1001 Sebab Untuk Kau Tersenyum

Sunday, June 26, 2011 by aiyqosim

Bismillahirrahmaanirraheem.


Segala puji-pujian hanyalah milik Allah, segala syukur ditujukan kepada Allah Tuhan sekalian alam,


Selawat dan salam ke atas Penghulu sekalian Nabi, penyeri Timur dan Barat, sebaik-baik manusia yang pernah berjalan di muka bumi, contoh terhebat semulia-mulia akhlak, pembawa risalah agung, Sayyiduna Muhammad SAW.




Suatu hari, di awal pagi kutunggang motor. Tak semena-mena dilanggar kereta dari tepi. Jatuh terseret. Rabak seluarnya, koyak lututnya. Calar-balar sana sini. Jalan terhincut seminggu dua. Belakang sakit, duit pun habis.

"Ahh, seksanya eksiden. Duduk serba tak kena. Motor kena baiki. Lutut kena baiki. Orang lain hidup tenang. Ni si pemandu teksi tu lah punya pasal!"


Tak lama lepas tu, aku dengar khabar berita. Kemalangan dahsyat beberapa orang rakan. Kereta dilanggar lori. Ada yang meninggal, yang hidup lumpuh kakinya. Yang hidup terus hidup, terus tenang. Mukanya aman, redha.

"Setahun aku tunggang motor tak jatuh, sekali aku dilanggar kereta. Ya Rabb, Alhamdulillah..." aku kata dalam hati.




Kemudian ayahku ditimpa musibah. Menghidap penyakit, macam-macam penyakit. Ya lah, orang tua! Ibuku tunggang langgang dengan kerja-kerja rumah. Kerja-kerja di tempat kerja tak boleh pula ditinggalkan begitu sahaja. Anak-anak nak makan.

Satu keluarga bersedih. Aku bersedih. Dah tak macam dulu lagi. Tiada layanan dari ayah lagi. Aku yang perlu melayan karenah ayah pula. Ku lihat kawan-kawan, sihat ayahnya. Seronok hidupnya. Ibunya boleh berehat. Anaknya boleh bermain.


Tak lama, aku duduk seorangan. Termenung, dan teringat. "Sumpah! Aku pernah tengok ayah kawanku. Menghidap penyakit yang lebih rumit"

Masalah saraf. Masalah mental. Bukan gila, tapi Alzheimer. Usia muda lagi, 50-an, doktor bingung untuk mendiagnosanya sebagai Alzheimer yang biasanya atas umur 60. Tapi, gambaran klinikalnya sepadan.

Berak kencingnya, di sana sini, tak boleh diurus sendiri. Tidur bangunnya, tak tentu. Mandi makannya tak mampu sendiri. Kerja dan aktiviti, lagilah samar-samar. Ubatnya ada, tapi perlu disuap. Dia tak bercakap, tapi tak mahu dengar kata.

Dia aktif bergerak, tapi tak tahu dirinya di mana dan siapa. Dia nakkan sesuatu, tapi tak mampu menyampaikannya. Memang beban besar. Cabaran besar kepada si isteri dan anak-anak. Namun, hidup perlu diteruskan. Dan mereka berjaya meneruskan hidup.

Aduh, tersentak aku!




Hidup diteruskan, sampailah masanya, satu hari motorku dicuri. Duit dah habis membeli, hilang dikebas macam tu sahaja. Nak nangis rasa tak 'jantan'. Hanya mampu mengadu pada kawan-kawan, dan ekspresikan kesedihan dan kemarahan pada si pencuri. Nasib pula tak terbela oleh polis dan sistem negara.

Sumpah seranah dah habis dihambur. Tiba-tiba aku dengar khabar berita, rakanku dirompak. Duit habis dikebas. Duit yuran kuliah katanya. Puluhan ribu ringgit, bukannya sedikit!

"Ya Allah! Aku hidup senang lenang. Cuma tiada motor, dah tak keruan..."





Sebulan lepas tu, bahang peperiksaan makin terasa. Ada seorang kawanku, datang dengan muka sedih. Muka mayat hidup. "Putus cinta" katanya. Ohh, putus cinta rupanya...

Aku tanya si kawan, "Umur kau berapa?"

"22 tahun," jawabnya.

"Kau ada lagi 50 tahun nak hidup. Nak kah hidup kau 50 tahun lagi lumpuh kerana seorang perempuan?"

Ya, Allah dah selamatkan kau daripada wanita yang tak sesuai dengan kau, kerana Allah nak memberikan yang lebih baik buat kau. Patut di mulut kau terkeluar "Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana telah menunjukkan jalannya."


Kadang-kadang kau lupa, aku juga lupa. Ada orang di waktu dia paling memerlukan sokongan dan kasih sayang orang yang dikasihinya, Allah tarik nyawa orang yang dikasihinya itu. Ada budak kehilangan ibu ayahnya di waktu kecilnya. Tapi hidup diteruskan, dan berjaya diteruskan. Besarnya jiwa mereka...





Sebulan berlalu, musim peperiksaan sudah bermula. Ku lihat rakan lain, dapat study dengan elok. Sihat, bersemangat.

Aku? Terasa panas dalam hati. Hidung tak berhenti melelehkan air. Bersin memanjang. Mata berat rasa nak tidur sentiasa. Pinggang sakit, rasa nak baring. Dah malam, orang lain tidur, mataku pula tak nak lelap. Kepala pening, badan panas. Pagi, yang lain bangun, baca buku, aku tidur, tak larat.

"Apalah nasibku..." dalam hati kecil.


Aku tiba-tiba teringat, suatu masa, kenalanku seorang ni, sakit kuat. Sampai ditahan di hospital. Peperiksaan jangan harap, tak diambilnya. Terpaksa bercuti untuk rawatan. Terpaksa menangguh peperiksaannya bersama mereka yang 'reseat' paper dalam Duur Thani.

Keputusannya, Mumtaz! Hidupnya tenang. Lebih tenang dari yang sihat.


Semalam, kudengar lagi, satu khabar berita. Seorang kawan, ibunya sakit kuat. Hampir tenat. Ya, di kala musim peperiksaan. Bagaimana hidupnya? Satu yang pasti, hidup perlu diteruskan!





Akhirnya, masanya telah tiba. Hari peperiksaan dah tiba. Aku keluar dari dewan periksa seusai tamat, dengan muka ditarik. Dicebik, masam! Dalam hati, sedih dan panas.

Aku tengok, seorang sahabat ni, tersengih. Aku sapa, dan kami berborak. Lepak-lepak, tenang saja wajahnya. Aku bertanya, "Macam mana exam tadi?"

"Hmmm ok je. Separuh yakin, separuh lagi half-half. 1 per 3 tak jawab. Hehe... Tapi, ALHAMDULILLAH lah, daripada tak boleh jawab langsung!"


Allah, aku berkata dalam hati, "Aku dah yakin 3 per 4. 1 per 4 lagi kurang yakin, tapi dijawab penuh. Manusia jenis apa lah aku ni!"




وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِن شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ ۖ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ

"Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu memaklumkan, Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan tambahkan (nikmat) kepada kamu, tapi jika kamu menginkari (nikmat-Ku), maka pasti azab-Ku amat berat"

Surah Ibrahim, ayat 7



Ya, dan salah satu nikmat yang diperoleh mereka yang bersyukur adalah, kebahagiaan. Ketenangan. Tiada siapa yang boleh membeli kebahagiaan. Allah sahaja yang mampu mengurniakannya.


Bak kata pepata Inggeris,

"There is no way to happiness, but happiness is the way"


Tiada siapa yang mampu mencari kebahagiaan di mana-mana, membelinya di kedai atau di mana-mana. Tetapi kebahagiaan haruslah dirasai dalam setiap perbuatan. Caranya, bersyukurlah!




Dalam 365 hari setahun, sehari sahaja aku ditimpa musibah, tetapi senyumku hilang bukan sahaja dalam sehari musibah itu. Senyumku hilang juga dalam 364 hari yang tidak ditimpa musibah. Yang ada, hanya muka yang masam, hati yang marah, muka dicebikkan 'meraikan' SEHARI ditimpa musibah!


Ya, dunia mengecewakan aku KADANGKALA, disumpah seranahnya. Dunia menggembirakan kita SELALU, di mana senyumku, syukurku?


Ya, rakan mengecewakan kita, KADANGKALA, dilaknatnya, merajuk. Tapi di mana terima kasihku di kala mereka membahagiakanku?


Ingat, dikala kita bahagia, ada orang lain yang kecewa. Tapi mengapa di kala kita kecewa, kita tidak redha kalau ada orang lain yang bahagia? Adilkah begitu?


Ingatlah sirah Rasulullah SAW. Siapalah yang mengherdiknya? Bukankah bapa saudaranya sendiri? Jiran tetangganya sendiri?


Ingatlah siri-siri pengkhianatan dan seksaan terhadap Rasulullah SAW. Berapa banyak pula ajakan dan dakwah Baginda ditolak. Dikecewakan. Sampai berdarah muka dan bibir Rasulullah SAW, jatuh menitik di kasut Baginda ketika menyampaikan dakwah di Thaif. Tapi apa kata Baginda?

"Sesungguhnya, mereka tidak tahu."

"Jikalau mereka tidak beriman, kelak anak cucu mereka akan beriman."


Ingat pula kisah Nabi Nuh AS. Bukankah isteri dan anaknya sendiri mengingkarinya. Terpaksa ditinggalkan mereka, ahli keluarga Baginda sendiri ditelan bah akibat ingkar akan arahan beriman kepada Allah.




Kita baru dicubit sehari, mulut memuncung, muka mencuka setahun!


Setahun kita diusap kepala, dibelai, disuap dan dimanja, sehari pun kita tak tersenyum!


Senyumlah tanda syukurmu kepada Allah, Alhamdulillah.


Senyumlah, kerana masih ada 1001 sebab untuk kau tersenyum.



بَسُّمُكَ فِي وَجْهِ أَخِيكَ لَكَ صَدَقَةٌ

"...senyum mu pada wajah saudara mu adalah sedekah...".

Hadith Riwayat At-Tirmizi



:)
Posted in Labels: , , , | Comments
Related Posts with Thumbnails

Apture