Umrah Ramadhan 1432 H

Friday, August 19, 2011 by aiyqosim

Bismillahirrahmaanirraheem

Alhamdulillahi wassolaatu wassalaamu 'ala Rasulillah SAW



إِنَّ الصَّفَا وَالْمَرْوَةَ مِن شَعَائِرِ اللَّـهِ ۖ فَمَنْ حَجَّ الْبَيْتَ أَوِ اعْتَمَرَ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِ أَن يَطَّوَّفَ بِهِمَا ۚ وَمَن تَطَوَّعَ خَيْرًا فَإِنَّ اللَّـهَ شَاكِرٌ عَلِيمٌ

Sesungguhnya Safa dan Marwa adalah syiar (agama) Allah. Maka barangsiapa menunaikan ibadah haji ke Bairullah atau berumrah, tidak ada dosa baginya mengerjakan sa'ie antara keduanya. Dan barangsiapa dengan kerelaan hati mengerjakan kebajikan, sesungguhnya Allah Hama Memberi Balasan, Maha Mengetahui.

Surah Al-Bagarah, ayat 158



Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.aw. bersabda:

”Umrah kepada Umrah(yang dilakukan sekali lagi pada masa akan datang) merupakan kaffarah(penghapus dosa) di antara keduanya,dan Haji yang mabrur itu tiada baginya balasan melainkan syurga“

(Hadis 1773,Sohih Bukhori)



InsyaAllah pada tahun ini, saya merancang untuk menunaikan umrah Baitullah dan menziarahi Baginda Rasulullah SAW di Madinah Al-Munawwarah bersama-sama beberapa rakan-rakan yang lain.


Semoga kami diterima menjadi tetamu Allah pada kali ini.


Alhamdulillah, kami berpeluang menghabiskan baki 10 hari terakhir Ramadhan dan beberapa hari Syawal di Madinah dan Mekah. Semoga hajat ini kesampaian, ditambah berkat kemuliaan Ramadhan.


Doa dipohon agar segalanya berjalan lancar dan kami beroleh ibadah umrah yang diterima ALlah. Juga dipohon ampun maaf atas segala salah silap. Agar kami dapat menuju ke Baitullah dalam keadaan bersih hendaknya.


Barangsiapa yang dihutang oleh saya, sila beritahu secepat mungkin (rasanya semua dah selesai insyaALlah). Sebaliknya, bagi sesiapa yang berhutang dengan saya, boleh tunggu lepas saya selesai menunaikan umrah (bukan hutang tu langsai terus ye, tangguh saja hehe).


InsyaALlah kami akan bertolak awal pagi 20 Ogos(Sabtu) daripada Rumah Selangor Hayyu Asyir.


Dan kami akan pulang semula ke Kaherah pada 4 September. Jika ada apa-apa urusan, sila email sahaja. Akan dilayan selepas 4 September nanti insyaAllah. :)



Terima kasih kepada ibu, dan ahli keluarga lain, serta sahabat-sahabat yang mendoakan. Allah jualah sebaik-baik Pemberi balasan.



Semoga Allah menerima amalan kami ini, Ya Arhamarraahimeen, ameen.



Ahmad Ibrahim Bin Yahaya

19 Ramadhan 1432 Hijriyyah

Sayeda Zainab
Posted in Labels: , , | Comments

Bumi Magic

Tuesday, August 16, 2011 by aiyqosim

Bismillahirrahmaanirraheem,

Alhamdulillahi wassolaatu wassalaamu 'ala Rasulillah...


Tengahari tadi, keputusan peperiksaan diumumkan. Hazu punyalah excited, sampai seterika terlupa nak off. Yang lain, Juwe, Fais, excited sampai ditanya berkali-kali baru menyahut. Tengahari ni (17 Ogos) semua pakat nak fly balik Malaysia dah. Tinggallah hamba keseorangan di rumah nan jauh di hujung Sayeda ini.

Alhamdulillah, semuanya memuaskan. Secara keseluruhannya, untuk 4th year Cairo University, macam biasa, tetap ada yang kena reseat exam (dur thani), tapi insyaALlah, kejayaan itu hanya dilewatkan sedikit sahaja. Exam durr thani nanti insyaALlah cemerlang. Berkat Ramadhan. :)

Tahniah kepada yang berjaya dengan cemerlang. Ingatlah, kecemerlangan hakiki adalah keredhaan Allah dan bertemuNya di Akhirat kelak. Ameen...


Teringat, dulu-dulu, waktu dapat result tahun satu dulu, sekitar Julai 2008. Dapat result, terus ke ARMA, bilik Alongku, 713. Cerita pasal result diri sendiri dan result rakan-rakan lain.


Aku ada cakap, "Mamat tu, dia memang kerja dia main games je memanjang~"


Terus kena 'basuh' dengan Along aku. Kena tegur.


Katanya, "Kita ni, jangan sesekali judge orang lain sesuka hati".


Jangan sesedap saja kita katakan bahawa 'dia' tu dapat result sekian sekian, sebab sekian sekian... Itu pantang! Pantang di Bumi Mesir, Ardul Kinanah!


"Mesir ni, bumi magic!" bak kata abang Abai. Orang 'lama-lama' kenal lah abang Abai ni. Jangan sesedap saja kita kata macam-macam tentang orang lain. Kata kuncinya, don't judge!


Pandangan saya, bukan di Mesir sahaja, hatta di mana-mana sekalipun, kita tiada hak untuk mudah-mudah menghakimi sesuatu kejadian yang kurang enak yang berlaku terhadap seseorang. Sesuka hati untuk meletakkan sebab ke atas sesuatu yang menimpa orang lain.


"Isy, mamat tu clash dengan minah tu. Ni mesti sebab minah tu mulut @%$&**%. Tu laki tu lari!"


"Isy, mamat ni dapat result teruk, mesti perangai buruk ni!"


"Isy, minah tu handbag dia kena ragut, mesti dulu-dulu dia kedekut taik idung masin. Dah kena balasan!"


Selalu kan kita jumpa gejala macam ni?


Selalu kan kita buat benda macam ni? =)


Saya rasa, semua orang faham maksud yang cuba saya sampaikan.


Sekian sahaja buat kali ini. Alhamdulillah tak terhingga. Jutaan terima kasih atas keberkatan doa dari ibu, Pn. Sabariah Awang Chik, dan ahli keluarga yang lain.


Terima kasih buat doktor-doktor, rakan-rakan, adik abang akak yang mendoakan kejayaan bersama.


InsyaALlah naik tahun 5, macam biasa, akan buat azam baru. Harap-harap tak jadi tahi ayam macam tahun-tahun sebelumnya. =)


Wassalam.
Posted in Labels: , | Comments

Al-Kisah Berbuka Puasa

Monday, August 15, 2011 by aiyqosim


Bismillahirrahmaanirraheem

Alhamdulillahi wassolatu wassalaamu 'ala Rasulillah...


Sehari dua ni sempat tengok gambar-gambar rakan-rakan facebook. Gelagat masing-masing dengan aktiviti masing-masing di bulan Ramadhan.

Antara aktiviti yang popular dalam kalangan muda mudi kita di bulan Ramadhan adalah Berbuka Puasa atau Ifthor Jam'ie.

Waktu bulan Ramadhan inilah nak buat gathering batch, nak buat gathering tu, gathering ini, nak berjumpa, nak belanja dan sebagainya.

Namun, haruslah diingat, berbuka puasa adalah satu nikmat yang Allah kurniakan untuk mereka yang berpuasa kerana Allah. Selain daripada menghilangkan lapar dahaga sepanjang hari, waktu berbuka itu merupakan salah satu waktu mustajab berdoa.


...لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ فَرْحَةٌ عِنْدَ فِطْرِهِ وَفَرْحَةٌ عِنْدَ لِقَاءِ رَبِّهِ...

...Bagi orang yang berpuasa akan mendapatkan dua kegembiraan, iaitu kegembiraan ketika dia berbuka, dan kegembiraan ketika bertemu Rabbnya...

Hadith riwayat Muslim



عن عبد الله بن عمرو بن العاص رضى الله عنهما أن النبى صلى الله عليه و سلم قال (( إن للصائم عند فطرة دعوة ما تُرد ))

Dari Abdullah bin ‘Amr bin ‘Ash Radhiyallahu ‘anhu bahawa dia mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda.

Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa ketika saat berbuka ada doa yang tidak ditolak.

Hadith riwayat Ibnu Majah



Berbuka puasa juga adalah satu medium untuk para Muslimeen merafa'kan kesyukuran kepada Allah dengan penuh rasa tawadhuk kerana Allah telah memberi kekuatan sehari untuk melaksanakan perintah ALlah.

Kesyukuran ketika berbuka juga disebabkan kita telah berjaya meninggalkan perkara haram dan perkara halal atas arahan Allah Subhanahu wata'ala untuk sehari. Perkara haram adalah syahwat, dan perkara halal adalah makan dan minum. Bayangkan, kita berjaya meninggalkan perkara yang HALAL, demi arahan Allah.


Berbalik kepada topik asal. Agak sedih bilamana melihat budaya sesetengah muda mudi. Berbuka puasa dijadikan medium untuk gathering.


"Aik? Gathering pon salah?"


Gathering tak salah, boleh berjumpa. Berukhuwwah. Apa pula salahnya!


Tapi, sedih bila melihat majlis gathering berbuka puasa itu disertai dengan percampuran dan pergaulan antara lelaki perempuan yang tidak syar'ie dan pendedahan aurat. Kemudian, sambil bertepuk tampar, posing sana, posing sini dengan gaya-gaya yang kurang sopan. Selalunya, kalau makan-makan beramai-ramai ni, kalau tidak didahulukan dengan Solat Maghrib dulu, akan makan masa yang panjang. Makan pun berlebih-lebihan, dan solat Maghrib pun di akhir-akhir waktu (kalau solat lah).


Memetik kisah Imam Malik Bin Anas RA, yang menangis ketika berbuka puasa pada suatu hari, ditanya oleh muridnya, beliau berkata, "Aku sedih melihat makanan yang banyak kerana mengenangkan Rasulullah SAW. Baginda berbuka dengan makanan yang sedikit tetapi amalannya banyak. Aku berbuka dengan makanan yang banyak, tetapi amalanku cuma sedikit".


......................................................


Pertamanya, konsep puasa itu sendiri adalah menahan daripada melakukan yang halal (makan dan minum) dan yang haram. Namun, waktu berbuka puasa dijadikan peluang melunaskan segala-galanya. Habis bertepuk tampar, hilang lapar, hilang malu.


Keduanya, konsep berbuka puasa pula, adalah kesyukuran kepada Allah. Berbuka puasa itu bukanlah satu peluang melunaskan apa yang Allah tegah di siang harinya, bahkan berbuka puasa itu juga satu ARAHAN dari Allah. Bahkan Rasulullah menyuruh Ummat Islam berbuka di awal waktu!


فعن سهل بن سعد رضى الله عنه أن النبى صلى الله عليه و سلم قال (( لا يزال الناس بخير ما عجلوا الفطر ))


Akan sentiasa manusia dalam kebaikan, selagimana mereka mempercepatkan berbuka

Hadith riwayat Bukhori dan Muslim


Berbuka puasa itu satu ibadah, tetapi, bagaimana mudi mudi (juga orang tua) kita berbuka puasa?

Makan sehabis baik, seperti tiada lagi hari esok. Doa, Selawat, Zikir, dan Solat langsung dilupakan bila nikmat terbentang di hadapan mata. Kalau buat gathering, habis suasana riuh, posing sana, posing sini, bertepuk tampar, terdedah sana terdedah sini.


رُب صائم ليس له من صيامة إلا الجوع و رُب قائم ليس له من قيامة إلا السهر

Mungkin sahaja orang yang berpuasa itu tidak mendapat apa-apa daripada puasanya kecuali lapar. Dan mungkin sahaja orang yang bangun qiyam itu tidak mendapat apa-apa dari qiyamnya kecuali penat bangun malam

Hadith riwayat Ahmad



Asalnya puasa dan berbuka puasa itu ibadah, akhirnya puasa menjadi sia-sia, dan berbuka puasa jadi maksiat, wal 'iyazubillah!


.....................................................


Tulisan ini merupakan satu muhasabah kita bersama. Demi memastikan bulan Ramadhan, atau PROGRAM RAMADHAN kita dilalui dengan jayanya, serta mencapai objektif utamanya, iaitu TAQWA dan MAGHFIRAH ALLAH.

Sesungguhnya, masih ada lagi baki 15 hari kita di Bulan Ramadhan Al-Mubarak tahun ini. Semoga kita tergolong dalam kalangan orang yang beroleh ketaqwaan dan maghfirah dari Allah Jalla wa 'Ala. InsyaALlah...


Sekian, wassalam~


Sedikit promosi program Ceramah Nuzul Quran & Iftor Mahabbah PERUBATAN, membawakan Syeikh Rohimuddin bersama Syeikh As-Sayyid Yusuf (Mufti Kanada). Dijemput kepada SEMUA AHLI PERUBATAN sekitar Sayeda, Abbasiyyah, Madinah Nasr. SEMUA!


Kemudian, dari lokasi Iftor Mahabbah, terus beramai-ramai ke Dewan DMAK Abbasiyyah untuk Solat Isyak + Terawih Perdana dan Tazkirah Khas dibawakan Ustaz Hanif Haron (Pengerusi MANHAL PMRAM). SEMUA AHLI PERUBATAN dijemput hadir! Bawa sejadah masing-masing. Moreh disediakan. =)


Posted in Labels: , , | Comments

Ilmu, Ilmu, Dan Ilmu!

Sunday, August 14, 2011 by aiyqosim
...budak medik berlagak soleh yang stranded di mesir menunggu result...



Bismillahirrahmaanirraheem

Alhamdulillahi wassolaatu wassalaamu 'ala Rasulillah SAW,


Pengalaman menghadiri kelas pengajian Al-Banjari, oleh Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki anjuran BKAN Kedah dan Muttaqin TV (rasanya lah), bermula daripada 31 Julai sehingga 14 Ogos.

Sepanjang keberadaan di Mesir, kali pertama saya hadir ke pengajian sejak tahun 1 lagi (waktu itu di rumah Johor Hayyu Thamin), pengajian kali inilah yang paling lengkap saya hadiri. Hampir setiap kelas dihadiri, kecuali hari pertama dan hari terakhir. Alhamdulillah...

Satu perkara menarik minat saya, apabila syeikh membincangkan tentang al-ilm, ilmu.


What You Give, You Get Back

Adab terhadap ilmu amat ditekankan oleh para ulama'. Ramai yang mengeluh, "Baca buku, tapi punyalah susah nak masuk!". "Isy, apasal macam malas je nak mengaji ni".

Tetapi ramai juga yang lupa, apa yang telah mereka perlakukan terhadap ilmu. Ilmu umpama menjauhkan diri daripada mereka. Ilmu umpama merajuk dengan mereka.

Itu tak lain tak bukan, adalah kesan terhadap apa yang telah mereka perlakukan terhadap ilmu. Ya, konsep what you give, you get back diaplikasikan di sini.

Buku-buku kita abaikan. Kita campakkan dan taburkan di mana-mana sahaja. Buku disimpan di dalam rak buku, dibiarkan berhabuk. Tidak dijaga. Selagi tak sampai musim peperiksaan, selagi itulah ianya disimpan rapi. Dan jenayah terbesar terhadap ilmu adalah, tidak mengamalkan ilmu yang telah dipelajari.

Kalau begitulah sikap kita terhadap ilmu, bayangkan bagaimana perasaan ilmu terhadap kita? Merajuk lah ia. Cuba bayangkan bagaimana kalau si suami tak bercakap, tak senyum dan buat tak tahu saja pada si isteri, sedangkan dengan member lain punyalah mesra. Tak ke merajuk si isteri tu?

Begitulah perasaan ilmu apabila kita melayannya dengan layanan yang buruk. Layanan acuh tak acuh.

Tapi, kalau isteri merajuk, mesti si suami nak pujuk, tapi kalau ilmu, bagaimana? :)



Tapi, Kenapa Ilmu?

Ya, kenapa ilmu? Kenapa asyik membincangkan tentang ilmu? Hebat sangatkah ilmu itu? Tiada benda lain lagikah yang dibincangkan?

Syeikh Nuruddin membahaskan kepentingan dan kehebatan ilmu dengan ringkas dan padat. Dimulakan dengan memetik sepotong ayat dari Al-Quran Al-Kareem, Surah Az-Zumar, ayat ke-9;


قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَالَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ

Katakanlah, "Adakah sama orang yang mengetahui dan orang yang tak mengetahui?"



Apa bezanya orang yang mengetahui (orang berilmu) dengan orang yang tak berilmu? Dari satu sudut, perbezaannya dari segi kedudukan mereka di sisi Allah. Dari sudut lainnya, tengok sahaja pada perwatakannya, pada akhlaknya, pada percakapannya, pada pemikirannya, pada sifat-sifatnya, pada tindakannya, dan segenap sudut kehidupannya.

Pastinya berbeza di antara orang berilmu dan orang yang tidak berilmu. Maka, semak semula dalam diri kita, adakah kita mempunyai ciri-ciri orang berilmu? Sesungguhnya, tidak sama orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu. Semak semula diri kita, tergolong dalam golongan yang mana satu?



Darjat

Kemudian, syeikh memetik satu ayat dari Surah Al-Mujadilah, ayat ke-11;


يَرْفَعِ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ ۚ

...Allah mengangkat (darjat) orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang yang diberi ilmu beberapa darjat...


Apa lagi yang kita mahukan sebagai seorang manusia, selain daripada mendapat darjat yang tinggi dan mulia di sisi Allah? Jelas dinyatakan bahawa Iman dan ilmu menjanjikan darjat yang tinggi di sisi Allah.



Pewaris Khazanah

Kemudian syeikh memetik sepotong Hadith Rasulullah SAW, yang berbunyi;


وإنَّ العلماء ورثةُ الأنبياء، وإن الأنبياء لم يُورِّثوا دينارًا ولا درهمًا، وإنَّما ورَّثوا العلم


...dan sesungguhnya ulama' adalah pewaris para Nabi, dan para Nabi tidak mewariskan dinar mahupun dirham, tetapi mereka mewariskan ilmu,...



Bayangkan sahaja, kita sering berdoa agar ditempatkan bersama para Nabi 'alaihimissalam di Akhirat kelak, kerana mereka adalah manusia yang paling hampir dengan Allah. Bayangkan, khazanah yang para Nabi ini tinggalkan kepada kita, ummat akhir zaman. Khazanah yang menaikkan darjat mereka setinggi-tinggi darjat di sisi Allah. Itulah ilmu. Maka, apa lagi yang kita kejarkan di dunia ini, demi meraih kedudukan setinggi para Nabi Allah? Kejarlah khazanah warisan mereka, kejarlah ilmu!



Pewaris Saham

Bayangkan sahaja, kalau kita diumumkan sebagai pewaris saham terbesar dalam syarikat bisnes termaju dalam negara. Apa perasaan kita?

Begitulah perumpamaan orang yang berilmu dan mengajarkan ilmunya. Nabi Muhammad SAW bersabda;


إذا مات ابن آدم انقطع عمله إلا من ثلاث : صدقة جارية ، أو علم ينتفع به ، أو ولد صالح يدعو له

Pabila mati seorang anak Adam, terhentilah amalannya, kecuali 3 perkara; sedekah jariah, atau ilmu yang bermanfaat, atau anak soleh yang mendoakannya



Tempuhi Jalan Itu

Nabi SAW bersabda;


من سلك طريقا يبتغي فيه علما سهل الله له طريقا إلى الجنة


Barangsiapa yang menempuh satu jalan mencari ilmu, akan Allah permudahkan jalannya ke syurga...


Apa lagi yang kita mahukan sepanjang kehidupan kita di dunia ini, juga setelah kita mati dan menuju kehidupan kekal abadi kelak? tentunya kita mahukan kehidupan yang bahagia. Di Akhirat kelak, kehidupan yang bahagia hanya ada di syurga. Maka nikmat apakah yang dapat menandingi kehebatan nikmat dipermudahkan jalan ke syurga?

Itulah nikmat bagi mereka yang bersusah-susah menempuh pelbagai jalan dengan pelbagai cabaran demi menuntut ilmu kerana Allah. Maka tempuhilah jalan itu!



Semoga kita semua tergolong dalam kalangan mereka yang ikhlas dan bersemangat menuntut ilmu, insyaAllah.


Ingat pesan Nabi SAW, menuntut ilmu itu, من المهد الى اللهد, dari buaian sehingga ke liang lahad.



Jaga-jaga, Jangan Hancur Musnah

Buat akhirnya, suka saya memetik satu kalam dari Sayduna Abi Darda' RA salah seorang sahabat Baginda SAW;



كن عالما أو متعلّما أو محبّا أو مستمعا ولا تكن خامسا فتهلك

"Jadilah orang yang mengajar, atau yang belajar, atau yang mendengar(akan ilmu dan ulama'), atau yang mencintai(akan ilmu dan ulama'). Dan jangan kamu jadi golongan yang kelima, akan hancurlah kamu!"



Siapakah golongan yang kelima yang hancur musnah itu? Mereka adalah golongan selain daripada keempat-empat golongan yang disebutkan sebelumnya. Dengan kata lainnya, mereka adalah golongan yang sama ada tidak mengajar ilmu, atau belajar ilmu, atau sekadar mendengar, atau mencintai ilmu.


Moga-moga kita tergolong dalam kalangan yang berilmu, insyaAllah.


Salam Ramadhan dari saya, separuh dah selesai, adakah anda berpuas hati dengan kualitinya? Pecutan terakhir untuk separuh yang kedua. Ayuh!



...berapa ratus lah agaknya manusia membanjiri pengajian Syeikh Nuruddin...



Ahmad Ibrahim Yahaya,

Malam 15 Ramadhan,

Sayeda Zainab
Posted in Labels: , , , | Comments

Si Bahlul Mengajar Khalifah

Wednesday, July 6, 2011 by aiyqosim



Bismillahirrahmaanirraheem

Alhamdulillahi wassolaatu wassalaamu 'ala Rasulillah...



Suatu hari di kota Baghdad, di zaman Khalifah Harun Al-Rasyid RA, diriwayatkan bahawa telah hidup seorang Nasrani...


Si Nasrani mempunyai sebidang tanah miliknya sejak sekian lama. Di sebelah tanah itu, terbentang tanah milik si Perdana Menteri di masa itu. Agak luas tanahnya.


Suatu masa, si Perdana Menteri berhasrat ingin membina sebuah istana untuk didiaminya. namun, tanah yang dimilikinya pada waktu itu tidak cukup luas untuk sebuah istana yang tersergam indah mengikut pelannya. Lalu dipujuknya si Nasrani pemilik tanah sebelahnya untuk menjual tanah miliknya.


Si Nasrani menolak. Si Perdana Menteri lalu menggunakan kuasa yang ada padanya merampas tanah milik si Nasrani itu dengan surat pembelian palsu. Maka bersedihlah si Nasrani itu dengan nasibnya yang dizalimi.


Si Nasrani lalu berjumpa dengan semua menteri dan pembesar yang mampu dijumpainya, namun seorang pun tidak mampu dan cukup berani untuk membela nasib si Nasrani itu dek kerana takutnya kepada Perdana Menteri yang zalim itu.


Si Nasrani akhirnya mengadu kepada sahabatnya si tukang jahit. Si tukang jahit memberikan satu cadangan, katanya,


"Aku boleh bawakan seorang yang boleh menyelesaikan masalah kau".


"Sedangkan para menteri dan pembesar pun tak mampu, siapa pula yang kau nak bawakan untuk membela nasibku ini?" kata si Nasrani.


Jawab si tukang jahit, "Kau tunggu saja, dan datang lagi esok".



Keesokan harinya, datanglah si Nasrani ke kedai tukang jahit. Bila sampai, si Nasrani berasa hairan kerana si tukang jahit ada bersama dengan seorang lelaki. Buhlul namanya. (orang melayu panggil Bahlul)


"Ha, bagaimana? Di mana gerangan yang boleh membela nasibku seperti yang kau janjikan semalam?" tanya si Nasrani.


"Ni ha! Si Buhlul ni lah yang aku katakan semalam".


Betapa terkejutnya si Nasrani itu. Manakan tidaknya, buhlul memang terkenal dengan sifatnya yang 'gila-gila'. Dia dikenali sebagai seorang yang mereng dan 'tak berapa betul'. Bila berjalan, bercakap seorangan.


Si Buhlul juga merupakan sepupu Khalifah Harun Al-Rasyid.


Dalam hati si Nasrani berkata, "Bolehkah si Buhlul ni tolong mendapatkan kembali hak aku?"


Namun, kerana tiada pilihan lain, si Nasrani akur dengan cadangan kawannya si tukang jahit.


"Jadi, bagaimana kau hendak mengembalikan hak aku? Bagaimana harus aku dapatkan tanah aku kembali?" tanya si Nasrani.


Jawab si Buhlul dengan gaya 'sewel'nya, "mmmm..." sambil mengurut dagunya, "... Ahha! Hari Jumaat ini, selepas Asar, jumpa aku di Masjid Baghdad".


.........................................................


Di waktu Solat Jumaat minggu itu, di Masjid Baghdad, khatib pada hari itu adalah Khalifah sendiri, Harun Al-Rasyid. Seusai khutbah Jumaat disampaikan, si Buhlul menjerit dalam keramaian jemaah masjid,


"Harun Al-Rasyid! Begi aku jadi imam solat hari ni!"


Khalifah terpinga-pinga dengan gelagat 'separuh akal' sepupunya si Buhlul itu. Dipujuk-pujuknya, akhirnya Khalifah memberi peluang kepada Buhlul menjadi imam.


Maka diimamkanlah solat Jumaat itu. Setelah takbiratul ihram, Bhulul pun membaca Al-Fatihah.


"الحمد لله رب المسلمين" bacanya.


Makmum membetulkan bacaannya. Kemudian dibacanya lagi,


"الحمد لله رب المسلمين"



Kemudian dibetulkan makmum, dan diulangnya lagi beberapa kali.


Seusai solat, si Khalifah bertanya, "Kau beriya-iya nak menjadi imam, tapi Surah Al-Fatihah pun masih tak hafal!"


Lalu dijawabnya, "Oh salah kah aku baca tadi? Bukankah Allah itu Tuhan untuk orang Islam?"


"... Ya, betul lah Allah itu Tuhan orang Islam. Allah juga Tuhan sekalian alam". balas Khalifah Harun Al-Rasyid.


"Tapi, aku hairan, mengapa Allah hanya memelihara nasib orang Islam sahaja di Bahgdad ni?" jawabnya selamba.


Khalifah hairan dengan perkataan si Buhlul itu.


"Ya lah, tanah seorang Nasrani telah dirampas oleh Perdana Menteri tetapi tiada siapa yang membela nasibnya".



Khalifah Harun Al-Rasyid tidak senang dengan kenyataan tersebut, lalu merenung si Perdana Menteri yang turut solat sekali di masjid itu. Ditanyanya kepada Perdana Menteri yang zalim itu perihal kebenaran tuduhan tersebut. Maka terkantoilah Perdana Menteri tersebut, dan dijatuhkan hukuman.


Dilucutkan jawatannya, dirampas segala hartanya. Begitulah nasib si Perdana Menteri yang zalim itu. Setimpal dengan kezalimannya.


Si Nasrani yang memerhatikan kejadian tersebut akhirnya diberikan semula haknya. Tahulah dia, bahawa si Buhlul itu luarnya saja nampak 'mereng', tapi geliga juga otaknya.


Di waktu itu juga, si Nasrani itu memeluk Islam! MasyaAllah...


Mereka pun hidup aman damai, happily ever after... :)



Satu saja pengajaran penting dari kisah ini. Islam adalah satu agama, satu sistem hidup yang membawa rahmat ke seluruh alam. Bukan sahaja untuk penganutnya, malah untuk semua manusia tidak kira agama dan bangsa. Malahan, Islam merupakan rahmat kepada semua makhluk selain manusia, seluruh alam semesta.


Tapi dengan satu syarat, sistem Islam itu harus tertegak dalam diri setiap Muslim, dan harus tertegak dalam setiap negara. Orang Islam sendiri harus yakin, bahawa dengan berjalannya sistem Islam dalam segenap aspek kehidupan manusia, segalanya akan stabil dan maju. Kesannya akan dirasai oleh orang Islam dan juga bukan Islam.


Malang menimpa sesetengah masyarakat hari ini, orang Islam sendiri ada yang meragui kesempurnaan Islam. Mereka memperkecilkan sistem pemerintahan dan pentadbiran Islam. Mereka memperkecilkan sistem ekonomi Islam, dan segala sistem Islam yang lain. Padahal bukan Islam itu yang salah, tetapi pemahaman mereka terhadap Islam itu yang salah.


Inilah tugas ulama', para pendakwah, para cerdik pandai Muslim, dan tugas setiap individu Muslim. Untuk membetulkan kefahaman Islam dalam diri setiap manusia dalam masyarkat. Sehingga ajaran Islam yang sebenar itu betul-betul difahami sepertimana para sahabat Rasulullah SAW memahami Islam yang diajar oleh Rasulullah SAW...


Tetapi, bagaimana kita hendak memahami Islam dengan sebenar-benar kefahaman, jikalau ulama' pun kita tolak? ;)


Akhir kalam,



وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ


"Dan tidak Kami utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk (menjadi) rahmat untuk sekalian alam"


Surah Al-Anbiya', 107



Sekian sahaja, moga bermanfaat. Allahu A'lam.


p/s : satu paper lagi exam, Ophthalmology. Robbuna yusahhil...
Posted in Labels: , , | Comments

1001 Sebab Untuk Kau Tersenyum

Sunday, June 26, 2011 by aiyqosim

Bismillahirrahmaanirraheem.


Segala puji-pujian hanyalah milik Allah, segala syukur ditujukan kepada Allah Tuhan sekalian alam,


Selawat dan salam ke atas Penghulu sekalian Nabi, penyeri Timur dan Barat, sebaik-baik manusia yang pernah berjalan di muka bumi, contoh terhebat semulia-mulia akhlak, pembawa risalah agung, Sayyiduna Muhammad SAW.




Suatu hari, di awal pagi kutunggang motor. Tak semena-mena dilanggar kereta dari tepi. Jatuh terseret. Rabak seluarnya, koyak lututnya. Calar-balar sana sini. Jalan terhincut seminggu dua. Belakang sakit, duit pun habis.

"Ahh, seksanya eksiden. Duduk serba tak kena. Motor kena baiki. Lutut kena baiki. Orang lain hidup tenang. Ni si pemandu teksi tu lah punya pasal!"


Tak lama lepas tu, aku dengar khabar berita. Kemalangan dahsyat beberapa orang rakan. Kereta dilanggar lori. Ada yang meninggal, yang hidup lumpuh kakinya. Yang hidup terus hidup, terus tenang. Mukanya aman, redha.

"Setahun aku tunggang motor tak jatuh, sekali aku dilanggar kereta. Ya Rabb, Alhamdulillah..." aku kata dalam hati.




Kemudian ayahku ditimpa musibah. Menghidap penyakit, macam-macam penyakit. Ya lah, orang tua! Ibuku tunggang langgang dengan kerja-kerja rumah. Kerja-kerja di tempat kerja tak boleh pula ditinggalkan begitu sahaja. Anak-anak nak makan.

Satu keluarga bersedih. Aku bersedih. Dah tak macam dulu lagi. Tiada layanan dari ayah lagi. Aku yang perlu melayan karenah ayah pula. Ku lihat kawan-kawan, sihat ayahnya. Seronok hidupnya. Ibunya boleh berehat. Anaknya boleh bermain.


Tak lama, aku duduk seorangan. Termenung, dan teringat. "Sumpah! Aku pernah tengok ayah kawanku. Menghidap penyakit yang lebih rumit"

Masalah saraf. Masalah mental. Bukan gila, tapi Alzheimer. Usia muda lagi, 50-an, doktor bingung untuk mendiagnosanya sebagai Alzheimer yang biasanya atas umur 60. Tapi, gambaran klinikalnya sepadan.

Berak kencingnya, di sana sini, tak boleh diurus sendiri. Tidur bangunnya, tak tentu. Mandi makannya tak mampu sendiri. Kerja dan aktiviti, lagilah samar-samar. Ubatnya ada, tapi perlu disuap. Dia tak bercakap, tapi tak mahu dengar kata.

Dia aktif bergerak, tapi tak tahu dirinya di mana dan siapa. Dia nakkan sesuatu, tapi tak mampu menyampaikannya. Memang beban besar. Cabaran besar kepada si isteri dan anak-anak. Namun, hidup perlu diteruskan. Dan mereka berjaya meneruskan hidup.

Aduh, tersentak aku!




Hidup diteruskan, sampailah masanya, satu hari motorku dicuri. Duit dah habis membeli, hilang dikebas macam tu sahaja. Nak nangis rasa tak 'jantan'. Hanya mampu mengadu pada kawan-kawan, dan ekspresikan kesedihan dan kemarahan pada si pencuri. Nasib pula tak terbela oleh polis dan sistem negara.

Sumpah seranah dah habis dihambur. Tiba-tiba aku dengar khabar berita, rakanku dirompak. Duit habis dikebas. Duit yuran kuliah katanya. Puluhan ribu ringgit, bukannya sedikit!

"Ya Allah! Aku hidup senang lenang. Cuma tiada motor, dah tak keruan..."





Sebulan lepas tu, bahang peperiksaan makin terasa. Ada seorang kawanku, datang dengan muka sedih. Muka mayat hidup. "Putus cinta" katanya. Ohh, putus cinta rupanya...

Aku tanya si kawan, "Umur kau berapa?"

"22 tahun," jawabnya.

"Kau ada lagi 50 tahun nak hidup. Nak kah hidup kau 50 tahun lagi lumpuh kerana seorang perempuan?"

Ya, Allah dah selamatkan kau daripada wanita yang tak sesuai dengan kau, kerana Allah nak memberikan yang lebih baik buat kau. Patut di mulut kau terkeluar "Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana telah menunjukkan jalannya."


Kadang-kadang kau lupa, aku juga lupa. Ada orang di waktu dia paling memerlukan sokongan dan kasih sayang orang yang dikasihinya, Allah tarik nyawa orang yang dikasihinya itu. Ada budak kehilangan ibu ayahnya di waktu kecilnya. Tapi hidup diteruskan, dan berjaya diteruskan. Besarnya jiwa mereka...





Sebulan berlalu, musim peperiksaan sudah bermula. Ku lihat rakan lain, dapat study dengan elok. Sihat, bersemangat.

Aku? Terasa panas dalam hati. Hidung tak berhenti melelehkan air. Bersin memanjang. Mata berat rasa nak tidur sentiasa. Pinggang sakit, rasa nak baring. Dah malam, orang lain tidur, mataku pula tak nak lelap. Kepala pening, badan panas. Pagi, yang lain bangun, baca buku, aku tidur, tak larat.

"Apalah nasibku..." dalam hati kecil.


Aku tiba-tiba teringat, suatu masa, kenalanku seorang ni, sakit kuat. Sampai ditahan di hospital. Peperiksaan jangan harap, tak diambilnya. Terpaksa bercuti untuk rawatan. Terpaksa menangguh peperiksaannya bersama mereka yang 'reseat' paper dalam Duur Thani.

Keputusannya, Mumtaz! Hidupnya tenang. Lebih tenang dari yang sihat.


Semalam, kudengar lagi, satu khabar berita. Seorang kawan, ibunya sakit kuat. Hampir tenat. Ya, di kala musim peperiksaan. Bagaimana hidupnya? Satu yang pasti, hidup perlu diteruskan!





Akhirnya, masanya telah tiba. Hari peperiksaan dah tiba. Aku keluar dari dewan periksa seusai tamat, dengan muka ditarik. Dicebik, masam! Dalam hati, sedih dan panas.

Aku tengok, seorang sahabat ni, tersengih. Aku sapa, dan kami berborak. Lepak-lepak, tenang saja wajahnya. Aku bertanya, "Macam mana exam tadi?"

"Hmmm ok je. Separuh yakin, separuh lagi half-half. 1 per 3 tak jawab. Hehe... Tapi, ALHAMDULILLAH lah, daripada tak boleh jawab langsung!"


Allah, aku berkata dalam hati, "Aku dah yakin 3 per 4. 1 per 4 lagi kurang yakin, tapi dijawab penuh. Manusia jenis apa lah aku ni!"




وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِن شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ ۖ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ

"Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu memaklumkan, Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan tambahkan (nikmat) kepada kamu, tapi jika kamu menginkari (nikmat-Ku), maka pasti azab-Ku amat berat"

Surah Ibrahim, ayat 7



Ya, dan salah satu nikmat yang diperoleh mereka yang bersyukur adalah, kebahagiaan. Ketenangan. Tiada siapa yang boleh membeli kebahagiaan. Allah sahaja yang mampu mengurniakannya.


Bak kata pepata Inggeris,

"There is no way to happiness, but happiness is the way"


Tiada siapa yang mampu mencari kebahagiaan di mana-mana, membelinya di kedai atau di mana-mana. Tetapi kebahagiaan haruslah dirasai dalam setiap perbuatan. Caranya, bersyukurlah!




Dalam 365 hari setahun, sehari sahaja aku ditimpa musibah, tetapi senyumku hilang bukan sahaja dalam sehari musibah itu. Senyumku hilang juga dalam 364 hari yang tidak ditimpa musibah. Yang ada, hanya muka yang masam, hati yang marah, muka dicebikkan 'meraikan' SEHARI ditimpa musibah!


Ya, dunia mengecewakan aku KADANGKALA, disumpah seranahnya. Dunia menggembirakan kita SELALU, di mana senyumku, syukurku?


Ya, rakan mengecewakan kita, KADANGKALA, dilaknatnya, merajuk. Tapi di mana terima kasihku di kala mereka membahagiakanku?


Ingat, dikala kita bahagia, ada orang lain yang kecewa. Tapi mengapa di kala kita kecewa, kita tidak redha kalau ada orang lain yang bahagia? Adilkah begitu?


Ingatlah sirah Rasulullah SAW. Siapalah yang mengherdiknya? Bukankah bapa saudaranya sendiri? Jiran tetangganya sendiri?


Ingatlah siri-siri pengkhianatan dan seksaan terhadap Rasulullah SAW. Berapa banyak pula ajakan dan dakwah Baginda ditolak. Dikecewakan. Sampai berdarah muka dan bibir Rasulullah SAW, jatuh menitik di kasut Baginda ketika menyampaikan dakwah di Thaif. Tapi apa kata Baginda?

"Sesungguhnya, mereka tidak tahu."

"Jikalau mereka tidak beriman, kelak anak cucu mereka akan beriman."


Ingat pula kisah Nabi Nuh AS. Bukankah isteri dan anaknya sendiri mengingkarinya. Terpaksa ditinggalkan mereka, ahli keluarga Baginda sendiri ditelan bah akibat ingkar akan arahan beriman kepada Allah.




Kita baru dicubit sehari, mulut memuncung, muka mencuka setahun!


Setahun kita diusap kepala, dibelai, disuap dan dimanja, sehari pun kita tak tersenyum!


Senyumlah tanda syukurmu kepada Allah, Alhamdulillah.


Senyumlah, kerana masih ada 1001 sebab untuk kau tersenyum.



بَسُّمُكَ فِي وَجْهِ أَخِيكَ لَكَ صَدَقَةٌ

"...senyum mu pada wajah saudara mu adalah sedekah...".

Hadith Riwayat At-Tirmizi



:)
Posted in Labels: , , , | Comments

Good Old Days : Selamat Hari Bapa

Tuesday, June 21, 2011 by aiyqosim

*amaran : entri ini ada yang agak personal. kalau nak baca, sila baca habis ya. terima kasih


Bismillahirrahmaanirraheem,

Alhamdulillah, wassolaatu wassalaamu 'ala Saydina Rasulillah SAW,


18 Jun, Hari Bapa


Pada pendapat saya, antara sebab diwujudkan Hari Bapa adalah, sebab anak-anak tend to lupa kepada bapa mereka. So, bila ada Hari Bapa, orang akan ingat, "Owh, aku ada ayah..". Sama ada 'masih' ada, maka perlulah menabur bakti kepadanya. Kalau yang suda tiada, maka tanggungjawab masih ada, supaya didoakan dan disebarkan kebaikan ayah itu.


Mungkin ada yang rasa entri ini agak personal bila baca entri ni nanti. Tapi, cuba kita bangkitkan persoalan dalam diri kita.


"Apa yang ada pada ayah dan ibu aku?"


Ada yang tidak dapat melihat, apakah yang hebat pada ayah ibunya. Walaupun penat mencari, apakah yang 'best'nya ibu dan ayahnya.

Ada yang tidak rasa beruntung dengan ibu ayah sendiri. Selalunya, gejala ini berlaku dalam kalangan budak-budak kecil. Selalu berasa iri hati dengan ibu ayah orang lain.

Kalau anda tergolong dalam golongan ini, maka anda bermasalah. Tapi selalunya, semakin kita membesar, kita semakin sedar akan hakikat.

Memang ramai, terutama dalam kalangan masyarakat hari ini, yang gagal menggunakan pancaindera mereka sepenuhnya untuk menyedari bahawa, ibu ayah kitalah yang memainkan peranan terbesar dalam menjadikan kita seperti diri kita pada hari ini.

Maka, bersyukurlah dengan nikmat ibu ayah yang Allah kurniakan pada kita, sejak sebelum kita dapat melihat dunia lagi. Allah beri kita nikmat kasih sayang ibu ayah kita, sebelum kita dilahirkan lagi.



وَوَصَّيْنَا الْإِنسَانَ بِوَالِدَيْهِ حَمَلَتْهُ أُمُّهُ وَهْنًا عَلَىٰ وَهْنٍ وَفِصَالُهُ فِي عَامَيْنِ أَنِ اشْكُرْ لِي وَلِوَالِدَيْكَ إِلَيَّ الْمَصِيرُ

"Dan kami perintahkan kepada manusia (agar berbuat baik) kepada kedua orang tuanya. Ibunya telah mengandungkannya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusukannya selama 2 tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua orang tuamu. Hanya kepada Aku kembalimu."

Surah Luqman, ayat 14



Maka, selamat Hari Bapa diucapkan kepada ayah saya, Yahaya Bin Ibrahim.



Aidilfitri '07


Ir. Yahaya Bin Ibrahim

Tarikh lahir, 22 Ogos 1957 (seminggu lebih sebelum merdeka. heheh)

Membesar di Singapura

Sekolah Menengah di St. Victoria, Singapore

Graduate, Civil Engineering, UiTM

Kampung di Masjid Tanah, Melaka



Orang kata, setiap bapa adalah 'superhero' kepada anak-anaknya.


Maka, saya nak bercerita sedikit, kenapa saya cakap (dalam hati saya),


"Pergh! Gempak gila ayah aku!"


atau


"Wow! Hebatnya ayah aku!"


atau


"Ayah lah ayah yang paling best sekali!"


atau dengan kata lainnya, kenapa saya bangga dengan ayah saya. =)



1. Nama


Bila dinasabkan nama saya kepada ayah saya, kemudian kepada datuk saya, kemudian moyang saya, jadilah nama saya,


Ahmad Ibrahim Bin Yahaya Bin Ibrahim Bin Umar


Tak tahu significant ke tak, tapi saya rasa nama ni best. Macam arab punya style. Maka saya terfikir, "macam best je kalau nama anak aku nanti Yahya. Senang nak ingat nasab"



2. Nasihat & Tauladan


Ayah saya tak pernah kering daripada memberi nasihat dan bercerita kisah yang menaikkan semangat. Dari kecil, sampai dah besar panjang, kalau takda kata-kata nasihat yang baru, beliau akan ulang nasihat-nasihat dia yang sama. Sampai telinga ni dah lali lah.

Antara yang tak dapat dilupakan,

"Beralah tak semestinya kalah"

"Better late than never"

"There's no such thing as luck"


"Korang ni, pergi oversea guna duit JPA, tak tahu malu ke kalau pergi sana dok berpoya-poya, enjoy sana sini, guna duit orang?" nice! =)



3. Ramai member


Kalau pergi mana-mana tempat pun, ada je jumpa member dia. Macam-macam orang dia kenal. Sampai mak saya pun kekadang pelik, "Kenal mana orang tu, bang?"

Kekadang ayah jawab, "Entah!" =)

Ya lah, kenal orang tu kan, syafaat... (LINK)



4. Power math


Dulu time sekolah dulu, beliau selalu top dalam kelas subjek math. Sampai satu hari, cikgu math dia, orang Cina, mengumpat ayah saya dalam bahasa Cina, "Dia ni(ayah saya) macam kuda gila!". haha racist gila cikgu tu



5. Sangat menyayangi ibunya


Beliau sangat menyayangi ibunya, iaitu arwah nenek saya. Dan sentiasa juga pesan pada kami adik-beradik supaya menyayangi mak kami lebih dari yang lain, termasuk ayah kami. Selalu kata, "Korang nanti, bila dah besar, agak-agak boleh tak jaga mak korang nanti."

Setiap kali Solat Jumaat, adik-beradik akan dapat seorang seringgit, dan disuruh sedekah pada tabung masjid, dan minta niatkan untuk arwah nenek. Allah merahmati nenek-nenekku dan atuk-atukku semua ameen.



6. Sekolah Agama


Biarpun, ayah saya seorang yang mempunyai latar belakang Sekolah Inggeris, tapi semua anaknya disekolahkan sekolah agama. Maka beruntunglah kami adik-beradik sebab diberikan didikan agama formal, selain didikan agama di rumah. Alhamdulillah.



7. Pistol & Senapang


Perkara ni memang sangat cool. Katanya, ayah apply lesen senapang dengan pistol waktu muda-muda dulu. Ya lah, mula-mula kerja dulu, kerja dalam hutan. Kawasan pedalaman. Dulu, pernah kerja di Bukit Ibam, hutan. Bukit Pelanduk. Jurutera Daerah Sepang. Sandakan Sabah. Macam-macam tempat.

Hobi beliau pula suatu ketika dulu, memburu. Memang agak cool la. Tapi yang tak bestnya, dua-dua abang saya dapat merasa shoot shotgun & pistol tu dengan peluru hidup, tembak monyet ke apa entah, saya takda peluang, sebab 'masih kecik lagi' waktu tu.

Nak ikutkan, ayah sesiapa yang kerja polis, ada je pistol. Tapi agak cool la kalau tak kerja polis, kalau pergi jalan mana-mana, ada pistol dalam beg pinggang. Rasa protected jugak la berjalan dengan beliau.

Tapi sekarang, pistol dah takda dah. Simpan di balai, sebab dah tak guna. Tinggal senapang je. Tu pun, ayah dah tak aktif dah guna senapang.


Ingatan kepada pembaca : Nak apply lesen senjata api, bukan senang-senang suka hati je. So, don't try this at home ya...


Sandakan, Sabah, '93 bersama rusa atau 'payau' dalam dialek Sabah. Gambar tak clear, sorry...


8. KLIA


Ada kawan-kawan yang rasa teruja bila sampai KLIA. Saya pun rasa excited bila tengok ramai yang bangga bila tengok KLIA. Sebab saya dah naik menara air traffic control KLIA sebelum menara tu ada pintu lif lagi. =)

Ayah saya antara jurutera yang direkrut untuk siapkan projek KLIA. Maka setiap kali pergi KLIA, teringat pada ayah.

KLIA '97. Dalam bulatan merah, air traffic control tower yang belu ada pintu lift lagi


9. Rumahku syurgaku


Rumah yang famili saya duduki sekarang di Lot 2681, Jalan Teras Jernang, Sungai Merab, Bandar Baru Bangi adalah hasil seni ayah saya.

Sebab, arkitek, jurutera, dan kontraktor rumah tu adalah ayah saya sendiri. Jimat kos. heheh. Bebas nak buat design apa pun.

Walaupun rumah tu agak terpencil dari pusat bandar, tapi Alhamdulillah, hidup aman damai di celah hutan Sungai Merab.


Lot 2681. Walaupun terpencil, dalam hutan, kami bahagia... :)



Mungkin perkara-perkara ni tak bermakna buat orang lain. Tapi bersempena Hari Bapa, suka saya ceritakan apa yang saya rasa best tentang ayah saya.


Apa-apa hal pun, teringat pepatah Arab ni,



ليس فتى من قال أبي ولكن فتى من قال ها أنا ذاك


Tak 'jantan' lah siapa yang kata "ayah aku...(begini dan begitu)...", tapi 'jantan' lah siapa yang kata "ni aku...(begini dan begitu)...!"


Takkan kita nak biarkan ayah kita sahaja hebat. Kita, bagaimana?


Walaupun ayah tak dapat baca post ini, sekurang-kurangnya saya tahu, beliau menyayangi isteri dan anak-anaknya.

Mungkin mak atau angah ke, didi, syuhada ke, boleh lah tunjukkan post ni pada ayah.

Sekurang-kurangnya, gambar-gambar tu boleh mengembalikan memori. =)


Semoga Allah memberi kesihatan kepada ayah saya, panjangkan umurnya dalam rahmat, keberkatan dan kebahagiaan, dan dimatikan dalam iman insyaAllah.

Semoga anak-anaknya berjaya dunia akhirat, biarpun beliau tidak dapat melihat kejayaan anak-anaknya di hadapan mata seperti yang diharapnya, tapi pahalanya tetap akan dirasai insyaALlah.


Sekian, wassalam.
Posted in Labels: , , , | Comments
Related Posts with Thumbnails

Apture