Al-Kisah Berbuka Puasa

Monday, August 15, 2011 by aiyqosim


Bismillahirrahmaanirraheem

Alhamdulillahi wassolatu wassalaamu 'ala Rasulillah...


Sehari dua ni sempat tengok gambar-gambar rakan-rakan facebook. Gelagat masing-masing dengan aktiviti masing-masing di bulan Ramadhan.

Antara aktiviti yang popular dalam kalangan muda mudi kita di bulan Ramadhan adalah Berbuka Puasa atau Ifthor Jam'ie.

Waktu bulan Ramadhan inilah nak buat gathering batch, nak buat gathering tu, gathering ini, nak berjumpa, nak belanja dan sebagainya.

Namun, haruslah diingat, berbuka puasa adalah satu nikmat yang Allah kurniakan untuk mereka yang berpuasa kerana Allah. Selain daripada menghilangkan lapar dahaga sepanjang hari, waktu berbuka itu merupakan salah satu waktu mustajab berdoa.


...لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ فَرْحَةٌ عِنْدَ فِطْرِهِ وَفَرْحَةٌ عِنْدَ لِقَاءِ رَبِّهِ...

...Bagi orang yang berpuasa akan mendapatkan dua kegembiraan, iaitu kegembiraan ketika dia berbuka, dan kegembiraan ketika bertemu Rabbnya...

Hadith riwayat Muslim



عن عبد الله بن عمرو بن العاص رضى الله عنهما أن النبى صلى الله عليه و سلم قال (( إن للصائم عند فطرة دعوة ما تُرد ))

Dari Abdullah bin ‘Amr bin ‘Ash Radhiyallahu ‘anhu bahawa dia mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda.

Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa ketika saat berbuka ada doa yang tidak ditolak.

Hadith riwayat Ibnu Majah



Berbuka puasa juga adalah satu medium untuk para Muslimeen merafa'kan kesyukuran kepada Allah dengan penuh rasa tawadhuk kerana Allah telah memberi kekuatan sehari untuk melaksanakan perintah ALlah.

Kesyukuran ketika berbuka juga disebabkan kita telah berjaya meninggalkan perkara haram dan perkara halal atas arahan Allah Subhanahu wata'ala untuk sehari. Perkara haram adalah syahwat, dan perkara halal adalah makan dan minum. Bayangkan, kita berjaya meninggalkan perkara yang HALAL, demi arahan Allah.


Berbalik kepada topik asal. Agak sedih bilamana melihat budaya sesetengah muda mudi. Berbuka puasa dijadikan medium untuk gathering.


"Aik? Gathering pon salah?"


Gathering tak salah, boleh berjumpa. Berukhuwwah. Apa pula salahnya!


Tapi, sedih bila melihat majlis gathering berbuka puasa itu disertai dengan percampuran dan pergaulan antara lelaki perempuan yang tidak syar'ie dan pendedahan aurat. Kemudian, sambil bertepuk tampar, posing sana, posing sini dengan gaya-gaya yang kurang sopan. Selalunya, kalau makan-makan beramai-ramai ni, kalau tidak didahulukan dengan Solat Maghrib dulu, akan makan masa yang panjang. Makan pun berlebih-lebihan, dan solat Maghrib pun di akhir-akhir waktu (kalau solat lah).


Memetik kisah Imam Malik Bin Anas RA, yang menangis ketika berbuka puasa pada suatu hari, ditanya oleh muridnya, beliau berkata, "Aku sedih melihat makanan yang banyak kerana mengenangkan Rasulullah SAW. Baginda berbuka dengan makanan yang sedikit tetapi amalannya banyak. Aku berbuka dengan makanan yang banyak, tetapi amalanku cuma sedikit".


......................................................


Pertamanya, konsep puasa itu sendiri adalah menahan daripada melakukan yang halal (makan dan minum) dan yang haram. Namun, waktu berbuka puasa dijadikan peluang melunaskan segala-galanya. Habis bertepuk tampar, hilang lapar, hilang malu.


Keduanya, konsep berbuka puasa pula, adalah kesyukuran kepada Allah. Berbuka puasa itu bukanlah satu peluang melunaskan apa yang Allah tegah di siang harinya, bahkan berbuka puasa itu juga satu ARAHAN dari Allah. Bahkan Rasulullah menyuruh Ummat Islam berbuka di awal waktu!


فعن سهل بن سعد رضى الله عنه أن النبى صلى الله عليه و سلم قال (( لا يزال الناس بخير ما عجلوا الفطر ))


Akan sentiasa manusia dalam kebaikan, selagimana mereka mempercepatkan berbuka

Hadith riwayat Bukhori dan Muslim


Berbuka puasa itu satu ibadah, tetapi, bagaimana mudi mudi (juga orang tua) kita berbuka puasa?

Makan sehabis baik, seperti tiada lagi hari esok. Doa, Selawat, Zikir, dan Solat langsung dilupakan bila nikmat terbentang di hadapan mata. Kalau buat gathering, habis suasana riuh, posing sana, posing sini, bertepuk tampar, terdedah sana terdedah sini.


رُب صائم ليس له من صيامة إلا الجوع و رُب قائم ليس له من قيامة إلا السهر

Mungkin sahaja orang yang berpuasa itu tidak mendapat apa-apa daripada puasanya kecuali lapar. Dan mungkin sahaja orang yang bangun qiyam itu tidak mendapat apa-apa dari qiyamnya kecuali penat bangun malam

Hadith riwayat Ahmad



Asalnya puasa dan berbuka puasa itu ibadah, akhirnya puasa menjadi sia-sia, dan berbuka puasa jadi maksiat, wal 'iyazubillah!


.....................................................


Tulisan ini merupakan satu muhasabah kita bersama. Demi memastikan bulan Ramadhan, atau PROGRAM RAMADHAN kita dilalui dengan jayanya, serta mencapai objektif utamanya, iaitu TAQWA dan MAGHFIRAH ALLAH.

Sesungguhnya, masih ada lagi baki 15 hari kita di Bulan Ramadhan Al-Mubarak tahun ini. Semoga kita tergolong dalam kalangan orang yang beroleh ketaqwaan dan maghfirah dari Allah Jalla wa 'Ala. InsyaALlah...


Sekian, wassalam~


Sedikit promosi program Ceramah Nuzul Quran & Iftor Mahabbah PERUBATAN, membawakan Syeikh Rohimuddin bersama Syeikh As-Sayyid Yusuf (Mufti Kanada). Dijemput kepada SEMUA AHLI PERUBATAN sekitar Sayeda, Abbasiyyah, Madinah Nasr. SEMUA!


Kemudian, dari lokasi Iftor Mahabbah, terus beramai-ramai ke Dewan DMAK Abbasiyyah untuk Solat Isyak + Terawih Perdana dan Tazkirah Khas dibawakan Ustaz Hanif Haron (Pengerusi MANHAL PMRAM). SEMUA AHLI PERUBATAN dijemput hadir! Bawa sejadah masing-masing. Moreh disediakan. =)


Posted in Labels: , , | Comments
Related Posts with Thumbnails

Apture