Bismillahirrahmaanirraheem,
Alhamdulillahi wassolaatu wassalaamu 'ala Rasulillah SAW...
Siapa masih ingat lagi iklan kempen melintas jalan suatu ketika dulu?
Iklannya menggambarkan seekor ayam hendak melintas jalan. Dah namanya ayam, memang sikapnya macam ayam. Melintas jalan tak tengok kanan kiri, tak perasan yang ia sedang melintas jalanraya sibuk dengan kereta lalu lalang. Tup-tup, dah kena lenyek dengan kereta!
Tagline iklan tu berbunyi,
"Jangan lintas jalan macam ayam! Ingatlah orang tersayang..."
......................................
Petang tadi, lepas solat Asar, jalan balik rumah melintasi dua kedai ayam. Umar tanya,
"Kau tengok ayam(dan itik) tu, dibiar je atas reban tu, tak lari pun".
Ya, betul. Untuk pengetahuan, di Mesir, ayam itik dijual dan ditimbang hidup-hidup. kemudian baru disembelih dan disiang 'on the spot'.
Yang hairannya, sang itik dibiar saja bertenggek di atas rebannya. Tak dikurung, tak diikat. Sang ayam pula, duduk dalam reban, tapi tak bertutup pun. Dan ayam-ayam juga itik-itik tu tak lari pun.
Tambahan pula, sang ayam dan itik tu santai saja 'menonton' kawa-kawannya seekor demi seekor disembelih depan mata.
Maka saya jawab kepada Umar,
"Itulah ayam daging!"
.....................................
Al-kisah Ayam Daging
Sejak menetas, sampai besar dan cukup matang untuk disembelih, peta hidup ayam daging dah ditentukan oleh tuannya. Semuanya stereotaip. Sama saja, baik si ayam A, atau si ayam B, asalkan dia ayam daging, jalan hidupnya sama saja, untuk disembelih dan dimakan dagingnya!
Dari kecil, ada yang dicucuk untuk jadi gemuk dan berisi. Diberi makan dedak atau apa-apa sahaja yang lumayan dari pagi ke malam. Tiap hari kerjanya membesarkan badan. Dan akhirnya, akan dibekalkan kepada peniaga ayam, disembelih, dijual, dimasak, dan dimakan.
Cuba kita buat satu eksperimen. Tangkap seekor ayam daging dari rebannya, dan lepaskan di tengah-tengah padang. Sejam selepas itu, anda akan dapati si ayam tu masih duduk elok di situ.
Cuba kita tangkap seekor ayam daging, dan lepaskan dalam kawasan yang ada musang kelaparan. Nescaya ayam daging tersebut akan duduk sahaja menunggu si musang membaham lehernya.
Cuba kita lepaskan pula di atas jalan raya. Nescaya si ayam daging tu akan pening dan keliru, dan tidak tahu apa nak buat. Akhirnya, maut dilenyek lori atau kereta.
Cuba kita sembelih seekor ayam daging di hadapan mata si ayam daging lain. Tiada yang akan lari bertempiaran takutkan lehernya juga akan disembelih seperti kawannya.
Cuba kita bandingkan pula dengan ayam hutan. Tangkap seekor(itu pun kalau dapat tangkap lah!) dan lepaskan di tengah padang, nescaya anda tak dapat tangkap semula ayam hutan tu.
......................................
Ramai dalam kalangan kita telah diprogramkan peta hidup kita.
Sedari kecil, kita disuap segalanya. Dari makan, pakai, tidur, main, baca, dan sebagainya. Semuanya disuap. Semuanya telah diberi.
Apa yang kita tonton, semuanya diberi. Apa yang perlu ditonton, semuanya telah ditentukan. Hiburan, hiburan, hiburan. Memang menenangkan. Memang senang dan nyaman. Dan kita selesa menjadi 'pak turut' kepada si pemberi itu.
Apa yang kita baca, semuanya diberi. Apa yang perlu dibaca, semuanya telah ditentukan. Hiburan, kerosakan akhlak, lucah, fitnah. Memang aman dan selesa. Segalanya elok di depan mata. Segalanya selamat dan tiada apa yang perlu dirisaukan.
Apa yang kita cita-citakan, semuanya telah ditetapkan. Ke mana kita nak capai di masa dewasa dan di hujung nyawa, semua telah dimomokkan. Dalam sekolah, dalam media massa, dalam rumah. Menjadi kaya-raya, menjadi popular, mempunyai kuasa.
Bila ditanya, hidup untuk apa? Hati dan tindakannya menjawab : Nak jadi kaya-raya. Nak jadi popular. Nak jadi hebat dan berpangkat. Nak jadi kaya dan berkuasa.
Ada juga yang menjawab : Nak ada keluarga sendiri, kereta sendiri, rumah sendiri. Nak ada syarikat sendiri, nak ada pengikut sendiri.
Ada juga yang menjawab : Asalkan aku bahagia. Asalkan aku cukup makan. Asalkan aku sihat wal-afiat.
Kemudian, bila nasib tak menentu, hak orang lain dicabul, duit dan kepercayaan orang lain dikhianati, korupsi merata-rata, jenayah berleluasa tanpa pembelaan, umat Islam lain disembelih setiap hari, ramai yang tidak tahu. Sebab tak ambil tahu hal orang lain, kecuali dirinya sendiri.
Kalau ada yang ambil tahu, kata mereka,
"Alaaa, takpa lah. Bukan aku pun yang kena!"
"Alaa, buat apa sibuk-sibuk? Itu hal kecil saja. Aku hidup ok saja, boleh lagi cari makan".
Satu hari, tiba giliran mereka pula dicabuli haknya, bila diri dan harta dizalimi, bila pihak berkuasa mengabaikan aduan-aduan mereka, kata mereka,
"Alaaa, takpa lah. Aku boleh hidup lagi. Sikit-sikit, biasalah tu. Tak kisah lah".
......................................
Ketahuilah, ayam daging, hidupnya untuk disembelih.
Ayam daging, tujuang hidupnya telah diprogram dan dimanipulasi oleh pihak lain.
Ayam daging, disuap setiap hari dengan makanan yang diingini tuannya. Jika tidak disuap, ia menggelupur kelaparan, tidak tahu nak buat apa.
Ayam daging, dicampak ke mana-mana, ia tak boleh lari. Mengapa? Pertama, tidak larat kerana kegemukan badanya. Kedua, tidak mampu memberi sebab kepada dirinya sendiri, mengapa ia harus lari. tenggelam dalam keselesaan hidup yang telah dikaburi.
Ayam daging, disembelih rakannya di hadapan mata, ia tak kisah. Sebab ia fikir itu tidak ada kena mengena dengan dirinya.
Ayam daging, di saat diletakkan pisau di lehernya, ia tak kisah. Sebab pertama, ia tidak tahu pisau itu bakal membunuhnya. Kedua, ia tak kisah dibunuh, sebab ia sendiri tidak tahu apa sebab ia hidup. Kalau ada yang tahu pun, ia tahu bahawa ia hidup untuk disembelih.
Itu lah ayam daging.
Dan aku bukan ayam daging. Kamu bukan ayam daging. Kita semua bukan ayam daging. Ummat Islam tidak boleh hidup seperti ayam daging.
Kita tidak akan selesa selagi saudara kita tidak selesa. Kita tidak akan berehat selagi Islam tidak tertegak di setiap sisi penjuru. Hatta kalau Islam sudah tertegak sekalipun, kita tidak akan berehat, kerana pasti saja ada yang akan cuba meruntuhkannya. Kitalah jua yang akan mempertahankannya.
Kita bukan ayam daging, kerana kita sentiasa sensitif. Kita bukan ayam daging, kerana kita ambil tahu tujuan hidup kita dan sekeliling kita. Kita bukan ayam daging, kerana kita mampu berdiri sendiri dan melawan siapa yang cuba mendudukkan kita bila kita berdiri.
Seruanku, supaya yang baring, duduklah. Supaya yang duduk, bangunlah. Supaya yang bangun, berjalanlah. Supaya yang berjalan, berlarilah. Tapi jangan sesekali lupa, untuk memimpin saudara kita berlari sekali, menuju Allah maha Kuasa.
Allahu A'lam. Tulisan ini sebagai pembakar semangat untuk diri ini juga, menghadapi peperiksaan dunia, di atas kertas, di hadapan pemeriksa, di dalam hospital.
Ujian mendatang lebih mencabar. Moga kita semua berjaya, dunia dan akhirat.
Wassalam.