalipun, ianya bukan untuk mereka, tetapi untuk pertubuhan mereka atau golongan-golongan yang lebih memerlukan.

Akhirnya saya temukan satu jawapan yang sama dari kebanyakan mereka, iaitu Hadith Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam yang berbunyi;


 خير الناس أنفعهم للناس

"Sebaik-baik manusia, adalah yang paling bermanfaat buat manusia lain"

Hadith Hasan




Produktif Untuk Diri Sendiri

Namun di sana ada manusia yang produktif, namun hidup mereka hanyalah untuk diri mereka sendiri sahaja. Harta yang mereka himpunkan hanyalah untuk keselesaan diri mereka. Kejayaan hidup mereka adalah demi rekod peribadi dan menandingi orang lain.

Percayalah, golongan sebegini lebih ramai jumlahnya. Buktinya, saya berikan contoh ringkas yang dapat saya terfikir saat ini, jika dilancarkan satu projek kutipan dana pembinaan surau dalam kalangan orang Melayu, lebih banyak soalan yang ditanya kepada kita berbanding dengan sumbangan yang dihulur.

"Eh, bukan sekolah ni sekolah kementerian ke? Kenapa nak minta derma?"

"Adik ni, buka kaunter kutip duit ni ada surat kebenaran ke?"

"Apa yang saya dapat kalau saya derma?"

"Kalau nak bagi sikit je, boleh ke?"

"Mmm, untuk surau eh? Tengok laah..."

Dan macam-macam soalan lagi. Dan mungkin saya dan kita juga tergolong dalam golongan ini, na'udzubillah.

Mengapa golongan sebegini tidak termotivasi oleh Hadith Rasulullah SAW yang menyebut sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat buat manusia lain?



Kisah Raja Parsi Dengan Orang Tua

Suka saya kongsikan satu kisah yang diriwayatkan oleh Syeikh Dr. Usamah hafizahullah, Timbalan Mufti Mesir di dalam satu khutbah Jumaatnya.


Diriwayatkan, suatu hari Raja Parsi beserta rombongannya dalam satu perjalanan sampai di satu kawasan padang pasir. Di sana, mereka terserempak dengan seorang tua yang melakukan sesuatu yang ganjil. Si tua itu sedang menanam sepohon pokok yang tidak akan berbuah kecuali selepas 100 tahun.

Raja Parsi hairan dengan kelakuan itu kerana si tua sudah tentu tak akan mendapat apa-apa faedah dari tanamannya itu. Si tua itu pasti mati sebelum sempat pokok itu berbuah.


Maka si Raja pun bertanya, "Wahai orang tua, pelik sungguh kelakuanmu. Engkau menanam pokok yang tidak akan berbuah kecuali selepas 100 tahun. Apa yang kau dapat dari tindakanmu ini sedang kau tahu bahawa kaun tidak akan merasa hasilnya."


Si tua tadi menjawab, "Aku tanam pokok yang tidak akan berbuah kecuali selepas 100 tahun ini bukan untuk aku merasa hasilnya, tetapi untuk generasi akan datang merasa hasilnya. Kalau generasi terdahulu tidak menanam untuk kita pada hari ini, tentulah kita tidak mendapat hasil tuaiannya hari ini."


Si Raja terus berkata, "Ahsanta!" atau dengan kata lainnya, "Bagus sekali!" menunjukkan rasa kagumnya kepada orang tua itu. Sudah menjadi tradisi di zaman itu, jika seorang Raja berkata "Ahsanta" kerana kagum akan sesuatu atau seseorang, orang itu akan diberikan 1000 dinar. Maka, pembesar Raja pun memberikan 1000 dinar kepada orang tua itu.


Orang tua itu lantas berkata kepada Raja, "Sekarang lihat! Selesai sahaja aku tanam pokok ini, ia telah membuahkan kepadaku hasil 1000 dinar!"


Raja berasa kagum dan berkata, "Ahsanta!"


Maka pembesar pun memberikan lagi 1000 dinar kepada orang tua itu.


Si tua itu sekali lagi berkata, "Lihat! Sekarang ia telah membuahkan aku hasil 2000 dinar!"


Raja berkata sekali lagi, "Ahsanta!"


Si pembesar memberikan 1000 dinar lagi kepada orang tua itu.


Si tua itu sekali lagi berkata, "Lihat! Sekarang ia telah membuahkan aku hasil 3000 dinar!"

Si pembesar seraya berkata kepada si Raja, "Wahai Raja, eloklah kiranya jika kita pergi meninggalkan si tua ini. Takut-takut, habis harta kita diberikan kepada orang tua ini!"

Maka Raja dan rombongannya pun pergi meninggalkan si tua itu tadi.



Orang Sekarang VS Orang Dulu, Mana Lagi Hebat?

Mana lagi hebat?


Mungkin kita, orang-orang zaman sekarang ini lupa bahawa kemewahan dan kemajuan segala macam yang kita kecapi pada hari ini telah dimulakan oleh orang-orang terdahulu.

Mana mungkin Airbus tercanggih dan terbesar boleh tercipta tanpa adik-beradik Wrights mencipta mesin yang boleh menerbangkan hanya seorang manusia untuk jarak hanya 200 meter.

Tidak mungkin pakar matematik dan ahli fizik hari ini maju dengan formula-formula serba canggih tanpa Al-Khawarizmi dengan teori Aljebra-nya..

Bagaimana penemuan-penemuan baru ubat-ubatan pada hari ini berkembang dengan sangat maju tanpa penemuan pertama penicillin, alkohol dan bahan-bahan asas yang lainnya ratusan tahun yang lalu.

Bagaimana mungkin pelajar-pelajar bidang perubatan pada hari ini tidak perlu lagi membelah mayat untuk mempelajari anatomi, jika tidak orang-orang terdahulu membelah mayat saban hari dan membuat rekod catatan dan lukisan tentang anatomi manusia, sehingga hari ini kita hanya perlu membeli buku teks bergambar dan memuat turun video-video sahaja untuk belajar.

Bayangkan, berapa juta nyawa telah terkorban hanya untuk mempelajari erti sebuah negara yang aman dan demokrasi?

Bagaimana masyarakat berbilang kaum dan agama boleh hidup aman makmur di sesetengah negara di muka bumi ini, jika tidak ratusan ribu nyawa telah terkorban berjuang mempertahankan hak asasi mereka selama ratusan tahun lamanya?

Bayangkan perlumbaan Formula One pada hari ini boleh mencapai rekod sifar-kematian sejak tahun 1994 hanya selepas berlaku dua kematian berturut-turut pada perlumbaan San Marino Grand Prix 1994 yang mencetus penubuhan satu badan khas mengkaji keselamatan Formula One. (Saya baru menonton dokumentari tentang Ayrton Senna, seorang lagenda Formula One)


Hebatnya kita pada hari ini adalah hasil titik peluh orang-orang terdahulu. Memetik kata-kata Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil dalam satu pembentangan kertas kerjanya dalam Konvensyen Fiqh Wasatiyyah awal tahun 2012, bahawa;


"'Ulama'-'ulama' terdahulu(salaf) mendapat fadhilat(kelebihan) ta'sis iaitu pengasas, manakala 'ulama'-'ulama' khalaf masa kini mendapat fadhilat takmeel(menyempurnakan)"



Lihat sahaja situasi yang lebih dekat dari kita. Siapa yang rasa dirinya hebat denga berseorangan, cuba bayangkan, jika dia hidup berseorangan semenjak dilahirkan. Siapa yang memberinya makan? Siapa yang menyalin lampinnya? Siapa yang memandikannya? Siapa yang belikan dan pakaikan bajunya? Jawab soalan-soalan ini dahulu, kemudian baru boleh beritahu manusia lain, sehebat mana anda?



Pembinaan Pelapis

Kisah Raja Parsi dan orang tua itu tadi juga memberi peringatan kepada generasi masa kini supaya sentiasa berfikir untuk menyediakan pelapis, bukan hanya berfikir memajukan generasinya sendiri sahaja.

Pembinaan pelapis itu pula perlu berteraskan konsep 'Sang Murid Lebih Bijak Dari Sang Guru'. Target kita dalam proses pembinaan pelapis masa depan adalah untuk melahirkan generasi yang lebih pandai dan maju dari kita sekarang.

Malangnya, apa yang berlaku dalam komuniti Melayu di negara kita khususnya, target kita (atau para pemimpin kita) adalah untuk melahirkan pelapis masa hadapan yang lebih bebal dari mereka, sipaya generasi akan datang lebih mudah ditipu oleh mereka.

Segalanya disuap dan diberi, umpama menggemukkan ayam daging yang akhirnya tidak mampu dan tidak ingin berlari apabila disembelih. Minda disuap dengan pendidikan yang tidak membangun dan fakta sejarah yang menipu. Pemikiran Islam yang sebenar dan wasatiyyah tidak disuburkan. Budaya kotor dan lucah dusebar dan disuburkan. Media-media disekat dan dikawal secara berat sebelah oleh pihak Kerajaan. Masa-masa kosong dan media-media dihidangkan dengan hiburan-hiburan melalaikan.

Akhirnya, pelapis yang kita hasilkan hanya mampu memetik kata-kata orang-orang dahulu yang hebat-hebat. Generasi muda hanya akan menjatuhkan legasi yang dibina orang terdahulu, atau paling baik sekalipun, hanya meneruskan sahaja tanpa apa-apa inovasi.

Bagaimanakah pelapis yang kita harap-harapkan? Allahul Musta'an...


Kesimpulan

Maka, satu fakta yang perlu kita hayati adalah, hidup kita adalah untuk berkhidmat kepada Allah dan Rasul. Hidup ini adalah untuk Akhirat, untuk Islam. Cara untuk mencapai matlamat ini adalah, dengan memberi khidmat kepada manusia lain.

Hidup ini adalah satu putaran. Kita mendapat apa yang diberi oleh orang-orang terdahulu. Maka, menjadi tanggungjawab kita jualah untuk memberi semula kepada generasi akan datang, moga-moga mereka akan meneruskan putaran itu.

Wahai anak-anak muda sekalian, ingatlah, hidup kita bukan lagi untuk merajuk kerana orang lain tak memuaskan hati kita. Itu adalah sifat kita di zaman kanak-kanak dahulu.

Tapi sekarang bila umur sudah belasan dan puluhan tahun, jika kita masih lagi berfikiran 'tunggu-orang-suap-baru-gerak', atau 'tunggu-orang-tolak-baru-jalan', maka malang sekali, kita rupanya masih di zaman kanak-kanak dengan gula-gula lolipop di mulut dan hidung berhingus berlari-lari di luar rumah separuh bogel (maaf cakap ya).

Pesanan untuk diri sendiri dan penggerak-penggerak persatuan, supaya memberikan fokus dan perhatian yang banyak kepada kerja-kerja pembinaan pelapis, bukan hanya kerja-kerja persatuan berbentuk teknikal sahaja. Kita adalah pelapis masa kini yang dicipta oleh generasi terdahulu. Tugas kita jualah untuk menghasilkan pelapis masa hadapa, dengan cetakan versi kita.

Akhirnya, marilah kita terapkan semangat memberi dan berkhidmat dengan sukarela kerana Allah, serta menghayati Hadith Rasulullah SAW;


 خير الناس أنفعهم للناس


Walhamdulillahi Rabbil 'Alameen...
Posted in Labels: , | Comments
Related Posts with Thumbnails

Apture