Pesan Habib Umar Hafiz Hafizahullah

Sunday, October 23, 2011 by aiyqosim



Assalamu'alaykum wbt.

Bismillahi wassolaatu wassalaamu 'ala Rasulillah...


Syukur, genap 19 hari tak menulis di sini, akhirnya diberi kesempatan waktu dan tenaga untuk menulis.


Semalam, satu majlis penuh barakah telah diadakan. Meraikan ziarah Habib Umar Bin Hafiz hafizahullah ke Mesir dengan delegasi 'ulama dari Yaman, satu ceramah dianjurkan di Dataran Hayyu Asyir.


Saya sempat singgah bersama beberapa orang sahabat. Rasanya peluang sebegini tak datang banyak kali. Alhamdulillah, walaupun duduk nun jauh di belakang, hanya nampak samar-samar sahaja kelibat Habib Umar, tapi cukup bermakna.


Saya kongsikan beberapa pesanan beliau kepada kami, penuntut ilmu di bumi Mesir ini.


Pesan Habib, ada 3 perkara utama perlu dimiliki dan dijaga oleh seorang penuntut ilmu;


1. Niat yang betul (صحيح القصد)


2. Kesungguhan (الجهد)


Suka saya kongsikan kisah para Sahabat Nabi Radhiallahu 'anhum ketika Perang Tabuk. Cuba bayangkan, ketika diperintahkan perang, waktu itu musim panas. Musim panas adalah waktu menuai hasil tanaman, hasil kurma, dan sebagainya. Buah-buahan dan tanaman sedang masak ranum.

Dalam kepanasan matahari diperintahkan berperang. Tak cukup dengan itu, kawasan peperangan bukannya sebatu dua, tapi 1000 batu dari bumi Madinah!

Tak cukup dengan itu, keadaan ekonomi umat Islam waktu itu tidaklah mewah. Diceritakan, seekor umta atau kuda dikongsi sebanyak 4 orang. Bergilir-gilir 2 orang berjalan, dua orang menunggang unta, sepanjang 1000 batu.

Dan akhirnya, bila tiba di Tabuk, tentera Rom tiada. Peperangan tidak berlaku.

Setelah meninggalkan hasil tanaman yang masak ranum begitu sahaja, berjalan 1000 batu di bawah panas terik matahari, akhirnya perang tak jadi!

Bayangkan betapa hebatnya kesungguhan para sahabat dalam menyahut seruan nabi SAW, demi Islam tercinta. Dengan kefahaman yang sedikit, dan keikhlasan kerana Allah, mereka bersungguh-sungguh berjuang demi Islam.

Maka bagaimana pula halnya dengan perjuangan kita sekarang?



3. Pertimbangan Petunjuk (Al-Quran & Sunnah) (وزن الرشد)


Petimbangan petunjuk Al-Quran & Sunnah di sini bermaksud, segala perbuatan, pemikiran, percakapan dan tindakan kita berlandaskan pertimbangan Islam, pertimbangan Al-Quran dan As-Sunnah.

Satu contoh yang diberikan Habib Umar, dalam menghuraikan erti kuat.

Orang yang paling kuat di sisi masyarakat Arab pada zaman Rasulullah adalah yang paling gagah tubuh badannya, yang paling banyak hartanya, dan paling berpengaruh.

Tapi Rasulullah datang dengan Al-Quran dan Sunnah. Di sisi Rasulullah SAW, siapakah orang yang paling kuat?

Seperti diceritakan dalam Hadith, orang yang paling kuat adalah yang paling menahan marahnya.

Maka itulah yang dimaksudkan dengan pertimbangan Al-Quran & As-Sunnah.



Satu lagi pesan Habib, tentang adab menuntut ilmu. Adab dengan buku, adab dengan guru. Islam sangat menitik beratkan adab.


Satu paradigma baru, yang membuka minda saya adalah, Habib berpesan, jangan sempitkan ilmu itu sekadar belajar agama. Perkara lain juga ilmu. Perubatan dan Kejuruteraan juga ilmu. Begitu juga bidang lainnya.


Maka, adab yang sama juga perlu diaplikasikan. Hadir ke kelas awal, hormati guru, hormati buku-buku, menjaga disiplin, dan sebagainya. Tiada bezanya adab ketika belajar Al-Quran dengan adab ketika belajar ilmu Perubatan di kuliah.



Sekian sahaja, moga kita semua beroleh manfaat.


Allahu A'lam. Seeruu 'ala barakaatillah...


Wassalam.
Posted in Labels: , | Comments

Bukan Rezeki Aku Kot...

Tuesday, October 4, 2011 by aiyqosim


Bismillahirrahmaanirraheem,

Alhamdulillahi wassolaatu wassalaamu 'ala Rasulillah...


Kekadang bila keputusan peperiksaan diumumkan, kalau kita berpuas hati dengan keputusan itu, kita ucapkan,

"Alhamdulillah... Rezeki aku..."


Anak Mak Joyah dapat masuk universiti, jirannya Mak Timah ucap pada Mak Joyah,

"Eh Joyah, tahniah la Joyah. Rezeki kau la ye kan Joyah... Anak semua menjadi!"


Kekadang, bila gaji masuk, atau dapat untung bisnes, baru lah teringat nak kata,

"Alhamdulillah. Rezeki betul lah bulan ni. Bisnes menjadi."


Selalu juga berlaku bila ada seorang lelaki, kena 'reject' dengan girlfriend dia. Tak jadi tunang, katanya,

"Dah takda rezeki, nak buat macam mana..."


.....................................


Saya teringat khutbah Jumaat minggu lepas. Jumaat pertama lepas balik semula ke Mesir. Khatib berkhutbah tentang rezeki.

Tentang perkara-perkara yang membuka pintu rezeki, dan perkara-perkara yang menutup pintu rezeki.



Pembuka Pintu Rezeki


Ada banyak pembuka pintu rezeki, tapi saya nak sebut 2 perkara saja.


1. Istighfar

Sepertimana firman Allah dalam Sura Nuh, ayat 10 dan 11.


فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا ﴿١٠﴾

maka aku berkata kepada mereka, "mohonlah ampunan daripada Tuhanmu, sesungguhnya Dialah Maha Pengampun".

يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارًا ﴿١١﴾

nescaya Dia akan menurunkan hujan yang lebat dari langit kepadamu



Hujan membawa maksud rezeki. Antara cara dimurahkan rezeki, adalah dengan beristighfar, memohon keampunan daripada Allah.


Memohon keampunan adalah manifestasi kehambaan. Maksudnya, itu adalah sifat hamba yang baik. Sekali lagi, kita perlu sentiasa ingat kedudukan kita. Posisi kita.


Posisi sebagai hamba, tugasnya memohon keampunan, kerana kita bersalah. Posisi Allah adalah Maha Pengampun.


Hamba yang baik, yakin dengan Pengampunan Allah. Yakin bahawa Allah mampu mengampunkan, biar seluas mana pun dosa itu, percayalah, bahawa sifat Maha-Pengampun Allah itu lebih luas.


إِنَّ رَبَّكَ وَاسِعُ الْمَغْفِرَةِ

...Sungguh, Tuhamnu maha luas ampunanNya..."

Surah An-Najm, ayat 32


Maka, sebab itulah, Allah menurunkan rezeki bagi mereka yang memohon ampun dan beristighfar.


Tambahan pula, pengampunan dosa itu sendiri adalah satu rezeki yang sangat besar buat manusia. Moga kita tergolong dalam kalangan mereka yang memohon pengampunan ALlah.



2. Taqwa

Memetik ayat Al-Quran dalam Surah At-Talaq, ayat 2 dan 3,


وَمَن يَتَّقِ اللَّـهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا ﴿٢﴾ وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ ۚ

...barangsiapa bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan membuka jalan keluar baginya. Dan Dia memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka..."


Maksud taqwa mudahnya adalah takut kepada Allah.


Mengikut Sayiduna Ali RA apabila ditanya tentang maksud taqwa, beliau menjawab dengan kalam yang indah, mudah, ringkas dan padat, iaitu;



الخوف من الجليل والعمل بالتنزيل والرضا بالقليل والاستعداد ليوم الرحيل

Takut kepada ALlah, beramal dengan Al-Quran, redho dengan yang sedikit, dan bersedia untuk Hari Qiyamat.



Penutup Pintu Rezeki


Saya ingat satu sahaja. Penutup pintu rezeki adalah maksiat kepada ALlah.


Sebagaimana minyak tidak boleh bercampur dengan air, begitu juga perkara yang mulia tidak boleh bercampur dengan yang buruk.


Rezeki Allah tidak bercampur dengan maksiat. Adapun orang yang terus menerus melakukan maksiat, tetapi terus beroleh kenikmatan hidup, maka itu bukan rezeki. Itu istidraj namanya. Moga ALlah jauhkan kita daripada istidraj.



Apa Itu Rezeki?

Sebelum menutup perbincangan, satu persoalan asas masih belum terjawab.


"Apa itu rezeki?"


Adakah keputusan peperiksaan kah?


Atau anak-anak yang 'menjadi' kah?


Atau harta berkoyan-koyan kah?


Atau isteri dan suami kah?


Atau apa?


Kita selalu berdoa,


"Ya Allah, berilah aku isteri solehah, anak-anak yang ramai, harga benda yang melimpah ruah, keputusan peperiksaan yang cemerlang, rumah yang besar, kereta mewah, dan hidup senang lenang..."


Kerana dirasakan perkara-perkara itu cukup besar dan berbaloi untuk diminta. Kerana kita terlalu inginkan benda itu.


Saya tinggalkan persoalan "apakah itu rezeki" kepada anda untuk dijawab dalam hati. Tetapi saya nak berkongsi seperkara daripada Syeikh Rohimudden bila bercakap tentang rezeki.


Katanya, bila kita meminta rezeki, seringkali kita meminta macam-macam perkara yang hebat-hebat, nikmat yang besar-besar. Kita rasakan nikmat itu dah cukup besar dan berbaloi. Tapi sebenarnya, silap.


Mintalah daripada Allah, rezeki yang tidak dijangka-jangka (min haitsu la yahtasib). Seperti dalam ayat seribu dinar. Itulah sebesar-besar nikmat. Sebab kita meminta segala nikmat daripada segala pintu nikmat, bukan hanya sekadar kereta, rumah, isteri, anak, harta dan sebagainya...


Jika kita hanya meminta dikurniakan isteri, anak, harta, rumah, dan sebagainya, kita sedar tak sedar hanya meminta belasan atau puluhan perkara sahaja. Sedangkan pintu rezeki Allah tidak terkira banyaknya. Mintalah rezeki daripada pintu-pintu yang banyaknya Allah saja yang tahu, barulah untung!


Tambahan pula, mintalah dari Yang Memberi. Sebab Dia sajalah yang Maha Tahu apa yang kita perlukan. Maka kita takkan kecewa dengan kehidupan kita, kerana kita beriman bahawa Allah hanya memberikan apa yang kita mampu terima, dan ada hikmah di sebalik setiap apa yang Allah berikan itu...


Allahu A'lam, moga bermanfaat.


Selamat beramal!


Salah satu rezeki terbesar selepas Allah & Rasul, Islam & Iman, adalah nikmat keluarga. Gambar 2 tahun lepas. Semoga Allah memberkati keluarga saya dan anda semua...
Posted in Labels: | Comments

Saya Gerak Dulu Ya

Saturday, October 1, 2011 by aiyqosim

Bismillahirrahmaanirraheem,

Alhamdulillahi wassolaatu wassalaamu 'ala Rasulillah...


Tak sedar, blog post terakhir bertarikh 19 Ogos 2011. Dah sebulan 13 hari tidak mengepos di dalam blog.


Bak kata orang Arab Mesir,

الوقت بيجري

Masa berlari (time does fly)


Masa sangat cepat memintas kita. Sama ada kita yang terpotong, atau kita yang memotongnya.



Perjalanan Sebulan

Sedikit rumusan perjalanan sepanjang sebulan dua ini.


Ziarah ke MadinatunNabiy SAW

Umrah dan ziarah Makkah al-Mukarramah

Raya Aidil Fitri

Balik Malaysia berjumpa ibu ayah dan keluarga

Walimatul Urs abang kedua, Ahmad Yusuf Yahaya & pasangan Wahida Norasyikin, barakallahu lakuma...

Balik Mesir






di Jabal Rahmah ;)


Hari ini insyaALlah, hari pertama round pertama tahun 5 Kasr el-Ainy Medical School, Cairo University. Sebagai permulaan, suka diingatkan kepada diri sendiri dan sahabat-sahabat, tentang niat.



Kisah Syeikh Dengan Murid

Satu kisah, suatu masa, seorang syeikh ketika mengajar di rumahnya, pintu diketuk menandakan ada orang datang. Bangun seorang anak muridnya untuk membuka pintu.

Syeikh dengan tegas menyuruh anak murid itu duduk kembali, dan syeikh itu sendiri yang membuka pintu tersebut. Dibukanya pintu, dan masuklah seorang pelajar baru sampai.

Seusai pengajian, syeikh memberitahu kepada anak muridnya, mengapa disuruhnya budak tadi duduk dan syeikh sendiri yang membuka pintu. Sebabnya, syeikh tahu, bahawa anak murid itu ketika bangun hendak membuka pintu, dalam hatinya kosong, tiada niat atau apa-apa lintasan sekalipun.

Dan bilamana syeikh itu pergi membuka pintu, diniatkannya dia akan menjawab salam, akan menghulurkan makanan dan minuman andainya orang yang datang itu lapar dahaga, akan dilemparkan senyuman, dan akan dilayannya dengan sebaik-baik layanan mesra. Ini namanya ta'addud niat atau mempelbagaikan niat yang baik.


Si murid sekadar "tidak berniat", bukannya beniat jahat pun! Itu pun ditegur oleh syeikh. Tak lain tak bukan, niatlah yang membezakan halal dan haram, dosa dan pahala, fardu dan sunat, adat dan ibadat, sesat atau berkat.


Maka jom mulakan langkah ke kuliah dengan kalimah Allah, bismillah. Jom mulakan dengan azam mengutip segala ilmu bermanfaat dan kemahiran klinikal semaksimum mungkin, semoga menjadi seorang doktor Muslim Mukmin yang berakhlak, pakar dan profesional, insyaALlah.


Ingat, tajdid dan ta'addud niat, bukan ta'addud benda lain ya ;)


Sekian dahulu, suka saya memetik satu kata hikmah Arab,


من لم يكن في بدايته محرقة, لم يكن في نهايته مشرقة


Siapa yang di permulaannya tidak membakar, nescaya penghujungnya tidak akan menyala.



Maka, mulakan langkahmu, bergeraklah, kerana pada pergerakan itu ada barakah.


الحركة بركة



Ok, saya gerak dulu ya~


Wassalamu'alaykum warahmatullah...
Posted in Labels: , , | Comments
Related Posts with Thumbnails

Apture