Bismillahirrahmaanirraheem.
Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam.
Selawat dan salam kepada junjungan besar Baginda Nabi Muhammad SAW, serta para keluarga, sahabat dan pengikut Baginda.
Semenjak dua menjak ini, laman blog sudah tak menjadi ruang utama untuk berkongsi idea atau menyampaikan maklumat. Facebook sangat mudah, ringkas, available dan laju, menjadikannya pilihan utama kebanyakan dari pengguna internet.
Blog A.I.Y pun begitu. Sebulan setengah tidak dikemas kini. Tiada artikel baru bukan bermakna tiada idea baru. Mungkin masa dan kesempatan kurang.
نعمتان مغبون فيهما كثير من الناس الصحة و الفراغ
"2 nikmat yang sering dilalaikan kebanyakan manusia, kesihatan dan waktu lapang"
Hadith Nabi SAW
Maka, sebagai motivasi kepada diri sendiri, saya kongsikan sedikit idea di dalam entri kali ini. Moga siapa jua yang baca mendapat semangat baru hendaknya, insyaAllah.
...................
Sepanjang sejarah ketamadunan manusia, bermula dari zaman Nabi Adam AS, hingga zaman Nabi Muhammad SAW, sampailah ke zaman kita sekarang.
Apa yang menariknya, pabila kita baca buku-buku sejarah, kita dapati senarai tamadun-tamadun yang menguasai dunia. Setiap satu ada kehebatannya. Setiap satu ada kekuatannya yang menjadi faktor gemilangnya tamadun tersebut. Setiap satu ada teknoloji yang hebat tersendiri.
Namun, sehingga hari ini, tiada satu pun tamadun yang mencipta rekod mampu kekal hingga ke hari ini. Satu demi satu tamadun jatuh. Di waktu kemuncak kehebatan tamadun itulah mereka jatuh.
Teknoloji, material dan kekayaan yang memberi kehebatan kepada mereka jatuh, hilang. Tiada yang kekal hingga hari ini.
Di tengah-tengah sejarah ketamadunan, wujud satu cahaya yang hebat. Dari tengah-tengah ketandusan padang pasir, dikelilingi masyarakat yang hebat teknolojinya, namun rosak ahklaknya. Itulah cahaya Islam, dibawa oleh Rasulullah SAW.
Apa yang menariknya, legasi yang ditinggalkan Rasulullah SAW berkekalan sehingga ke hari ini. Dan pabila Rasulullah SAW wafat, Baginda tidak meninggalkan harta, kekayaan, teknoloji tinggi, mahupun bangunan yang gah.
Tetapi, bagaimana tamadun Islam boleh kekal dengan ketulenan fahamannya hingga ke hari ini. Dari masa Rasulullah SAW hingga ke hari ini, tamadun kerajaan Islam silih berganti, dan pernah memerintah sehingga dua per tiga dunia.
Apakah aset yang ditinggalkan Rasulullah SAW?
Ianya bukan emas permata, bukan ribuan ekar tanah, bukan bangunan pencakar langit, bukan harta dan material, tetapi ianya legasi para SAHABAT RA yang memegang Al-Quran dan As-Sunnah!
.....................
Pernah satu ketika, di zaman Khalifah Umar RA, ketika Ummat Islam pimpinan Sayduna Amru Al-'As RA ingin membuka Mesir dan membebaskan penduduk asalnya dari cengkaman kerajaan Byzantine.
Tentera Islam amat sedikit jika dibandingkan dengan tentera Byzantine. Saya tidak pasti figuranya, tapi bezanya tentera mereka sampai ratusan ribu orang. Maka, Sayduna Amru Al-'As menghantar surat kepada Sayduna Umar Al-Khattab meminta tentera tambahan.
Khalifah Umar memperkenankan permintaan itu, tetapi hanya menghantar seramai 4000 orang sahaja. Dan Khalifah Umar berpesan kepada Sayduna Amru Al-'As,
"Aku menghantar 4000 orang tentera, salah seorang dari setiap 1000 orang, mempunyai kekuatan seramai 1000 orang lelaki!"
رجال بألف رجل
Lelaki seumpama 1000 lelaki
Ya, daripada 4000 tentera itu, 4 orang daripada mereka mempunyai kekuatan seramai 1000 lelaki. Siapakah 4 orang terhebat yang Khalifah Umar hantar itu? Mereka adalah;
Sayduna Ubadah Ibn Somit RA
Sayduna Zubair Al-Awwam RA
Sayduna Maslamah Ibn Mukhollid RA
Sayduna Al-Miqdad Ibn 'Anf RA
Merepa adalah para Sahabat Baginda Rasulullah SAW. Golongan terbaik dari kalangan Ummat Islam sepanjang zaman. Kekuatan mereka menyamai 1000 orang!
Adakah badan mereka 1000 kali lebih kental dan besar? Adakah harta mereka 1000 kali lebih banyak? Adakah keturunan mereka 1000 kali lebih mulia?
Dan yang ajaibnya, tentera Islam berjaya menakluk bumi Mesir, Alhamdulillah.
.........................
Inilah legasi yang ditinggalkan Rasulullah SAW. Bukan bangunan pencakar langit. Bukan teknoloji tercanggih. Bukan harta dan material. Bukan itu semua.
Tetapi legasi yang Rasulullah SAW tinggalkan, dinyatakan dalam ayat Al-Quran;
مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّـهَ عَلَيْهِ ۖ فَمِنْهُم مَّن قَضَىٰ نَحْبَهُ وَمِنْهُم مَّن يَنتَظِرُ ۖ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلًا
Diantara orang-orang mukmin itu, ada yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada ALlah. Diantara mereka ada yang gugur dan diantara mereka pula ada yang menunggu-nunggu. Dan mereka sedikit pun tidak mengubah janji mereka.
Al-Ahzab ayat 23
Legasi yang ditinggalkan Rasulullah SAW adalah mereka yang beriman kental. Mereka yang yakin dengan janji Allah. Mereka yang berani berhadapan musuh, menegakkan Kalimah Allah. Mereka tidak takut dan tidak memberi alasan sewenang-wenangnya.
Merekalah "rijal" yang disebut-sebut itu. Merekalah yang telah membawa panji Islam sehingga kita dapat menikmatinya hari ini.
Inilah rijal yang menggerakkan Ummah. Kita ada pilihan, untuk turut bersama, menjadi rijal itu, atau tetap kekal lemah dengan diri kita sekarang, rijal hanya pada fizikal, bukannya jiwa.
Sekian, walhamdulillahi rabbil 'alamin.
Wassalam. Jumpa lagi di siri seterusnya.
Sekian, walhamdulillahi rabbil 'alamin.
Wassalam. Jumpa lagi di siri seterusnya.