Bismillahirrahmaanirraheem,
Alhamdulillahi wassolaatu wassalaamu 'ala Rasulillah SAW...
Hari ini, badan saya rasa amat berat. Sangat penat. Tak larat nak bangun dari tilam yang tak berapa empuk ini.
"Nantilah, kejap lagi aku bangun!"
Kelmarin, rasa sangat malas. Otak rasa amat berat untuk berfikir dan fokus kepada pelajaran. Exam dalam masa beberapa hari lagi.
"Argh, apasal tak boleh fokus ni? Habislah aku kalau camni..."
Tempoh hari, jiwa lemah. Motivasi sangat rendah. Semangat hilang entah ke mana. Rasa malas nak usaha habis baik.
"Buat biasa-biasa sudah lah!"
Bulan lepas, episod yang sama berlaku.
Dua bulan lepas, juga episod yang sama.
Semester lepas, juga berlaku perkara yang sama.
Tahun lepas, dua, tiga tahun lepas, juga sama.
..........................................
Setiap manusia akan mengalami masa senang dan masa susah. Setiap dari kita, pasti ada kalanya di atas, ada kalanya di bawah.
Itu lumrah alam. Itu sunnatullah. Itu normal.
Tapi apa yang membezakan seseorang dengan seorang yang lain, adalah bagaimana dia bangun semula dari kejatuhan itu. Bagaimana dia mengurus emosi dan semangat.
Saya pernah mendengar kata-kata hikmah tasawuf,
"Salah satu tanda kemenangan syaitan terhadap kita adalah, gagalnya untuk bangun selepas jatuh"
Ya, benar! Bukannya gagal itu yang menyebabkan kita kalah dengan syaitan. Bukannya jatuh itu yang menandakan kita kalah, kerana jatuh bangun itu norma kehidupan. Tetapi gagalnya kita untuk bangun semula, itulah kekalahan sebenar.
...........................................
Saya ingin berkongsi sedikit cerita.
Dahulukala, bila saya belajar pelajaran sirah Nabi Muhammad SAW, dari sekolah rendah sampai sekolah menengah, saya kenal siapakah Nabi Muhammad SAW.
Saya tahu bilakah Baginda dilahirkan, siapakah bapa dan ibu Baginda. Bilakah peristiwa kenabian, apakah itu peristiwa kenabian. Zaman Makkah, Hijrah dan Zama Madinah. Perang Badar, Perang Uhud, Perang Khandak, perjanjian Hudaybiyyah, Pembukaan Makkah dan Kewafatan Nabi SAW.
Meningkat remaja sedikit, saya mula baca sendiri buku-buku sirah. Antaranya, Fiqh As-Seerah karangan Dr. Said Ramadhan Al-Buti, buku milik abang saya. Berlaku sedikit percambahan idea. Berlaku sedikit penambahan kefahaman. Alhamdulillah.
Tapi, ia hanya sekadar sirah. Sekadar pemahaman dan pengetahuan. Tidak lebih dari itu, masih lagi dalam kerangka, kelahiran, kenabian, Zaman Makkah, Zaman Madinah, Hijrah, Siri-siri peperangan, Fathul Makkah, dan kewafatan Nabi SAW.
Hinggalah baru-baru ini, Allah gerakkan hati untuk membaca satu lagi buku sirah, diberi nama Fiqh Al-Harakah Dari Sirah Nabawiyyah, karangan Tuan Guru Haji Hadi Awang.
Saya baru tersedar akan satu hakikat. Hakikat yang mudah dan ringkas, tapi penuh makna.
Hakikat bahawa Baginda Nabi Muhammad SAW TIDAK PERNAH REHAT!
Bila diceritakan kisah hidup Nabi Muhammad SAW mengikut kronoloji, saya tidak mendapati satu waktu pun yang Nabi berehat dari bekerja. Jika sebelum ini, saya hanya menyedari kronoloji kisah Nabi seperti yang saya sebutkan di atas, kini ada beberapa perkara yang mengubah persepsi saya itu tadi.
Saya senaraikan sedikit sahaja petikan kronoloji sejak peristiwa Hijrah Nabi SAW ke Madinah Al-Munawwarah.
Peperangan Badar dengan kisah-kisah sebelum dan selepasnya
Peperangan dengan Bani Sulaim di Al-Kadar
Tindakan ke atas Yahudi Bani Qainuqa'
Peperangan As-Sawiq
Peperangan Dzi Ammar
Peperangan Bahran
Pasukan Zaid Harithah
Peperangan Uhud dengan dua pertempurannya
Bukit Rumat, tempat diletakkan 50 orang pasukan pemanah di dalam perang Uhud
Pulang ke Madinah dalam keadaan darurat
Gerakan Hamra Al-Asad
Gerakan Tentera ke atas Bani Asad
Peristiwa Bi'r Ma'unah
Peristiwa Bani Nadhir
Gerakan di Najad
Badar Kedua
Peperangan Daumat Al-Jandal
Peperangan Ahzab
Peperangan Bani Quraizah
Pasukan Muhammad Bin Maslamah
Peperangan Bani Lihyan
Peperangan Bani Mustaliq
Fitnah Al-Ifk
Peristiwa Hudaybiyyah
Di ladang unta, di Hudaybiyyah (Ramadhan 1432 Hijrah)
Perutusan kepada Raja dan Pemimpin Kerajaan (selepas Hudaybiyyah)
-Najasyi Raja Habsyah
-Al-Muqauqis Raja Mesir
-Raja Farsi
-Raja Rom
-Al-Munzir Bin Sawi
-Hauzah Bin Ali Peperintah Yamamah
-Al-Harith Bin Abi Syamar Al-Ghassani Pemerintah Damsyik
-Raja Uman
Peperangan Ghabah/Qird
Peperangan Khaibar
Rasulullah SAW diracun
Pembukaan Fadak
Peperangan Mu'tah
Kawasan berlakunya pertempuran Mu'tah, di Jordan (Februari 2009)
Operasi Zatussalasil
Fathu Al-Makkah dan kisah yang panjang semasa dan selepasnya
Peperangan Hunain
Pertempuran Autos
Peristiwa Nakhlah
Peperangan Toif
Peristiwa 'Urwah Bin Mas'ud
Beberapa operasi ketenteraan dan penyerahan diri kepada Islam
Peperangan Tabuk
Selepas sampai di Tabuk, tidak berlaku pertempuran, tetapi berlaku beberapa misi dakwah,
Penawanan Raja Ukaidar
Masjid Dzirar
Ketibaan puluhan rombongan Arab menyerah diri kepada Islam,
rombongan Abdul Qais
-Utusan 'Ammar Bin Farwah Al-Juzami
-Rombongan Thaqif
-Rombongan Hamadan
-Rombongan Al-Azd
-Rombongan Bani Al-Harith Bin Ka'ab
-Utusan Raja Himyar
-Dzimam Bin Tha'labah RA
-Rombongan Najran
-Rombongan Bani 'Amir
-Rombongan Bani Hanifah
Peristiwa Haji Wida'
Peristiwa kewafatan Nabi SAW yang menyayat hati
.........................................
Habis satu siri peperangan, datang satu lagi misi.
Habis satu misi dakwah, datang satu lagi kerja.
Bahkan, ada juga berlaku, belum sempat Nabi dan tentera Islam sampai di Madinah, sudah dihantar satu pasukan lain untuk bertindak ke atas pasukan musyrikin lain. Seperti dalam peperangan Uhud.
Nabi Muhammad SAW TIDAK PERNAH BEREHAT!
Maka apa pula hak kita, sebagai orang yang mengaku pengikut Nabi Muhammad SAW, untuk berehat? Untuk bersenang lenang? Untuk bermain-main dan berseronok-seronok?
Untuk melayan perasaan, dan bermain cinta? Untuk bersuka-suka, dan berhibur sewenang-wenangnya?
Bila semangat jatuh, saya teringat kisah Nabi SAW secara holistik. Apabila melihat secara keseluruhan kisah hidup nabi SAW, Baginda tidak pernah beristirahat dan bersenang-lenang. Bagaimana pula dengan kita?
Allah.....
..............................................
Suka saya petik satu kisah sebagai kesimpulan untuk artikel ini.
Sebelum berhijrah ke Madinah, pemimpin Bani Syaiban ada menyatakan ketakutan mereka kepada Rasulullah SAW. Mereka takut, kalau-kalau kuasa-kuasa besar dunia menghalang Islam di waktu kritikal itu. Maka Rasulullah SAW menjawab dengan mudah;
وانّ دين الله عز وجلّ لن ينصره الّا من أحاط به من جميع جوانبه
Dan sesungguhnya agama Allah Azza Wa Jalla tidak akan menolong bagi menegakkannya, melainkan oleh orang yang bersedia menghadapi cabaran dari segenap penjuru!
Pastikan segala perbuatan kita sehari-hari dalam kerangka menolong agama Allah, dan pastilah janji Rasulullah SAW bahawa, anda tidak akan lekang dari diserang dari segenap penjuru. Itulah lumrah, itulah norma.
Maka bertenanglah, tetaplah bersemangat, dan hadapi dengan keyakinan kepada Allah dan Rasul SAW.
Kerana Rasulullah SAW TIDAK PERNAH BEREHAT!
Walhamdu lillahi rabbil 'alameen...
Wassalam...