Pesan Habib Umar Hafiz Hafizahullah

Sunday, October 23, 2011 by aiyqosim



Assalamu'alaykum wbt.

Bismillahi wassolaatu wassalaamu 'ala Rasulillah...


Syukur, genap 19 hari tak menulis di sini, akhirnya diberi kesempatan waktu dan tenaga untuk menulis.


Semalam, satu majlis penuh barakah telah diadakan. Meraikan ziarah Habib Umar Bin Hafiz hafizahullah ke Mesir dengan delegasi 'ulama dari Yaman, satu ceramah dianjurkan di Dataran Hayyu Asyir.


Saya sempat singgah bersama beberapa orang sahabat. Rasanya peluang sebegini tak datang banyak kali. Alhamdulillah, walaupun duduk nun jauh di belakang, hanya nampak samar-samar sahaja kelibat Habib Umar, tapi cukup bermakna.


Saya kongsikan beberapa pesanan beliau kepada kami, penuntut ilmu di bumi Mesir ini.


Pesan Habib, ada 3 perkara utama perlu dimiliki dan dijaga oleh seorang penuntut ilmu;


1. Niat yang betul (صحيح القصد)


2. Kesungguhan (الجهد)


Suka saya kongsikan kisah para Sahabat Nabi Radhiallahu 'anhum ketika Perang Tabuk. Cuba bayangkan, ketika diperintahkan perang, waktu itu musim panas. Musim panas adalah waktu menuai hasil tanaman, hasil kurma, dan sebagainya. Buah-buahan dan tanaman sedang masak ranum.

Dalam kepanasan matahari diperintahkan berperang. Tak cukup dengan itu, kawasan peperangan bukannya sebatu dua, tapi 1000 batu dari bumi Madinah!

Tak cukup dengan itu, keadaan ekonomi umat Islam waktu itu tidaklah mewah. Diceritakan, seekor umta atau kuda dikongsi sebanyak 4 orang. Bergilir-gilir 2 orang berjalan, dua orang menunggang unta, sepanjang 1000 batu.

Dan akhirnya, bila tiba di Tabuk, tentera Rom tiada. Peperangan tidak berlaku.

Setelah meninggalkan hasil tanaman yang masak ranum begitu sahaja, berjalan 1000 batu di bawah panas terik matahari, akhirnya perang tak jadi!

Bayangkan betapa hebatnya kesungguhan para sahabat dalam menyahut seruan nabi SAW, demi Islam tercinta. Dengan kefahaman yang sedikit, dan keikhlasan kerana Allah, mereka bersungguh-sungguh berjuang demi Islam.

Maka bagaimana pula halnya dengan perjuangan kita sekarang?



3. Pertimbangan Petunjuk (Al-Quran & Sunnah) (وزن الرشد)


Petimbangan petunjuk Al-Quran & Sunnah di sini bermaksud, segala perbuatan, pemikiran, percakapan dan tindakan kita berlandaskan pertimbangan Islam, pertimbangan Al-Quran dan As-Sunnah.

Satu contoh yang diberikan Habib Umar, dalam menghuraikan erti kuat.

Orang yang paling kuat di sisi masyarakat Arab pada zaman Rasulullah adalah yang paling gagah tubuh badannya, yang paling banyak hartanya, dan paling berpengaruh.

Tapi Rasulullah datang dengan Al-Quran dan Sunnah. Di sisi Rasulullah SAW, siapakah orang yang paling kuat?

Seperti diceritakan dalam Hadith, orang yang paling kuat adalah yang paling menahan marahnya.

Maka itulah yang dimaksudkan dengan pertimbangan Al-Quran & As-Sunnah.



Satu lagi pesan Habib, tentang adab menuntut ilmu. Adab dengan buku, adab dengan guru. Islam sangat menitik beratkan adab.


Satu paradigma baru, yang membuka minda saya adalah, Habib berpesan, jangan sempitkan ilmu itu sekadar belajar agama. Perkara lain juga ilmu. Perubatan dan Kejuruteraan juga ilmu. Begitu juga bidang lainnya.


Maka, adab yang sama juga perlu diaplikasikan. Hadir ke kelas awal, hormati guru, hormati buku-buku, menjaga disiplin, dan sebagainya. Tiada bezanya adab ketika belajar Al-Quran dengan adab ketika belajar ilmu Perubatan di kuliah.



Sekian sahaja, moga kita semua beroleh manfaat.


Allahu A'lam. Seeruu 'ala barakaatillah...


Wassalam.
Posted in Labels: , | Comments
Related Posts with Thumbnails

Apture