Pemandu Teksi & Pandangan Sarwa

Friday, August 9, 2013 by aiyqosim

الحمد لله رب العالمين
والصلاة والسلام على سيّدنا محمد و على آله

Alhamdulillah, Syawal 1434 Hijriyyah sudah pun menjelma, menandakan berakhirnya Ramadhan. Moga Allah menerima segala ibadat dan penghambaan kita sebagai amal soleh dan beroleh keradhaanNya.

Saya teringat sebuah kisah. Popular kisah ini di zaman muda-mudi dahulu, dikategorikan sebagai kisah lucu.

Seorang pemandu teksi sedang memandu dengan cermat, apabila bahunya ditepuk perlahan oleh penumpang teksinya. Dengan tidak semena-mena pemandu tersebut melompat terperanjat, hampir hilang kawalan stereng keretanya. Mujur dia sempat mengawal dan memberhentikan keretanya di satu sudut jalan, hampir-hampir terbabas.

Keadaan sunyi sepi. Penumpang tadi turut terperanjat, tidak menyangka bahawa tepukan lembutnya untuk memberi signal berhenti hampir menyebabkan kemalangan maut.

Lalu ditanya kepada pemandu yang pucat lesi mukanya itu, "Bang, kenapa begitu sekali reaksinya? Saya tepuk bahu lembut je, sebab nak berhenti".

Pemandu tersebut menjawab, "Dik, lain kali jangan buat macam tu lagi ok".

Penumpang bertanya hairan, "Abang first time memandu ke?"

Si pemandu menjawab, "Bukan gitu. Abang dah 30 tahun memandu, tapi hari ni hari pertama abang memandu teksi. Sebelum ni abang memandu van mayat!"


Tidak disangka, tepukan bahu yang lembut, yang pada pandangan kebanyakan orang tidak memberikan apa-apa tekanan, hampir membunuh seseorang yang lain. Hanya kerana berbeza pandangan sarwa (world view).

Tak disangka perkataan atau ungkapan yang disangka 'biasa-biasa' pada pandangan kita, merupakan perkataan yang tajam dan kurang sopan bagi sesetengah yang lain.

Kadangkala kita kehairanan melihat sesetengah manusia boleh menghisap rokok dan mencarut di khalayak ramai tanpa sedikit pun rasa bersalah, sedangkan bagi kita perkara tersebut amatlah kurang sopan dan memalukan.

Kita membenci, kita menghukum. Kita mengata, kita mengutuk. Kita melihat dengan pandangan hina, kita membuat pelbagai tanggapan buruk.

Rupa-rupanya kita terlupa, bahawa mereka memandang dunia dengan pandangan yang lain. Mereka memandang dengan kaca mata berbeza dari kita. Mereka dibesarkan dengan suasana berbeza daripada kita. Mereka disuap makanan yang tidak seperti makanan kita. Mereka dihidang dengan pendidikan dan input yang asing dari kita.


Ketika kita melihat jalanraya dari dalam teksi sebagai seorang penumpang yang tiap hari menaiki teksi, kita nampak jalanraya yang sudah kita hafal liku-likunya, sudah kita tahu bila dan di mana mahu berhenti. Sedang seorang yang tiap hari menumpangkan mayat ke destinasi abadinya, dia memandang jalanraya dengan pandangan suram dan keseorangan, di dalam minda mereka menetapkan bahawa, penumpangnya tuli, buta, bisu, dan kaku.


Bagi para pendakwah, belajarlah hidup dalam masyarakat. Bergaul lah dengan segenap lapisan masyarakat. Kenali lah asam garam dan ragam setiap jenis manusia, agar kita mengerti pandangan sarwa setiap dari mereka. Agar kita tahu, bagaimana nak melihat dunia seperti mereka, lantas memahami cara menyentuh hati mereka.

"وَقُلَ اعْمَلُوا فَسَيَرَى اللهُ عَمَلَكُم وَ رَسُولُهُ وَ الْمُؤْمَنُون..."

"Dan katakanlah (wahai Muhammad), bekerjalah, Allah akan melihat amalan kamu, bersama RasulNya dan orang-orang beriman"

Surah At-Taubah, 105


والحمد لله ربّ العالمين
Posted in Labels: , , | Comments
Related Posts with Thumbnails

Apture