Lelaki 1000 Lelaki [2]

Friday, March 30, 2012 by aiyqosim



Bismillahirrahmaanirraheem,

Alhamdulillahi wassolaatu wassalaamu 'ala Rasulillah SAW...


Hidup kita tidak lain dan tidak bukan, hanyalah suatu tempoh masa. Masa yang sentiasa bergerak. Masa yang terkadang dirasakan laju, terkadang dirasakan lambat. Masa yang terkadang kita sedar bahawa kita sedang melaluinya, terkadang ianya berlalu tanpa disedari.


Dan masa mempunyai tempoh-tempohnya. Mempunyai sempadannya. Garis mulanya saat kelahiran, dan garis penamatnya saat kematian.


Pabila ditanya kepada golongan tua dan berumur, jika masa boleh diputar kembali, waktu bilakah yang ingin diulang kembali? Kemungkinan besar akan dijawabnya,
"Masa muda remaja!"


Namun apa yang ada pada waktu itu? Apa yang istimewanya sehingga mengundang penyesalan kepada mereka yang sudah melepasi waktu itu dengan sia-sia?


.........................



Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi menulis dalam risalah kecilnya
"Kewajipan Remaja Muslin Hari Ini" bahawa tempoh muda remaja ini adalah tempoh terpenting.


Sepertimana dalam satu hari, waktu tengahari itulah pancaran matahari paling terik. Waktu itulah sinarannya paling panas, dan matahari berdiri tegak di atas kepala.





Begitulah juga tempoh remaja. Waktu itulah masa seorang manusia paling bersemangat. Waktu itulah paling dinamik dan aktif. Waktu itulah kekuatan fizikal memuncak. Waktu itulah masa lapangnya mencurah-curah.


Namun, realiti hari ini amat menyedihkan. Dalam semangat, dinamik, keaktifan, kesihatan dan kelapangan masa itulah, para remaja membiarkan masa berlalu begitu sahaja. Segalanya diisi dengan kegiatan tidak bernilai dan keseronoan semata-mata.


Hasbiyallahu wa ni'mal wakeel.


.........................


Perjalanan merentas sejarah menyaksikan jatuh bangunnya sebuah tamadun bergantung kepada jatuh bangunnya golongan muda. Dan di kalangan golongan muda itu adalah para remaja.


Pemuda adalah pembangun Ummat dan pejuang sejak dahulu lagi.


Dalam konteks perjuangan Islam, kita menyaksikan perjuangan para Nabi AS dipelopori kaum muda. Pemuda adalah pembawa risalah.


Ashabul Kahfi


نَّحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ نَبَأَهُم بِالْحَقِّ ۚ إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى


"Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka yang benar. Sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk."


Surah Al-Kahfi ayat 13


Jelas digunakan kalimah "pemuda" dalam ayat tersebut, merujuk kepada Ashabul Kahfi seramai 7 orang. Merekalah pemuda yang lari daripada pemerintah yang zalim demi menyelamatkan iman mereka.







Nabi Ibrahim AS


Ketika remaja, dirakamkan kisah Nabi Ibrahim berdialog dengan dirinya sendiri tentang siapakah Tuhan yang menciptakan alam semesta dan mentadbirnya.


Remaja sifatnya sentiasa berfikir mencari kebenaran, sepertimana Nabi Ibrahim berfikir mencabar akalnya mencari kebenaran. Akhirnya didapati bahawa tidak mungkin ada satu kuasa yang mampu mentadbir alam melainkan Allah Yang Maha Esa.


Namun, Baginda tidak berhenti setakat itu sahaja. Nabi Ibrahim AS mempunyai dua pilihan utama;


1. Beriman dan kekal beriman dalam diam, kerana kaumnya penyembah tegar berhala. Jika diberitahu akan keimanannay kepada Allah, nescaya ditentang kaumnya.

2. Beriman, kekal beriman, dan keluar bersuara kepada kaumnya menyatakan bahawa mereka sesat pabila menyembah berhala. Bahawa mereka harus beriman kepada Allah Subhanahu wata'ala.



Apakah pilihan Nabi Ibrahim AS? Baginda keluar dan mencabar aqidah kaumnya dengan menghancurkan berhala sembahan mereka dan meninggalkan sebuah berhala paling besar.


Selepas berfikir, Baginda membuat tindakan. Bukan calang-calang tindakan, tetapi tindakan yang berani mati!


Sehingga kisahnya dirakam Allah dalam Al-Quran;


قَالُوا سَمِعْنَا فَتًى يَذْكُرُهُمْ يُقَالُ لَهُ إِبْرَاهِيمُ


Mereka berkata, "kami mendengar ada seorang pemuda yang mencela (berhala-berhala kami), namanya Ibrahim


Surah Al-Anbiya' ayat 60



Nabi Ismail AS


Kisah Nabi Ismail AS sangat mahsyur, anak Nabi Ibrahim AS.


Ketika masih di awal remaja, keimannya diuji dengan arahan Allah kepada Nabi Ibrahim untuk menyembelih anaknya sendiri.


Lalu Nabi Ibrahim AS bertanyakan pendapat empunya diri, Nabi Ismail AS, lalu dijawabnya;


قَالَ يَا أَبَتِ افْعَلْ مَا تُؤْمَرُ ۖ سَتَجِدُنِي إِن شَاءَ اللَّـهُ مِنَ الصَّابِرِينَ



"wahai ayahku, buatlah apa yang diperintahkan kepadamu. Nescaya engkau akan dapati dengan izin Allah, aku dari kalangan orang-orang yang sabar."


Surah As-Saaffat ayat 102


............................


Begitulah dikisahkan kepada kita sifat pemuda Islam. Sifat remaja Islam sebenar. Sifat pejuang pembawa risalah Islam.


Beriman kepada Allah dengan sebenar-benar iman.


Berfikir demi membangun jiwa dan mendapat kefahaman Islam yang jelas.


Bertindak untuk menyelamatkan iman dan menyebarkan Islam.


Berani berhadapan dengan segala cabaran. Berani bertemu musuh. Berani mati.




Tidak pelik jika kita melihat remaja hari ini bersemangat, berani dan bergerak. Tetapi amat pelik bila kita melihat para remaja mandom, lembap, kaku dan beku. Kerana Allah sudah menggambarkan sifat para pemuda yang bergerak dan berjuang.


Dan tidak peliklah jika pemuda di zaman Rasulullah SAW dikhabarkan setiap seorangnya seperti 1000 lelaki. Kerana semuanya menyahut perintah Allah di dalam Al-Quran dan As-Sunnah.



رجال بألف رجل

Lelaki 1000 lelaki!




Walhamdulillahi robbil 'alameen.


Wassalam.
Posted in Labels: , , , | Comments
Related Posts with Thumbnails

Apture