الحمد لله رب العالمين
والصلاة و السلام على سيّدنا محمد و على آله
1. Pernah tak suatu masa, ketika kita susah nak bangun subuh, satu hari kita terbangun di tengah pagi sebelum subuh dan rasa segar bugar? Atau kerap kali kita gagal mendengar bunyi 'alarm' yang berdengung-dengung, tetapi satu hari kita terkejut dengan bunyi 'alarm' itu untuk bangun subuh?
2. Terkadang bila kita berjalan dan melintasi seorang pengemis, hati kita rasa kasihan dan nak hulurkan sedikit duit. Tiap-tiap hari kita melalui jalan yang sama, tetapi hari itu pula rasa kasihan itu datang.
3. Ada ketika rakan yang jauh meminta sedikit bantuan menyelesaikan urusan pentingnya. Dalam banyak-banyak orang meminta pertolongan, bila rakan itu meminta tiba-tiba hati rasa cenderung untuk menolong.
4. Ketahuilah bahawa itu adalah cara Allah berkomunikasi dengan hambaNya. Di dalam ilmu tasawuf, ianya dipanggil "nafahāt" (نَفَحَات) atau hembusan. Itu lah 'hembusan' dari Allah. Hembusan hidayah Allah yang menggerakkan hati dan perasaan ke arah kebaikan.
5. Jika sebelum ini kita dapat merasa tetapi tak dapat menjelaskan perasaan itu, maka ingatlah bahawa itu adalah hidayah yang Allah 'hembus'kan kepada hambaNya yang terpilih. Maka beruntunglah kita pabila datang 'hembusan' itu kepada kita.
6. Namun, seringkali apa yang kita lakukan? Bila satu hari kita terbangun awal tak semena-mena, kita bingung dan rasa nak lelapkan mata semula. Padahal di hari-hari yang kita liat untuk bangun, kita mengharap pula untuk bangun awal!
7. Bila datang rasa kasihan mencuit hati melihat pengemis di tepi jalan, kita seluk poket kita, lihat kanan dan kiri, kemudian keluarkan semula tangan dari poket dan teruskan berjalan. Maka hilang satu 'hembusan' kita sia-siakan.
8. Ingatlah, Allah ada cara tersendiri untuk memberikan hidayah. Kita sangkakan itu hanya perasaan biasa, namun itulah hidayah Allah bagi mereka yang menyedari.
9. Maka benarlah Kalamullah, bahawa bukan Allah yang zalim, tetapi mereka yang ingkar itu lah menzalimi diri sendiri. Allah sudah memberikan hembusan petunjuk melalui kehidupan sehari-hari, tetapi kita lah yang membutakan mata mentulikan telinga.
"Dan tidak lah Kami menganiaya mereka tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri"
Surah Az-Zukhruf (76)
10. Maka, bila saja datang 'hembusan' itu, janganlah tahan atau buang ia. Tapi teruslah bangun. Teruslah bersedekah. Teruslah membantu. Teruslah sahut 'hembusan' itu. Kerana ia mungkin tidakkan datang kembali buat kali kedua. Dan yang lebih baik untuk kita adalah mencari sendiri 'hembusan' itu. Bagaimana? Dengan niat, doa dan amal soleh. Moga kita beroleh hidayah...
والحمد لله رب العالمين