Alhamdulillahi wassolaatu wassalaamu 'ala Sayyidina Rasulillah...
Artikel terakhir yang saya tulis bertarikh 30 Mac 2012, menunjukkan hampir 3 bulan saya tidak menulis artikel. Hanya menulis status facebook.
Sangat tidak produktif!
Kekadang, kita boleh rasa yang diri kita tidak produktif, lembap dan lemah. Dan kekadang, orang lain juga boleh nampak tanda-tandanya pada luaran diri kita.
Kemudian saya terfikir, ikhlaskah aku menulis? Lebih-lebih lagi selepas membaca risalah kecil tulisan Al-fadhil Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil bertajuk, Kuasa Ikhlas, terbitan Pelima Media Sdn Bhd di akhir-akhir Ramadhan lalu.
Antara tanda ikhlas seseorang dalam beramal adalah;
1. Melakukan amalan yang sama (yang diredhai Allah), sama ada dipuji atau dicerca
2. Tidak suka kepada populariti
3. Tidak kedekut menghargai mereka yang berhak dihargai
4. Meletak jawatan apabila merasa diri tidak layak
5. Istiqamah
Ikhlas ini amat penting, kerana ianya syarat diterima amalan. Bayangkan kalau kita bekerja siang dan malam di pejabat, di akhir bulan, majikan tidak memberikan gaji. Begitulah perihal orang yang tidak ikhlas, bahkan lebih teruk lagi!
Mengapa? Kerana bukan setakat amalannya tidak diterima Allah, tetapi, lawan kepada ikhlas adalah riya'. Dan riya' merupakan salah satu bentuk syirik kepada Allah.
Mengapa syirik? Kerana kita melakukan sesuatu bukan lagi kerana Allah, tetapi kerana nak dilihat manusia. Kerana pandangan manusia. Seolah-olah, kita menyekutukan pandangan Allah dengan pandangan manusia. Astaghfirullah al-'adzeem, na'uzubillah...
Maka pesanan untuk diriku sendiri, bila terasa tanda-tanda tidak ikhlas, ingatlah orang-orang terdahulu.
Ingatlah Saydina Khalid Al-Walid radhiyallahu 'anhu bila dipecat daripada General di tengah-tengah medan peperangan, terus dipecut kudanya ke barisan tentera di belakang, dan terus berjuang bersama-sama pasukan Muslimin.
Katanya kepada utusan yang mengutuskan arahan itu, "Terima kasih wahai saudaraku. Sesungguhnya aku berjuang hanya kerana Allah dan RasulNya (sallallahu 'alaihi wasallam)!"
Ingatlah bahawa di sana terdapat jutaan pendakwah-pendakwah Islam yang tidak dikenali, sedang mereka berpenat lelah siang dan malam, dengan tidak cukup tidur, tidak cukup wang namun tetap bekerja. Bahkan berapa ramai yang telah mati dibunuh tanpa manusia mengetahui nama mereka.
وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّـهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ
"Dan tiadalah mereka disuruh melainkan untuk menyembah Allah subhanahu wata'ala dengan ikhlas sentiasa mentaatiNya kerana (mengamalkan tuntutan) agama..."
Al-Bayyinah, ayat 5
Allahu A'lam. Moga Allah redha atas amal penulisanku, dan moga Allah kurniakan keikhlasan kepada kita semua, ameen.
Walhamdulillahi Rabbil 'alameen...