Lelaki 1000 Lelaki [3]

Monday, April 2, 2012 by aiyqosim


Bismillahirrahmaanirraheem,

Alhamdulillahi wassolaatu wassalaamu 'ala Rasulillah SAW...


Dalam siri sebelum ini, diceritakan beberapa ciri pemuda Islam berlandaskan kisah para Nabi AS dan orang soleh yang diceritakan dalam Al-Quran.


Antara ciri utama para pemuda adalah ;


1. Beriman

2. Berfikir

3. Bertindak

4. Berani




Dewasa kini, ramai pemuda atau remaja yang bersemangat. Sentiasa dengan azam baru. Sentiasa penuh dengan idea. Sentiasa yakin untuk bersuara.


Namun, diantara mereka ini, seringkali ada yang mudah patah semangat. Mudah putus asa. Mudah kecewa dengan segala cabaran dan permasalahan yang menimpa pereka.


Satu faktor yang menarik yang wujud dalam diri manusia, lebih-lebih lagi para muda-mudi remaja adalah, kita sentiasa merasakan bahawa kita adalah yang "PALING" dalam segala-galanya.


Ada dalam kalangan mereka yang mempunyai masalah dalam keluarga masing-masing. Masalah ibu ayah. Masalah dengan adik beradik.


Bila ayahnya sakit, mula lah dirasakan bahawa dialah remaja yang PALING malang dan mendapat cabaran yang PALING hebat sekali di dunia.


Bila keluarganya kurang berkemampuan dan ditekan oleh pemerintah yang zalim, mula lah dirasakan bahawa dialah yang PALING susah dan mencabar hidupnya.


Bila adik-beradiknya ada masalah dalam pelajaran dalam masa yang sama sangat nakal dan mempunyai masalah disiplin hingga dibuang sekolah, mula lah dirasakan bahawa keluarganya lah yang PALING susah hidupnya.



Ada pula dalam kalangan mereka yang mempunyai masalah hati dan jiwa. Masalah
boyfriend dan girlfriend. Masalah duit biasiswa atau pinjaman tak cukup. Masalah belajar susah nak masuk. Masalah kawan yang tak sekepala.


Bila remaja yang nak
'tackle' seorang wanita tapi ditolak, mula lah dirasakan bahawa dialah lelaki yang PALING malang dalam hidup. Dialah yang PALING 'loser' dan PALING 'tak laku' dalam dunia.


Bila mendapat keputusan peperiksaan teruk, mula lah dirasakan bahawa dialah yang PALING bodoh dan PALING banyak cabaran dalam hidup.


Bila dirompak atau motor dicuri, mula lah dirasakan bahawa dialah yang PALING patut dikasihani di dunia ini.



Para pemuda remaja mudah merasakan bahawa kitalah yang PALING dalam segala-galanya.


Suara kita sahajalah yang PALING berhak didengari.


Kita sahajalah yang PALING patut bersuara.


Kita sahajalah yang PALING betul.


Kita sahajalah yang PALING patut dipandang oleh semua golongan dalam lapisan masyarakat.


Jika tidak, kita akan kecewa. Kita akan putus asa. Kita akan merajuk. Kita akan sedih. Kita akan melatah.



Adakah ini sifat pemuda yang sebenar? Adakah ini sifat pemuda yang dikatakan RIJAL? Adakah ini yang disebut sebagai lelaki umpama 1000 lelaki?



Kisah Nabi Yusuf AS


Jika ada pemuda yang mengaku bahwa dialah yang paling malang dalam dunia ini, bacalah kisah Nabi Allah Yusuf AS.


Semenjak kecil, baginda merupakan anak kesayangan ayahnya, Nabi Ya'qub AS. Namun semenjak dari kecil, keadaan tidak pernah menyebelahinya.


Baginda ditinggalkan dalam perigi ketika masih bayi, ayahnya sendiri ditipu dan menganggap baginda telah mati, kemudian baginda dijual di pasar.


Setelah besar, biarpun berwajah tampan dan berpersonaliti menarik, baginda digoda oleh isteri menteri, difitnah, kemudian dipenjara.


Bilakah dalam hidup baginda Nabi Yusuf AS terdapat noktah bahagia? Adakah baginda berputus asa? Adakah baginda kecewa?


Tidak sekali-kali! Kerana Nabi Yusuf AS bersandar kepada Allah. Dan Allah sentiasa ada!


Akhirnya, Nabi Yusuf jualah yang diangkat dan dimuliakan menjadi Menteri Ekonomi, menyelamatkan negara Mesir dari krisis kemarau, seterusnya menyelamatkan keluarganya sendiri.


Cabaran siapakah yang lebih besar dari yang diterima Nabi Yusuf AS?



Ada ribuan lagi kisah para Nabi AS untuk dikongsi. Dan siapakah yang lebih besar cabarannya berbanding para Nabi AS?


Sebab itulah, ada Hadith Rasulullah SAW berbunyi;


أشد الناس بلاءً الأنبياء، ثم الأمثل فالأمثل

"Manusia yang paling dahsyat ujiannya adalah para nabi, kemudian mereka yang mengikutinya, kemudia mereka yang mengikutinya"



Maka sudah menjadi sunnah bagi para pengikut para Nabi AS, untuk menerima cabaran dan ujian yang besar, baik di rumah, di kuliah, di jalanan, di masjid, bahkan di mana-mana sekalipun posisi kita.


Dan Nabi yang paling besar ujiannya dalam kalangan para Nabi adalah Nabi kita, Rasulullah SAW. Dan di manakah kedudukan Nabi Muhammad SAW? Di tempat tertinggi di sisi Allah. Kerana yang paling besar cabarannya, paling besar jualah ganjarannya.


Alhamdulillah, kita adalah ummat Baginda, betapa untungnya kita. Nikmat apa lagi yang kita mahukan, pabila kita sudah diberi nikmat terbesar, iaitu menjadi ummat baginda Nabi Muhammad SAW?


Nabi SAW bersabda,


"Kamu akan bersama siapa yang kamu kasihi (di Akhirat kelak)"




Kesimpulan


Sudah menjadi sifat anak-anak kecil, merasakan dirinya PALING dalam segala-galanya. Begitu jualah para pemuda.


Pabila timbul sahaja perasaan sedemikian, ingatlah para Nabi AS. Ingatlah Nabi Muhammad SAW. Betapa ringannya ujian yang menimpa kita, berbanding ujian ummat terdahulu. Hatta berbanding orang lain di sekeliling kita sekali pun, amatlah kecil ujian yang kita hadapi.


Masalahnya adalah, kita hanya memandang kepada diri kita sendiri. Kita sahaja yang sedih. Kita sahaja yang ada masalah. Egois!


Banyakkan berdoa kepada Allah subhanahu wata'ala, agar kita diberi kekuatan. Kerana kita pemuda adalah harapan ummat Islam. Kerana kitalah,

رجال بألف رجل


Untuk para pemuda, senyumlah, kerana masih ada 1000 sebab untuk kau tersenyum. :)


Walhamdulillahi rabbil 'alameen.
Posted in Labels: , , | Comments

Kau Tipu!

Sunday, April 1, 2012 by aiyqosim

Bismillahirrahmaanirraheem,

Alhamdulillahi wassolaatu wassalaamu 'ala Rasulillah SAW...


Semalam 1 April 2012. Tarikh yang tidak dilupakan masyarakat zaman sekarang, terutamanya anak-anak muda. Lebih mesra dikenali sebagai "April Fool".

Saya masih ingat lagi, di zaman sekolah rendah dahulu, "April Fool" sering menjadi bahan mainan. Kena tipu dan menipu pada hari tu tak menjadi masalah. Semua orang cari idea paling kreatif macam mana nak menipu.

Namun, dengan berkembangnya teknoloji maklumat dan elektronik, serta peningkatan kesedaran masyarakat terhadap hukum-hukum agama, ramai mula sedar sisi negatif budaya "April Fool" ini.

Malangnya, lahir pula satu budaya baru, iaitu budaya mereka-reka cerita demi menjadikannya hujah menolak budaya-budaya negatif atau sesat, diantaranya budaya "April Fool".



............................



Saya ada mendengar satu Hadith Nabi SAW yang berbunyi;



عن صفوان بن سليم أنه قال: "قيل لرسول الله صلى الله علـيه وسـلم : أيكون المؤمن جبانا فقال نعم فقيل له أيكون المؤمن بخيلا فقال نعم فقيل له أيكون المؤمن كذابا فقال لا". رواه الإمام مالك

Daripada Sofwan Bin Salim bahawa beliau berkata; Rasulullah SAW pernah ditanya, "Adakah di kalangan mukmin orang yang pengecut?" Jawab Rasulullah SAW, "Ya, ada". Rasulullah SAW ditanya lagi, "Adakah di kalangan mukmin orang yang kedekut?" jawab Rasulullah SAW, "Ya, ada". Rasulullah SAW ditanya lagi, "Adakah di kalangan mukmin orang yang penipu?" jawab Rasulullah SAW, "Tidak!"


Riwayat Imam Malik



Kita sering berdoa siang dan malam, doa yang popular, disebut sebagai AL-Ma'thuraat. Salah satu daripada bait doa Nabi SAW adalah,


"Ya Allah sesungguhnya aku berlindung dengan Engkau(Ya Allah) daripada sifat pengecut dan kedekut"


Dari kecil kita mengetahui bahawa bakhil atau kedekut adalah sifat yang buruk. Sehingga satu watak 'terkutuk' dalam salah satu filem P. Ramlee disebut "Haji Bakhil"!


Dari kecil juga, kita sering diajar untuk tidak jadi penakut. Jangan takut gelap. Jangan takut hantu. Jangan takut orang nak kutuk kita. Jangan takut angkat tangan bertanya. Jangan takut bercakap.


Sebab sifat pengecut membunuh produktiviti. Sifat pengecut juga membunuh sifat proaktif.


Namun di sana terdapat dua jenis perangai. Ada dua jenis akhlak dalam Islam, iaitu,


Akhlak asasi ( أساسيا )


Akhlak pelengkap ( متكاملا )


Dalam diri manusia, termasuklah seorang mukmin, kemungkinan kurang dari segi akhlak pelengkap. Namun, ianya tidak menjadikan seorang mukmin itu luntur sifat mukminnya.


Namun, jika tiada atau hilang ahklak asasi, maka sifat mukminnya dalam bahaya. Akhlak asasi tiada kompromi. Tidak boleh dibincang semula atau dibuat rayuan. Ianya wajib ada pada diri seorang mukmin.


Dan salah satu daripada akhlak asasi yang diajarkan Rasulullah SAW adalah As-Sidqu, iaitu bercakap benar dan bertindak dengan benar. Dengan kata lainnya, amanah.


....................................


Seorang mukmin itu kemungkinan seorang yang pengecut. Dalam kalangan para sahabat RA juga ada yang sedikit pengecut. Contohnya dalam kisah perang Tabuk di mana ada dalam kalangan sahabat Nabi yang tidak ikut serta dalam perang kerana takut.


Begitu juga, seorang mukmin berkemungkinan seorang yang kedekut atau bakhil. Contohnya Saydina Abu Sufyan RA. Sehingga isterinya Saydatina Hind pernah mengadukan kebakhilan suaminya kepada Rasulullah SAW.



Namun, tidak sekali-kali seorang mukmin itu berbohong. Tidak sesekali seorang mukmin itu khianat. Tidak sekali-kali seorang mukmin itu pecah amanah. Tidak sekali-kali seorang mukmin itu membocorkan rahsia yang diamanahkan kepadanya.


Kerana apa? Kerana diantara sifat wajib bagi Nabi adalah As-sidqu dan Amanah. Berkata benar dan amanah. Sehingga Nabi Muhammad SAW digelar di dalam sebuah Hadith(iaitu Hadith Jibril) sebagai As-saadiqul Masduuq.


Maka jika kita mengaku kita pengikut Nabi SAW, kita akan mencontohi Nabi dan tidak akan melakukan perkara yang menyakiti Nabi SAW, antaranya berbohong, pecah amanah, dan membocorkan rahsia.



Nabi Muhammad SAW tidak pernah berbohong seumur Baginda, hatta sebelum Baginda diangkat menjadi Rasul sekalipun.


Gelaran Al-Amin diberikan kepada Rasulullah SAW sejak sebelum Baginda menjadi Rasul lagi.



........................................


Ada dua kisah menarik yang membuktikan bagaimana sifat amanah dan benar yang ditunjukkan Rasulullah SAW.


Pertamanya, kisah di Jabal Abu Qubais ketika mana Nabi Muhammad SAW hendak menyampaikan suatu berita tentang Islam, Nabi SAW memulakan bicara dengan,


"Jika di belakang bukit ini aku katakan, ada sekumpulan tentera musuh datang menyerang kita, adakah kau mempercayai aku?"


Jawab hadirin,


"Kami tidak pernah mendengar engkau berbohong walau sekali!"



Peristiwa kedua, ketika hijrah Nabi SAW ke Madinah, saydina Ali Karramallahu wajhah telah ditugaskan untuk tidur di katil Rasulullah SAW menggantikan Baginda. Selain daripada helah untuk menipu musuh yang ingin membunuh Baginda SAW.


Ada pakar sirah berpendapat bahawa dipilihnya saydina Ali RA untuk tunggu di Makkah adalah sebagai wakil Nabi Muhammad SAW bagi memulangkan barang-barang amanah Arab Quraisy yang ditinggalkan di bawah jagaan Rasulullah SAW.


Sudah menjadi tradisi masyarakat Arab Qurays waktu itu untuk menyimpan barang-barang berharga mereka kepada orang yang dipercayai, diantaranya Rasulullah sendiri. Rasulullah sungguh amanah sehingga Baginda tetap memastikan barang amanah yang disimpannya selamat dan boleh dituntut semula oleh tuannya, biarpun Baginda SAW sudah tiada di Makkah.



.............................



Tetapi, timbul satu persoalan. Mengapa dalam banyak-banyak sifat, dalam ribuan akhlak, sifat benar dan amanah ini menjadi diantara akhlak asasi yang penting. Yang wajib ada pada diri seorang mukmim. Akhlak yang tiada kompromi padanya. Yang tidak boleh diambil ringan.


Ada satu kajian yang dibuat oleh Jim Kouzes dan Berry Posner, yang dimuatkan dalam buku mereka, The Leadership Challenge.


Kajian yang mereka lakukan semenjak tahun 1987 dan tamat pada tahun 2010 kepada seramai 1.5 juta orang dari seluruh 6 benua dunia.


Salah satu perkara yang dikaji adalah apakah karakter yang anda mahukan dari seorang pemimpin. Apakah karakter yang anda mahu jika anda ingin mengundinya. Apakah karakter yang anda yakin perlu ada pada setiap pemimpin.


Mereka mendapati daripada semua responden, ada satu karakter yang sama, iaitu kredibiliti!


Apa itu kredibiliti? Kredibiliti bermaksud, benar dan amanah.


Dan inilah sifat agung Baginda Nabi SAW, yang dimilikinya semenjak kecil, sebelum Baginda diangkat menjadi Rasul lagi. Dan sifat inilah yang emberikan pengaruh besar kepada penerimaan manusia kepada dakwah Rasulullah SAW.


Kredibiliti ini meningkatkan kepercayaan, dan kepercayaan meningkatkan pengaruh, sehingga seorang penulis dan pemikir Michael H. Heart dalam bukunya "The 100 : A Ranking Of Most Influential Persons In History" yang diterbitkan pada tahun 1982 meletakkan nama Nabi Muhammad SAW sebagai manusia paling berpengaruh (Nombor 1) sepanjang sejarah manusia!



Namun malangnya, realiti yang kita lihat pada hari ini, masyarakat umum sudah hilang sifat As-sidqu dan Al-amin dalam diri. Sana sini kita melihat orang menipu. Tipu kawan, tipu isteri, tipu dalam perniagaan, tipu dalam peperiksaan, tipu mak ayah, tipu dalam tulisan dan percakapan, dan macam-macam lagi.


Sana sini kita melihat orang pecah amanah. Sana sini kita melihat orang khianat. Sana sini kita melihat orang bocor rahsia. Sana sini kita lihat orang menyebar fitnah dan melaga-lagakan orang lain.


Jika kita lihat pada pemimpin pula, sana sini kita lihat orang memberikan janji kosong. Orang dapat jawatan kemudian menggunakannya untuk menaikkan nama sendiri.


Orang ada kedudukan kemudian songlap duit. Orang yang cakap berdegar-degar, tapi buat tak serupa bikin. Orang yang membocorkan rahsia organisasi kepada umum. Orang yang membocorkan keputusan mesyuarat sebelum ahli mesyuarat bersuara. Para pengambil kesempatan (opportunist) yang bermuka baik di hadapan, tetapi berniat mengambil kesempatan dari belakang.


Semoga Allah melindungi kita dari gejala ini. Semoga Allah menyelamatkan kita dan masyarakat kita semua dari sifat penipu dan pecah amanah. insyaAllah.


Hasbiyallahu wa ni'mal wakeel!



Sekian dahulu dari saya, semoga kita sama-sama mengambil iktibar dari kehidupan dan peribadi Baginda Rasulullah SAW, ameen.


Wassalam.




Posted in Labels: , , , , | Comments

Lelaki 1000 Lelaki [2]

Friday, March 30, 2012 by aiyqosim



Bismillahirrahmaanirraheem,

Alhamdulillahi wassolaatu wassalaamu 'ala Rasulillah SAW...


Hidup kita tidak lain dan tidak bukan, hanyalah suatu tempoh masa. Masa yang sentiasa bergerak. Masa yang terkadang dirasakan laju, terkadang dirasakan lambat. Masa yang terkadang kita sedar bahawa kita sedang melaluinya, terkadang ianya berlalu tanpa disedari.


Dan masa mempunyai tempoh-tempohnya. Mempunyai sempadannya. Garis mulanya saat kelahiran, dan garis penamatnya saat kematian.


Pabila ditanya kepada golongan tua dan berumur, jika masa boleh diputar kembali, waktu bilakah yang ingin diulang kembali? Kemungkinan besar akan dijawabnya,
"Masa muda remaja!"


Namun apa yang ada pada waktu itu? Apa yang istimewanya sehingga mengundang penyesalan kepada mereka yang sudah melepasi waktu itu dengan sia-sia?


.........................



Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi menulis dalam risalah kecilnya
"Kewajipan Remaja Muslin Hari Ini" bahawa tempoh muda remaja ini adalah tempoh terpenting.


Sepertimana dalam satu hari, waktu tengahari itulah pancaran matahari paling terik. Waktu itulah sinarannya paling panas, dan matahari berdiri tegak di atas kepala.





Begitulah juga tempoh remaja. Waktu itulah masa seorang manusia paling bersemangat. Waktu itulah paling dinamik dan aktif. Waktu itulah kekuatan fizikal memuncak. Waktu itulah masa lapangnya mencurah-curah.


Namun, realiti hari ini amat menyedihkan. Dalam semangat, dinamik, keaktifan, kesihatan dan kelapangan masa itulah, para remaja membiarkan masa berlalu begitu sahaja. Segalanya diisi dengan kegiatan tidak bernilai dan keseronoan semata-mata.


Hasbiyallahu wa ni'mal wakeel.


.........................


Perjalanan merentas sejarah menyaksikan jatuh bangunnya sebuah tamadun bergantung kepada jatuh bangunnya golongan muda. Dan di kalangan golongan muda itu adalah para remaja.


Pemuda adalah pembangun Ummat dan pejuang sejak dahulu lagi.


Dalam konteks perjuangan Islam, kita menyaksikan perjuangan para Nabi AS dipelopori kaum muda. Pemuda adalah pembawa risalah.


Ashabul Kahfi


نَّحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ نَبَأَهُم بِالْحَقِّ ۚ إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى


"Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka yang benar. Sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk."


Surah Al-Kahfi ayat 13


Jelas digunakan kalimah "pemuda" dalam ayat tersebut, merujuk kepada Ashabul Kahfi seramai 7 orang. Merekalah pemuda yang lari daripada pemerintah yang zalim demi menyelamatkan iman mereka.







Nabi Ibrahim AS


Ketika remaja, dirakamkan kisah Nabi Ibrahim berdialog dengan dirinya sendiri tentang siapakah Tuhan yang menciptakan alam semesta dan mentadbirnya.


Remaja sifatnya sentiasa berfikir mencari kebenaran, sepertimana Nabi Ibrahim berfikir mencabar akalnya mencari kebenaran. Akhirnya didapati bahawa tidak mungkin ada satu kuasa yang mampu mentadbir alam melainkan Allah Yang Maha Esa.


Namun, Baginda tidak berhenti setakat itu sahaja. Nabi Ibrahim AS mempunyai dua pilihan utama;


1. Beriman dan kekal beriman dalam diam, kerana kaumnya penyembah tegar berhala. Jika diberitahu akan keimanannay kepada Allah, nescaya ditentang kaumnya.

2. Beriman, kekal beriman, dan keluar bersuara kepada kaumnya menyatakan bahawa mereka sesat pabila menyembah berhala. Bahawa mereka harus beriman kepada Allah Subhanahu wata'ala.



Apakah pilihan Nabi Ibrahim AS? Baginda keluar dan mencabar aqidah kaumnya dengan menghancurkan berhala sembahan mereka dan meninggalkan sebuah berhala paling besar.


Selepas berfikir, Baginda membuat tindakan. Bukan calang-calang tindakan, tetapi tindakan yang berani mati!


Sehingga kisahnya dirakam Allah dalam Al-Quran;


قَالُوا سَمِعْنَا فَتًى يَذْكُرُهُمْ يُقَالُ لَهُ إِبْرَاهِيمُ


Mereka berkata, "kami mendengar ada seorang pemuda yang mencela (berhala-berhala kami), namanya Ibrahim


Surah Al-Anbiya' ayat 60



Nabi Ismail AS


Kisah Nabi Ismail AS sangat mahsyur, anak Nabi Ibrahim AS.


Ketika masih di awal remaja, keimannya diuji dengan arahan Allah kepada Nabi Ibrahim untuk menyembelih anaknya sendiri.


Lalu Nabi Ibrahim AS bertanyakan pendapat empunya diri, Nabi Ismail AS, lalu dijawabnya;


قَالَ يَا أَبَتِ افْعَلْ مَا تُؤْمَرُ ۖ سَتَجِدُنِي إِن شَاءَ اللَّـهُ مِنَ الصَّابِرِينَ



"wahai ayahku, buatlah apa yang diperintahkan kepadamu. Nescaya engkau akan dapati dengan izin Allah, aku dari kalangan orang-orang yang sabar."


Surah As-Saaffat ayat 102


............................


Begitulah dikisahkan kepada kita sifat pemuda Islam. Sifat remaja Islam sebenar. Sifat pejuang pembawa risalah Islam.


Beriman kepada Allah dengan sebenar-benar iman.


Berfikir demi membangun jiwa dan mendapat kefahaman Islam yang jelas.


Bertindak untuk menyelamatkan iman dan menyebarkan Islam.


Berani berhadapan dengan segala cabaran. Berani bertemu musuh. Berani mati.




Tidak pelik jika kita melihat remaja hari ini bersemangat, berani dan bergerak. Tetapi amat pelik bila kita melihat para remaja mandom, lembap, kaku dan beku. Kerana Allah sudah menggambarkan sifat para pemuda yang bergerak dan berjuang.


Dan tidak peliklah jika pemuda di zaman Rasulullah SAW dikhabarkan setiap seorangnya seperti 1000 lelaki. Kerana semuanya menyahut perintah Allah di dalam Al-Quran dan As-Sunnah.



رجال بألف رجل

Lelaki 1000 lelaki!




Walhamdulillahi robbil 'alameen.


Wassalam.
Posted in Labels: , , , | Comments

Lelaki 1000 Lelaki [1]

Thursday, March 29, 2012 by aiyqosim



Bismillahirrahmaanirraheem.

Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam.

Selawat dan salam kepada junjungan besar Baginda Nabi Muhammad SAW, serta para keluarga, sahabat dan pengikut Baginda.


Semenjak dua menjak ini, laman blog sudah tak menjadi ruang utama untuk berkongsi idea atau menyampaikan maklumat. Facebook sangat mudah, ringkas, available dan laju, menjadikannya pilihan utama kebanyakan dari pengguna internet.

Blog A.I.Y pun begitu. Sebulan setengah tidak dikemas kini. Tiada artikel baru bukan bermakna tiada idea baru. Mungkin masa dan kesempatan kurang.


نعمتان مغبون فيهما كثير من الناس الصحة و الفراغ

"2 nikmat yang sering dilalaikan kebanyakan manusia, kesihatan dan waktu lapang"

Hadith Nabi SAW


Maka, sebagai motivasi kepada diri sendiri, saya kongsikan sedikit idea di dalam entri kali ini. Moga siapa jua yang baca mendapat semangat baru hendaknya, insyaAllah.


...................


Sepanjang sejarah ketamadunan manusia, bermula dari zaman Nabi Adam AS, hingga zaman Nabi Muhammad SAW, sampailah ke zaman kita sekarang.


Apa yang menariknya, pabila kita baca buku-buku sejarah, kita dapati senarai tamadun-tamadun yang menguasai dunia. Setiap satu ada kehebatannya. Setiap satu ada kekuatannya yang menjadi faktor gemilangnya tamadun tersebut. Setiap satu ada teknoloji yang hebat tersendiri.

Namun, sehingga hari ini, tiada satu pun tamadun yang mencipta rekod mampu kekal hingga ke hari ini. Satu demi satu tamadun jatuh. Di waktu kemuncak kehebatan tamadun itulah mereka jatuh.

Teknoloji, material dan kekayaan yang memberi kehebatan kepada mereka jatuh, hilang. Tiada yang kekal hingga hari ini.



Di tengah-tengah sejarah ketamadunan, wujud satu cahaya yang hebat. Dari tengah-tengah ketandusan padang pasir, dikelilingi masyarakat yang hebat teknolojinya, namun rosak ahklaknya. Itulah cahaya Islam, dibawa oleh Rasulullah SAW.

Apa yang menariknya, legasi yang ditinggalkan Rasulullah SAW berkekalan sehingga ke hari ini. Dan pabila Rasulullah SAW wafat, Baginda tidak meninggalkan harta, kekayaan, teknoloji tinggi, mahupun bangunan yang gah.

Tetapi, bagaimana tamadun Islam boleh kekal dengan ketulenan fahamannya hingga ke hari ini. Dari masa Rasulullah SAW hingga ke hari ini, tamadun kerajaan Islam silih berganti, dan pernah memerintah sehingga dua per tiga dunia.


Apakah aset yang ditinggalkan Rasulullah SAW?


Ianya bukan emas permata, bukan ribuan ekar tanah, bukan bangunan pencakar langit, bukan harta dan material, tetapi ianya legasi para SAHABAT RA yang memegang Al-Quran dan As-Sunnah!


.....................






Pernah satu ketika, di zaman Khalifah Umar RA, ketika Ummat Islam pimpinan Sayduna Amru Al-'As RA ingin membuka Mesir dan membebaskan penduduk asalnya dari cengkaman kerajaan Byzantine.

Tentera Islam amat sedikit jika dibandingkan dengan tentera Byzantine. Saya tidak pasti figuranya, tapi bezanya tentera mereka sampai ratusan ribu orang. Maka, Sayduna Amru Al-'As menghantar surat kepada Sayduna Umar Al-Khattab meminta tentera tambahan.

Khalifah Umar memperkenankan permintaan itu, tetapi hanya menghantar seramai 4000 orang sahaja. Dan Khalifah Umar berpesan kepada Sayduna Amru Al-'As,


"Aku menghantar 4000 orang tentera, salah seorang dari setiap 1000 orang, mempunyai kekuatan seramai 1000 orang lelaki!"


رجال بألف رجل

Lelaki seumpama 1000 lelaki


Ya, daripada 4000 tentera itu, 4 orang daripada mereka mempunyai kekuatan seramai 1000 lelaki. Siapakah 4 orang terhebat yang Khalifah Umar hantar itu? Mereka adalah;


Sayduna Ubadah Ibn Somit RA

Sayduna Zubair Al-Awwam RA

Sayduna Maslamah Ibn Mukhollid RA

Sayduna Al-Miqdad Ibn 'Anf RA


Merepa adalah para Sahabat Baginda Rasulullah SAW. Golongan terbaik dari kalangan Ummat Islam sepanjang zaman. Kekuatan mereka menyamai 1000 orang!


Adakah badan mereka 1000 kali lebih kental dan besar? Adakah harta mereka 1000 kali lebih banyak? Adakah keturunan mereka 1000 kali lebih mulia?


Dan yang ajaibnya, tentera Islam berjaya menakluk bumi Mesir, Alhamdulillah.


.........................






Inilah legasi yang ditinggalkan Rasulullah SAW. Bukan bangunan pencakar langit. Bukan teknoloji tercanggih. Bukan harta dan material. Bukan itu semua.


Tetapi legasi yang Rasulullah SAW tinggalkan, dinyatakan dalam ayat Al-Quran;


مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّـهَ عَلَيْهِ ۖ فَمِنْهُم مَّن قَضَىٰ نَحْبَهُ وَمِنْهُم مَّن يَنتَظِرُ ۖ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلًا

Diantara orang-orang mukmin itu, ada yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada ALlah. Diantara mereka ada yang gugur dan diantara mereka pula ada yang menunggu-nunggu. Dan mereka sedikit pun tidak mengubah janji mereka.

Al-Ahzab ayat 23


Legasi yang ditinggalkan Rasulullah SAW adalah mereka yang beriman kental. Mereka yang yakin dengan janji Allah. Mereka yang berani berhadapan musuh, menegakkan Kalimah Allah. Mereka tidak takut dan tidak memberi alasan sewenang-wenangnya.


Merekalah "rijal" yang disebut-sebut itu. Merekalah yang telah membawa panji Islam sehingga kita dapat menikmatinya hari ini.


Inilah rijal yang menggerakkan Ummah. Kita ada pilihan, untuk turut bersama, menjadi rijal itu, atau tetap kekal lemah dengan diri kita sekarang, rijal hanya pada fizikal, bukannya jiwa.


Sekian, walhamdulillahi rabbil 'alamin.


Wassalam. Jumpa lagi di siri seterusnya.
Posted in Labels: , , , | Comments

Jelajah Bergambar

Friday, February 17, 2012 by aiyqosim
Bismillahirrahmaanirraheem,

Alhamdulillahi wassolaatu wassalaamu 'ala Rasulillah SAW...


Sebetulnya, post ini saya buat sebelum winter break tempoh hari. Namun, akibat kekangan masa dan kekeringan idea, maka baru hari ini saya update.


Cuti memang seronok. Amat seronok! Dengan syarat, anda berduit. :)


Tapi duit saja tak cukup. Anda perlu ada kelapangan. Tapi cukup ke duit dan kelapangan? Tak cukup!


Anda perlukan kesihatan. Cukup ketiga-tiga elemen utama ini, insyaAllah anda lulus.


Tapi, agak rugi, bila kadang-kadang saya tanya kepada beberapa kenalan. Kenapa mereka melancong?


Saya dah sekian lama tak cukup salah satu atau salah dua syarat di atas, tu sebab saya lama tak melancong. Tapi, bila mereka yang lulus ketiga-tiga syarat ni, tak tahu pula kenapa mereka melancong. Rugi!



Jadi, kenapa kita melancong? Sebelum jawab, kita adjust dulu istilah. Kita guna perkataan JELAJAH.


Kenapa Kita Menjelajah?


Pertamanya, kerana Allah suruh kita menjelajah, melihat dunia.


Para Nabi 'alaihimissalam menjelajah, merantau. Para sahabat RA merantau. Para 'ulama merantau. Para pemimpin, cerdik pandai, semuanya merantau melihat dunia. Berkelana di bumi Allah yang luas ni.


Sebab dari bumi Allah kita belajar.

Dari alam semula jadi kita belajar.

Dari binaan ciptaan mausia kita belajar.

Dari tinggalan sejarah kita belajar.

Dari keadaan semasa kita belajar.

Dari pengalaman orang lain kita belajar.

Dari gaya hidup perbuatan orang lain kita belajar.

Dari percakapan dan pemikiran kita belajar.


Point nya, BELAJAR!


Keduanya, selepas belajar, kena MENGAJAR. Tak kira, sama ada kita mengajar masyarakat asal kita bila pulang dari penjelajahan, ataupun mengajar masyarakat tempat baru yang kita jelajahi itu. Pengalaman kita diceritakan, diajarkan.


Itulah tugas Nabi AS dan pengikut Nabi.


Ketiganya, kenapa kita kena menjelajah?


Saya bagi satu contoh. Dulu-dulu, sebelum datang Mesir, saya dengar orang cakap macam-macam pasal Mesir. Benda-benda hebat dan baik. Saya terinspirasi.


Bila sampai Mesir, seminggu pertama, macam-macam pula benda negatif yang senior cakap pasal Mesir.


Maka apa tindakan saya? Kita pusing sendiri satu Mesir nak tengok dengan mata kepala sendiri apa sebenarnya Mesir ini. Dan saya dapati, kedua pandangan tadi, dua-dua salah, dan dua-dua betul, mengikut perspektif saya sendiri.


Dan saya takkan kena tipu!


Siapa pernah pergi Paris? Percaya tak kalau saya katakan, celah-celah bangunan Paris tu, sama je macam Tahrir? Kotornya sama saja. Bahkan lorong-lorong metro di Paris ada yang bau hancing, sama macam di Cairo.


Tapi, apa yang kita lihat dalam TV dan filem-filem? :) Maka jangan tertipu lagi ya~



Ok, sekarang berbalik kepada kita. Kita, maksud saya golongan mahasiswa/pemuda, melancong sebab apa?


Sila lah jawab, bagi yang telah, sedang atau bakal melancong. Pastikan duit ribuan dollar yang kita belanjakan, masa belasan hari yang kita luangkan, dan kudrat tenaga yang kita habiskan itu berbaloi.


InsyaAllah, saya pasti, ianya berbaloi. Tanyalah diri sendiri.


Di sini, sudi saya kongsi sedikit pengalaman berkelana di beberapa tempat memalui gambar. Takda lah gempak sangat. Tak banyak tempat pun saya jelajahi. Yelah, tak cukup syarat kan? :)





Hujung Januari 2008. Gereja St Carthedral, Semenanjung Sinai. Di kaki Jabal Musa, berdekatan perkampungan Nabi Syuaib. Gereja ini dikatakan yang tertua di dunia. Allahu A'lam. Saya pilih gambar ini sebab yang paling clear. Ye lah, zaman ni, masih guna kamera Kodak lagi. Nampak sangat macma budak-budak. Siap ada bendera Malaysia tersangkut kat beg lagi!





Julai 2008. Stesen "2 kilometer", Matrouh. Dinamakan "2 kilometer" sebab stesen ni terletak 2 kilometer dari pusat bandar. Ini kali pertama sampai Matrouh, di tahun 1. Pergi berdua, dengan schoolmate, Fakhrul Syazwan, Alex Univ. Dua-dua kami kali pertama sampai Matrouh, naik tremco dari Alex, berpandukan "borak-borak" dengan Ustaz Sukimin Alex. Perjalanan dari Alex ke Matrouh, lebih kurang 3 jam. Kalau straight dari kaherah ke Matrouh, ambil masa 6 jam. Perasaan bercampur-baur, antara seronok dengan cabaran dan menyesal. haha. BTW, rambut tu memang klassik budak first year yang baru nak kenal dunia pasca-sekolah menengah.




Februari 2009. Mujamma' di Irbid, Jordan. Travel dengan abang-abang senior, memang tak dapat dilupakan. Naik bas 8 jam ke Nuwaiba', naik feri beberapa jam lagi ke Aqabah, tunggu urusan imegresen dan berebut dengan Arab. Sambung 4 jam ke Amman, bermalam di bangunan MSD. Dari Amman ke Irbid. Merasa kena tahan tentera sebab tersilap ambil gambar. Merasa kereta habis minyak tengah padang pasir. Merasa kena tipu tiket bas. Merasa kereta salah isi full tank diesel, rugi puluhan Jordan Dinar dan habis satu malam di stesen minyak. Dan macam-macam lagi.

Gambar dari kiri : Abg Zul, Najib Hasan, Atiq Jordan, Abg Isra', Aku, Copok, Messi, Ehmad, Fais, Husaini, Abg Hilmi.




Di stesen bas Syarikat East Delta, Abbasiyyah. Sebelum bertolak ke Nuwaiba'.

Gambar dari kiri : Along aku Ahmad Shuib, Abg Zul, Abg Hilmi, Abg Mede, Messi, Saini, Najib, AKu, Copok, Ehmad.




Di Hospital King Abdullah, Irbid, Jordan. Kakakku yang sudi bawa pusing hospital tempat dia belajar.




Februari 2009. Makam Habibun-Najjar, Halab(Aleppo), Syria. Habibun-Najjar adalah orang beriman yang diceritakan kisahnya dalam Surah Yasin. Ke Syria dari irbid Jordan, naik bas. Imegresen di sempadan Syria agak dahsyat. Dalam passport ada tertulis nombor siri Special Branch(SB) yang ditugaskan untuk kita. Setiap seorang ada SB tersendiri. Dulu ada borak dengan Ustaz Mahmud, asal Syria. Di Syria, nisbah SB dengan rakyat biasa adalah 3 nisbah 1!




Februari 2009. Kapadokia, Turki. Pusat ski paling tinggi di Turki, 2000 meter dari paras laut. Kembara ke Turki menaiki bas, ikut jalan Jordan-Syria-Istanbul. Dari Selatan ke Utara, kemudian patah balik Selatan. Total 2 hari dalam bas! Kembara bersama kakak terchenta. hehe
Kalau Cairo dikenali sebagai bandar 1000 menara sebab banyaknya masjid, saya tertanya-tanya, kenapa seluruh Turki tak dinamakan negara 1000 menara? Sepanjang perjalanan bas dari Selatan naik ke Istanbul di Utara, di mana ada penempatan, mesti ada menara-menara masjid. 90 % orang Turki adalah Muslim.

Turki dirahmati dengan 3 perkara utama. Kesimpulan saya tentang Turki adalah, keindahan muka bumi semula jadi, sejarah yang cemerlang gemilang terbilang, dan shopping!





Julai 2009. Kolam Cleopatra, Siwa Oasis. Sekali lagi ke Matrouh, kali ini musyrif rombongan PERUBATAN. Bukan saja ke Matrouh, extend ke Siwa sekali. Kolam ni dikatakan sumber air seluruh bandar Siwa. Dalamnya 5 meter. Mujur buleh terapung, walaupun ketiga-tiga kami mulanya teragak-agak sebab kedalamannya macam lombong tinggal. Tapi tak tahan punya pasal, hilang siqqoh terjun depan akhowat. Alhamdulillah semua balik hidup. :)

Dari kiri : Aku, Abg Effy, Abg Hanifah.




Di belakang kami, Masjid Syali, kota lama Siwa. Masjid ini dirasmikan sendiri oleh Khalifah waktu itu, Sayduna Umar Ibn Al-Khattab RA. Masjid tertua di Siwa, dan antara yang tertua di Mesir. Syali maksudnya "Kota Lama". Ia merupakan penempatan asal penduduk di oasis itu. Sekarang, ianya dijadikan tempat pameran dan pelancongan.




Setelah setahun lebih tidak keluar berkelana, pada Ogos 2011, Alhamdulillah Allah beri kesempatan untuk menziarahi Baginda SAW di kota Madinah, dan melaksanakan Umrah di Baitullah. Lagi manis, ianya berlaku di akhir Ramadhan, dan raya Aidilfitri tahun itu di Mekah bumi barakah. Tak merasalah ketupat rendang. :)




Oh, ini Jabal Rahmah. Tempat yang sesuai untuk posing dan hantar gambar untuk UBM. :)




3 budak botak di hadapan Maktabah, di luar Masjidil Haram. Diriwayatkan, di kawasan inilah Nabi SAW dilahirkan. Kerajaan Arab Saudi tidak menjaga tempat-tempat peninggalan bersejarah berkaitan Nabi SAW dan para sahabat, sebaliknya di atas tapak-tapak bersejarah inilah dibina bangunan-bangunan yang tidak berkaitan. Alasannya untuk mengelakkan dari perkara khurofat. Allahu A'lam. Cuma agak sedih, kawasan yang dipercayai tapak rumah Saydatuna Khadijah RA dibina atasnya tandas awam. Sedih dan sayang, tempat penuh barokah itu dibina atasnya tandas, dengan alasan mengelak khurofat.

Dari kiri : Hilmi, Aku, Lah Fahmi.



Tempat-tempat sekitar Kaherah dan seluruh Mesir tak sempat saya kongsikan. lain kali lah pula ye... insyaAllah...


Walhamdulillahi Robbil 'alameen, banyak yang dipelajari sepanjang perjalanan. Tak kurang juga, ukhuwwah yang terbina diantara teman-teman seperjalanan. Moga Allah bagi lagi kesempatan masa, duit dan tenaga untuk berkelana di bumi Allah ini...


Wassalam~
Posted in Labels: , | Comments

The Gorgeous Bumblebee

Monday, February 13, 2012 by aiyqosim


Bismillahirrahmaanirraheem,

Alhamdulillahi wassolaatu wassalaamu 'ala Rasulillah SAW...


It has been 2 months, since my last post in English. It's quite funny, as the headings of the blog is in English, and I have only 11 posts in English.


.......................



Have you seen a bumblebee? I've read something gorgeous about bumblebee.






Do you know, according to a theory of aerodynamics, as demonstrated through the wind tunnel tests, the bumblebee should be unable to fly. Because of the size, weight, and shape of its body in relation to the total wing span, flying is scientifically impossible.


However the bumblebee, being ignorant of scientific theory, goes ahead and flies anyway and makes honey everyday.


Actally this phenomenon happens in our daily life. In great people. Or even in lay people with great attitudes.


Individuals whose attitudes cause them to approach life from an entirely positive perspective are not always understood. They are what some would call a "no-limit people".


In other words, they don't accept the normal limitations of life as most people do.


It is almost illogic that dyslexic children like Albert Einstein, Picasso and Walt Disney can make great things to the world. Well, they've proven it. Or at least, bumblebee has!


So how about us? :)



...............




Then I started to think, what if the bumblebee knows that theoretically he can't fly?


What do you think? Mr. Bumblebee might probably be affected by the theory. His ability to fly might be compromised. He might be mentally influenced. Or he might not?


Allahu A'lam. :)


The I started to think, that's where the mass media play their role. They can affect others mentality, especially the ones that has no firm stand, or the ignorants.


I'm now reading the book "Aku & Ikhwanul Muslimoon" by Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi. Dr. Al-Qaradhawi nicely wrote his remarkable experience in Ikhwanul Muslimeen during the dictatorship peroid of Jamal Abd Nasir. And I found that any dictators uses the same blue print towards its people, taking control over the mass media!


However, with immense advance in mass media technology nowadays, fabrication of facts and manipulation of mass media is rather a big challenge for the dictators.


Nearest example is Egypt. How google and facebook contributed in the 25th Revolution. And now, we should be focusing on Syria.


Please dear Muslims, there are few things that we can do for Syria.

1. Pray for Muslims there and make Solat Hajat

2. Spread the awareness

3. Keep updated about the issue

4. Study hard and keep on working!



You can start with THIS :)






Allahu A'lam, walhamdulillahi Rabbil 'alameen...
Posted in Labels: , , , | Comments

Hoi Lelaki, Sanggup Kahwin?

Thursday, February 2, 2012 by aiyqosim


Bismillahirrahmaanirraheem,

Alhamdulillahi wassolaatu wassalaamu 'ala Rasulillah SAW...


Semalam sempat mengikuti pengajian Silsilah Hadith Terpilih oleh Al-Fadhil Ustaz Hairul. Membaca lebih kurang 5 ke 6 hadith Rasulullah SAW semalam amat bermakna.


Saya tertarik dengan hadith terakhir di dalam silsilah siri 1, yang bermaksud;


Daripada Sayyidina Ibn Abbas RA, beliau berkata, Nabi SAW bersabda;

"Saya diperlihatkan akan neraka. Tiba-tiba saya mendapati bahawa kebanyakan ahli neraka adalah wanita kerana mereka mengkufuri".

Dikatakan, "Adakah mereka mengkufuri Allah?"

Baginda menjawab, "Mereka mengkufuri suami-suami mereka dan mereka mengkufuri kebaikan. kalau kamu membuat kebaikan kepada salah seorang daripada wanita-wanita tersebut sepanjang masa, kemudian dia melihat sesuatu [kekurangan] daripada kamu, wanita itu akan berkata, "Saya tidak pernah melihat sesuatu kebaikan pun daripada kamu sebelum ini".



Mungkin ramai wanita yang terkejut dengan hadith ini. Atau mungkin ada yang terasa. Tapi, saya nak tanya satu soalan. Kenapa nak terasa pula? Adakah anda tergolong dalam kalangan yang mengherdik atau mencerca suami? kalau tak, kenapa nak terasa? :)

Kalau melihat populasi sekarang ini, lojik juga wanita merupakan majoriti ahli neraka, sebab jumlah mereka lebih ramai daripada lelaki. Maka, peratusan ahli neraka wanita lebih tinggi. Allahu A'lam. :)


Tapi itu bukan fokusnya.


Ustaz Hairul menerangkan hadith ini dengan beberapa peringkat.



Nusyuzkah Wanita Itu?


Persoalan pertama, adakah perbuatan di dalam hadith tersebut dikira sebagai nusyuz atau derhaka? Mengikut Syeikh Said Saad Jawish al-Hasani, dan kebanyakan ulama', ada dua syarat untuk mengkategorikan seseorang wanita itu nusyuz. Hanya dua sahaja. Pertama, menolak permintaan suami untuk 'bersama'nya. Kedua, keluar dari rumah tanpa izin suami.


Maka, perbuatan mengherdik, mencerca, mempertikaikan jasa sumbangan suami, itu belum lagi kategori nusyuz atau derhaka. Tetapi ia tetap dosa, cuma bukan dosa nusyuz.


Namun begitu, Islam amat menjaga wanita. Biar macam mana pun perangai si isteri, si suami pula HARAM menyakiti isteri. Haram hukumnya menampar isteri, memukul atau menzalimi dengan apa cara sekalipun.


Biarpun si suami diperlakukan, ini bukan alasan untuk suami menzalimi isteri. Kalau nusyuz pun, ada langkah-langkah atau peringkat-peringkatnya untuk menghukum isteri. Pertama, tak bercakap atau melayan. Kedua, asing tempat tidur. ketiga, barulah pukul. Itupun memukul dengan kadar umpama 'mencuit' dengan kayu sugi. Alaaah manjanya...


Hatta, kalau si isteri wakil kebangsaan tomoi pun, dan dia tomoi kaki suami sampai patah, si suami tiada hak untuk balas, atau belasa isteri. Marah pun tak boleh. :)



Suami Adalah Bos


Di satu sudut lain pula, si suami di dalam rumah tangga, adalah bos. Sebab apa? Sebab dia bertanggungjawab terhadap segala-galanya.


Siapa yang wajib sediakan nafkah? Suami.


Siapa yang wajib sediakan makanan? Suami.


Siapa yang wajib basuh baju? Suami.


Siapa yang wajib kemas rumah, beli barang-barang rumah? Suami.


Siapa yang wajib didik anak-anak? Suami.


Siapa yang wajib jaga isteri? Suami.



Habis tu, apa tugas isteri? Satu saja, taat kepada si suami!


Makanya, segala kerja-kerja yang si isteri buat tu, adalah semata-mata belas ihsan dan belas kasihan si isteri terhadap suami yang takkan mampu buat semuanya dalam rumah. Si isteri tidak dipertanggungjawabkan pun, tapi dia seolah-olah buat kerja 'extra'.


Maka, lojik lah kita tanyakan kepada si suami, masih tak bersyukur lagi kah mendapat isteri yang buat kerja 'extra' yang tak wajib pun ke atasnya?


Begitu juga, lojik kita tanyakan kepada si isteri, masih tak bersyukur lagi kah si suami dipertanggungjawabkan segala-galanya sedangkan kamu tidak ada tanggungjawab lain selain taat kepada suami? Itu pun kamu 'complain' banyak?



Kahwin, Sempurna Iman


Pernah dengar tak ungkapan ini? Mengikut Syeikh As-Sya'rawi, maksud sempurna iman adalah, apabila seseorang berkahwin, akan sempurna ibadahnya. Sebab apa? Sebab ada ibadah yang tidak dapat dilakukan oleh orang bujang. Tak dapat tidak, kena kahwin dahulu.


Apakah ibadah itu? :) Ehem! Antaranya menjaga anak. Memberi nafkah kepada isteri. Bersabar atas karenah perempuan (yang faham-fahamlah kan...), dan pelbagai ibadat lain lagi. maka, bila dah berkahwin, semua kategoir ibadat boleh dilakukannya.



Jadi, Bila Nak Kahwin?


Saya ke? Emmm, entah lah. Sebab ada beberapa persoalan yang saya kena jawab sebelum jawab soalan ini. Antaranya...


Sanggupkah saya bersabar bila kena buat segalanya dalam rumah?


Sanggupkah saya kena leter dengan perempuan, dalam masa yang sama, kena bersabar?


Sanggupkah saya tahan cercaan dan herdikan perempuan, tanpa boleh saya hayun tangan atau kaki saya ke dia?


Sanggupkah saya basuh baju, memasak, sapu lantai, kalau isteri saya malas nak buat semua tu, dalam masa yang sama kena kerja untuk cari nafkah?


Sanggupkah saya diam saja kalau kena pukul dengan isteri saya sampai patah hidung atau tangan, atau lebam-lebam, atau pengsan?



Hmmmm, jadi.... sanggup ke tak ye nak kahwin???



Allahu A'lam... :)
Related Posts with Thumbnails

Apture