Bismillahirrahmaanirraheem,
Alhamdulillahi wassolaatu wassalaamu 'ala Rasulillah SAW...
Diriwayatkan, suatu hari, Sayduna Ibnu 'Umar RA, anak kepada Sayduna 'Umar Al-Khattab RA, didatangi seorang lelaki bertanyakan soalan. Lelaki tersebut bertanya kepada Sayduna Ibnu 'Umar yang alim,
"wahai Ibnu 'Umar, apakah hukumnya baju yang terkena darah nyamuk?"
Sayduna Ibnu 'Umar RA bertanya kembali,
"kamu dari mana?"
Jawabnya,
"Dari Iraq".
Lalu Sayduna Ibnu 'Umar menjawab,
"Kamu datang dari Iraq, bertanyakan apakah hukum darah nyamuk, sedangkan Sayduna Husain RA kamu biarkan ditumpahkan darahnya secara zalim di hadapan kamu. Kamu tidak tanya hukum itu, tetapi kamu tanya hukum darah nyamuk?
Perkara kecil kamu tanya, perkara besar kamu tutup mata!"
Begitulah krisis yang melanda ummat kita hari ini. Kegagalan menilai besar kecil sesuatu perkara. Kegagalan meletakkan sesuatu sesuai dengan tarafnya.
Krisis prioriti!
Kepincangan di negara orang kita besar-besarkan, kita bincangkan hangat, sedang kezaliman di negara sendiri kita biarkan.
Sistem keadilan dan kebebasan media di negara orang kita bangga-banggakan, sedang media massa pincang berat sebelah kita redhai.
Ketokohan pemimpin seberang kita agungkan, sedang pemimpin negara sendiri tenat kredibiliti.
Pilihanraya hangat di negeri orang kita jaja dan julang, pilihanraya 'hantu' di negeri sendiri buat-buat tak nampak.
Kerosakan akhlak orang seberang kita heboh-hebohkan, ketirisan akhlak diri dan bangsa kita abaikan.
Sahabat-sahabat, cabaran di zaman jahiliyyah adalah membezakan diantara yang hak dan yang batil.
Besar lagi cabaran di zaman ini, untuk membezakan diantara dua yang hak, yang mana lebih baik untuk diambil. Dan membezakan diantara dua yang batil, yang mana lebih buruk, untuk diambil yang kurang buruknya itu.
Janganlah kita sesat dalam mencari jalan hidup kita sendiri. Janganlah kita sesat mencari kebenaran seribu batu di negeri orang sedang kebenaran berada di depan mata sahaja, cuma kita tutupkan mata dengan telapak tangan kita.
Allahu A'lam. Moga kita semua beroleh keberkatan dan keredhaan Allah Subhanahu wata'ala.
Wassalam.