Assalamu'alaykum wbt.
AlhamduliLlah, as solaatu wa ssalamu ala RasuliLlah...
"uisy, kilang kat Bangi tu, semua bapak aku punya. Harta berjela-jela. Time kat kolej dulu, dah la dia yang paling hebat. Sekarang ni, dia lead 5 syarikat korporat, siap bukak satu rumah kebajikan lagi!" kata Kasim(bukan nama sebenar) dengan bangganya.
Kasim sering bercerita ke sana ke mari menjaja kehebatan ayahnya. Kasim juga sentiasa ke sana ke mari pakai baju Polo Sport, jam tangan Tag Heuer, seluar jeans Levi's, sunglass Ray Ban, sandal Nike, dengan i-Phone paling canggih dan sekotak rokok Dunhill. Kerjanya setiap hari, lepak kedai mamak dengan kawan-kawan, sambil borak-borak dan tengok bola. Ke sana ke mari bawa kereta Mercedes Sport kepunyaan bapanya. Kasim tidak mempunyai pekerjaan...
Saya teringat, tak lama dahulu, waktu saya baru lagi Tahun 1 di Mesir, selalu 'lepak-lepak' di ARMA, asrama Melayu di Abbasiyyah, Kaherah. Adalah seorang ustaz ni, ustaz Muqri, sembang-sembang, dia ajar satu pepatah Arab.
ليس فتى من قال أبي ولكن فتى من قال ها أنا ذاك
Tak 'jantan' lah siapa yang kata "ayah aku...(begini dan begitu)...", tapi 'jantan' lah siapa yang kata "ni aku...(begini dan begitu)...!"
Kalimah 'fata' bermaksud remaja, orang muda, orang dewasa, atau lelaki. Dalam konteks di atas, 'fata' membawa maksud 'jantan' atau lelaki budiman. Mat saleh mungkin panggil, gentleman atau 'macho man'.
Apa yang cuba diajar oleh pepatah ini adalah,
1) Kehebatan bapa : modal berbangga
Sebagai seorang manusia biasa, ayah atau keturunan kita bukanlah suatu modal untuk kita berbangga-bangga. Biarpun keturunan kita merupakan orang terpelajar, atau orang hebat, atau orang terkenal dalam masyarakat, atau orang kaya, ia tidak membawa maksud apa-apa jika diri kita sendiri tidak hebat dan rajin berusaha. Ramai anak yang bapanya kaya dan hebat tetapi malas dan tidak berusaha untuk mencipta kejayaan sendiri.
2) Keseronokan berbangga dengan kisah silam
"ayah aku" bukan sahaja bermaksud keturunan sahaja. Termasuk sekali, sejarah dan kisah-kisah lama. Kita sering berbangga dengan kisah-kisah lama dan sejarah silam. Kalau kita bercakap bagi pihak orang Melayu, kita suka katakan, "kita dulu orang Melayu menjelajah satu dunia. Lingua Franca mahsyur seluruh pelusuk alam. Semua orang nak rampas tanah kita. Darah Melayu, semangat Hang Tuah, bla bla....". Ada ramai juga yang suka mengulang-ulang kisah Ibnu Sina, Ibnu Rusyd, kisah Sultan Muhammad al-Fatih, Salahuddin al-Ayyubi, dan sebagainya, tetapi berhenti sekadar di situ saja. Sekadar seronok bercerita. Dirasakan dengan bercerita tentang kisah-kisah kegemilangan sejarah Islam sahaja sudah melepaskan tanggungjawab mereka untuk mengembalikan kegemilangannya. "alaaa, kerja aku bercerita kegemilangan Islam. Bagi semangat kat orang lain, dah la... Bab menuntut ilmu, bab menguasai kemahiran dan teknologi, bab bekerja bersungguh-sungguh, bab ekonomi dan berniaga, bagi orang lain pulak lah..."
3) Sejarah lalu : modal kejayaan masa depan
Bukanlah satu kesalahan untuk kita mengkaji sejarah, malah ianya dituntut, tetapi tujuannya untuk tidak mengulangi kesilapan orang terdahulu, dan membuat apa yang belum dibuat serta memperhebatkannya. Contohnya, kita tahu, berapa banyak kerajaan dan kuasa jatuh kerana korupsi dan rasuah. Kita tahu, setiap tamadun unggul telah jatuh disebabkan faktor 'dalaman' mereka sendiri, bukannya dijatuhkan orang lain. dan banyak contoh lagi. Tapi, kenapa perkara-perkara itu juga yang kita terus ulangi di masa kini?
4) Takabbur
Walaupun pepatah ini seperti menunjukkan kita berbangga dan berkata kepada orang lain bahawa "aku hebat", itu tidak bermaksud kita perlu berbangga-bangga pula. Pepatah ini adalah contoh supaya kita mencipta kejayaan kita sendiri, bukannya sekadar berbangga dengan kehebatan orang lain tetapi jangan sesekali kita hebohkan kehebatan kita. Sesungguhnya kayu ukur KEJAYAAN adalah keredhaan Allah dan keberkatan hidup. Dan orang yang takabbur(berbangga diri) akan dimurkai Allah. Moga-moga kita dijauhkan...
5) Sama-sama mendaki
Ramai orang beranggapan bahawa, untuk kita menjadi hebat dan berjaya, kita perlu menjatuhkan orang lain dan menggagalkannya. (in fact, inilah yang selalu berlaku di zaman ini). Kalau kita sedang berlumba mendaki bukit, kita boleh menjadi lebih tinggi dengan menjatuhkan pesaing kita, atau kita mendaki lebih laju dan menjadi lebih tinggi berbanding pesaing kita. Cara yang kedua pada saya adalah lebih 'gentleman', tak gitu?
6) Kejayaan & kegagalan : dua hala, satu konsep
Jika itu konsepnya tentang kehebatan dan kejayaan, begitu jugalah konsepnya apabila bercakap tentang kegagalan. Kegagalan masa lalu bukanlah dicipta Allah untuk kita terus gagal, tetapi supaya kita berjaya di masa hadapan. Jika anda pernah gagal, maka maknanya Allah tahu anda mampu mengubah kegagalan itu menjadi kejayaan besar kelak, insyaALlah. Bukanlah kegagalan itu untuk dihebah-hebahkan dan ditangisi, tetapi ada pengajaran yang perlu diambil.
Sekian sahaja dari saya. Marilah kita cipta kejayaan kita sendiri. Mulalah dengan mengubah diri anda menjadi lebih baik lebih hebat, kemudian anda akan mengubah dunia insyaAllah.
Jadilah lelaki(atau wanita) budiman hakiki. Atau dengan kata lain, serlahkan ke'jantan'an mu!!!
Semoga kita semua mendapat manfaat dan diampuni Allah, serta beroleh kejayaan.
Allahu A'lam
Wassalam~