Bismillahirrahmaanirraheem
Alhamdulillah, wassolatu wassalaamu 'ala Rasulillah SAW
Sempat saya curi sedikit masa saya untuk sebuah entry pendek, (after all, ramai yang komen entry saya terlalu panjang, malas nak baca. So, saya buat kali ni pendek je la insyaALlah...), bertajuk Jengkal-jengkal Ilmu.
Kadang-kala saya rasa kagum dengan kesungguhan beberapa orang sahabat saya yang tak jemu-jemu ke sana ke mari, mengeluarkan duit poket, menghabiskan tenaga, bersengkang mata, dan pelbagai lagi tanda kesungguhan mereka dalam MENUNTUT ILMU.
Tak cukup dengan kuliah perubatan nya, kelas-kelas bahasa Arab, pengajian al-Quran, talaqqi di masjid-masjid terutamanya di Masjid Al-Azhar, dan sebagainya.
Jengkal-jengkal Ilmu
Suka saya berkongsi satu kalam dari al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziy rahimahullah, yang berbunyi,
العلم ثلاثة أشبار
من دخل شبر اللأوّل تكبّر
ومن دخل شبر الثّاني تواضع
ومن دخل شبر الثّالث أحسّ بجهله
Ilmu itu mempunyai 3 jengkal(tahap)
siapa yang masuk(sampai) ke jengkal pertama, takabbur
siapa yang sampai ke jengkal kedua, tawaduk
siapa yang sampai ke jengkal ketiga, akan merasai kejahilannya
Kalam yang sangat cantik, diajar oleh guru saya Ustaz Mahmud. Ya, bagi orang yang menuntut ilmu, bila dia sampai ke tahap pertama, sewaktu baru mula berjinak-jinak dengan ilmu, dia akan berasa takabbur. Rasa besar. Rasa hebat. Rasa ilmunya banyak. Rasa alim.
Jikalau dia menuntut limu lebih dalam lagi, atau meneruskan lagi menggali ilmu, maka kelak, dia akan berasa tawaduk. Semakin banyak ilmunya, semakin dia rendah diri. Semakin 'relax', tak melenting. Semakin matang. Semakin kenal, bahawa bukan dia seorang sahaja yang ada ilmu.
Jikalau dia terus lagi belajar, dan ikhlas lagi menuntut ilmu, maka dia akan merasakan bahawa, dia tidak mempunyai apa-apa ilmu. Dialah yang paling jahil. Dia bukanlah orang yang hebat. Dia perlu menuntut lagi banyak ilmu dan lagi dalam lagi. Apa yang dia ada tidak mencukupi, walaupun hakikatnya ilmunya lebih banyak berbanding orang yang tidak menuntut ilmu atau orang di peringkat pertama.
Makin Tuntut Ilmu, Makin Bodoh?
Tahap yang ketiga ini, bukanlah menunjukkan bahawa, semakin kita menuntut ilmu, kita menjadi semakin bodoh! Tetapi, semakin dalam kita menuntut sesuatu ilmu, semakin kenal kita dengan hakikat ilmu Allah. Apakah hakikatnya?
Bahawa ilmu Allah itu sangat luas, dan begitu banyak perkara yang tidak mampu dijelaskan oleh manusia.
Kesimpulan
Maka kesimpulannya, hadirkanlah rasa rendah diri di dalam menuntut ilmu dan dalam bergaul dengan masyarakat, kerana hakikatnya, kita TAK TAHU APA-APA! Juga, bersabarlah dalam menuntut ilmu kerana ilmu itu milik Allah dan sesuatu yang mulia. Takkan lah sesuatu yang mulia itu, murah harganya, Tak gitu?
Bak kata pepatah,
ومن أراد الصلاح والمجد والعزّ بغير جهاد وتضحية , فهو حالم واهم
Barangsiapa yang inginkan kebaikan, dan kemegahan dan kemuliaan, tanpa jihad(to strive) dan pengorbanan, maka dia sedang bermimpi indah!
Sekian dahulu, semoga kita tergolong dari golongan yang cintakan ilmu dan ikhlas menuntutnya kerana Allah dan Ummat Islam. Dan ingat ya, langkah pertama menuntut ilmu adalah membaca! ;)
Jazakumullah kheir kerana sudi membaca.
Wassalam~