Ilmu, Ilmu, Dan Ilmu!

Sunday, August 14, 2011 by aiyqosim
...budak medik berlagak soleh yang stranded di mesir menunggu result...



Bismillahirrahmaanirraheem

Alhamdulillahi wassolaatu wassalaamu 'ala Rasulillah SAW,


Pengalaman menghadiri kelas pengajian Al-Banjari, oleh Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki anjuran BKAN Kedah dan Muttaqin TV (rasanya lah), bermula daripada 31 Julai sehingga 14 Ogos.

Sepanjang keberadaan di Mesir, kali pertama saya hadir ke pengajian sejak tahun 1 lagi (waktu itu di rumah Johor Hayyu Thamin), pengajian kali inilah yang paling lengkap saya hadiri. Hampir setiap kelas dihadiri, kecuali hari pertama dan hari terakhir. Alhamdulillah...

Satu perkara menarik minat saya, apabila syeikh membincangkan tentang al-ilm, ilmu.


What You Give, You Get Back

Adab terhadap ilmu amat ditekankan oleh para ulama'. Ramai yang mengeluh, "Baca buku, tapi punyalah susah nak masuk!". "Isy, apasal macam malas je nak mengaji ni".

Tetapi ramai juga yang lupa, apa yang telah mereka perlakukan terhadap ilmu. Ilmu umpama menjauhkan diri daripada mereka. Ilmu umpama merajuk dengan mereka.

Itu tak lain tak bukan, adalah kesan terhadap apa yang telah mereka perlakukan terhadap ilmu. Ya, konsep what you give, you get back diaplikasikan di sini.

Buku-buku kita abaikan. Kita campakkan dan taburkan di mana-mana sahaja. Buku disimpan di dalam rak buku, dibiarkan berhabuk. Tidak dijaga. Selagi tak sampai musim peperiksaan, selagi itulah ianya disimpan rapi. Dan jenayah terbesar terhadap ilmu adalah, tidak mengamalkan ilmu yang telah dipelajari.

Kalau begitulah sikap kita terhadap ilmu, bayangkan bagaimana perasaan ilmu terhadap kita? Merajuk lah ia. Cuba bayangkan bagaimana kalau si suami tak bercakap, tak senyum dan buat tak tahu saja pada si isteri, sedangkan dengan member lain punyalah mesra. Tak ke merajuk si isteri tu?

Begitulah perasaan ilmu apabila kita melayannya dengan layanan yang buruk. Layanan acuh tak acuh.

Tapi, kalau isteri merajuk, mesti si suami nak pujuk, tapi kalau ilmu, bagaimana? :)



Tapi, Kenapa Ilmu?

Ya, kenapa ilmu? Kenapa asyik membincangkan tentang ilmu? Hebat sangatkah ilmu itu? Tiada benda lain lagikah yang dibincangkan?

Syeikh Nuruddin membahaskan kepentingan dan kehebatan ilmu dengan ringkas dan padat. Dimulakan dengan memetik sepotong ayat dari Al-Quran Al-Kareem, Surah Az-Zumar, ayat ke-9;


قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَالَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ

Katakanlah, "Adakah sama orang yang mengetahui dan orang yang tak mengetahui?"



Apa bezanya orang yang mengetahui (orang berilmu) dengan orang yang tak berilmu? Dari satu sudut, perbezaannya dari segi kedudukan mereka di sisi Allah. Dari sudut lainnya, tengok sahaja pada perwatakannya, pada akhlaknya, pada percakapannya, pada pemikirannya, pada sifat-sifatnya, pada tindakannya, dan segenap sudut kehidupannya.

Pastinya berbeza di antara orang berilmu dan orang yang tidak berilmu. Maka, semak semula dalam diri kita, adakah kita mempunyai ciri-ciri orang berilmu? Sesungguhnya, tidak sama orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu. Semak semula diri kita, tergolong dalam golongan yang mana satu?



Darjat

Kemudian, syeikh memetik satu ayat dari Surah Al-Mujadilah, ayat ke-11;


يَرْفَعِ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ ۚ

...Allah mengangkat (darjat) orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang yang diberi ilmu beberapa darjat...


Apa lagi yang kita mahukan sebagai seorang manusia, selain daripada mendapat darjat yang tinggi dan mulia di sisi Allah? Jelas dinyatakan bahawa Iman dan ilmu menjanjikan darjat yang tinggi di sisi Allah.



Pewaris Khazanah

Kemudian syeikh memetik sepotong Hadith Rasulullah SAW, yang berbunyi;


وإنَّ العلماء ورثةُ الأنبياء، وإن الأنبياء لم يُورِّثوا دينارًا ولا درهمًا، وإنَّما ورَّثوا العلم


...dan sesungguhnya ulama' adalah pewaris para Nabi, dan para Nabi tidak mewariskan dinar mahupun dirham, tetapi mereka mewariskan ilmu,...



Bayangkan sahaja, kita sering berdoa agar ditempatkan bersama para Nabi 'alaihimissalam di Akhirat kelak, kerana mereka adalah manusia yang paling hampir dengan Allah. Bayangkan, khazanah yang para Nabi ini tinggalkan kepada kita, ummat akhir zaman. Khazanah yang menaikkan darjat mereka setinggi-tinggi darjat di sisi Allah. Itulah ilmu. Maka, apa lagi yang kita kejarkan di dunia ini, demi meraih kedudukan setinggi para Nabi Allah? Kejarlah khazanah warisan mereka, kejarlah ilmu!



Pewaris Saham

Bayangkan sahaja, kalau kita diumumkan sebagai pewaris saham terbesar dalam syarikat bisnes termaju dalam negara. Apa perasaan kita?

Begitulah perumpamaan orang yang berilmu dan mengajarkan ilmunya. Nabi Muhammad SAW bersabda;


إذا مات ابن آدم انقطع عمله إلا من ثلاث : صدقة جارية ، أو علم ينتفع به ، أو ولد صالح يدعو له

Pabila mati seorang anak Adam, terhentilah amalannya, kecuali 3 perkara; sedekah jariah, atau ilmu yang bermanfaat, atau anak soleh yang mendoakannya



Tempuhi Jalan Itu

Nabi SAW bersabda;


من سلك طريقا يبتغي فيه علما سهل الله له طريقا إلى الجنة


Barangsiapa yang menempuh satu jalan mencari ilmu, akan Allah permudahkan jalannya ke syurga...


Apa lagi yang kita mahukan sepanjang kehidupan kita di dunia ini, juga setelah kita mati dan menuju kehidupan kekal abadi kelak? tentunya kita mahukan kehidupan yang bahagia. Di Akhirat kelak, kehidupan yang bahagia hanya ada di syurga. Maka nikmat apakah yang dapat menandingi kehebatan nikmat dipermudahkan jalan ke syurga?

Itulah nikmat bagi mereka yang bersusah-susah menempuh pelbagai jalan dengan pelbagai cabaran demi menuntut ilmu kerana Allah. Maka tempuhilah jalan itu!



Semoga kita semua tergolong dalam kalangan mereka yang ikhlas dan bersemangat menuntut ilmu, insyaAllah.


Ingat pesan Nabi SAW, menuntut ilmu itu, من المهد الى اللهد, dari buaian sehingga ke liang lahad.



Jaga-jaga, Jangan Hancur Musnah

Buat akhirnya, suka saya memetik satu kalam dari Sayduna Abi Darda' RA salah seorang sahabat Baginda SAW;



كن عالما أو متعلّما أو محبّا أو مستمعا ولا تكن خامسا فتهلك

"Jadilah orang yang mengajar, atau yang belajar, atau yang mendengar(akan ilmu dan ulama'), atau yang mencintai(akan ilmu dan ulama'). Dan jangan kamu jadi golongan yang kelima, akan hancurlah kamu!"



Siapakah golongan yang kelima yang hancur musnah itu? Mereka adalah golongan selain daripada keempat-empat golongan yang disebutkan sebelumnya. Dengan kata lainnya, mereka adalah golongan yang sama ada tidak mengajar ilmu, atau belajar ilmu, atau sekadar mendengar, atau mencintai ilmu.


Moga-moga kita tergolong dalam kalangan yang berilmu, insyaAllah.


Salam Ramadhan dari saya, separuh dah selesai, adakah anda berpuas hati dengan kualitinya? Pecutan terakhir untuk separuh yang kedua. Ayuh!



...berapa ratus lah agaknya manusia membanjiri pengajian Syeikh Nuruddin...



Ahmad Ibrahim Yahaya,

Malam 15 Ramadhan,

Sayeda Zainab
Posted in Labels: , , , | Comments
Related Posts with Thumbnails

Apture