Mesir : Mutiara Di Balik Pasir, Antara Realiti & Fantasi

Sunday, February 24, 2013 by aiyqosim
بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله و الصلاة و السلام على رسول الله و على آله و صحبه و من والآه

poster ini direka khas untuk entri kali ini, rekaan pereka berbakat, Ihsan Hamdan (blog beliau)

5 tahun setengah yang lalu, sebelum sampai ke bumi Mesir, bumi Anbiya' penuh barakah, saya mendengar cakap-cakap orang, dengan nada nasihat. Cukup jelas nasihat itu, masih terngiang-ngiang di telinga saya, hingga ke ahri ini masih teringat ayat popular itu.

"Kutiplah mutiara-mutiara di sebalik pasir-pasir di Mesir nanti..."

Sampainya saya ke Mesir, biar apa pun niat saya pada waktu itu, sekali lagi kedengaran ayat manis itu dari mulut para senior yang berjasa besar membentuk kami.

"Kutiplah mutiara-mutiara di sebalik pasir-pasir di Mesir nanti...cuma..."

Cuma, ada tambahan dalam ayat tersebut. Bukan hanya terhenti di situ, seperti mana kali pertama mendengar kalam agung itu. Cuma...

"...cuma...kena selak-selak, sapu-sapu pasir tu dulu, mungkin baru nampak!"

Ditambah dengan sedikit senyuman sinis. Saya jadi sangsi dengan perlakuan tersebut, namun, tetap meneruskan kehidupan sebagai 'orang baru' di bumi ini.


*******


Orang ramai mempunyai persepsi bahawa, bila kita melanjutkan pelajaran di dalam bidang perubatan di Mesir, pulang ke Malaysia nanti, kita akan menjadi 'Doktor Muslim yang Ustaz'. Menjadi Doktor Muslim 'Alim, Al-Hafiz sekali kalau boleh. Itulah yang dipanggil 'mutiara' di bumi Mesir.

Bgitulah fenomenanya, ada dalam kalangan mereka yang memohon ke Mesir dengan 1001 idealisme dan cita-cita indah. Bercita-cita mahu menjadi Doktor Al-Hafiz lagi 'Alim dalam ilmu-ilmu agama.

Ada dalam kalangan mereka yang memohon ke Mesir sebab mengikut kawan, atau mengikut kehendak ibu ayah.

Ada juga yang memilih Mesir sebab tidak diterima pilihan pertamanya, lalu dipilih Mesir kerana itu sahaja pilihan untuk bidang perubatan luar negara. Mesir adalah pilihan terakhir untuk 'medic oversea'.

Ada juga yang memilih Mesir kerana pengajian di Mesir menawarkan harga termurah oleh agensi, berbanding negara-negara lain.

Maka, "apakah sebenarnya tujuan aku ke Mesir?" Tanya saya kepada diri sendiri.



Kalau disebabkan 'mutiara-mutiara di sebalik pasir' dan idealisme yang dipopularkan itu, maka soalan seterusnya datang menyerang.

"Sudahkah aku kutip mutiara itu, dan simpannya kemas-kemas di dalam peti besi?"

Tapi sebelum sempat saya menjawab soalan kritikal itu, satu soalan lagi menerjah minda.

"Apa pula sebenarnya mutiara itu? Bagaimana rupanya?"


Sudah! Sibuk mencari si mutiara, terlupa pula saya hendak bertanya secara terperinci kepada para senior yang hebat-hebat itu, bagaimanakah sebenarnya rupa mutiara itu?

"Jika senior-senior, orang-orang terdahulu ramai yang dah pulang ke Malaysia menabur bakti, adakah mereka sudah beroleh mutiara yang dicanangkan itu?"

Jika benar, mutiara itu satu realiti, bagaimana kami, sang adik-adik yang manja ini, hendak mengenali dan mendapatkannya?


*******

Saya sedaya upaya cuba mencari apakah rupa 'mutiara' itu, bagaimana sebenarnya bentuknya. Kemudian, bagaimana pula saya boleh memperolehinya?

Setelah lebih 5 tahun berkelana di bumi Mesir ini, baharulah rupa sebenar 'mutiara' itu jelas kelihatan pada pandangan mata saya. Ya, 5 tahun! Hanya setelah 5 tahun, baru ianya semakin jelas.

Saya terpaksa mengaku. Ya, ianya benar-benar wujud. Tapi malang sekali, saya hanya menyedarinya dan memperoleh cara untuk menuju ke arahnya setelah 5 tahun dihabiskan mencari hala tuju yang 'tidak didefinisikan'.

Alangkah baiknya kalau 5 tahun dahulu, ada yang datang menerangkan satu per satu, langkah demi langkah, apa yang sepatutnya saya buat, ke manakah sepatutnya saya tuju dan menapak, demi untuk mendapatkan mutiara sebenar yang realistik, bukannya sekadar buaian fantasi.


Berapa ramai pelajar jurusan perubatan atau amnya sains kesihatan di Mesir yang telah menghabiskan bertahun-tahun berkelana di bumi Mesir tetapi tidak beroleh mutiara tersebut, bahkan tidak langsung terlihat kelibat bayang-bayangnya sekalipun.

Berapa banyak masa telah dibazirkan dengan perkara-perkara yang boleh dilakukan di mana-mana tempat sekalipun, selain Mesir, dan pada bila-bila masa sahaja, selain tempoh 6 tahun setengah di sini.

Ada juga yang datang ke Mesir, cukup baik, dengan semangat berkobar-kobar, dengan cita-cita tinggi lagi idealistik, ingin menjadi "sebegini" dan "sebegitu", namun akhirnya tersungkur menjadi orang kebanyakan. Mungkin kerana tidak tahu jalannya bagaimana, ataupun mungkin kerana cita-cita itu terlalu idealistik, hanya mampu dicapai di alam fantasi?

Dan kita berbicara tentang ribuan orang, bukan satu dua!


*******

Sekarang, terdapat seramai 7,000 lebih penuntut Malaysia jurusan sains kesihatan di bumi Mesir. Kita berbicara tentang 7,000 orang pemuda beserta semangatnya.

Kita berbicara tentang 7,000 orang pemuda harapan bangsa dengan potensi, bakat dan intelektualnya yang maksimum.

Kita berbicara tentang tempoh masa 6 tahun setengah bagi setiap 7,000 orang pemuda itu, yang dihabiskan di Mesir, jauh dari tanah air.

Kita berbicara tentang ratusan ribu ringgit yang digadaikan untuk setiap 7,000 orang pemuda itu tadi, setiap tahun selama 6 tahun setengah!


Kirakan, betapa besarnya pelaburan yang telah diletakkan ke atas batu jemala kepala kita. Kirakan, betapa besarnya pembaziran yang bakal berlaku, jika potensi, semangat, umur usia muda, masa, wang ringgit, tenaga dan titik peluh sebanyak itu dihabiskan begitu sahaja, tanpa panduan yang benar dan realistik!

Kita mungkin telah berdosa kepada Ummat Islam dan rakyat Malaysia seluruhnya.


*******

Maka saya rasa terpanggil untuk menulis segala apa yang saya rasa, segala apa yang saya peroleh, sepanjang berkelana di bumi Mesir ini. Juga bagaimanakah rupanya 'mutiara' yang digembar-gemburkan selama ini, pada pandangan saya. Begitu juga segala apa yang sempat saya dapatkan, sempat saya kutip, dan segala yang saya keciciran.

Moga-moga dapat saya pastikan, 6 tahun setengah di Mesir buat penuntut perubatan dan bidang lainnya, adalah waktu yang berbaloi dalam hidupnya.

Jika saya tidak berjaya mendapatkannya, janganlah generasi selepas saya turut terlepas dari menggenggamnya. Ini hanyalah catatan pengalaman saya sebagai seorang hamba Allah yang ditakdirkan datang ke Mesir sedikit awal berbanding yang lainnya. Ingatlah, saya juga dahulu bergelar 'adik-adik'.

Mungkin sahaja, orang yang terkemudian lebih hebat dan lebih 'afdhal' dari orang terdahulu, dengan syarat, orang terdahulu menyampaikan pesan dan orang terkemudian merendah diri belajar dari kesilapan dan pengalaman orang terdahulu.

Bak kata pepatah 'ulama',

"Orang terdahulu beroleh fadhilat pengasasan (تأسيس) dan orang terkemudian beroleh fadhilat penyempurnaan (تكميل)"



Namun, sebelum saya mencoret catatan, suka saya lihat, pandangan para pembaca terhadap soalan,

"Apakah 'mutiara' di sebalik pasir yang dimaksudkan itu?"


Saya amat mengharapkan jawapan anda semua di ruangan komen di bawah.


Sekian sahaja, Allahu A'lam. Jazakumullah kheiral jaza' kerana sudi membaca dan menyumbang pandangan.

Walhamdulillahi arabbil 'alameen...

Related Posts with Thumbnails

Apture