Bukan Rezeki Aku Kot...

Tuesday, October 4, 2011 by aiyqosim


Bismillahirrahmaanirraheem,

Alhamdulillahi wassolaatu wassalaamu 'ala Rasulillah...


Kekadang bila keputusan peperiksaan diumumkan, kalau kita berpuas hati dengan keputusan itu, kita ucapkan,

"Alhamdulillah... Rezeki aku..."


Anak Mak Joyah dapat masuk universiti, jirannya Mak Timah ucap pada Mak Joyah,

"Eh Joyah, tahniah la Joyah. Rezeki kau la ye kan Joyah... Anak semua menjadi!"


Kekadang, bila gaji masuk, atau dapat untung bisnes, baru lah teringat nak kata,

"Alhamdulillah. Rezeki betul lah bulan ni. Bisnes menjadi."


Selalu juga berlaku bila ada seorang lelaki, kena 'reject' dengan girlfriend dia. Tak jadi tunang, katanya,

"Dah takda rezeki, nak buat macam mana..."


.....................................


Saya teringat khutbah Jumaat minggu lepas. Jumaat pertama lepas balik semula ke Mesir. Khatib berkhutbah tentang rezeki.

Tentang perkara-perkara yang membuka pintu rezeki, dan perkara-perkara yang menutup pintu rezeki.



Pembuka Pintu Rezeki


Ada banyak pembuka pintu rezeki, tapi saya nak sebut 2 perkara saja.


1. Istighfar

Sepertimana firman Allah dalam Sura Nuh, ayat 10 dan 11.


فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا ﴿١٠﴾

maka aku berkata kepada mereka, "mohonlah ampunan daripada Tuhanmu, sesungguhnya Dialah Maha Pengampun".

يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارًا ﴿١١﴾

nescaya Dia akan menurunkan hujan yang lebat dari langit kepadamu



Hujan membawa maksud rezeki. Antara cara dimurahkan rezeki, adalah dengan beristighfar, memohon keampunan daripada Allah.


Memohon keampunan adalah manifestasi kehambaan. Maksudnya, itu adalah sifat hamba yang baik. Sekali lagi, kita perlu sentiasa ingat kedudukan kita. Posisi kita.


Posisi sebagai hamba, tugasnya memohon keampunan, kerana kita bersalah. Posisi Allah adalah Maha Pengampun.


Hamba yang baik, yakin dengan Pengampunan Allah. Yakin bahawa Allah mampu mengampunkan, biar seluas mana pun dosa itu, percayalah, bahawa sifat Maha-Pengampun Allah itu lebih luas.


إِنَّ رَبَّكَ وَاسِعُ الْمَغْفِرَةِ

...Sungguh, Tuhamnu maha luas ampunanNya..."

Surah An-Najm, ayat 32


Maka, sebab itulah, Allah menurunkan rezeki bagi mereka yang memohon ampun dan beristighfar.


Tambahan pula, pengampunan dosa itu sendiri adalah satu rezeki yang sangat besar buat manusia. Moga kita tergolong dalam kalangan mereka yang memohon pengampunan ALlah.



2. Taqwa

Memetik ayat Al-Quran dalam Surah At-Talaq, ayat 2 dan 3,


وَمَن يَتَّقِ اللَّـهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا ﴿٢﴾ وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ ۚ

...barangsiapa bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan membuka jalan keluar baginya. Dan Dia memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka..."


Maksud taqwa mudahnya adalah takut kepada Allah.


Mengikut Sayiduna Ali RA apabila ditanya tentang maksud taqwa, beliau menjawab dengan kalam yang indah, mudah, ringkas dan padat, iaitu;



الخوف من الجليل والعمل بالتنزيل والرضا بالقليل والاستعداد ليوم الرحيل

Takut kepada ALlah, beramal dengan Al-Quran, redho dengan yang sedikit, dan bersedia untuk Hari Qiyamat.



Penutup Pintu Rezeki


Saya ingat satu sahaja. Penutup pintu rezeki adalah maksiat kepada ALlah.


Sebagaimana minyak tidak boleh bercampur dengan air, begitu juga perkara yang mulia tidak boleh bercampur dengan yang buruk.


Rezeki Allah tidak bercampur dengan maksiat. Adapun orang yang terus menerus melakukan maksiat, tetapi terus beroleh kenikmatan hidup, maka itu bukan rezeki. Itu istidraj namanya. Moga ALlah jauhkan kita daripada istidraj.



Apa Itu Rezeki?

Sebelum menutup perbincangan, satu persoalan asas masih belum terjawab.


"Apa itu rezeki?"


Adakah keputusan peperiksaan kah?


Atau anak-anak yang 'menjadi' kah?


Atau harta berkoyan-koyan kah?


Atau isteri dan suami kah?


Atau apa?


Kita selalu berdoa,


"Ya Allah, berilah aku isteri solehah, anak-anak yang ramai, harga benda yang melimpah ruah, keputusan peperiksaan yang cemerlang, rumah yang besar, kereta mewah, dan hidup senang lenang..."


Kerana dirasakan perkara-perkara itu cukup besar dan berbaloi untuk diminta. Kerana kita terlalu inginkan benda itu.


Saya tinggalkan persoalan "apakah itu rezeki" kepada anda untuk dijawab dalam hati. Tetapi saya nak berkongsi seperkara daripada Syeikh Rohimudden bila bercakap tentang rezeki.


Katanya, bila kita meminta rezeki, seringkali kita meminta macam-macam perkara yang hebat-hebat, nikmat yang besar-besar. Kita rasakan nikmat itu dah cukup besar dan berbaloi. Tapi sebenarnya, silap.


Mintalah daripada Allah, rezeki yang tidak dijangka-jangka (min haitsu la yahtasib). Seperti dalam ayat seribu dinar. Itulah sebesar-besar nikmat. Sebab kita meminta segala nikmat daripada segala pintu nikmat, bukan hanya sekadar kereta, rumah, isteri, anak, harta dan sebagainya...


Jika kita hanya meminta dikurniakan isteri, anak, harta, rumah, dan sebagainya, kita sedar tak sedar hanya meminta belasan atau puluhan perkara sahaja. Sedangkan pintu rezeki Allah tidak terkira banyaknya. Mintalah rezeki daripada pintu-pintu yang banyaknya Allah saja yang tahu, barulah untung!


Tambahan pula, mintalah dari Yang Memberi. Sebab Dia sajalah yang Maha Tahu apa yang kita perlukan. Maka kita takkan kecewa dengan kehidupan kita, kerana kita beriman bahawa Allah hanya memberikan apa yang kita mampu terima, dan ada hikmah di sebalik setiap apa yang Allah berikan itu...


Allahu A'lam, moga bermanfaat.


Selamat beramal!


Salah satu rezeki terbesar selepas Allah & Rasul, Islam & Iman, adalah nikmat keluarga. Gambar 2 tahun lepas. Semoga Allah memberkati keluarga saya dan anda semua...
Posted in Labels: | Comments
Related Posts with Thumbnails

Apture