الحمد لله رب العالمين
والصلاة والسلام على رسول الأمين وعلى آله
"Bapak saya pun tak pernah pukul saya, tahu tak cikgu!"
"Bapak saya tak pernah tengking saya macam ni tau!"
"Bapak saya pun tak pernah sentuh muka saya, cikgu pula lebih-lebih!"
"Bapak saya.....bla bla bla..."
"Bapak saya.....bla bla bla..."
Cikgu yang hilang sabar akhirnya membalas ringkas, "Itu sebab awak jadi macam ni! Itu sebab saya yang buat, sebab bapak awak tak buat!"
Gejala yang biasa berlaku di sekolah zaman ini, terutamanya di kelas-kelas 'hujung'. Cikgu berpenat lelah mengajar pelajar yang tak mahu belajar dan tak sudi diajar. Elok sangat lah tu, akhirnya jadi kurang ajar!
Mak saya merupakan seorang guru sekolah menengah yang sudah berpengalaman lebih dua puluh tahun mengajar. Banyak kisah suka dan duka dunia persekolahan yang dikongsi bersama.
Kisah yang menarik ingin saya kongsi dalam tulisan ini adalah berkaitan pelajar yang 'super-lembap' dan karenah ibu bapa masa kini.
Pernah satu ketika, pelajar yang memang ternyata 'mentally-retarded', masih bersekolah di sekolah konvensional sehingga tingkatan 5, sedang sepatutnya dia dihantar sejak awal lagi ke sekolah khas. Tak reti duduk diam, mengacau orang lain, tak boleh dengar kata, dan tak reti membaca mengira.
Bila tiba masa perjumpaan guru dengan ibu ayah pelajar, ibunya bertanyakan guru yang mengajar anaknya, "bagaimana ya cikgu, prestasi anak saya?"
Ya betul, mungkin ramai yang rasa pelik, apa masalahnya ibu bertanya soalan sebegitu kepada guru. Tetapi cuba bayangkan, belasan tahun anaknya telah bersekolah, takkan tahap intelektual anaknya pun dia tak tahu?
Apa yang dia buat dengan anaknya sejak dari kecil? Tak pernah kah dia semak kerja-kerja sekolah anaknya? Tidak tahukah dia anaknya tak tahu membaca dan mengira? Tak sedarkah dia keputusan peperiksaan anaknya sentiasa gagal?
Apa yang ibu bapa buat?
Sekali lagi, saya berasa hairan, apa yang ibu bapa buat?
Mengapa anak itu secara tegar dibiarkan (baca : dipaksa) duduk di sekolah sedemikian rupa?
Tiadakah tempat lain untuk anak itu dibesarkan selain sekolah konvensional? Masih mahukan anaknya berada di sekolah 'budak normal' demi untuk dilihat orang bahawa "anak aku normal!"? Bahawa "anak aku pandai, masuk sekolah!"?
Mengapa pertanggungjawaban mendidik anak itu diserah bulat-bulat kepada gurunya di sekolah?
Bila dilihat status ibu bapa pelajar-pelajar begini, semuanya kaya raya. Jenis golongan yang tiada masalah kewangan. Bahasa kasarnya, duit berkepuk-kepuk!
...............
Ada yang tertanya-tanya, dialog di awal tulisan saya tu, apa kaitannya?
Itu adalah diantara dialog pelajar yang malas dan agak lembap di dalam kelas. Sampai satu tahap, si guru menengking pelajar itu kerana tidak tahan lagi dengan karenah pelajar itu yang mengada-ngada tidak pernah nak mendengar kata, sampai tercuit muka pelajar itu.
"Cikgu, bapak saya pun tak pernah sentuh muka saya tau!"
Bapanya tak pernah sentuh muka kau, so what?! Kalau kau otak geliga, rajin belajar, hidung mancung, pipi seludang, takpa lah. Ini tidak, sudah lah pemalas, muka pula 'dua puluh sen'. Disentuh sikit, dan melatah. Memang hati tikus!
Ada seorang pelajar lain, markah peperiksaan percubaannya 6 % sahaja. Sepanjang ambil mata pelajaran sains, tak pernah lulus, sedangkan SPM hanya tinggal sebulan lebih.
Bila diajar berkali-kali, benda yang sama berulang kali, bila ditanya masih 'blur' tak dapat jawab. Guru mana yang tak tertekan dengan anak murid begini? Suara dah habis dikeluarkan, tekak pun dah kering.
"Isy cikgu, saya tak boleh buat la cikgu! Saya memang tak reti..." Dia memberi alasan.
"Hmmm kamu ni, kalau memang tak minat belajar, habis kamu minat apa?" Tanya cikgu.
"Saya, kalau kemahiran boleh lah cikgu..."
"Habis tu, kenapa tak masuk sekolah yang belajar kemahiran?"
"Saya nak masuk, bapak saya tak bagi! Dia suruh belajar ambil SPM!" Jawab pelajar itu dengan penuh emosi.
Saya teringin nak tahu, persoalan utama saya;
Mengapa ibu bapa memaksa anak mereka ambil SPM, ada juga yang paksa masuk kelas aliran sains, sedangkan ada yang tak tahu fasih membaca dan mengira pun? Apa yang si anak itu dapat, kalau ambil subjek-subjek itu semata-mata untuk gagal?
Persoalan kedua dan seterusnya;
Ataupun ibu bapa tidak pernah ambil tahu bahawa anaknya tidak mampu membaca dan mengira, atau anaknya tidak minat sesuatu bidang/aliran?
Ataupun ibu bapa tetap mahu menjaga air muka masing-masing, memastikan anaknya habis SPM kelihatan seperti anak-anak biasa, dan lulus kolej memegang sijil/ijazah, walaupun dipaksa?
Pada pandangan saya, semua manusia dilahirkan dengan potensi masing-masing. Ibu bapa sepatutnya sedar perkara ini. Ibu bapa lah yang bertanggungjawab membentuk anak-anak dengan acuan yang mereka kehendaki, mengikut visi mereka, sejak dari bayi sampai besar.
Persoalannya di sini, ibu bapa mula nak membentuk anak supaya mencapai cita-cita ibu bapa, dan semuanya seolah-olah bermula dari sekolah menengah, selepas mana melihat anaknya macam 'tak menjadi'. Kemudian mula lah dilepaskan segala tanggungjawab kepada guru sekolah, pusat tusyen, dan pihak-pihak lain lagi.
Sejak dari kecil, apa yang ibu bapa dah buat? Apa yang telah mereka bentuk dari bayi sehingga kanak-kanak, sehingga remaja?
Video games? Gadjets? TV dan movies? Artis dan lagu?
Ibu bapa sibuk cari duit, sampai tak larat dan takda masa nak berborak dengan anak-anak tentang visi hidup mereka?
Ibu bapa terlalu sibuk, sehingga segala urusan di'wakil'kan kepada orang gaji, cikgu sekolah, dan cikgu tusyen?
Akhirnya, bila sampai masa anak nak menentukan aliran dan bidang, ibu bapa baru teringat akan visi yang mereka idamkan dulu-dulu. Mereka nak anak mereka jadi doktor (contohnya). Maka dihambat anaknya untuk lulus SPM, kemudian dihambat anak itu masuk mengaji jadi doktor. Bayar lah berapa ribu pun tak mengapa, asalkan ibu bapa puas hati, cita-cita 'mereka' tercapai, dengan memaksa anak mereka mencapai cita-cita 'mereka'.
Tulisan ini lebih kepada lontaran persoalan dan perasaan. Untuk difikirkan bersama. Tiada penyelesaian pun. Benda begini kalau disimpan dalam hati, boleh naik darah tinggi! Biarlah dilepaskan dalam ruangan berhabuk ini.
Allahu A'lam.
والحمد لله رب العالمين