Umrah Ramadhan 1432 H

Friday, August 19, 2011 by aiyqosim

Bismillahirrahmaanirraheem

Alhamdulillahi wassolaatu wassalaamu 'ala Rasulillah SAW



إِنَّ الصَّفَا وَالْمَرْوَةَ مِن شَعَائِرِ اللَّـهِ ۖ فَمَنْ حَجَّ الْبَيْتَ أَوِ اعْتَمَرَ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِ أَن يَطَّوَّفَ بِهِمَا ۚ وَمَن تَطَوَّعَ خَيْرًا فَإِنَّ اللَّـهَ شَاكِرٌ عَلِيمٌ

Sesungguhnya Safa dan Marwa adalah syiar (agama) Allah. Maka barangsiapa menunaikan ibadah haji ke Bairullah atau berumrah, tidak ada dosa baginya mengerjakan sa'ie antara keduanya. Dan barangsiapa dengan kerelaan hati mengerjakan kebajikan, sesungguhnya Allah Hama Memberi Balasan, Maha Mengetahui.

Surah Al-Bagarah, ayat 158



Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.aw. bersabda:

”Umrah kepada Umrah(yang dilakukan sekali lagi pada masa akan datang) merupakan kaffarah(penghapus dosa) di antara keduanya,dan Haji yang mabrur itu tiada baginya balasan melainkan syurga“

(Hadis 1773,Sohih Bukhori)



InsyaAllah pada tahun ini, saya merancang untuk menunaikan umrah Baitullah dan menziarahi Baginda Rasulullah SAW di Madinah Al-Munawwarah bersama-sama beberapa rakan-rakan yang lain.


Semoga kami diterima menjadi tetamu Allah pada kali ini.


Alhamdulillah, kami berpeluang menghabiskan baki 10 hari terakhir Ramadhan dan beberapa hari Syawal di Madinah dan Mekah. Semoga hajat ini kesampaian, ditambah berkat kemuliaan Ramadhan.


Doa dipohon agar segalanya berjalan lancar dan kami beroleh ibadah umrah yang diterima ALlah. Juga dipohon ampun maaf atas segala salah silap. Agar kami dapat menuju ke Baitullah dalam keadaan bersih hendaknya.


Barangsiapa yang dihutang oleh saya, sila beritahu secepat mungkin (rasanya semua dah selesai insyaALlah). Sebaliknya, bagi sesiapa yang berhutang dengan saya, boleh tunggu lepas saya selesai menunaikan umrah (bukan hutang tu langsai terus ye, tangguh saja hehe).


InsyaALlah kami akan bertolak awal pagi 20 Ogos(Sabtu) daripada Rumah Selangor Hayyu Asyir.


Dan kami akan pulang semula ke Kaherah pada 4 September. Jika ada apa-apa urusan, sila email sahaja. Akan dilayan selepas 4 September nanti insyaAllah. :)



Terima kasih kepada ibu, dan ahli keluarga lain, serta sahabat-sahabat yang mendoakan. Allah jualah sebaik-baik Pemberi balasan.



Semoga Allah menerima amalan kami ini, Ya Arhamarraahimeen, ameen.



Ahmad Ibrahim Bin Yahaya

19 Ramadhan 1432 Hijriyyah

Sayeda Zainab
Posted in Labels: , , | Comments

Bumi Magic

Tuesday, August 16, 2011 by aiyqosim

Bismillahirrahmaanirraheem,

Alhamdulillahi wassolaatu wassalaamu 'ala Rasulillah...


Tengahari tadi, keputusan peperiksaan diumumkan. Hazu punyalah excited, sampai seterika terlupa nak off. Yang lain, Juwe, Fais, excited sampai ditanya berkali-kali baru menyahut. Tengahari ni (17 Ogos) semua pakat nak fly balik Malaysia dah. Tinggallah hamba keseorangan di rumah nan jauh di hujung Sayeda ini.

Alhamdulillah, semuanya memuaskan. Secara keseluruhannya, untuk 4th year Cairo University, macam biasa, tetap ada yang kena reseat exam (dur thani), tapi insyaALlah, kejayaan itu hanya dilewatkan sedikit sahaja. Exam durr thani nanti insyaALlah cemerlang. Berkat Ramadhan. :)

Tahniah kepada yang berjaya dengan cemerlang. Ingatlah, kecemerlangan hakiki adalah keredhaan Allah dan bertemuNya di Akhirat kelak. Ameen...


Teringat, dulu-dulu, waktu dapat result tahun satu dulu, sekitar Julai 2008. Dapat result, terus ke ARMA, bilik Alongku, 713. Cerita pasal result diri sendiri dan result rakan-rakan lain.


Aku ada cakap, "Mamat tu, dia memang kerja dia main games je memanjang~"


Terus kena 'basuh' dengan Along aku. Kena tegur.


Katanya, "Kita ni, jangan sesekali judge orang lain sesuka hati".


Jangan sesedap saja kita katakan bahawa 'dia' tu dapat result sekian sekian, sebab sekian sekian... Itu pantang! Pantang di Bumi Mesir, Ardul Kinanah!


"Mesir ni, bumi magic!" bak kata abang Abai. Orang 'lama-lama' kenal lah abang Abai ni. Jangan sesedap saja kita kata macam-macam tentang orang lain. Kata kuncinya, don't judge!


Pandangan saya, bukan di Mesir sahaja, hatta di mana-mana sekalipun, kita tiada hak untuk mudah-mudah menghakimi sesuatu kejadian yang kurang enak yang berlaku terhadap seseorang. Sesuka hati untuk meletakkan sebab ke atas sesuatu yang menimpa orang lain.


"Isy, mamat tu clash dengan minah tu. Ni mesti sebab minah tu mulut @%$&**%. Tu laki tu lari!"


"Isy, mamat ni dapat result teruk, mesti perangai buruk ni!"


"Isy, minah tu handbag dia kena ragut, mesti dulu-dulu dia kedekut taik idung masin. Dah kena balasan!"


Selalu kan kita jumpa gejala macam ni?


Selalu kan kita buat benda macam ni? =)


Saya rasa, semua orang faham maksud yang cuba saya sampaikan.


Sekian sahaja buat kali ini. Alhamdulillah tak terhingga. Jutaan terima kasih atas keberkatan doa dari ibu, Pn. Sabariah Awang Chik, dan ahli keluarga yang lain.


Terima kasih buat doktor-doktor, rakan-rakan, adik abang akak yang mendoakan kejayaan bersama.


InsyaALlah naik tahun 5, macam biasa, akan buat azam baru. Harap-harap tak jadi tahi ayam macam tahun-tahun sebelumnya. =)


Wassalam.
Posted in Labels: , | Comments

Al-Kisah Berbuka Puasa

Monday, August 15, 2011 by aiyqosim


Bismillahirrahmaanirraheem

Alhamdulillahi wassolatu wassalaamu 'ala Rasulillah...


Sehari dua ni sempat tengok gambar-gambar rakan-rakan facebook. Gelagat masing-masing dengan aktiviti masing-masing di bulan Ramadhan.

Antara aktiviti yang popular dalam kalangan muda mudi kita di bulan Ramadhan adalah Berbuka Puasa atau Ifthor Jam'ie.

Waktu bulan Ramadhan inilah nak buat gathering batch, nak buat gathering tu, gathering ini, nak berjumpa, nak belanja dan sebagainya.

Namun, haruslah diingat, berbuka puasa adalah satu nikmat yang Allah kurniakan untuk mereka yang berpuasa kerana Allah. Selain daripada menghilangkan lapar dahaga sepanjang hari, waktu berbuka itu merupakan salah satu waktu mustajab berdoa.


...لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ فَرْحَةٌ عِنْدَ فِطْرِهِ وَفَرْحَةٌ عِنْدَ لِقَاءِ رَبِّهِ...

...Bagi orang yang berpuasa akan mendapatkan dua kegembiraan, iaitu kegembiraan ketika dia berbuka, dan kegembiraan ketika bertemu Rabbnya...

Hadith riwayat Muslim



عن عبد الله بن عمرو بن العاص رضى الله عنهما أن النبى صلى الله عليه و سلم قال (( إن للصائم عند فطرة دعوة ما تُرد ))

Dari Abdullah bin ‘Amr bin ‘Ash Radhiyallahu ‘anhu bahawa dia mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda.

Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa ketika saat berbuka ada doa yang tidak ditolak.

Hadith riwayat Ibnu Majah



Berbuka puasa juga adalah satu medium untuk para Muslimeen merafa'kan kesyukuran kepada Allah dengan penuh rasa tawadhuk kerana Allah telah memberi kekuatan sehari untuk melaksanakan perintah ALlah.

Kesyukuran ketika berbuka juga disebabkan kita telah berjaya meninggalkan perkara haram dan perkara halal atas arahan Allah Subhanahu wata'ala untuk sehari. Perkara haram adalah syahwat, dan perkara halal adalah makan dan minum. Bayangkan, kita berjaya meninggalkan perkara yang HALAL, demi arahan Allah.


Berbalik kepada topik asal. Agak sedih bilamana melihat budaya sesetengah muda mudi. Berbuka puasa dijadikan medium untuk gathering.


"Aik? Gathering pon salah?"


Gathering tak salah, boleh berjumpa. Berukhuwwah. Apa pula salahnya!


Tapi, sedih bila melihat majlis gathering berbuka puasa itu disertai dengan percampuran dan pergaulan antara lelaki perempuan yang tidak syar'ie dan pendedahan aurat. Kemudian, sambil bertepuk tampar, posing sana, posing sini dengan gaya-gaya yang kurang sopan. Selalunya, kalau makan-makan beramai-ramai ni, kalau tidak didahulukan dengan Solat Maghrib dulu, akan makan masa yang panjang. Makan pun berlebih-lebihan, dan solat Maghrib pun di akhir-akhir waktu (kalau solat lah).


Memetik kisah Imam Malik Bin Anas RA, yang menangis ketika berbuka puasa pada suatu hari, ditanya oleh muridnya, beliau berkata, "Aku sedih melihat makanan yang banyak kerana mengenangkan Rasulullah SAW. Baginda berbuka dengan makanan yang sedikit tetapi amalannya banyak. Aku berbuka dengan makanan yang banyak, tetapi amalanku cuma sedikit".


......................................................


Pertamanya, konsep puasa itu sendiri adalah menahan daripada melakukan yang halal (makan dan minum) dan yang haram. Namun, waktu berbuka puasa dijadikan peluang melunaskan segala-galanya. Habis bertepuk tampar, hilang lapar, hilang malu.


Keduanya, konsep berbuka puasa pula, adalah kesyukuran kepada Allah. Berbuka puasa itu bukanlah satu peluang melunaskan apa yang Allah tegah di siang harinya, bahkan berbuka puasa itu juga satu ARAHAN dari Allah. Bahkan Rasulullah menyuruh Ummat Islam berbuka di awal waktu!


فعن سهل بن سعد رضى الله عنه أن النبى صلى الله عليه و سلم قال (( لا يزال الناس بخير ما عجلوا الفطر ))


Akan sentiasa manusia dalam kebaikan, selagimana mereka mempercepatkan berbuka

Hadith riwayat Bukhori dan Muslim


Berbuka puasa itu satu ibadah, tetapi, bagaimana mudi mudi (juga orang tua) kita berbuka puasa?

Makan sehabis baik, seperti tiada lagi hari esok. Doa, Selawat, Zikir, dan Solat langsung dilupakan bila nikmat terbentang di hadapan mata. Kalau buat gathering, habis suasana riuh, posing sana, posing sini, bertepuk tampar, terdedah sana terdedah sini.


رُب صائم ليس له من صيامة إلا الجوع و رُب قائم ليس له من قيامة إلا السهر

Mungkin sahaja orang yang berpuasa itu tidak mendapat apa-apa daripada puasanya kecuali lapar. Dan mungkin sahaja orang yang bangun qiyam itu tidak mendapat apa-apa dari qiyamnya kecuali penat bangun malam

Hadith riwayat Ahmad



Asalnya puasa dan berbuka puasa itu ibadah, akhirnya puasa menjadi sia-sia, dan berbuka puasa jadi maksiat, wal 'iyazubillah!


.....................................................


Tulisan ini merupakan satu muhasabah kita bersama. Demi memastikan bulan Ramadhan, atau PROGRAM RAMADHAN kita dilalui dengan jayanya, serta mencapai objektif utamanya, iaitu TAQWA dan MAGHFIRAH ALLAH.

Sesungguhnya, masih ada lagi baki 15 hari kita di Bulan Ramadhan Al-Mubarak tahun ini. Semoga kita tergolong dalam kalangan orang yang beroleh ketaqwaan dan maghfirah dari Allah Jalla wa 'Ala. InsyaALlah...


Sekian, wassalam~


Sedikit promosi program Ceramah Nuzul Quran & Iftor Mahabbah PERUBATAN, membawakan Syeikh Rohimuddin bersama Syeikh As-Sayyid Yusuf (Mufti Kanada). Dijemput kepada SEMUA AHLI PERUBATAN sekitar Sayeda, Abbasiyyah, Madinah Nasr. SEMUA!


Kemudian, dari lokasi Iftor Mahabbah, terus beramai-ramai ke Dewan DMAK Abbasiyyah untuk Solat Isyak + Terawih Perdana dan Tazkirah Khas dibawakan Ustaz Hanif Haron (Pengerusi MANHAL PMRAM). SEMUA AHLI PERUBATAN dijemput hadir! Bawa sejadah masing-masing. Moreh disediakan. =)


Posted in Labels: , , | Comments

Ilmu, Ilmu, Dan Ilmu!

Sunday, August 14, 2011 by aiyqosim
...budak medik berlagak soleh yang stranded di mesir menunggu result...



Bismillahirrahmaanirraheem

Alhamdulillahi wassolaatu wassalaamu 'ala Rasulillah SAW,


Pengalaman menghadiri kelas pengajian Al-Banjari, oleh Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki anjuran BKAN Kedah dan Muttaqin TV (rasanya lah), bermula daripada 31 Julai sehingga 14 Ogos.

Sepanjang keberadaan di Mesir, kali pertama saya hadir ke pengajian sejak tahun 1 lagi (waktu itu di rumah Johor Hayyu Thamin), pengajian kali inilah yang paling lengkap saya hadiri. Hampir setiap kelas dihadiri, kecuali hari pertama dan hari terakhir. Alhamdulillah...

Satu perkara menarik minat saya, apabila syeikh membincangkan tentang al-ilm, ilmu.


What You Give, You Get Back

Adab terhadap ilmu amat ditekankan oleh para ulama'. Ramai yang mengeluh, "Baca buku, tapi punyalah susah nak masuk!". "Isy, apasal macam malas je nak mengaji ni".

Tetapi ramai juga yang lupa, apa yang telah mereka perlakukan terhadap ilmu. Ilmu umpama menjauhkan diri daripada mereka. Ilmu umpama merajuk dengan mereka.

Itu tak lain tak bukan, adalah kesan terhadap apa yang telah mereka perlakukan terhadap ilmu. Ya, konsep what you give, you get back diaplikasikan di sini.

Buku-buku kita abaikan. Kita campakkan dan taburkan di mana-mana sahaja. Buku disimpan di dalam rak buku, dibiarkan berhabuk. Tidak dijaga. Selagi tak sampai musim peperiksaan, selagi itulah ianya disimpan rapi. Dan jenayah terbesar terhadap ilmu adalah, tidak mengamalkan ilmu yang telah dipelajari.

Kalau begitulah sikap kita terhadap ilmu, bayangkan bagaimana perasaan ilmu terhadap kita? Merajuk lah ia. Cuba bayangkan bagaimana kalau si suami tak bercakap, tak senyum dan buat tak tahu saja pada si isteri, sedangkan dengan member lain punyalah mesra. Tak ke merajuk si isteri tu?

Begitulah perasaan ilmu apabila kita melayannya dengan layanan yang buruk. Layanan acuh tak acuh.

Tapi, kalau isteri merajuk, mesti si suami nak pujuk, tapi kalau ilmu, bagaimana? :)



Tapi, Kenapa Ilmu?

Ya, kenapa ilmu? Kenapa asyik membincangkan tentang ilmu? Hebat sangatkah ilmu itu? Tiada benda lain lagikah yang dibincangkan?

Syeikh Nuruddin membahaskan kepentingan dan kehebatan ilmu dengan ringkas dan padat. Dimulakan dengan memetik sepotong ayat dari Al-Quran Al-Kareem, Surah Az-Zumar, ayat ke-9;


قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَالَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ

Katakanlah, "Adakah sama orang yang mengetahui dan orang yang tak mengetahui?"



Apa bezanya orang yang mengetahui (orang berilmu) dengan orang yang tak berilmu? Dari satu sudut, perbezaannya dari segi kedudukan mereka di sisi Allah. Dari sudut lainnya, tengok sahaja pada perwatakannya, pada akhlaknya, pada percakapannya, pada pemikirannya, pada sifat-sifatnya, pada tindakannya, dan segenap sudut kehidupannya.

Pastinya berbeza di antara orang berilmu dan orang yang tidak berilmu. Maka, semak semula dalam diri kita, adakah kita mempunyai ciri-ciri orang berilmu? Sesungguhnya, tidak sama orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu. Semak semula diri kita, tergolong dalam golongan yang mana satu?



Darjat

Kemudian, syeikh memetik satu ayat dari Surah Al-Mujadilah, ayat ke-11;


يَرْفَعِ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ ۚ

...Allah mengangkat (darjat) orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang yang diberi ilmu beberapa darjat...


Apa lagi yang kita mahukan sebagai seorang manusia, selain daripada mendapat darjat yang tinggi dan mulia di sisi Allah? Jelas dinyatakan bahawa Iman dan ilmu menjanjikan darjat yang tinggi di sisi Allah.



Pewaris Khazanah

Kemudian syeikh memetik sepotong Hadith Rasulullah SAW, yang berbunyi;


وإنَّ العلماء ورثةُ الأنبياء، وإن الأنبياء لم يُورِّثوا دينارًا ولا درهمًا، وإنَّما ورَّثوا العلم


...dan sesungguhnya ulama' adalah pewaris para Nabi, dan para Nabi tidak mewariskan dinar mahupun dirham, tetapi mereka mewariskan ilmu,...



Bayangkan sahaja, kita sering berdoa agar ditempatkan bersama para Nabi 'alaihimissalam di Akhirat kelak, kerana mereka adalah manusia yang paling hampir dengan Allah. Bayangkan, khazanah yang para Nabi ini tinggalkan kepada kita, ummat akhir zaman. Khazanah yang menaikkan darjat mereka setinggi-tinggi darjat di sisi Allah. Itulah ilmu. Maka, apa lagi yang kita kejarkan di dunia ini, demi meraih kedudukan setinggi para Nabi Allah? Kejarlah khazanah warisan mereka, kejarlah ilmu!



Pewaris Saham

Bayangkan sahaja, kalau kita diumumkan sebagai pewaris saham terbesar dalam syarikat bisnes termaju dalam negara. Apa perasaan kita?

Begitulah perumpamaan orang yang berilmu dan mengajarkan ilmunya. Nabi Muhammad SAW bersabda;


إذا مات ابن آدم انقطع عمله إلا من ثلاث : صدقة جارية ، أو علم ينتفع به ، أو ولد صالح يدعو له

Pabila mati seorang anak Adam, terhentilah amalannya, kecuali 3 perkara; sedekah jariah, atau ilmu yang bermanfaat, atau anak soleh yang mendoakannya



Tempuhi Jalan Itu

Nabi SAW bersabda;


من سلك طريقا يبتغي فيه علما سهل الله له طريقا إلى الجنة


Barangsiapa yang menempuh satu jalan mencari ilmu, akan Allah permudahkan jalannya ke syurga...


Apa lagi yang kita mahukan sepanjang kehidupan kita di dunia ini, juga setelah kita mati dan menuju kehidupan kekal abadi kelak? tentunya kita mahukan kehidupan yang bahagia. Di Akhirat kelak, kehidupan yang bahagia hanya ada di syurga. Maka nikmat apakah yang dapat menandingi kehebatan nikmat dipermudahkan jalan ke syurga?

Itulah nikmat bagi mereka yang bersusah-susah menempuh pelbagai jalan dengan pelbagai cabaran demi menuntut ilmu kerana Allah. Maka tempuhilah jalan itu!



Semoga kita semua tergolong dalam kalangan mereka yang ikhlas dan bersemangat menuntut ilmu, insyaAllah.


Ingat pesan Nabi SAW, menuntut ilmu itu, من المهد الى اللهد, dari buaian sehingga ke liang lahad.



Jaga-jaga, Jangan Hancur Musnah

Buat akhirnya, suka saya memetik satu kalam dari Sayduna Abi Darda' RA salah seorang sahabat Baginda SAW;



كن عالما أو متعلّما أو محبّا أو مستمعا ولا تكن خامسا فتهلك

"Jadilah orang yang mengajar, atau yang belajar, atau yang mendengar(akan ilmu dan ulama'), atau yang mencintai(akan ilmu dan ulama'). Dan jangan kamu jadi golongan yang kelima, akan hancurlah kamu!"



Siapakah golongan yang kelima yang hancur musnah itu? Mereka adalah golongan selain daripada keempat-empat golongan yang disebutkan sebelumnya. Dengan kata lainnya, mereka adalah golongan yang sama ada tidak mengajar ilmu, atau belajar ilmu, atau sekadar mendengar, atau mencintai ilmu.


Moga-moga kita tergolong dalam kalangan yang berilmu, insyaAllah.


Salam Ramadhan dari saya, separuh dah selesai, adakah anda berpuas hati dengan kualitinya? Pecutan terakhir untuk separuh yang kedua. Ayuh!



...berapa ratus lah agaknya manusia membanjiri pengajian Syeikh Nuruddin...



Ahmad Ibrahim Yahaya,

Malam 15 Ramadhan,

Sayeda Zainab
Posted in Labels: , , , | Comments
Related Posts with Thumbnails

Apture