Korban : Ihsan + Itqon = ?

Saturday, November 12, 2011 by aiyqosim

Bismillahirrahmaanirraheem,

Alhamdulillahi wassolaatu wassalaamu 'ala Rasulillah SAW,


Syukur Raya AidilAdha dapat dilalui lagi tahun ini. Alhamdulillah program Korban PERUBATAN, SAADAH namanya, berjalan lancar dengan kerjasama BKAN Selangor, Pahang, Kedah, Terengganu dan Melaka(BKKIMM).


Hari kedua pula jamuannya di Masjid Salam, Hayyu 10. Tahniah kepada JK Pelaksana dan semua hadirin! Moga amalan kalian mendapat keberkatan.


Selalu disebut-sebut, Tadhiyyah Manifestasi Tarbiyyah. Itulah tema program tahun ini.


Ringkasnya, semangat dan keikhlasan berkorban dalam Islam itu merupakan hasil tarbiyyah. Hasil pendidikan dan latihan yang betul.



Pengajaran Yang Jarang Diambil Kisah

Saya taknak menyentuh soal pengorbanan, tapi suka saya petik satu Hadith Rasulullah SAW yang jarang kita sedar hikmah di sebaliknya.


Hadith berbunyi;


إن الله كتب الإحسان على كل شيء فإذا قتلتم فأحسنوا القتلة وإذا ذبحتم فأحسنوا الذبحة وليحد أحدكم شفرته وليرح ذبيحته

“Sesungguhnya Allah telah menetapkan/memerintahkan ihsan atas setiap sesuatu. Maka jika kamu ingin membunuh, bunuhlah dengan penuh keihsanan. Dan jika kamu ingin menyembelih, maka sembelihlah dengan penuh keihsanan. Hendaklah kamu menajamkan pisau yang kamu akan gunakan untuk menyembelih dan hendaklah kamu memberi rehat yang secukupnya bagi binatang yang ingin kamu sembelih itu.”

Hadith riwyat Muslim



Jelas perkara yang diulang dalam hadith ini adalah "ihsan".



Apakah itu ihsan?


Ada hadith yang mahsyur menerangkan maksud ihsan. Hadith yang juga digelar Hadith Jibril. Apabila Rasulullah ditanya oleh Malaikat Jibril tentang apakah itu ihsan, maka Nabi SAW menjawab;


الإحسان أن تعبد الله كأنك تراه , فإن لم تكن تراه فإنه يراك

"...al-ihsan itu, bila mana kamu menyembah Allah seakan-akan kamu melihatNya. Tapi jika kamu tidak dapat melihatNya, maka sesungguhnya Dia melihat kamu..."



Kalau kita beribadat dan dalam masa yang sama kita nampak di depan kita Tuhan yang menilai ibadat kita itu, adakah kita akan buat ibadat sambil lewa?


Samalah waktu kita kecil-kecil dahulu, kalau waktu buat homework, mak kita duduk betul-betul depan kita memerhatikan satu per satu gerak geri kita untuk siapkan homework tu. Tak senang duduk kita dibuatnya!


Begitulah perumpamaannya. Sudah tentu kerja kita akan dilakukan habis baik. Itulah ihsan.



Ihsan Mengikut Tok Guru


Tapi, Tok Guru Niz Aziz menerangkan ihsan dalam bentuk yang lebih ringkas dan mudah difahami.


Ihsan ni, sebagai contoh, dalam Islam, ada hukum Qisos. Kalau kita kena tumbuk, kita boleh tumbuk orang tu semula sepertimana dia tumbuk kita.


Kalau tangan kita kena potong, kita berhak potong tangan orang yang potong tangan kita tu.


Itu dari segi hukumnya. Tapi kalau kita ada sifat ihsan, kita kena tumbuk, kita tak balas tumbuk, tapi kita maafkan orang tu.


Contoh terbaik sifat ihsan adalah pada diri Rasulullah SAW yang mulia. Ingat lagi peritiwa yang mahsyur sewaktu dakwah Baginda di Thaif?


Contoh lain, dalam hutang piutang. Ahmad hutang Karim RM 10. Tapi bila nak bayar semula hutang, Ahmad beri RM 15 kepada Karim sebagai tanda terima kasih sebab sudi pinjamkan duit.


Itulah ihsan, buat yang terbaik, bahkan melebih-lebihkan daripada yang sepatutnya.



Berbalik kepada Hadith berkaitan sembelihan di atas.


Cuba bayangkan, sedangkan dalam proses menyembelih binatang pon Allah memerintahkan kita bersifat ihsan dan menyempurnakan urusan sembelihan tu, inikan pula bila kita melakukan kerja-kerja sesama manusia?


Dalam penyembelihan binatang pon Allah memerintahkan bersifat ihsan, inikan pula dalam ibadah-ibadah khusus?


Maka intipati yang boleh diekstrak dari Hadith ini adalah, sifat ihsan yang dititikberatkan dalam Islam.



Ihsan + Itqon Mampu Menggegar Dunia


Sifat ihsan ini jika digabung dengan sifat Itqan, akan menghasilkan satu perkara yang dahsyat, yang mana kalau dimiliki oleh setiap daripada Ummat Islam, nescaya mampu menggegar dunia dalam segenap bidang.


IHSAN + ITQAN = PROFESIONALISM


Apakah pula Itqan? Ada disebut dalam sebuah Hadith, yang berbunyi;


إن الله يحب إذا عمل أحدكم عملا أن يتقنه

Sesungguhnya Allah menyukai bilamana seseorang dari kamu melakukan sesuatu amalan, dia menyempurkanannya.



Contoh Dalam Kehidupan


Contoh sifat (Ihsan + Itqon = Profesionalism), dalam kehidupan sebagai seorang pekerja dalam sebuah syarikat. Waktu masuk pejabat adalah jam 8.00 am, tetapi jam 7.30 sudah terpacul di pejabat untuk mempersiapkan diri dengan tugasannya di pejabat. Waktu pulang pula jam 4.30 pm, dan dia takkan pulang selagi tidak sampai jam 4.30 pm ataupun selagi kerjanya pada hari itu masih belum selesai, biarpun sudah melebihi waktu kerjanya.


Seorang suami dan bapa tidak akan cukup sekadar melunaskan tanggungjawabnya yang wajib terhadap isteri dan anak-anak, tetapi akan memberikan lebih daripada yang sepatutnya dalam bentuk kasih sayang dan tanggungjawab.


Suri rumah, bilamana menyapu lantai contohnya, akan menyapu habis semua habuk hatta di celah-celah atau di bawah rak/almari sekalipun. Biarpun sekali pandang, orang tidak akan perasan habuk di bawah almari, tetapi demi menyempurnakan sapuannya, agar tidak ada habuk langsung di atas lantai, dia turut menyapu di bawah almari.


Seorang doktor, bila menjahit luka (stitching), dibuatnya dengan cermat, tidak terlallu ketat, dan tidak terlalu kendur. Terlalu ketat akan menyakitkan pesakit kelak dan memberi parut yang buruk, manakala terlalu kendur pula akan mengganggu proses penyembuhan parut dan mengundang jangkitan. Doktor itu tidak akan terlalu tergesa-gesa, dan tidak sambil lewa dalam membuat jahitan kerana dia sedar bahawa di hadapannya ALlah yang menilai amalannya, dan pesakit menaruhkan harapan kepadanya.


Seorang kontraktor akan membeli dan menggunakan bahan-bahan binaan sepertimana yang telah ditetapkan jurutera dan quantity surveyer dalam sesebuah projek. Tidak akan dilebihkan dan tidak akan dikurangkan. Hatta bahan-bahan yang lebih tidak akan disimpan, tetapi dipulangkan kepada pemilik projek.


Di rumah kita, ada giliran basuh pinggan mangkuk contohnya. Tetapi kita tidak hanya menunggu giliran kita baru nak bersihkan singki dari pinggan mangkuk, tetapi bilamana kita nampak ada pinggan mangkuk kotor, kita tidak berkira untuk membasuhnya.


Inilah di antara contoh sifat ihsan dan itqon dalam kehidupan seharian.




Maka, sebagai seorang Muslim, tidak kira di posisi mana sekalipun kita, milikilah sifat PROFESIONALISM ini. Milikilah sifat IHSAN dan ITQON.


InsyAllah kita akan menjadi seorang yang berpegang dengan Syari'ah Islam, dalam masa yang sama melakukan segala pekerjaan dengan sehabis baik, kerana mengejar gelaran "Yang Terbaik Di Sisi Allah", dan bekerja seolah-olah dia melihat Allah (Hakikatnya, Allah sentiasa melihat kita).


Kita akan menjadi seorang yang berprinsip, teguh pendirian, mematuhi etika, menjaga masa, dan berakhlak di mana sahaja, baik di hadapan manusia mahupun di belakang, kerana dirasakan Allah SENTIASA melihatnya (Hakikatnya, memang ALlah sentiasa melihatnya).


Bayangkan, kalau setiap Muslim mempunyai sifat ini... MasyaALlah... MANTOP!



Moga kita tergolong dalam golongan ini, ameen.


Selamat mencuba~


"who is professional?"
Posted in Labels: | Comments
Related Posts with Thumbnails

Apture