Penyembelih Profesional

Saturday, November 20, 2010 by aiyqosim

Gambar : kredit kepada Illmie Rozlan, LINK!

Assalamu'alaykum wbt.


Jom sama-sama kita berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW.


Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan selamat hari raya Eidul Adha 1431, kullu sanah wa antum toyyiboon. Semoga pengorbanan kita selama ini diterima Allah insyaALlah...

Selesai sambutan Raya Korban peringkat PERUBATAN Mesir tempoh hari, saya terfikir bilamana teringat unta-unta, lembu-lembu, dan kambing-kambing disembelih di Hayyu Asyir pada hari pertama. Segalanya berjalan lancar Alhamdulillah. Satu perkara menarik hati saya, tentang ibadah sembelihan. Rasulullah pernah bersabda, yang bermaksud,


“Sesungguhnya Allah mewajibkan supaya diperlakukan belas ihsan atas setiap sesuatu. Maka jika kamu ingin membunuh, bunuhlah dengan penuh keihsanan. Dan jika kamu ingin menyembelih, maka sembelihlah dengan penuh keihsanan. Hendaklah kamu menajamkan pisau yang kamu akan gunakan untuk menyembelih dan hendaklah kamu memberi rehat yang secukupnya bagi binatang yang ingin kamu sembelih itu.”

(Hadis riwayat Muslim dan Tarmizi)


Gambar : kredit kepada Illmie Rozlan, LINK!

Ya, itulah ihsan. Sehingga hendak menyembelih binatang pun Nabi menyuruh kita menajamkan pisau supaya dapat meminimakan kesakitan binatang tersebut. Sekali lagi, itulah ihsan.

Dalam Hadith Jibril yang sangat mahsyur pula, diterangkan maksud Ihsan, iaitu, "... beribadat kepada Allah seolah-olah kamu melihat Allah. Tapi jika kamu tidak dapat melihat Allah sekalipun, sesungguhnya Allah melihat kamu."


Sekadar selingan : kepala kambing rumah negeri Sembilan, terbaik!!


Apa Itu Profesional?


Teringat sewaktu bulan Mac tahun ini, Seminar PERUBATAN Kali Ke-3 anjuran PERUBATAN Mesir. temanya adalah "Profesionalism". Pung-pang pung-pang perbincangan dan ceramah dari speaker yang diterbangkan khas dari Malaysia dan juga dari Mesir, saya tidak pasti sejauh mana pemahaman peserta terhadap isu yang dibincangkan, tetapi ada beberapa perkara yang saya dapat daripada program tersebut.

memori AJK Pelaksana Seminar Ke-3 : Profesionalism

Ramai yang pening kepala bila ditanya "apa yang kamu faham dengan profesionalisme?". Profesionalisme itu istilah yang terlalu 'subtle' kata sesetengah orang. Buktinya, cuba tanya soalan ni kepada diri anda sendiri. =)

Dua perkataan sahaja sudah cukup untuk menerangkan maksud profesionalisme, iaitu IHSAN dan ITQAN!



Ihsan


Ya, ihsan itulah yang dipesan oleh Nabi SAW bila mana anda hendak menyembelih binatang korban anda. Mukmin profesional mengamalkan ihsan dalam setiap pekerjaan.

Ihsan dalam solat, dijaga niatnya, solat dengan sempurna tidak kira di mana jua anda berada, solat di hadapan orang mahupun ketika berseorangan.

Ihsan dalam puasa, tidak curi tulang biarpun berseorangan di dalam rumah yang penuh dengan makanan.

Ihsan sebagai pelajar, belajar kerana Allah, sentiasa bersungguh-sungguh biarpun tiada peperiksaan pada minggu hadapannya, hadir ke kelas kerana Allah sentiasa menilai disiplin kita sebagai Muslim.

Ihsan sebagai seorang doktor, menyempurnakan setiap kerja kita dengan sempurna, bercakap dengan sopan kepada pesakit tidak kira ketika kuat mahupun penat, sentiasa bekerja menyelamatkan nyawa manusia biarpun di luar waktu kerja.

Itulah IHSAN....


selingan : tahlil & kesyukuran sempena raya di rumah TYT Duta, Dr. Fakhruddin


Itqan


Memetik pesan Nabi Muhammad SAW,

“Allah sangat menyukai mana-mana hambaNya yang bila melakukan sesuatu kerja dilakukannya dengan sungguh-sungguh."

Muslim terbaik adalah mereka yang melakukan pekerjaan mereka sehabis baik. Itulah Itqan!


Mengikut Ustaz Pahrol Mohamad Juoi, dalam buku terbarunya berjudul Mukmin Profesional, contoh Muslim profesional yang ditunjukkan di dalam al-Quran adalah kisah Nabi Musa AS dengan 2 orang anak Nabi Syuaib AS. Kisah tersebut dirakam dalam ayat ke 26 dari Surah Al-Qasas ;


قَالَتْ إِحْدَاهُمَا يَا أَبَتِ اسْتَأْجِرْهُ ۖ إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الْأَمِينُ

Maksudnya : salah seorang daripada kedua-duanya berkata, "Wahai ayah, ambillah dia sebagai pekerja, sesungguhnya sebaik-baik pekerja ialah yang kuat, lagi amanah."


Seorang Mukmin Profesional adalah seorang yang mempunyai sifat Al-Qawiy (kuat) iaitu merujuk kepada Profesional, dan Al Amin (amanah) iaitu merujuk kepada Mukmin.

MasyaAllah, profesionalisme yang sibuk diperkatakan beberapa tahun belakangan ini sebenarnya telah ditunjukkan oleh Allah dalam Al-Quran dan melalui sirah Nabi Muhammad SAW!

Maka, sekarang, sebagai seorang Muslim Mukmin, tidak kira pelajar, guru, doktor, engineer, mahupun pentadbir, tanya diri anda sendiri, adakah aku seorang profesional?? Adakah aku seorang Mukmin profesional?? Jika kita belum mencapai 2 ciri Mukmin profesional, Ihsan dan Itqan ini, maka jauh sekali kita dengan RasuluLlah SAW!

Bukankah, pada diri RasuluLlah itu, contoh tauladan yang baik? (Surah Al-Ahzab 33 : 21)

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

Maka, bersedialah untuk menjadi Penyembelih Profesional untuk Raya Korban tahun depan ya...


Sekian dahulu, selamat buka kuliah kepada semua mahasiswa Mesir, wassalamu'alaykum~


Allahu A'lam


Raya kedua : Jamuan Aidil Adha PERUBATAN, Gen 7 + Gen 9

Raya ketiga : Zenhom

Raya ketiga : Abbasiyyah, sambil melawat Fatah yang sakit perut

Raya kedua : persembahan nasyid Munawwarah, nice!

Raya kedua : bergambar kenangan bersama ex-SMAPians yang mana sempat =)

Raya kedua : Ahli rumah Syabab al-Mansyuud, tinggal berempat

Sampai buat satu pusingan beratur nak makan : Jamuan Raya PERUBATAN

Posted in Labels: , , , , | Comments
Related Posts with Thumbnails

Apture