Apakah Nasib Pelajar Mesir?

Monday, September 9, 2013 by aiyqosim

الحمد لله ربّ العالمين
والصلاة والسلام على رسول لله و على آله


1. Pagi tadi saya berborak dengan mak berkenaan 'nasib' pelajar-pelajar Malaysia di Mesir. Adakah mereka akan dibenarkan terus belajar di Mesir? Bagaimana pula pelajar yang hanya berbaki setahun atau dua tahun pengajian sahaja lagi? Bagaimana pula dengan status tajaan? Adakah penaja masing-masing sanggup mengambil tanggungjawab jika mereka terus belajar di Mesir, atau jika beralih ke universiti tempatan?

2. Yayasan Pahang semalam telah pasti menghentikan tajaan dan penghantaran pelajar tajaannya ke Mesir, sama ada pelajar lama mahupun baru. Saya berasa sesal atas tindakan tersebut. Masakan tidak, teman serumah saya Salman merupakan pelajar tajaan Yayasan Pahang. Alasan yang diberi adalah arahan tegas dari Majlis Keselamatan Negara. Namun, seorang teman saya yang mendapat sumber dari MKN sendiri menafikan 'arahan' tersebut.

3. Beberapa minggu lepas, MARA juga membuat kenyataan yang membawa maksud hampir sama, tidak akan lagi menyambung pengajian pelajar-pelajar tajaannya ke Mesir, baru atau lama.

4. Apa yang pasti, timbul kerisauan yang besar dalam kalangan ibu bapa pelajar. Di sekolah tempat mak saya mengajar sahaja, tidak terkira bilangan ibu bapa yang anak-anaknya belajar di Mesir. Itu belum lagi seluruh Bandar Baru Bangi. Belum lagi seluruh Selangor, apatah lagi seluruh Malaysia. Isu ini melibatkan ramai orang dan banyak pihak. Bayangkan saja, pelajar Malaysia di Mesir sudah mencecah 12,000 orang, dan 6,000 daripadanya merupakan pelajar bidang sains kesihatan!

5. Keadaan bertambah teruk apabila seawal berlakunya kekecohan dan ketidak-stabilan politik di Mesir lagi, pak-pak menteri dan pemegang autoriti sudah berani bersuara menabur janji. Sebagai contoh 'Boss' besar MARA, Dato Seri Mohd Shafie Apdal, berkata bahawa MARA tidak akan teruskan penghantaran pelajar ke Mesir, baru atau lama. Semuanya akan sambung pengajian di Malaysia atau negara-negara lain seperti Rusia, Indonesia dan India. Kenyataan tanpa kajian dan perbincangan ini yang menimbulkan kekecohan dalam kalangan ibu bapa, seolah-olah keadaan di Mesir sudah pasti tidak membenarkan pengajian pelajar Malaysia diteruskan.

6. Alhamdulillah Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pengajian Tinggi telah menghantar delegasi ke Mesir bagi meninjau keadaan di sana dan bermesyuarat dengan pihak autoriti di Mesir bagi menentukan nasib pengajian pelajar kita di Mesir. Dengan diketuai sendiri oleh Menterinya, Dato Seri Idris Jusoh, hasil siri mesyuarat dengan pihak KPT Mesir dan Presiden-presiden Universiti adalah 3 perkara utama;

i. Peperiksaan ulangan (duur thani/reseat exam) bagi yang terlibat akan diadakan di Malaysia.
ii. Tarikh buka sesi akademik baru ditangguhkan ke tarikh yang akan diberitahu kemudian, bergantung kepada keadaan keselamatan di Mesir. Kemungkinan pelajar Malaysia akan ditangguhkan satu semester jika keadaan berkarutan.
iii. Pembukaan cawangan universiti Mesir di Malaysia.


7. Ini adalah kisah dua minggu lepas. Tak lama selepas itu, hanya Universiti Kaherah sahaja yang meluluskan untuk peperiksaan ulangan dibuat di Malaysia, itupun hanya untuk kertas esei, sedang oral dan praktikal/klinikal tetap akan dibuat di Mesir pada tarikh lain. Bagi 6 universiti selebihnya, semuanya tidak meluluskan peperiksaan mereka dibuat di luar dari premis universiti mereka. Hal ini menunjukkan walaubagaimana sekalipun, pelajar tetap perlu berada di Mesir untuk meneruskan pengajian. Tiada toleransi dari pihak universiti.

8. Adapun perihal cawangan universiti di Malaysia, merujuk kepada Universiti Al-Azhar, dari awal lagi saya sudah skeptikal. Maafkan saya. Tapi 'suara-suara' populis ini sudah kedengaran bertahun-tahun dulu, cadangan nak buka cawangan Al-Azhar di Malaysia. Tapi hanya tinggal suara, mimpi dan janji manis. Maka, lojiklah jika sampai sekarang, tidak kedengaran lagi kenyataan susulan bagi menerangkan status perancangan cawangan itu di Malaysia. Sudah tentu pak menteri perlu membuat kenyataan yang 'boom'! Kalau tidak, orang tak panggil menteri.

9. Hari Khamis ini, 12 September 2013, KPT mengadakan satu perjumpaan untuk taklimat kepada pelajar Malaysia di Mesir oleh wakil IPT dan badan profesional yang bersangkutan. Salah seorang abang saya akan mewakili salah satu IPTS tempatan, dan memberitahu saya antara lain yang akan disampaikan kepada pelajar adalah tentang syarat-syarat dan peluang mereka mendaftar atau meneruskan pengajian di Malaysia.

10. Saya tak mahu menghukum ianya bakal menjadi sesuatu yang manis atau pahit bagi pelajar dan ibu bapa. Biarlah kita berfikir positif. Antara lainnya adalah, pihak IPT menerima 'arahan' dari pak menteri (yang dah terlepas cakap menabur janji), supaya syarat matrikulasi atau A-level atau yang setaraf dengannya, dilonggarkan. Jika sebelum ini, kebanyakan pelajar Mesir tidak boleh 'transfer credit' atau terus menyambung pengajian di IPT tempatan kerana mereka tidak mengambil foundation/matrikulasi/A-level, maka sekarang syarat itu tidak terpakai khusus untuk kes Mesir. Namun, keputusan SPM akan digunapakai sebagai ganti. Akhirnya, hasilnya hampir sama. Kelayakan melalui SPM tetap mengikut kualiti Malaysia, demi mengisi tempat yang terhad di IPT tempatan. Akhirnya pak menteri boleh lah dakwa, "i dah tepati janji i tau..."

11. Bukan itu sahaja. Bagi pelajar bidang perubatan, anda perlu bermula semula dari tahun satu, bagi yang layak dan mendapat tempat. Bagi pelajar tahun klinikal pula, jika anda mendapat tempat, anda juga perlu bermula dari tahun satu semula. Itu lah sistem yang ada buat masa ini. Namun, jika hendak mendapatkan kepastian, elok lah anda pergi sendiri ke perjumpaan Khamis ini bagi mendengar dan menyuarakan pandangan anda sendiri.

12. Boleh jadi, kita semua bertambah risau apabila memikirkan hal ini lebih jauh ke dalam. Namun, ini bukan lah pengakhiran dunia. Beberapa perkara yang masih boleh, malah perlu diusahakan;

i. Bagi yang baru di awal pengajian (tahun 1 atau 2), masih sempat lagi untuk anda 'reconsider' pengajian anda. Reconsider dua perkara, universiti pengajian dan bidang pengajian. Sudah tentu ia bergantung kepada penaja masing-masing, bagi yang ada penaja. Janganlah terlalu tertekan jika terpaksa mengulang setahun. Tiada istilah 'membazir' dalam menuntut ilmu, selagi anda mengisi masa dengan aktiviti membangun kualiti diri lillahi ta'ala. Saya secara peribadi mengenali ramai orang yang lebih teruk status pengajiannya daripada anda, tiga empat tahun terkebelakang/statik pengajiannya. Namun hidup tetap diteruskan.

ii. Bagi yang sudah di tengah-tengah atau di hujung pengajian, terasa rugi besar jika tukar bidang pengajian atau tukar universiti tapi terpaksa kembali ke tahun 1 atau ditolak-belakang dua tahun pengajian. Maka, tidak dapat tidak, kita perlu bersama mendesak pihak penaja dan pihak berautoriti seperti KPT dan MKN untuk tetap benarkan kita teruskan pengajian di Mesir. Kerjasama dari semua persatuan, Persatuan Pelajar-pelajar Malaysia-Mesir (PERUBATAN), Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM), persatuan-persatuan Mesir yang lain, NGO-NGO Melayu yang lain perlu bersuara tegas dalam hal ini, kerana kita berbicara tentang 12,000 pelajar Melayu Islam!

iii. Pilihan ketiga, terus sahaja terbang ke Mesir dan teruskan pengajian di sana, walau apa pun MKN kata. Pihak universiti tetap mengalukan kedatangan kita, dan pengajian tetap berjalan. Cuma tarikh buka kuliah ditangguh beberapa minggu sahaja. Namun, pilihan ketiga bergantung kepada penaja bagi yang ada penaja. Bagi yang tiada penaja, atau memang mampu dari segi kewangan, tiada masalah. Bayar sendiri, tanggung sendiri!


13. Perlu diingat, sebab utama kita dihantar pulang ke Malaysia dan pengajian kita ditangguhkan adalah KESELAMATAN. Sudah tentu, Kerajaan Malaysia bertanggungjawab terhadap keselamatan dan kebajikan rakyatnya. Segala ketetapan bergantung kepada keputusan MKN. KPT akan merujuk MKN. Bagitu juga badan-badan lain seperti JPA dan MARA. Begitu juga yayasan-yayasan negeri dan penaja lainnya. Bagi pelajar tajaan sendiri pula, selagi Kerajaan Malaysia membenarkan rakyatnya berada di Mesir, mereka bebas pergi ke Mesir mengaji selagi universiti masih menerima mereka. Saya tidak pasti sejauh mana MKN berautoriti untuk menyekat rakyat Malaysia terbang semula ke Mesir, maka tak boleh cakap banyak tentang MKN.

14. Akhirnya, doalah yang terbaik buat pelajar Malaysia di Mesir. Secara peribadinya, saya ingin kembali ke Mesir, kerana pengajian saya hanya berbaki peperiksaan akhir bagi tahun akhir ijazah. Jika tiada aral melintang, graduasi insyaAllah dalam bulan Februari 2014. Moga kuasa desakan kita orang Melayu Islam ini cukup kuat. Kerana isu melibatkan pelajar Mesir ini di 'belakang tabir' adalah isu yang kompleks. Terlalu banyak banyak politiknya. Kerana di Mesir hanya ada pelajar Melayu, dan Mesir sudah di'cop' sebagai 'pengkalan pembangkang'. Namun, saya tidak mahu menyentuh isu ini. Biarlah kita berbicara secara profesional.

Allahu A'lam. Mohon doa kalian...

والحمد لله ربّ العالمين
Posted in Labels: , , , | 2 Comments »

2 comments:

crochetingdentist said...

Assalaamu'alaikum . ..so..apa yg terjadi? how did u finish ur course?

AZNIAL RAHMAT said...

PERMANENT DOCTOR NEEDED - URGENT !!!

We are Owner and Operator a General Practice (GP) Clinic in Bandar Sungai Long, Bangi and Putrajaya (Presint Diplomatik - Klinik Pakar KASIH).

We are looking for a dedicated Medical Officer Requirements at Bandar Sungai Long Clinic:-
Lady doctor
MBBS or equivalent from a recognized institution approved by Ministry of Health Malaysia
Possess valid Annual Practicing Certificate
Registered with Malaysia Medical Council
Minimum 2 years working experience in Obstetric & Gynecology
Attended an Obstetric Life Saving Skill
Attended A Neonatal Resuscitation Program
Working hours negotiable with minimum on-call
Very attractive salary

Kindly please send to recommend CV to: aznial@gmail.com

Clinic information:-

PUSAT RAWATAN SUNGAI LONG
NO. 12 JALAN SL 1/13
BANDAR SUNGAI LONG
43000 KAJANG
SELANGOR
TEL / FAX: 03-90114833

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

Apture