Kaum Tua VS Kaum Muda

Saturday, November 19, 2011 by aiyqosim



Bismillahirrahmaanirraheem,

Alhamdulillahi wassolaatu wassalaamu 'ala Rasulillah...


Allah beri kesempatan untuk saya menulis pada hari ini Alhamdulillah.


Semalam, Jumaat, 18 November 2011, banyak perkara yang berlaku. Antara yang besar berlaku di Mesir adalah demonstrasi aman rakyat di Medan Tahrir untuk menunjukkan rasa kurang puas hati terhadap beberapa tindakan pihak tentera, Majlis Tertinggi Angkatan Tentera (SCAF). Antara yang sokong perhimpunan ini adalah Ikhwanul Muslimoon dan parti puak Salafi.


Terkini hari ini, Sabtu, di Medan Tahrir ada lagi orang awam yang bertempur dengan FRU Mesir, dan beberapa ratus cedera. Demo hari ini tiada kaitan dengan Ikhwanul Muslimoon atau mana-mana parti Islamis lainnya. PM Mesir umumkan bahawa pilihanraya tidak akan ditangguh insyaAllah setakat ini. Sekadar maklumat terkini.


Kembali kepada isu asal, bersempena hari Jumaat semalam, suka saya berkongsi sedikit sebanyak pengajaran di dalam Surah Al-Kahfi yang sangat digalakkan oleh Rasulullah SAW untuk dibaca pada malam Jumaat dan pagi Jumaat.


Di awal Surah, menceritakan perihal Ashabul Kahfi. Sekumpulan pemuda beriman yang melarikan diri daripada pemerintah yang zalim dan sombong demi menyelamatkan iman mereka.


Memetik ayat ke-13 Surah Al-Kahfi;


نَّحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ نَبَأَهُم بِالْحَقِّ ۚ إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى ﴿١٣﴾


Kami ceritakan kepada kamu (Muhammad) kisah mereka dengan sebenarnya. Sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman dengan Tuhan mereka, dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka.


Perkataan "Fityatun" merujuk kepada pemuda-pemuda, kalimah jamak kepada "fataa" (pemuda).




Meniti sejarah tamadun manusia, menjadi lumrah, golongan pemudalah yang golongan yang menegakkan kebenaran. Golongan pemudalah yang berani, tidak gentar menyatakan kebenaran. Golongan pemudalah yang sentiasa bersemangat waja berjuang. Golongan pemudalah yang bertenaga bekerja.



Peranan Pemuda


Memetik kandungan ceramah dan kitab al-Imam Dr. Yusuf Al-Qaradhawi, bertajuk "Waajibu as-Syabaab al-Youm" atau "Kewajipan Pemuda Hari Ini", menceritakan peranan pemuda-pemuda dalam membawa risalah Islam sejak zaman berzaman.


Diberi contoh model agung remaja;


1. Nabi Ismail AS dengan kisah pengorbanan beliau demi melaksanakan perintah ALlah yang diperintahkan kepada Nabi Ibrahim AS.

2. Nabi Yusuf AS dengan kisah cabaran hidup beliau dari kecil ke remaja hingga dewasa. Tidak pernah lekang dari diuji, dan ujian paling besar adalah ujian godaan maksiat. Dan dengan semangat remaja, baginda melepasi ujian tersebut biarpun dibayar dengan penjara.

3. Nabi Musa AS dengan kisah 'pemberontakan' beliau terhadap Firaun yang merupakan bapa angkat beliau sendiri. Kisahnya panjangnya bermula ketika beliau masih muda remaja lagi.

4. Ashaabul Kahfi yang merupakan sekumpulan pemuda yang beriman, cuba menyelamatkan diri mereka dari cengkaman pemerintah yang zalim dan sombong. Dengan usaha dan tawakkal mereka yang tinggi, Allah tidurkan mereka dan selamatkan mereka dari zaman tersebut.


Contoh lainnya, model teragung kita, Nabi Muhammad Rasulullah SAW. Cuba ingat kembali, siapakah yang menjadi peneraju utama barisan hadapan Ummat Islam waktu mula-mula Islam dizahirkan? Dan siapa pula golongan yang menentang Islam?


Nabi Muhammad AS dikira golongan pemuda, bersama para sahabat RA yang kebanyakannya muda-muda belaka. Siapa pula penentang utamanya? "Kaum Tua" Musyrikin Mekah, diketuai oleh Abu Jahal.



Pemuda = Bergerak


Kembali semula kepada Ashabul Kahfi, model pemuda beriman yang bencikan kezaliman dan pemerintah yang zalim, dan bersemangat tinggi berusaha menyelamatkan iman mereka. Inilah semangat yang patut ada dalam diri setiap kita.


Daripada contoh-contoh di atas, disimpulkan bahawa pemuda ini merupakan waktu paling semangat dalam hidup insan. Waktu paling aktif bergerak. Maka tak pelik jika orang muda remaja aktif, bersemangat, berkhidmat dan berbakti. Yang menjadi peliknya, jika pemuda remaja itu mandom, tidak bersemangat, tidak bergerak, tidak aktif, pasif, dan mementingkan diri sendiri hidup dalam dunianya sendiri sahaja.


Satu sudut lain pula, saya berasa takjub dengan mereka-mereka yang usianya sudah lanjut melewati separuh abad, tetapi tetap bersemangat berjuang dan aktif. Rupa dan tubuh mereka mungkin sudah dimakan usia, tetapi jiwa mereka tetap jiwa pemuda beriman ashabul kahfi.


Sehingga saya merasa aib kepada diri sendiri, melihatkan semangat mereka. Golongan pemuda boleh naik malu jika membandingkan usaha kita sebagai orang muda, dengan usaha orang tua yang fizikalnya tua tetapi semangatnya muda.


Sebagai pemuda hari ini, janganlah kita terlalu selesa bilamana kita merasakan yang kita seorang yang bersemangat, bergerak aktif, menjalani hidup yang bermanfaat dan sebagainya. Kekadang kita merasakan bahawa kita dah cukup bagus sebagai seorang yang aktif dalam komuniti. Kita dah cukup kuat ibadat. Kita dah cukup rajin. Dah cukup semangat.


Kalau ada perasaan begini dalam diri kita, ingatlah, semangat orang muda itu normal. Biasa-biasa saja. Bahkan yang tiada semangat itulah yang tak normal. Jadi, tak perlu berlagak lah. Persoalannya, sampai bila kita akan terus istiqomah dan mengekalkan momentum semangat kita bila umur kita makin meningkat kelak?


Inilah yang saya takjub dengan apa yang ada pada pejuang-pejuang ummah yang sudah menjangjau usia tetapi semangatnya tetap semangat ashabul kahfi.


Antara cara yang saya pernah diajar oleh 'orang yang berpengalaman' untuk terus istiqomah dalam 'semangat pemuda' ini adalah kefahaman tentang Islam yang betul, cita-cita yang jelas, dan bekerja secara berjemaah, berorganisasi, bersama-sama. InsyaALlah sama-sama kita berdoa agar kita terus istiqomah dalam kebaikan.



Kaum Muda VS Kaum Tua


Saya nak ambil satu contoh sahaja. Tok Guru Nik Abdul Aziz, MB Kelantan, sudah berumur 80-an. Tapi tahu tak, tidurnya berapa jam sehari? Hanya 3 ke 4 jam sahaja sehari!


Selalunya beliau pulang dari kesibukan kerja dan berdakwah sekitar jam 12 am. Menyelesaikan kerja-kerja rumah dan update maklumat-maklumat terkini, hingga jam 1 am beliau tidur. Jam 4 am, beliau sudah bangun qiyamullail. Amalan sudah puluhan tahun.


Nak dibandingkan dengan kita, orang muda? MasyaALlah tabarakallah jauh beza!


Ini satu contoh, dan banyak lagi contoh lain di dalam dan luar negara.

Antaranya, Syeikh Dr. Wahbah Az-Zuhaili. Dikisahkan, beliau menulis dan mengaji pernah menjangkau 18 jam sehari! Sampai pernah satu ketika isterinya merajuk sebab beliau terlalu sibuk dengan ilmu dan ceramah.



Kesimpulan


Maka kesimpulan dari tulisan ini adalah, sedarlah peranan pemuda dalam membina tamadun manusia sejak dulu hingga sekarang, dan periksa semula peranan dan sumbangan kita sebagai remaja atau pemuda pada hari ini. Tidak hairanlah kalau pelbagai aspek kemajuan tamadun pada hari ini dikuasai oleh Barat. Lihat sahaja diri kita, orang muda Islam masa kini, bagaimana tahap kita?


Bagaimana kualiti ibadat kita? Bagaimana tahap ilmu kita? Bagaimana akhlak kita? Berapa banyak buku yang kita baca sehari? Apakah jenis bahan bacaan kita? Ke mana masa kita dihabiskan? Bagaimana kita menyusun aktiviti seharian kita? Bagaimana kita berbelanja? Apakah sumbangan kita kepada masyarakat? Bagaimana muamalat kita dengan ibubapa dan keluarga kita?


Jawablah semua soalan di atas dan bina sendiri soalan anda. Kemudian anda akan tahu di mana anda berada. Yang pastinya, matlamat kita adalah kejayaan di Akhirat, dan kegemilangan Ummat Islam di dunia. InsyaALlah.


Sekian sahaja buat masa ini.


Selamat beramal~


Seeruu 'ala barakaatillah...
Posted in Labels: , , , | Comments
Related Posts with Thumbnails

Apture