Bismillahirrahmaanirraheem,
Alhamdulillahi wassolaatu wassalaamu 'ala Rasulillah SAW...
Semalam 1 April 2012. Tarikh yang tidak dilupakan masyarakat zaman sekarang, terutamanya anak-anak muda. Lebih mesra dikenali sebagai "April Fool".
Saya masih ingat lagi, di zaman sekolah rendah dahulu, "April Fool" sering menjadi bahan mainan. Kena tipu dan menipu pada hari tu tak menjadi masalah. Semua orang cari idea paling kreatif macam mana nak menipu.
Namun, dengan berkembangnya teknoloji maklumat dan elektronik, serta peningkatan kesedaran masyarakat terhadap hukum-hukum agama, ramai mula sedar sisi negatif budaya "April Fool" ini.
Malangnya, lahir pula satu budaya baru, iaitu budaya mereka-reka cerita demi menjadikannya hujah menolak budaya-budaya negatif atau sesat, diantaranya budaya "April Fool".
............................
Saya ada mendengar satu Hadith Nabi SAW yang berbunyi;
عن صفوان بن سليم أنه قال: "قيل لرسول الله صلى الله علـيه وسـلم : أيكون المؤمن جبانا فقال نعم فقيل له أيكون المؤمن بخيلا فقال نعم فقيل له أيكون المؤمن كذابا فقال لا". رواه الإمام مالك
Daripada Sofwan Bin Salim bahawa beliau berkata; Rasulullah SAW pernah ditanya, "Adakah di kalangan mukmin orang yang pengecut?" Jawab Rasulullah SAW, "Ya, ada". Rasulullah SAW ditanya lagi, "Adakah di kalangan mukmin orang yang kedekut?" jawab Rasulullah SAW, "Ya, ada". Rasulullah SAW ditanya lagi, "Adakah di kalangan mukmin orang yang penipu?" jawab Rasulullah SAW, "Tidak!"
Riwayat Imam Malik
Kita sering berdoa siang dan malam, doa yang popular, disebut sebagai AL-Ma'thuraat. Salah satu daripada bait doa Nabi SAW adalah,
"Ya Allah sesungguhnya aku berlindung dengan Engkau(Ya Allah) daripada sifat pengecut dan kedekut"
Dari kecil kita mengetahui bahawa bakhil atau kedekut adalah sifat yang buruk. Sehingga satu watak 'terkutuk' dalam salah satu filem P. Ramlee disebut "Haji Bakhil"!
Dari kecil juga, kita sering diajar untuk tidak jadi penakut. Jangan takut gelap. Jangan takut hantu. Jangan takut orang nak kutuk kita. Jangan takut angkat tangan bertanya. Jangan takut bercakap.
Sebab sifat pengecut membunuh produktiviti. Sifat pengecut juga membunuh sifat proaktif.
Namun di sana terdapat dua jenis perangai. Ada dua jenis akhlak dalam Islam, iaitu,
Akhlak asasi ( أساسيا )
Akhlak pelengkap ( متكاملا )
Dalam diri manusia, termasuklah seorang mukmin, kemungkinan kurang dari segi akhlak pelengkap. Namun, ianya tidak menjadikan seorang mukmin itu luntur sifat mukminnya.
Namun, jika tiada atau hilang ahklak asasi, maka sifat mukminnya dalam bahaya. Akhlak asasi tiada kompromi. Tidak boleh dibincang semula atau dibuat rayuan. Ianya wajib ada pada diri seorang mukmin.
Dan salah satu daripada akhlak asasi yang diajarkan Rasulullah SAW adalah As-Sidqu, iaitu bercakap benar dan bertindak dengan benar. Dengan kata lainnya, amanah.
....................................
Seorang mukmin itu kemungkinan seorang yang pengecut. Dalam kalangan para sahabat RA juga ada yang sedikit pengecut. Contohnya dalam kisah perang Tabuk di mana ada dalam kalangan sahabat Nabi yang tidak ikut serta dalam perang kerana takut.
Begitu juga, seorang mukmin berkemungkinan seorang yang kedekut atau bakhil. Contohnya Saydina Abu Sufyan RA. Sehingga isterinya Saydatina Hind pernah mengadukan kebakhilan suaminya kepada Rasulullah SAW.
Namun, tidak sekali-kali seorang mukmin itu berbohong. Tidak sesekali seorang mukmin itu khianat. Tidak sekali-kali seorang mukmin itu pecah amanah. Tidak sekali-kali seorang mukmin itu membocorkan rahsia yang diamanahkan kepadanya.
Kerana apa? Kerana diantara sifat wajib bagi Nabi adalah As-sidqu dan Amanah. Berkata benar dan amanah. Sehingga Nabi Muhammad SAW digelar di dalam sebuah Hadith(iaitu Hadith Jibril) sebagai As-saadiqul Masduuq.
Maka jika kita mengaku kita pengikut Nabi SAW, kita akan mencontohi Nabi dan tidak akan melakukan perkara yang menyakiti Nabi SAW, antaranya berbohong, pecah amanah, dan membocorkan rahsia.
Nabi Muhammad SAW tidak pernah berbohong seumur Baginda, hatta sebelum Baginda diangkat menjadi Rasul sekalipun.
Gelaran Al-Amin diberikan kepada Rasulullah SAW sejak sebelum Baginda menjadi Rasul lagi.
........................................
Ada dua kisah menarik yang membuktikan bagaimana sifat amanah dan benar yang ditunjukkan Rasulullah SAW.
Pertamanya, kisah di Jabal Abu Qubais ketika mana Nabi Muhammad SAW hendak menyampaikan suatu berita tentang Islam, Nabi SAW memulakan bicara dengan,
"Jika di belakang bukit ini aku katakan, ada sekumpulan tentera musuh datang menyerang kita, adakah kau mempercayai aku?"
Jawab hadirin,
"Kami tidak pernah mendengar engkau berbohong walau sekali!"
Peristiwa kedua, ketika hijrah Nabi SAW ke Madinah, saydina Ali Karramallahu wajhah telah ditugaskan untuk tidur di katil Rasulullah SAW menggantikan Baginda. Selain daripada helah untuk menipu musuh yang ingin membunuh Baginda SAW.
Ada pakar sirah berpendapat bahawa dipilihnya saydina Ali RA untuk tunggu di Makkah adalah sebagai wakil Nabi Muhammad SAW bagi memulangkan barang-barang amanah Arab Quraisy yang ditinggalkan di bawah jagaan Rasulullah SAW.
Sudah menjadi tradisi masyarakat Arab Qurays waktu itu untuk menyimpan barang-barang berharga mereka kepada orang yang dipercayai, diantaranya Rasulullah sendiri. Rasulullah sungguh amanah sehingga Baginda tetap memastikan barang amanah yang disimpannya selamat dan boleh dituntut semula oleh tuannya, biarpun Baginda SAW sudah tiada di Makkah.
.............................
Tetapi, timbul satu persoalan. Mengapa dalam banyak-banyak sifat, dalam ribuan akhlak, sifat benar dan amanah ini menjadi diantara akhlak asasi yang penting. Yang wajib ada pada diri seorang mukmim. Akhlak yang tiada kompromi padanya. Yang tidak boleh diambil ringan.
Ada satu kajian yang dibuat oleh Jim Kouzes dan Berry Posner, yang dimuatkan dalam buku mereka, The Leadership Challenge.
Kajian yang mereka lakukan semenjak tahun 1987 dan tamat pada tahun 2010 kepada seramai 1.5 juta orang dari seluruh 6 benua dunia.
Salah satu perkara yang dikaji adalah apakah karakter yang anda mahukan dari seorang pemimpin. Apakah karakter yang anda mahu jika anda ingin mengundinya. Apakah karakter yang anda yakin perlu ada pada setiap pemimpin.
Mereka mendapati daripada semua responden, ada satu karakter yang sama, iaitu kredibiliti!
Apa itu kredibiliti? Kredibiliti bermaksud, benar dan amanah.
Dan inilah sifat agung Baginda Nabi SAW, yang dimilikinya semenjak kecil, sebelum Baginda diangkat menjadi Rasul lagi. Dan sifat inilah yang emberikan pengaruh besar kepada penerimaan manusia kepada dakwah Rasulullah SAW.
Kredibiliti ini meningkatkan kepercayaan, dan kepercayaan meningkatkan pengaruh, sehingga seorang penulis dan pemikir Michael H. Heart dalam bukunya "The 100 : A Ranking Of Most Influential Persons In History" yang diterbitkan pada tahun 1982 meletakkan nama Nabi Muhammad SAW sebagai manusia paling berpengaruh (Nombor 1) sepanjang sejarah manusia!
Namun malangnya, realiti yang kita lihat pada hari ini, masyarakat umum sudah hilang sifat As-sidqu dan Al-amin dalam diri. Sana sini kita melihat orang menipu. Tipu kawan, tipu isteri, tipu dalam perniagaan, tipu dalam peperiksaan, tipu mak ayah, tipu dalam tulisan dan percakapan, dan macam-macam lagi.
Sana sini kita melihat orang pecah amanah. Sana sini kita melihat orang khianat. Sana sini kita melihat orang bocor rahsia. Sana sini kita lihat orang menyebar fitnah dan melaga-lagakan orang lain.
Jika kita lihat pada pemimpin pula, sana sini kita lihat orang memberikan janji kosong. Orang dapat jawatan kemudian menggunakannya untuk menaikkan nama sendiri.
Orang ada kedudukan kemudian songlap duit. Orang yang cakap berdegar-degar, tapi buat tak serupa bikin. Orang yang membocorkan rahsia organisasi kepada umum. Orang yang membocorkan keputusan mesyuarat sebelum ahli mesyuarat bersuara. Para pengambil kesempatan (opportunist) yang bermuka baik di hadapan, tetapi berniat mengambil kesempatan dari belakang.
Semoga Allah melindungi kita dari gejala ini. Semoga Allah menyelamatkan kita dan masyarakat kita semua dari sifat penipu dan pecah amanah. insyaAllah.
Hasbiyallahu wa ni'mal wakeel!
Sekian dahulu dari saya, semoga kita sama-sama mengambil iktibar dari kehidupan dan peribadi Baginda Rasulullah SAW, ameen.
Wassalam.