Projek Antara Dua Jumaat

Thursday, November 24, 2011 by aiyqosim

Bismillahirrahmaanirraheem,

Alhamdulillahi wassolaatu wassalaamu 'ala Rasulillah SAW...


Nabi SAW berpesan dalam sebuah Hadith, yang berbunyi;


عن أبي هريرة أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قاذل ((الجمعة. إلى الجمعة كفارة ما بينهما ما لم تغش الكبائر )).

Dari Abi Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Dari hari Jumaat hingga Jumaat(berikutnya) adalah kaffarah(pengampun dosa) diantara keduanya, selagi tidak melakukan dosa besar."


Idea, fikrah atau pemahaman yang perlu diterapkan melalui Hadith ini, bukan sekadar memuliakan hari Jumaat sebagai Sayyidul Ayyam(penghulu segala hari).


Bahkan di sana terdapat fikrah yang perlu diterapkan dalam diri kita, bahawa ada sesuatu yang perlu kita lakukan sebelum, semasa dan paling penting selepas hari Jumaat tersebut.



Belajar Dari Ramadhan


Samalah halnya bilamana Nabi SAW mengatakan bahawa,

"di antara Ramadhan hingga Ramadhan(tahun berikutnya) adalah penghapus dosa antara keduanya".

Ia adalah petanda tempoh masa diantara dua Ramadhan itu merupakan tempoh yag sangat penting untuk diambil perhatian. Ia adalah tempoh eksperimen daripada madrasah(sekolah) Ramadhan kita.


"Apakah hasil ibadat kita di bulan Ramadhan tahun ini? Ya, kita buat eksperimen hingga bertemu kembali Ramadhan tahun depan! Kemudian kita follow-up semula bila dah sampai due-date eksperimen tersebut. Tengok hasil eksperimen, berjaya ataupun tidak?"


Kembali kepada hari Jumaat. Bilamana dikatakan antara dua Jumaat itu, penghapus dosa antara keduanya, maka seolah-olah, hari Jumaat itu sepatutnya dijadikan sebagai tarikh mula eksperimen atau ujian, dan due-date nya adalah pada Jumaat berikutnya. Bila sampai Jumaat berikutnya, bersedialah, sebab kita akan lihat hasil ujian terebut.







Dari satu sudut lain pula, bila kita meletakkan satu-satu tarikh itu sebagai tarikh mula eksperimen atau ujian, tidak dapat tidak, perlu ada 3 elemen berkaitan tarikh tersebut.


3 Elemen


Yang pertama, perancangan yang tersusun. Ini berlaku pada masa sebelum tarikh mula tersebut.

Yang kedua, implementasi perancangan tersebut, atau tindakan. Ini berlaku bermula daripada tarikh mula(dalam kes ini, hari Jumaat), sehinggalah sehari sebelum tarikh akhir atau due-date. Dalam masa ini jugalah berlakunya "follow-up" dan "check & balance" untuk memastikan gerak kerja yang efisyen dan berkesan.

Yang ketiga, penilaian hasil eksperimen atau muhasabah. Ini berlaku selepas due-date.



Tetapi, Apakah Perkara Yang Diuji Di Dalam Eksperimen Ini?


Segala-galanya tentang kehidupan kita sebagai seorang Muslim!

Segala-galanya tentang kehidupan kita sebagai seorang Mukmin. Segala-galanya tentang kehidupan kita sebagai seorang khalifah ALlah di muka bumi. Sebagai pendakwah. Segala-galanya tentang kehidupan kita sebagai Duta Islam dan utusan Rasulullah SAW. Itulah yang perlu diuji di dalam eksperimen ini.


Perlulah kita sedar, bahawa kehidupan kita sekarang sebagai seorang Muslim mukallaf(baligh dan berakal) bukanlah sebuah ekperimen teori. Bukanlah sebuah taman permainan. Tetapi inilah kehidupan sebenar, yang akan menentukan nasib kita di Akhirat kelak. Maka, tidak dapat tidak, kita perlu bekerja!


Kita perlu jalani kehidupan kita seolah-olah(hakikatnya, sememang-memangnya, bukan seolah-olah lagi...) kita sedang menggerakkan sebuah program atau projek. Ada tempoh masanya, ada perancangan rapi sebelumnya, ada jawatankuasa pelaksananya, ada kayu ukur atau Key Performance Indicator(KPI) nya, adanya implementasi yang berkesan dan efisyen, ada reaksi daripada peserta atau orang luar, ada follow-upnya, dan ada hasil serta muhasabah program.


Ingat, setiap kita adalah Duta Besar Islam!



Posisi Kita


Timbul persoalan,


"Habis tu, kita semua kena berceramahlah?"


Ceramah bukanlah satu-satunya cara berdakwah dan bekerja dalam Islam. Bergeraklah mengikut posisi masing-masing.


Posisi boleh difahami dari segi tahap kehidupan kita secara kronologi umur. Di waktu kecil, posisi kita sebagai kanak-kanak. Ada tanggungjawabnya, ada peranannya. Besar sedikit, kita bergerak sebagai remaja. Tanggungjawab remaja adalah bergerak aktif dalam beraktiviti, menimba pengalaman dan menuntut ilmu, dengan mengambil contoh teladan dari golongan dewasa.


Bila meningkat dewasa pula, ada tanggungjawab untuk mendukung masyarakat dengan perkhidmatan dan ilmu, juga tanggungjawab menyediakan golongan remaja dan kanak-kanak untuk menadi dewasa yang berguna untuk Islam dan negara. Bila dah tua, ada pula tanggungjawab lain, khusus untuk mereka. Begitulah seterusnya.


Posisi juga boleh difahami dari segi pekerjaan kita. Contohnya, sebagai seorang doktor, jurutera, guru, staf sokongan, peniaga, Menteri, ahli politik, dan sebagainya. Saya tidak berhajat untuk menerangkan panjang lebar tentang tajuk "Posisi" di sini. InsyaALlah lain masa ya...


Posisi juga boleh difahami dari segi status sosial kita. Contohnya sebagai seorang suami, atau isteri, atau ibu bapa, atau anak, dan sebagainya.



Kesimpulan


Kesimpulannya, cuba kita semua fikirkan. Bayangkan kalau setiap individu dari kalangan orang Islam mengambil sepenuh perhatian dan mengamalkan Hadith yang disebutkan di atas. Satu Hadith sahaja, dengan pemahaman yang benar. Setiap daripada kita menjadikan tempoh masa di antara Jumaat dengan Jumaat berikutnya sebagai satu tempoh eksperimen, ujian atau program.


InsyaAllah tempoh masa itu akan menjadi satu tempoh yang penuh dengan produktiviti, penuh dengan ibadat dan ilmu. Penuh dengan khidmat dan nasihat. Penuh dengan manfaat kepada Ummat. Penuh dengan aktiviti sihat untuk Islam dan masyarakat.


Dan yang ajaibnya, tempoh masa diantara dua Jumaat itu adalah tempoh masa SEPANJANG TAHUN!

Bayangkan, setahun yang produktif untuk Islam dan Negara! (ppergh~)


Allahu A'lam, moga bermanfaat.


Jangan lupa baca Surah Al-Kahfi dan merenung seketika beberapa ayat daripadanya. Ma'assalaamah~ :)



Posted in Labels: , , , | Comments
Related Posts with Thumbnails

Apture